Tuesday, December 13, 2011

Kalau betul, sila dedahkan

 

Kata-kata Tun Dr Mahathir berkenaan penguasaan Yahudi di US dan pengaruh mereka dalam melancarkan gerakan 'pendemokrasian kerajaan' di negara-negara yang tidak menyokong mereka merupakan satu kata-kata tipikal daripadanya. Bukanlah sesuatu yang rahsia Dr M merupakan seorang pejuang keamanan dan dalam banyak ucapannya dan tulisannya, sering mengaitkan keganasan dan peperangan dengan pengaruh Yahudi di US.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila beliau sendiri tidak dapat mendedahkan sebarang nama mereka yang terlibat dalam gerakan tersebut di Malaysia sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian (12/12/11, m.s. 2) walaupun beliau mengaitkannya dengan kerja NGO, Majlis Peguam dan pembangkang. Penulis tidak ada masalah untuk memahami mengapa beliau beranggapan demikian. Nama ketua pembangkang memang biasanya digunakan dalam hal-hal berkaitan dengan unsur Yahudi dan 'kawan rapatnya' Paul Wolfowitz. Bagaimanapun, permasalahan timbul apabila pihak Dr M dan penyokong citra tersebut kelihatan seolah-olah gagal untuk menjelaskan modus operandi kepada proses pengaruh keyahudian tersebut dengan bukti yang bersifat konkrit dan bukan sekadar 'circumtancial' sahaja.

Benarlah kawan kepada pembuat minyak wangi akan terkena tempias wanginya minyak yang dihasilkan dan yang bersahabat dengan tukang besi pasti akan terkena percikan api serpihan besi, namun perkara tersebut tidak pantas untuk mengatakan seseorang itu menganut ideologi kedua-dua kawannya itu. Kita pasti, sekiranga betul dan wujud dalil konkrit yang Anwar itu bersahabat baik dengan orang Yahudi, sudah semestinya ada puak-puak tertentu yang tetap akan membelanya. Sirah nabawi akan digunakan bagi merasionalkan mengapa beliau boleh berkawan dengan Yahudi. Dalil Al-Quran akan digunakan bagi membela hubungan Anwar Ibrahim dengan Yahudi ini. Hal-hal sebegini ialah sesuatu yang pasti. Alangkan Tuan Guru Sohibus Samahah Datuk Setia DiRaja Nik Aziz pun diakui tarafnya Nabi oleh seorang ustaz mengaku budak - pun dikatakan betul dan sohih, inikan pula sekadar Anwar Ibrahim berkawan dengan Yahudi! penakluk dunia!

Nampak sekali bahawa usaha dalam membuktikan sumber besar yang diterima oleh Anwar Ibrahim dan ''NGO-NGO' tertentu yang ingin menghuru-harakan Malaysia masih lagi di tahap yang cetek. Selagi bukti jelas dan nyata tidak mampu dikemukakan oleh golongan antikonspirasi Yahudi, selagi itulah juga konspirasi tersebut masih bersifat spekulatif. Hal yang sama juga yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim dalam merasionalkan betapa beliau merupakan seorang yang dizalimi sedari beliau memasuki dunia politik lagi. Kezaliman terhadap beliau akan terus dijadikan sebagai senjata yang ampuh untuk pihak pembangkang meraih sokongan daripada rakyat dan sekiranya mereka memenangi PRU, seluruh landskap politik, sejarah, ekonomi dan pendidikan boleh sahaja diubah bagi menyokong perjuangan mereka memerdekakan tanah air! Mereka boleh mengisytiharkan hari cuti baru iaitu kemerdekaan daripada kezaliman BN. Perkara sebegini boleh dilakukan!

Justeru, usaha 'mengantoikan' Anwar Ibrahim, Majlis Peguam dan NGO-NGO tertentu ini perlulah dilakukan dengan betul-betul cermat dan bersungguh-sungguh kerana andai tidak, berita itu sekadar menjadi satu spekulasi yang bermain di dalam nuansa politik; tetapi terlalu sedikit kesannya dalam melunturkan sokongan terhadap mereka. Jelasnya, kalau betullah mereka ini terlibat sebagai ejen US dalam menggulingkan kerajaan, bukti perlu dikemukakan. Dedahkan sumber kewangan. Dedahkan masa perjumpaan. Peranan media massa sangat penting dalam hal ini jadi, bersediakah media massa melakukannya?

Sebab medialah yang boleh mencanang sesuatu dalam perspektif buruk dan baik untuk ditayangkan kepada penonton dan menunjangi persepsi mereka. Umpama Channel NewsAsia yang begitu beria-ia menayangkan banjir kilat di Kajang, seolah-olah betapa teruknya keadaan di Malaysia ketika itu, sedangkan berminggu-minggu lamanya sebelum itu, kota Singa dilanda dengan banjir kilat juga, tenggelam juga premis-premis tertentu; langsung tidak dihebahkan dalam berita mereka (tetapi terkantoi jua dalam internet).

Media menanamkan persepsi penonton terhadap isu semasa; dan Dr M pun perlu sedar keperluan tersebut!

Friday, December 9, 2011

Apa yang beria Ph.D?

 

Terbitan kali ini hendak membincangkan himpunan dan ulasan berkenaan Ph.D; sekadar muntahan persepsi penulis setelah menghadapi sebuah kursus berkaitan kaedah penyelidikan. Ph.D (ejaan yang betul Ph titik, D) ialah ijazah tertinggi yang boleh diperoleh daripada sesebuah universiti. Walaubagaimanapun, hal ini hanya benar dalam dunia pembelajaran akademik seseorang kerana pihak universiti pun biasanya akan lebih meraikan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kerana jasa seseorang itu kepada negara; walaupun beliau tidak mendapat pendidikan rasmi sebagai Ph.D. Dalam beberapa buah negara, wujud juga ijazah yang lebih tinggi daripada Ph.D yang menggunakan huruf D dihadapannya (seperti DSc.) bagi kajian yang disifatkan sebagai sangat-sangat tinggi mutunya.

Dengan namanya sahaja, sudah semestinya orang akan mengaitkannya dengan ‘falsafah.’ Jujur penulis akui bahawa apabila kita mendengar perkataan Doktor Falsafah, sudah semestinya kefalsafahan itu akan bermain di minda kita. Kalau doktor biasa, merawat pesakit maka Doktor Falsafah, sudah tentu akan berfalsafah. Falsafah ialah berkaitan kebijaksanaan dalam keilmuan. Ahli falsafah pula dikaitkan sebagai penggemar hikmah. Malah, tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan istilah ‘sufi’ sendiri kerana ahli tasauf satu ketika dahulu cukup gemar membahaskan falsafah-falsafah berkaitan ketuhanan. Sehinggakan Imam Al-Ghazali menulis karya pentingnya iaitu Tahafut-Al-Falasifah – juga berkaitan berdebatan falsafah (kecelaruan falsafah).

Namun, dalam konteks akademik, lebih-lebih lagi dalam bidang sains, kajian atau penyelidikan yang dikemukakan bagi tujuan Ph.D tidaklah sehingga seseorang calon itu boleh memfalsafahkan sesuatu bidang. Seorang yang memiliki Ph.D dalam bidang sains perubatan misalnya belum tentu dapat berfalsafah mengenai sebab kewujudan sesuatu ubat atau penyakit. Yang biasa mereka kerjakan ialah hendak mencari sesuatu yang ‘baru’ dalam bidang perubatan. Falsafah mengenai perubatan belum tentu disentuh dalam penulisan disertasinya. Pemegang Ph.D dalam ekonomi juga belum tentu dapat membahaskan falsafah ekonomi dunia ini sehingga membawa kepada jatuh bangun sesebuah tamadun bangsa. Pendek katanya, walaupun dikaitkan dengan gelaran falsafah; Ph.D yang dikerjakan bukanlah untuk menyelesaikan masalah dunia!

Jadi, apakah sebenarnya yang dibuat oleh calon Ph.D atau apakah yang diperlukan untuk mendapatkan Ph.D itu sendiri?

Bolehlah dikatakan bahawa jangkaan kepada pemegang ijazah tinggi seperti Ph.D ini seharusnya direndahkan kembali sebagai seseorang yang telah mendapat sesuatu yang lebih tinggi berbanding sebelumnya. Dia bukannya ahli falsafah. Berpijaklah di bumi yang nyata. Belum tiba tahapnya untuk memfalsafahkan sesuatu. Belum lagi dia boleh dikatakan sebagai seorang penggemar hikmah. Malah, dalam banyak keadaan pun, bicara orang yang berPh.D kadang-kala tidak menggambarkan yang dia berilmu; apatah lagi hendak mengatakan dia penggemar hikmah!

Kita dapati bidang ilmu berkembang dengan pesat dan perkara inilah yang menjadi cabaran kepada keertian dalam hasil kajian Ph.D itu sendiri. Hasil kajian pada hari ini mungkin akan menjadi sejarah pada hari esok. Kepesatan ini bukan hanya disebabkan betapa ramainya orang yang berkepinginan untuk membuat Ph.D, malah ditambah pula dengan betapa mudahnya manusia mencapai maklumat bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan dalam sesuatu bidang. Malangnya, maklumat dan ilmu bukanlah segala-galanya dalam kajian seseorang apabila faktor material seperti kewangan dan peralatan/pekakasan/subjek bahan pun perlu diambil kira oleh seseorang pengkaji. Mereka yang gemar melaksanakan kajian in vivo (iaitu secara bahasa mudahnya, menggunakan makhluk contohnya tikus, mencit) misalnya mungkin akan menemui jalan yang sukar andai dilaksanakan di sesebuah negara yang begitu menyanjungi hak haiwan, sementara alatan canggih yang berjuta-juta mungkin menjadi hambatan kepada mereka yang memerlukannya.

Pada masa yang sama, pelajar yang mengaji Ph.D juga dikaitkan dengan cabaran dirinya sendiri untuk menyiapkan segala kerjanya. Pelajar tersebut akan menghadapi pengalaman dan kerenah yang berbeza-beza berbanding rakan-rakannya yang lain kerana tidak akan ada di kalangan mereka yang akan membuat tajuk yang sama! Pada ketika inilah perangai dan fiil manusia akan terpancar terang dan tertonjol kepada persekitarannya. Mana yang sebenarnya hasad akan tertampaklah hasadnya itu. Mana dikalangan mereka yang suka mengambil kesempatan, akan muncullah dengan jelas dan nyata perangai oppurtunisnya kepada kita. Hubungan penyelia-pelajar juga mungkin akan menjadi apa yang dikatakan sebagai pahit-manis. Lain orang lain perasaan dan kesannya. Apa yang penting ialah kemandirian seseorang itu dalam menghadapi sebarang cabaran daripada segenap pelusok arah sama ada berkaitan kajiannya ataupun pengaruh luar. Bak kata iklan Grey’s Anatomy – ‘change is literally the only constant!’ (perubahan ialah satu-satunya yang malar; dipercayai sebagai mempunyai unsur falsafah Heraclitus).

Secara rangkumanya, Ph.D ialah sekeping sijil dan tidak lebih daripada itu. Tiada orang boleh berbangga bahawa dia sudah mempunyai Ph.D kerana kini, begitu ramai juga yang mempunyai Ph.D. Lebih mencabar lagi, begitu ramai juga mereka yang kaya-raya namun ijazah am pun tidak lepas! Secara falsafahnya, Ph.D ialah satu langkah untuk membolehkan seseorang itu diiktiraf sebagai berkebolehan melaksanakan kajiannya sendiri. Namun, tidak semestinya dengannya sahajalah sesebuah kajian itu boleh dilaksanakan. Ambillah contoh Edison, cuba 2000 kali untuk mencari mentol lampu dan selepas itu, barulah beliau berjaya. Daripada satu segi, keraian dalam bidang keilmuan itu sendiri bukanlah sesuatu yang diperhebahkan apatah lagi dalam suasana masyarakat pada hari ini. Dengan tuntutan pengkomersialan, bidang penyelidikan kini bukan sahaja untuk memberikan sumbangan kepada keilmuan, malah merupakan satu cara untuk menjana pendapatan yang lumayan.

Sama ada perkara sebegini akan menyebabkan pencabulan kepada prinsip-prinsip sains yang unggul sebagaimana yang diteorikan oleh Merton, adalah menarik untuk sama-sama merenungkannya. Apa yang pasti, tidak dapat tidak, norma-norma Merton akan menghadapi cabaran yang sengit dalam mempertahankan dirinya sendiri!

Thursday, December 8, 2011

Ekonomi? Apa benda nak bincang tentang ekonomi?

 

Ruangan Rencana dalam Berita Harian (8/12/11) menarik perhatian penulis apabila mengemukakan permasalahan berkaitan perbahasan usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang lepas. Antara ulasan yang diberikan oleh pengarangnya, Anwar Patho Rohman ialah betapa 'rendahnya' mutu perbahasan berkaitan isu ekonomi dalam perhimpunan tersebut dan pembahas yang kebanyakannya hanyut dek aura hendak meletakkan CEO GLC daripada kalangan orang UMNO.

Pembahas seolah-olah sekadar menyanjung tinggi segala usaha Presiden mereka tanpa secara kritikal memberikan input yang berguna kepada persidangan yang disertai oleh mereka. Seolah-olah mereka sekadar memuntahkan kembali apa yang kerajaan sedang lakukan tanpa memberikan cadangan yang bernas dalam aspek penambahbaikan ataupun mencambahkan idea baru. Jarang yang diperkatakan berkaitan peranan UMNO dalam membangkitkan kuasa ekonomi orang Melayu secara menyeluruh terutamanya mereka yang berada di luar bandar, apatah lagi di bandar.

Sekali lagi, dikotomi bandar-luar bandar itu wujud kembali kerana secara dasarnya, keperluan kedua-dua sektor adalah cukup berbeza. Misalnya bagi kawasan luar bandar, kerajaan boleh 'pajakkan' tanah suruh orang bertani, berternak namun di bandar, jangankan hendak bercucuk tanam, menanam pokok hiasan pun kadang-kala tiada tempat lantaran tinggal di flat. Harga barang, makanan dan rumah yang kadang-kala tidak masuk akal menyebabkan kehidupan mereka berada dalam tekanan walaupun mungkin mempunyai gaji yang melebihi RM3000. Hal inilah yang jarang diperkatakan oleh UMNO dan orang UMNO.

Program usahawan juga kini tidak boleh hanya tertakluk kepada luar bandar sahaja. Kini, sudah tiba masanya kerajaan memberikan tumpuan khusus bagi pembangunan usahawan bandar juga. Kita perlu memahami bahawa apabila bercakap mengenai perniagaan, situasi di bandar dan luar bandar cukup berbeza. Mungkin imej dan persepsi seseorang tauke di kampung-kampung tidak menjadi permasalahan sangat; ada dikalangan mereka yang boleh berjaya tetapi kekal menggunakan Waja atau Pesona. Di bandar, lain pula ceritanya. Disebabkan kegiatan mereka jauh lebih kompleks, mereka memerlukan sesuatu yang lebih kerana mungkin terpaksa berurusan secara niaga-ke-niaga (B2B). Jadi, adakah pelanggan mahu menjalinkan kerjasama ataupun urusan perniagaan dengan si tauke hanya memakai MyVi atau ViVa? Imej dan persepsi memainkan peranan penting dalam hal ini walaupun bukan jaminan kejayaan sesuatu peniagaan.

Semua orang bercakap tentang harga perumahan yang telah meningkat tinggi dan usaha kerajaan bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Namun, pada masa yang sama, jarang orang memperkatakan projek perumahan yang mewah dengan harga yang tidak masuk akal; tetapi tetap dibeli oleh orang. Hal ini membuktikan bahawa marginisasi antara yang kaya dan yang miskin sebenarnya semakin meluas. Apabila perumahan yang menelan harga hampir jutaan ringgit seunit masih mempunyai ramai pembeli atau habis dijual, sudah semestinya perkara sedemikian membuktikan kewujudan orang kaya Malaysia yang mampu untuk membelinya. Namun, pada masa yang sama, begitu ramai juga rakyat Malaysia yang begitu sukar untuk memiliki rumah sendiri dan perkara sebegini memberikan gambaran betapa wujudnya juga permasalahan pemilikan rumah bagi mereka yang berpendapatan sederhana. Andai kita mengambil kira komposisi mereka yang pendapatan sederhana jauh lebih besar berbanding yang kaya, sudah tentu perkara ini amat merisaukan kerana jurang antara yang kaya dan yang sederhana sebenarnya bertambah. Tiba ke satu tahap, kewujudan golongan berpendapatan sederhana akan menjadi 'pupus' dek kerana ada yang mungkin mampu menghala ke kategori berpendapatan tinggi sedangkan begitu ramai yang tidak mampu akan jatuh semula ke kategori berpendapatan rendah.

Oleh yang demikian, isu miskin bandar sebeginilah yang seharusnya cuba diselesaikan oleh pihak kerajaan bertunjangkan UMNO kerana mereka yang mempunyai kuasa. Dan orang UMNO ataupun pihak daripada Pakatan perlulah sedar akan kewujudan masalah sebegini kerana tampak sangat akan kurangnya idealisme dan hala tuju bagi menyelesaikan permasalahan ini. Lebih-lebih lagi, dalam konteks ekonomi, perkara sebeginilah yang harusnya diutarakan dalam perbahasan seperti dalam Perhimpunan Agung UMNO kerana membabitkan kepentingan golongan bumiputera yang banyak tergolong dalam kategori sederhana. Sehingga kini, konsep kemiskinan bandar masih lagi dibiarkan dalam keadaan samar sedangkan kewujudnya tidak boleh dinafikan. Sebagai parti yang menunjangi perjuangan orang Melayu, isu ini tidak boleh dipandang sepi kerana kelak akan menjadi duri dalam daging sokongan terhadap UMNO sendiri.

Sebab kepada permasalah ini mungkin berpunca kepada sumber atau maklumat terhadap ekonomi itu sendiri. Sebagaimana yang pernah penulis pernah utarakan, sumber berkaitan ekonomi yang dalam Bahasa Melayu sendiri sangatlah kurang sedangkan yang hendak membincangkannya ialah 'orang UMNO.' Sedangkan minat orang awam tentang ekonomi juga bukanlah berada pada tahap yang baik. Melihat kepada akhbar Bahasa Melayu tempatan sahaja kita boleh nampak betapa sedikitnya ruang yang diberikan kepada sektor ekonomi berbanding yang lain. Malah, cerita artis pun boleh mendapat satu sisipan khas pada hari minggu; tidak termasuk sisipan mini harian tentang mereka. Cerita wartawan hiburan tak dapat jemputan kahwin lebih diraikan berbanding kisah betapa ramainya rakyat Malaysia yang muflis angkara kad kredit. Kesemua itu menunjukkan tahap minda masyarakat Melayu yang tampak masih kurang peka terhadap isu ekonomi.

Hendak salahkan pihak akhbar pun tidak boleh juga kerana mereka pun hendak buat untung. Mengapa hendak sediakan ruang yang banyak kepada isu yang jarang dibaca? Justeru, melainkan anjakan paradigma berlaku dalam keseluruhan masyarakat Melayu, kita pun sebenarnya boleh ramalkan, apakah intipati usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang - puji Perdana Menteri, salahkan pula GLC!

Tuesday, December 6, 2011

Tak boleh selesaikan? Apa susah, salahkan jela yang terdahulu!

 

Berita Harian hari ini (6/12/11) mendedahkan satu berita yang amat penulis takuti akan berlaku kelak dengan tajuk 'Guan Eng salahkan BN isu parkir Bukit Bendera.' Bukanlah kerana Guan Eng merupakan seorang pemimpin DAP, malah kalaulah 'Khalifah Agung Umar Abdul Aziz' Lim seorang pemimpin BN pun akan penulis bangkitkan perkara yang sama. Menyalahkan yang sebelum ini akan segala perkara yang tidak dapat mereka selesaikan sedangkan ketika pilihan raya, mereka mendakwa merekalah jaguh dalam segala hal dan jauh lebih baik daripada parti yang satu lagi.

Soalnya, mengapakah salahkan orang lain atas ketidakupayaan diri sendiri? Kelakuan menyalahkan orang lain itu menampakkan betapa mudahnya mereka memberi alasan ke atas ketidakupayaan mereka tatkala mereka memerintah. Misalnya kalau negara mengalami kerugian, apa susah? Salahkan sahaja BN kerana kegagalan tersebut sebelum ini. BN korup. BN tidak cekap. Jadi, kalau negara ini bankrup pun, senang sahaja alasannya. Sebab sebelum ini, BN punya kerja!

Trend sebegini dapat dilihat dalam segala ketakupayaan pemimpin menyelesaikan masalah mereka sedangkan semasa pilihan raya, ungkapan seperti 'percaya kepada perubahan' atau 'bertindak sekarang' memberikan persepsi betapa mereka kononnya lebih baik daripada yang satu lagi. Namun, apabila sudah memegang tampuk, lain pula ucapannya.

Ambil contoh, Obama. Sebelum dipilih menjadi Presiden US, begitu berkarisma sekali beliau ini menyampaikan, berhujah, berdebat untuk 'mengubah dunia.' Polisi akan diperbaharui. Ekonomi akan direformasikan kepada yang lebih baik. Askar US di Iraq akan kembali sebaik memegang jawatan. Begitulah hebatnya beliau berkempen dan hasilnya, beliau menang bergaya. Dua tahun selepas itu; US perlu tingkatkan lagi siling hutangnya. Askar US barulah hendak pulang ke tanah air walaupun dipujuk rayu oleh pemerintah Iraq sendiri supaya tinggal lebih lama kerana masih huru hara. Pengangguran meningkat. Dan akhirnya, terkeluar juga daripada mulutnya betapa beliau mewarisi keadaan yang begitu teruk sedangkan satu ketika dahulu, beliaulah 'permata negara.' Ucapan retoriknya kini sudah semakin kurang kedengaran dan mungkin hanya akan muncul ketika mempertahankan jawatannya sahaja. Secara asasnya, berdasarkan pengaruh di Kongres, beliau sudah ketinggalan berbanding sesiapa sahaja yang bakal ditandinginya daripada Republikan kerana pengaruh mereka melebihi beliau.

Oleh yang demikian, kejayaan beliau memenangi jawatan Presiden kini sudah semakin dilupakan dek tanggungan dan kebertanggungjawaban beliau yang masih tidak selesai. Populariti beliau semakin terancam apabila sudah ada yang mula mempertikaikan janji manis yang tidak tertunai lagi. Sudah semestinya beliau terpaksa bekerja berganda dengan keadaan sedia ada bagi mengekalkan jawatannya untuk sepenggal lagi.

Keadaan sebegini perlu diinsafi oleh pihak di Malaysia sama ada pihak kerajaan apatah lagi pihak pembangkang. Kalau kita sudah sampai menyalahkan orang lain setelah bertahun-tahun memerintah, dan banyak keputusan eksekutif telah dibuat oleh kita sendiri, adakah kita hendak salahkan orang lain atas kegagalan kita. Kalau tak mahu teruskan, pancung awal-awal. Tetapi kalau sudah janji muluk tetapi tidak dapat diselesaikan, salah orang lain juga, bagaimana hendak dikatakan pemimpin berkesan dan cekap?

Alangkah mudahnya kita menjadi pemimpin yang diamanahkan oleh masyarakat kalau begitulah caranya! Kerja tak setel, seterulah sebabnya! Pak Man jual buah pun boleh jadi pemimpin negara!

Sunday, December 4, 2011

Perbankan Islam: Alatan, pengkelasan dan pendekatan kefahaman

 

Pendahuluan

Bank Islam dan perbankan Islam merupakan sebuah sistem yang dihidupkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan yang berteraskan prinsip-prinsip syariah dan menjauhi sebarang unsur riba dan ketaktentuan. Sistem sebegini mendapat perhatian yang amat menggalakan daripada pelanggan-pelanggan perbankan dalam mencari alternatif kepada perbankan konvensional yang sudah bertapak secara bersistematik dalam tempoh yang agak lama. Bagaimanapun, dengan atribut 'Islam' itu sendiri pada namanya menjadikan persepsi yang tinggi daripada masyarakat terhadap bank Islam dan perbankan Islam.

Nama 'Islam' seolah-olah menggambarkan betapa jernih, tulus dan ikhlasnya sesuatu transaksi perkhidmatan tersebut sehingga dikaitkan dengan perlunya kadar yang dikenakan lebih 'murah' dan tidak berlaku sebarang 'kezaliman.' Oleh yang demikian, apabila pelanggan membandingkan secara zahir akan kadar yang ditawarkan oleh bank Islam dan perbankan Islam lebih tinggi daripada yang konvensional sudah tentulah mereka merasakan yang bank Islam dan perbankan Islam 'tak cukup Islam,' sama sahaja dengan perbankan konvensional ataupun lebih mahal daripada perbankan konvensional.

Oleh sebab itu dalam konteks Malaysia, kita dapat perhatikan beberapa tokoh ilmuan yang cuba memberikan penjelasan mengapakah penyimpangan imej bank Islam dan perbankan Islam ini timbul dengan mengemukakan hujah-hujah yang bernas bagi merasionalkan kesejadian (nature) bank Islam dan perbankan Islam. Terbitan-terbitan makalah di majalah, blog juga buku menjelaskan secara terperinci mengenai sistem perbankan Islam agar pembaca dapat memahami apakah sebenar-benarnya perbankan Islam.

Tulisan kali ini turut berhasrat untuk mengambil langkah yang sama melalui sudut pandangan yang berbeza iaitu cuma mengkategorikan jenis-jenis alatan perbankan Islam kepada kesejadiannya yang berbeza-beza. Hal ini demikian bagi membolehkan kita lebih memahami asas kepada perbankan Islam yang mempunyai pendekatan yang sama tetapi perlaksanaan dan alatan yang berbeza. Dengan itu, barulah kita boleh memahami mengapakah perbankan Islam boleh melakukan atau menyediakan harga-harga yang kelihatan 'tidak Islam' atau lebih mahal berbanding sistem perbankan konvensional. Bagi mencapai maksud tersebut, adalah penting juga kita mengetahui sedikit sebanyak produk-produk perbankan Islam yang ditawarkan di dalam pasaran sedia ada.

Produk-produk perbankan Islam.

Produk-produk perbankan Islam ialah alatan (instruments) yang digunakan bagi membolehkan urusan dilaksanakan antara pelanggan dan penyedia perkhidmatan. Produk-produk ini jugalah yang menyediakan kontrak-kontrak (akad) berbeza bagi tujuan berbeza mengikut 'kesesuaian' sesebuah urus niaga. Lazimnya, produk-produk ini didasari oleh kaedah-kaedah fiqh muamalat yang telah disusun oleh ulama-ulama muktabar berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Akan tetapi, untuk tujuan terbitan ini, penulis menyenaraikan secara ringkas dan padat produk-produk popular yang wujud di pasaran perbankan Islam untuk membolehkan kita mengaitkannya dengan pengkelasan yang akan dibuat kelak.

Al-Ba‘i (selepas ini ditulis sebagai Al-Bai)

Secara literalnya bermaksud jual. Namun, biasanya digunakan untuk mengistilahkan 'jual-beli'[1] iaitu akad yang membolehkan pertukaran barangan oleh yang menjual dan yang membeli. yang dipersetujui nilai tukarannya melainkan dengan barang yang sama. Namun, perantara atau pertukaran yang biasanya difahami ialah antara barang/perkhidmatan dengan wang. Peranan wang suatu ketika dahulu sebagai 'perantara' kini telah bertukar menjadi objek. Antara produk al-Bai yang terkenal ialah:

  1. Murabahah iaitu jual-beli dengan tambahan keuntungan yang dicaj kepada pembeli berbanding kos keseluruhan sebenar dan tambahan tersebut diisytiharkan dalam akad tersebut. Alatan sebegini biasanya digunakan dalam pembiayaan perbankan dengan konsep bank membeli terlebih dahulu sesuatu aset ataupun produk lalu dijualkan kepada pengguna dengan harga yang ditambah dengan kos perkhidmatan dan keuntungan yang telah ditetapkan. Andai dilihat daripada satu sudut, alatan murabahah merupakan alatan yang paling telus kerana harga sebenar, kos perkhidmatan dan kadar keuntungan yang tetap telah termaktub di dalam perjanjian (akad/kontrak) jual beli. Bagaimanapun, keadaan yang ‘ideal’ untuk urus niaga ini ialah selesai dalam satu majlis yang sama. Perubahan kepada tata cara kontrak yang membawa kepada kaedah pembayaran ansuran yang dikenali sebagai pembayaran tangguh ialah Al-Bai bitaman ajil.
  2. Al-Bai bithaman ajil iaitu jualan sesuatu aset dengan pembayaran yang dibuat ialah dengan cara ansuran. Kontrak ini ialah bagi membolehkan klausa berkenaan masa dan tempat bagi majlis akad seperti yang termaktub dalam konsep murabahah menjadi sesuatu yang ‘ditangguh.’ Dalam bahasa mudah, pembayaran secara kredit. Contoh kepada pembiayaan sebegini ialah perumahan, kenderaan dan pendidikan. Secara amnya, kontrak pembelian secara ini masih menimbulkan pertikaian terutamanya bagi keterwujudannya yang disifatkan sebagai terlalu menyamai sistem konvensional.
  3. As-Salam iaitu jualan secara pesanan dengan bayaran didahulukan. Pada asasnya jualan sepatutnya pada satu jangka masa yang sama (i.e. majlis yang sama) dengan penerimaan produk dan pembayaran. Namun, jual-beli salam membenarkan barang tersebut diserahkan lewat. Biasanya kaedah ini digunakan bagi membolehkan tempahan seperti pakaian dan produk yang dibuat mengikut kekendak pelanggan (custom made).

Al-Ijarah Thumma Bai

Permasalahan Al-Bai bithaman ajil menjurus kepada keabsahan pihak bank menarik balik aset atau produk yang telah dijual seandainya si pembeli tidak membayar ansuran bulanan.[2] Juga berlaku permasalahan apabila kaedah ini menyebabkan seolah-olah pembeli membeli daripada penjual aset/produk, kemudian menjual kepada bank, akhirnya bank menjual semula kepada pembeli yang menyamai konsep Al-Inah yang diharamkan oleh majoriti ulama. Justeru, konsep sewa dahulu berakhir dengan pembelian dikatakan sebagai konsep yang lebih tepat kerana bayaran ansuran tersebut dikira sebagai bayaran ‘sewaan.’ Bagaimanapun, masih wujud pertikaian kerana seolah-olah wujud dua akad dalam satu kontrak sedangkan menurut pandangan fiqh klasik, tidak wujud dua transaksi dalam satu akad yang sama. Juga terdapat persoalan status kepada kebertanggungjawaban dan hak kerana terdapat keadaan berat sebelah yang memihak kepada bank seperti pembayaran cukai dan pampasan insuran/takaful.[3]

Mudharabah

Diterjemahkan secara bebas sebagai perkongsian (terutamanya dalam silibus sekolah menengah dan perniagaan asas di universiti!) namun hakikat sebenarnya ialah pelaburan.[4] Hal ini demikian mudharabah bukannya perkongsian kerja sebaliknya lebih bersifat pelaburan daripada pihak penanam modal dengan pelaksana peniagaan dengan keuntungan dibahagikan dengan kadar yang disepakati. Pihak bank Islam biasanya menggunakan konsep ini dengan menjadikannya sebagai ‘skim simpanan’ pelanggan dengan kadar keuntungan yang menarik. Namun, perlu diingat bahawa disebabkan kontrak ini merupakan kontrak pelaburan, seandainya berlaku kerugian dalam pelaburan yang dilaksanakan oleh bank sehinggakan tidak balik modal, secara fundamentalnya, bank tidak boleh disabitkan dengan sebarang tanggungan. Hal ini demikian kerana konsep mudharabah meletakkan tanggungan kerugian itu kepada penanam modal[5] dan pelaksana peniagaan telah pun ‘rugi’ kerana tidak dapat membuat ‘keuntungan.’ Dalam bahasa mudah, bank tidak boleh dipersalahkan seandainya berlaku kerugian yang membawa kepada kehilangan modal.

Musyarakah

Diterjemahkan secara bebas sebagai syarikat. Konsep ini merupakan konsep yang sangat luas dan tidak semata-mata menjurus kepada syarikat dalam erti kata 'syarikat perniagaan.' Misalnya satu konsep baharu yang bertujuan menggantikan bai bitaman ajil iaitu musyarakah mutanaqisah iaitu perkongsian pemilikan yang berakhir dengan pemilikan sebelah pihak (secara meningkat). Cara yang digunakan ialah melalui 'suntikan modal' terhadap baki bayaran yang perlu dibuat oleh pembeli dan kemudian, membuat dua kontrak iaitu sewaan (bayaran bulanan yang perlu dibuat oleh pembeli) dan jualan milikan aset/produk tersebut secara beransur kepada pembeli. Dalam erti kata mudah, 'sewaan' tadi seolah-olah berubah kepada pembelian menjelang masa yang telah ditetapkan.

Wadi'ah (dibaca wa-di-'ah)

Pada asalnya lebih menjurus kepada konsep simpanan barang dan kini digunakan dengan meluas untuk simpanan wang dalam bank. Seseorang itu menyimpan wang di dalam bank dengan pihak bank diberikan tanggungjawab sepenuhnya bagi menguruskannya dan mengizinkan pihak bank untuk menggunakan wang simpanan tersebut bagi menjana keuntungan bank dan pihak banklah yang paling berhak terhadap keuntungan tersebut (tetapi bank boleh berkongsi keuntungan tersebut dengan pihak pelanggan). Dalam maksud skim simpanan, kaedah wadi‘ah merupakan kaedah paling selamat kerana secara konseptualnya, apa yang disimpan itulah apa yang sepatutnya diterima semula sekiranya pelanggan mahu membuat pengeluaran. Namun, masih tidak diketahui sama ada prinsip sedemikian terpakai dalam mekanisme simpanan di bank Islam dan perbankan Islam di sini kerana seandainya simpanan tersebut besar (ratusan ribu atau jutaan ringgit misalnya), dan digunakan oleh pihak bank untuk perniagaan mereka, namun sekiranya bank menjadi bankrap angkara peniagaan tersebut, adakah simpanan tadi boleh terpelihara setidak-tidaknya pada jumlah asalnya?

Ar-Rahn

Ar-Rahn merupakan gadaian secara Islam iaitu produk atau harta yang digadai bagi mendapatkan pembiayaan. Macam iklan dalam televisyen, 'dapat pinjaman sehingga 60 peratus harga barang!' Dari beberapa sudut, gadaian merupakan sesuatu yang lebih jelas dan selamat untuk kedua-dua pembiaya dan yang dibiaya kerana setidak-tidaknya sudah ada sesuatu yang dicagarkan untuk memperoleh wang.

Takaful

Alatan ini dikatakan sebagar insuran secara Islam bagi menggantikan 'harga nyawa' yang 'dicagarkan/diperjudikan' oleh insuran konvensional. Konsepnya sebenarnya mudah iaitu saling-membantu antara satu sama lain dengan tabungan wang yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan. Namun, timbul persoalan apabila wujud pandangan tertentu yang mengatakan bahawa adalah silap untuk mengatakan sistem konvensional mengaplikasikan unsur perjudian kerana pada asasnya, insuran yang mereka wujudkan bukanlah untuk 'memperjudikan' aset atau nyawa seseorang! Oleh yang demikian, golongan sebegini mengkritik pihak yang menganjurkan konsep takaful dengan menyandarkan hujah bahawa sistem insuran konvensional sebagai sebagai sistem yang mempunyai unsur perjudian.

Demikianlah beberapa alatan kewangan Islam yang diaplikasikan oleh sistem perbankan Islam. Setiap alatan yang diwujudkan mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing namun keterwujudannya sedikit sebanyak memberikan pilihan kepada pelanggan untuk melangkaui urus niaga yang mempunyai pengaruh riba. Suka diingatkan masih terdapat banyak lagi alatan-alatan perbankan Islam yang digunakan di pasaran namun cukuplah sekadar menyebut di sini beberapa jenis yang popular untuk tujuan bandingan.

 

Pengkelasan alatan kewangan Islam

Disebabkan alatan-alatan kewangan Islam ini merupakan derivatif daripada konsep fiqh muamalat yang muktabar, pembahagian asalnya lebih merujuk kepada ketersediaan kontrak terbabit. Salah satu cara ialah dengan membahagikannya kepada dua jenis iaitu kontrak pertukaran berbalas pemilikan harta dan kontrak partisipasi. Pengkelasan ini menjadi asas kepada penulisan Zaharuddin Abd. Rahman dalam bukunya Panduan Perbankan Islam[6]. Alatan yang dimasukkan dalam kontrak pertukaran berbalas pemilikan harta ialah seperti murabahah, bai bitaman ajil, bai as-salam dan ijarah. Sementara kontrak pratisipasi ialah mudharabah dan musyarakah. Dapatlah dilihat di sini pembahagian sebegini menjurus kepada kontrak yang berunsur 'jual-beli' dan yang berunsur 'usaha sama dan modal'. Cara begini lebih menampakkan bahawa terdapat alatan yang menjurus kepada bank sebagai penjual dan bank sebagai rakan kongsi perniagaan.

Cara kedua ialah yang dikemukakan oleh ElGindi et. al yang secara mudah membahagikan alatan-alatan tersebut kepada dua kumpulan iaitu yang berasaskan perkongsian keuntungan/kerugian dan yang tidak berasaskan perkongsian keuntungan/kerugian.[7] Alatan yang termasuk dalam kategori perkongsian tersebut ialah mudharabah dan musyarakah sementara yang tidak bersifat demikian ialah seperti Al-Bai, Ijarah dan Qard Hassan. Walaupun kelihatan seperti sama dengan usul pengkelasan yang dikemukakan oleh Zaharuddin, pengelasan ini lebih bersifat liberal apabila sebarang transaksi yang tidak berasaskan kepada perkongsian boleh dimasukkan ke dalam kategori bukan-perkongsian tadi. Dan nyata sekali, berasaskan kepada fahaman fiqh klasik, hanya dua alatan sahaja yang boleh diletakkan sebagai 'perkongsian' iaitu mudharabah dan musyarakah.

