Thursday, November 17, 2011

Ber‘A...A’

 

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2011 telah diumumkan hari ini (17/11/11) dan laporan menyebut bahawa keputusan ini ialah yang terbaik sejak 2008. Kita pun selalu mendengar ungkapan yang sedap-sedap didengari tentang keputusan peperiksaan awam semasa dibaca oleh pihak kementerian sama ada Ketua Pengarahnya, atau Pak Menterinya. Keputusan bederet-deret A merupakan sesuatu yang begitu diraikan oleh Guru Besar, guru, ibu bapa dan anak-anak. Bagi ibu bapanya yang bekerja sebagai guru, sudah pastilah tekanannya lebih lagi (kepada ibu bapa dan anak-anak) kerana status pendidik itu menyebabkan persepsi masyarakat melihat mereka sebagai lebih cerdik daripada yang lain. Ada ketika, ibu bapa yang terlebih keujaannya (over) berbanding si anaknya!

Memanglah yang paling senang diukur ialah berapa ‘A’ seseorang itu dapat dan sekolah sekian-sekian tu, yang 5 ‘A’ atau berderet ‘A’ berapa orang. Gred A seolah-olah telah menjadi ultimatum kepada hala tuju, matlamat dan objektif budak dihantar bersekolah. Dalam konteks UPSR, keputusan inilah yang akan digunakan kelak bagi meletakkan sesorang murid itu di kelas mana semasa di Tingkatan 1. Malah, dalam keadaan tertentu, keputusan ini jualah yang menentukan seseorang itu boleh sekolah di mana (asrama penuh, sekolah kluster, sekolah prestasi tinggi dan berbagai-bagai jenis gred sekolah lagi!)

Mendengar dan melihat kepada betapa cemerlangnya budak-budak zaman sekarang yang penuh dengan A, timbul juga persoalah sama ada adakah budak sekarang lebih cerdik daripada yang dahulu ataupun tidak? Perbandingan ini biasanya diutarakan oleh umum kerana sungguhpun dikatakan keputusan ber’A’-‘A,’ tahap pemikiran mereka dikatakan ‘kurang matang’ berbanding yang dahulu.

Lalu dikaitkan pula dengan budak sekarang yang kurang bersosial, kurang bersukan, kurang bermain yang seolah-olah menjadi hambatan kepada kematangan mereka. Kendati budak sekarang dibekalkan dengan pelbagai insentif yang diberikan sama ada oleh pihak kerajaan mahupun ibu bapa (tuisyen, kelas tambahan, komputer, internet), mereka dikatakan kurang matang, seumpama timbunan permata yang disaluti kaca! Ada harganya tetapi banyak pula kurangnya. Adakah tuduhan dan andaian sebegini benar?

Biasanya kalau budak terlebih cerdik ini dikaitkan dengan silibus, kononnya yang sekarang lebih mudah atau soalan peperiksaan yang lebih senang. Tetapi, salah satu faktor yang jarang orang kaitkan ialah struktur sosial masyarakat itu sendiri. Apakah adil untuk membandingkan yang satu ketika dahulu, ibu bapa yang menjaga kita dengan budak sekarang yang banyak dibesarkan oleh bibik? Atau adakah adil untuk dibandingkan budak sekarang yang pulang ke rumah, barangkali tidak disambut langsung oleh si ibu atau sebenarnya terpaksa pergi ke rumah penjaga berbanding dengan zaman dahulu yang mana ibunya telah menyediakan masakan untuk makan tengah hari dan barang kali telah menyediakan kelengkapan untuk si anak pergi ke kelas tambahan, sekolah agama mahupun ko-kurikulum. Lebih-lebih lagi, adakah adil kita bandingkan keadaan sekarang, guru pun takut hendak memberi nasihat, teguran dan merotan dengan keadaan dulu yang mana pemikiran ibu bapanya ‘asalkan anak itu tidak buta, patah kaki dan tangan sudahlah, selebihnya cikgu tolonglah ajar dia dan rotanlah dia kalau dia buat salah!’

Oleh yang demikian, sama ada matang, cerdik atau pandainya seseorang itu sangat bergantung kepada persekitaran mereka dibesarkan. Jadi tidak adilah untuk asyik memperkecilkan budak-budak zaman kini kerana dalam banyak keadaan pun, ternyata mereka mungkin lebih cerdik berbanding ibu bapanya pada umur tersebut! Buktinya cukup mudah, kalau dulu yang mendapat keputusan sebahagian besar ‘A’ pun sudah cukup hebat, kini, terdapat sekolah yang mempunyai limpahan ‘semua A’ dan ada pelajar yang berderet-deret A! Kalau dulu susah hendak dapat biasiswa, sekarang ini sudah semakin-makin susah untuk dapat biasiswa. Kalau dulu yang cemerlang STPM boleh bercanang masuk universiti buat ijazah pertama, sekarang ini silap-silap cuma dapat buat diploma sahaja (sedangkan bolehlah dikata yang STPM itu setaraf diploma!). Lebih kelakar seram, kalau dulu pengajian peringkat ‘sijil’ ialah untuk orang-orang yang tak bagus keputusannya dalam SPM, sekarang ini, sampaikan kerajaan kena taja untuk ambil ‘sijil’ bagi budak-budak U yang baru mendapat ijazah pertama! (program Inspen dan sebagainya)

Struktur sosial banyak memainkan peranan dalam perkembangan minda remaja; sama ada dengan siapa dia berkawan, siapa yang menjadi idolanya dan siapakah yang mendorongnya untuk mara ke hadapan. Hal ini tidak boleh tidak perlu dikaitkan dengan peranan ibu bapa kerana merekalah yang sebenarnya menjadi sumber pertama kepada perkembangan minda dan kematangan generasi muda. Tetapi, kalaulah minda ibu bapanya asyik dok salahkan orang, dok bangkang ini bangkang itu, budak bodoh pun salahkan sekolah, budak gemuk pun salahkan sekolah, anak kurang ajar pun salahkan sekolah, anak tak dapat asrama pun salahkan sekolah, PPSMI pun salahkan sekolah, MBMMBI pun salahkan sekolah, pendek katanya tak hairanlah kalau generasi akan datang pun tidak akan menunjukkan kematangan atau menyerlah lantaran mereka pun boleh salahkan orang lain, bukan begitu?

Sekadar rekod, penulis dapat 2A 3B dalam UPSR dan yang sangat memilukan ialah yang B itu Bahasa Melayu (Penulisan)!

No comments: