Wednesday, November 2, 2011

Semua orang pun hendak pencen



  • Pertamanya, tulisan kali ini bukannya hendak memperkecilkan jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara sama ada polis ataupun tentera.
  • Namun apabila soal pencen askar yang dikemukakan di ruangan 'Surat' Berita Harian mendapat tempat dua kali dalam tempoh lima hari (Berita Minggu tiada Surat), penulis terpanggil untuk mengulasnya.
  • Tambahan pula kerjaya askar ialah kerjaya yang 'berpencen' dan 'bersagu hati;' serta dikaitkan secara erat dengan 'pengorbanan jiwa dan raga' dan 'jasa kepada negara' menentang anasir-anasir yang mengganggu gugat keselamatan negara.
  • Surat pertama ialah pada Jumaat (28/10/11) yang menyatakan dengan padat berkenaan permulaan masuk askar (sekitar penghujung 1970-an dan 1980-an) lawan komunis, berhenti askar sekitar 1990-an (umur sekitar 30-an), tak ada kerja lepas berhenti, jadi pak guard dan kini menagih simpati elaun daripada pihak kerajaan kerana kesempitan hidup, keperluan keluarga dan sebagainya.
  • Surat kedua pula pada Rabu (2/11/11) yang menerangkan 'jalan yang salah' oleh pengarang surat pertama kerana berhenti awal.
  • Pengarang surat kedua sendiri menyertai tentera pada 1965 dan tamat tempoh perkhidmatan dengan pangkat korporal pada 1988 (masa perkhidmatan ialah 23 tahun) yang sudah semestinya diberi pencen kerana sudah melepasi tempoh matang 21 tahun perkhidmatan. Lalu dipersoalkan mengapa pula kalau sudah niat asal masuk askar ialah untuk mempertahankan negara (daripada komunis dan ancaman asing misalnya) tetapi tidak pula meneruskan perkhidmatan sehingga 21 tahun?
  • Penulis kira, ini merupakan kemelut yang dihadapi oleh anggota keselamatan negara terutamanya tentera kerana mereka sudah boleh berhenti lebih awal daripada perkhidmatan dan memperoleh ganjaran 'lump sum' atau mereka boleh terus berkhidmat sehingga tempoh 'matang' bagi memperoleh bukan sahaja sedikit-sebanyak 'ganjaran segelepok,' malah diberi juga pencen bulanan.
  • Sebenarnya kes sebegini jelas; tidak kabur atau berunsur spekulatif kerana realitinya ada dikalangan anggota tentera kita mungkin inginkan kehidupan baru setelah lebih sepuluh tahun berkhidmat, lantas memilih untuk berhenti awal.
  • Ada juga yang sanggup berkhidmat sehingga waktu 'berhenti dapat pencen,' jadi selepas itu, setidak-tidaknya berasa selamat kerana walau apa pun berlaku selepas bersara, setidak-tidaknya ada juga sumber kewangan yang diberikan kerajaan pada hari tua.
  • Justeru, bagi mereka yang berkhidmat di dalam ketenteraan mahupun polis, andai berhenti awal, janganlah jadikan alasan 'lawan komunis' atau 'mempertahankan negara' bagi menuntut itu dan ini selepas terlebih dahulu bersara sebelum 'tempoh matang' pencen kerana kalaulah yang sedemikian berlaku dan dilayan juga oleh kerajaan, nescaya yang berkhidmat 10 tahun atau kurang pun menuntut pencen dengan menggunakan alasan yang sama!
  • Semua orang mempunyai peranan masing-masing sama ada semasa zaman komunis ataupun zaman kini dan sama ada dalam perkhidmatan keselamatan, penguatkuasaan, bidang perkhidmatan awam yang lain dan pekerja swasta.
  • Masakan tidak, pekerja swasta pun boleh kata yang mereka juga menyumbang kepada negara kerana syarikat mereka membayar cukai, mereka sendiri perlu membayar cukai dan cukai-cukai inilah yang digunakan untuk urus tadbir negara daripada menanggung kos-kos projek negara sehinggalah membayar gaji dan pencen perkhidmatan awam.
  • Sedangkan pekerja swasta sendiri tidak diberi pencen dan banyak yang hidup melarat selepas bersara walaupun tabungan di KWSP mencecah ratusan ribu kerana dengan jangka hayat yang bertambah dan kos sara hidup yang meningkat menyebabkan purata pendapatan bulanan perjangka hayat berada pada tahap kemiskinan (lihat tajuk Pekerja lama hendak lama; yang baru nak campak mana? dan Belanjawan Negara 2012 yang kurang memihak kepada sektor swasta ).
  • Oleh sebab itu, pihak pekerja sama ada sektor pertahanan, perkhidmatan awam dan juga swasta perlulah memahami bahawa hidup ini ialah berkenaan kemandirian dan duit tidak turun daripada langit hanya kerana kita 'berkhidmat untuk negara tercinta.'
  • Tambahan pula dengan 'Stratergi Lautan Biru' yang dipopularkan oleh PM Najib terhadap ATM dan PDRM maka sepatutnya pesara-pesara tentera menggunakan sepenuhnya insentif yang sedia ada supaya dapat menampung sebarang kekurangan selepas menamatkan perkhidmatan.
  • Semua orang ada peranan masing-masing, berhak untuk meminta hak itu dan ini namun bukan kesemua kemahuan kita boleh dipenuhi.
  • Kerana kalau semudah itulah manusia mendapat ganjaran dan keistimewaan keduniaan -
  • Pantasnya, semua pun tak payah kerja! 

No comments: