Thursday, June 16, 2011

Bila Isteri Bergelar Pelacur

  • Soal rumah tangga biasanya soal orang yang sudah kahwin/yang hendak kahwin. Jarang orang bujang yang belum berhasrat untuk berkahwin membincangkan soal suami taat atau isteri taat. Tapi sebab isu sudah pun meletup, jadi kita pun turut samalah mengulas.
  • Baru-baru ini, sebuah kelab yang dinamai Kelab Isteri Taat memecah kesenyapan isu rumah tangga apabila Timbalan Pengerusinya membuat kenyataan yang berbaur menjatuhkan martabat wanita dengan menyeru isteri-isteri agar melayan suami seperti "pelacur kelas pertama" agar si suami melekat dengan isteri tersebut dan tidak mencari yang lain. Bagaimanapun, disebabkan frasa yang dipetik merupakan kenyataan akhbar, mungkin ada sahaja perkataan atau frasa lain yang tidak disertai yang menyebabkan bunyinya macam menjatuhkan maruah isteri.
  • Ramai yang mengecam kelab tersebut; terutamanya mereka yang "mempertahankan hak wanita" dan tegar memperjuangkan isu kewanitaan dengan mengibaratkan kenyataan sebegini biadap terhadap wanita. Bagaimanapun, daripada apa yang dibaca (pada artikel asal), wanita yang menyertai kelab tersebut pun bukanlah calang-calang sehingga perjumpaan pun dibuat di tempat yang bukan calang-calang.
  • Menyamakan isteri dengan pelacur memang melampau. Pelacur dan isteri merupakan dua individu yang berbeza dan kesan sosial dan keagamaan juga berbeza. Ringkas cerita, kalau si suami mati, isteri yang sah (belum diceraikan) akan menerima pesaka suami. Tapi kalau si pelacur, tak dapat apa-apa. Kalau isteri beranak, nama anak boleh dibinkan kepada suami tapi kalau pelacur beranak anak suami, tak dapatlah anak tersebut dibinkan kepada si suami.
  • Itu konotasi keagamaan dan sosial. Akan tetapi, melainkan menyamakan isteri dengan pelacur, dari satu segi seruan "Kelab Taat" yang lain sebenarnya ada kebenarannya. Isteri sebenarnya paling wajar untuk berhias untuk suami. Pada dewasa kini yang menuntut si isteri bekerja (atau yang menyebabkan isteri kena kerja), kadang-kala isteri terlepas pandang dengan keadaan tersebut sehingga hiasan di mata ramai lebih menarik berbanding di dalam rumah sendiri.
  • Dari sudut agama pun, kewajipan nafkah terletak kepada suami dan bukannya isteri. Isteri sebenarnya berhak untuk menggunakan sepenuhnya gaji yang diterimanya tanpa perlu menyumbang kepada nafkah keluarga kerana gaji tersebut merupakan haknya. Sebaliknya suami tidak boleh memiliksendirikan pendapatannya kerana di dalamnya ada hak yang perlu ditunaikan kepada isteri dan keluarganya.
  • Walaupun keadaan sekarang seperti memberikan kelonggaran kepada si isteri bekerja; si isteri sebenarnya wajib taat kepada suami selagi si suami tidak meyuruh isteri melakukan perkara yang bertentangan dengan agama dan memudaratkan dirinya sendiri.
  • Oleh sebab itu, penulis nampak isu "isteri taat" dan "disamakan pelacur" ini kepada sudut ekonomi apabila kebanyakkan keluarga yang dibina pada masa kini memerlukan isteri untuk bekerja. Malah, kalau si suami itu mampu menanggung si isteri dan anak-anak pun, ada juga isteri yang hendak bekerja. Lebih-lebih lagi, "golongan pembela wanita" (kementerian wanita, pertubuhan wanita) kini yang benar-benar menuntut agar kepakaran wanita dimaksimumkan dalam dunia pekerjaan dan berasa amat-amat sayang dan rugilah andai golongan wanita ini berhenti kerja dek hanya kerana suaminya kaya atau ingin menjaga anak dan sebagainya.
  • Soalnya mampukah wanita memenuhi tanggung jawabnya sebagai isteri apabila mereka sendiri turut serta dalam dunia pekerjaan sebegini? Bagi yang dapat, tidak menjadi isu. Bagi yang tidak, bagaimana pula? Apabila kerja mendahului suami dengan alasan "bukan untuk orang lain, untuk keluarga kita juga" pastinya pada ketika itu suasana rumah tangga tidak lagi menjadi harmoni.
  • Ingin ditegaskan di sini bahawa bukan hanya isteri sahaja yang harus taat kepada suami. Malah suami juga harus memenuhi hak dan tanggung jawab kepada isteri. Oleh sebab itu, janganlah kita menuding jari kepada isteri atau suami atau 'kelab taat' apabila bangkit isu-isu sebegini.
  • Justeru, amat elok pihak yang berkaitan seperti Jabatan Agama, Kementerian Wanita berlapang dada dan mengambil kira keperluan masa kini dalam menangani isu-isu sebegini. Modul Pra Perkahwinan; adakah mengambil kira bakal suami isteri yang bekerja? Kalau wanita tidak perlu bekerja kerana suami sudah mencukupi nafkah untuk diberikan kepadanya, apakah perlu wanita bekerja?
  • Akhirnya tanyalah sebab perkahwinan itu mengapa? Cinta? Sayang? Sunnah Nabi? Agama? Keluarga? Maruah? Harta? Paras rupa? Zuriat? Pada ketika itu, terjawablah sebab apa itu dan ini!