 

Rangka kerja pemahaman perbankan Islam

Apabila kita memperkatakan bank Islam dan perbankan Islam, lantas yang bermain difikiran kita ialah 'bank Islam' bersaing dengan 'bank konvensional' atau seolah-olah bagaimanakah sebuah sistem yang diterima pakai secara turun temurun itu hendak 'diIslamkan.' Hal sebegini menjadi cabaran kepada umat Islam kerana ketiadaan idea asli dan ampuh bagi membentuk acuan sistem perbankan Islam. Soalnya, adakah bank Islam perlu menyediakan keserupaan yang sama dengan sistem konvensional namun sekadar menjadikannya sebagai 'cara Islam?'

Untuk itu, kita kembali semula kepada konsep wang sebagai perantara dan bukannya objek kepada sesebuah transaksi, justeru menjadikan sebahagian besar daripada alatan perbankan Islam itu sendiri sebagai kontrak 'bukan-duit,' seterusnya menjadikan bank Islam itu sebagai sebahagian daripada 'syarikat jualan.' Hal ini bermaksud, kontrak-kontrak seperti pembiayaan perumahan dan kenderaan bukanlah dalam maksud 'biaya' itu sendiri malah sebenarnya lebih kepada jual-sewa-beli. Perkara ini sudah tentu boleh dikaitkan dengan pengkelasan yang telah dicadangkan sebentar tadi apabila wujudnya kontrak yang berbentuk pelaburan dan satu lagi kontrak yang berakhir dengan pemilikan oleh pelanggan.  Paradigma sebeginilah yang perlu diperkasakan oleh pihak yang berkepentingan dan pemasar perbankan Islam kerana dalam kebanyakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank dan perbankan Islam, pelanggan sebenarnya membeli/menyewa sesuatu aset/produk daripada bank dan akhirnya setelah bayaran penuh, maka harta terbabit akan menjadi milik pelanggan.

Cabaran utama bagi kaedah kefahaman sebegini ialah apabila melibatkan pembelian jangka sederhana seperti kereta kerana terdapat kecenderungan pelanggan yang membeli kereta hanya untuk digunakan sekitar tiga atau empat tahun dan kemudian ingin menjualnya kembali. Maka, ada wajarnya pendekatan yang lebih segar dan boleh diamalkan dirangka oleh ilmuan dan pemain industri supaya dapat menyelesaikan permasalahan yang berbangkit melalui transaksi sebegini.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, penjelasan yang bersistematik dan lebih tepat harus digunakan oleh pihak pemasar perkhidmatan perbankan Islam bagi memudahkan pemahaman orang awam mengenainya dan agar dapat memberikan maklumat yang tepat kepada pengguna. Hal ini akan dapat membolehkan pengguna/pelanggan untuk memahami perbezaan yang amat ketara antara sistem perbankan Islam dengan perbankan konvensional sekali gus dapat menjana satu kefahaman yang lebih jelas dan tepat mengenai perbankan Islam dan bukanlah semata-mata 'mengIslamkan' apa yang telah wujud dalam sistem konvensional.

Usaha pihak kerajaan seperti hal-hal berkaitan peraturan dan undang-undang pun perlu diambil perhatian kerana adalah sesuatu yang janggal seandainya masalah berbangkit di dalam kapasiti syariah dibicarakan di dalam kamar mahkamah sivil sedangkan peruntukan berkaitan muamalah jelas sekali menjurus kepada bidang kuasa syariah. Pada masa yang sama, peraturan tentang hak pemilikan juga perlulah diselesaikan kerana bagaimanakah kita merasionalkan sesebuah aset/produk itu adalah milik seseorang sedangkan manfaatnya milik orang lain?[8]

Satu lagi perkara penting yang begitu sukar untuk diselesaikan ialah apabila jual-beli itu membabitkan sesuatu yang masih belum siap seperti projek perumahan yang masih sedang berjalan. Amalan perumahan baru di Malaysia menyebabkan timbul isu pembelian sesuatu yang masih belum pasti kerana rumah yang dibeli sebenarnya masih belum siap. Sedangkan pelanggan telah mengikat kontrak dengan pihak bank dan wang yang diperlukan oleh pemaju sudah pun diselesaikan. Malangnya, pemaju yang gagal menyelesaikan pembinaan rumah tersebut kini boleh ‘lari’ daripada tanggung jawab kerana urusan dengannya telah dikira ‘selesai.’ Bayar bank bulan-bulan lain cerita! Usaha untuk menjadikan kegagalan pemaju menyiapkan rumah sebagaimana masa yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi yang dijanjikan sebagai satu jenayah merupakan langkah pertama bagi mengatasi masalah tersebut. Akan tetapi, langkah sebegini masih belum tentu dapat menyelesaikan keakuran syariah yang menuntut kepada produk/perkhidmatan/aset yang dijadikan untuk jual beli mestilah dapat dipastikan kewujudannya.[9]

Justeru, isu sebegini memerlukan usaha seluruh pihak yang berkaitan dan berkepentingan (stakeholders) untuk memperkasakan sebuah sistem yang benar-benar malar segar dan releven dengan perkembangan masa. Janganlah kiranya slogan 'Islam itu lengkap' sekadar bertanam tebu di pinggir bibir sahaja kerana kita masih lagi hendak memadankan sesuatu sistem yang mempunyai asas yang cukup berbeza. Usaha ini memerlukan iltizam yang tinggi dan semoga pemain industri dan pihak yang terbabit benar-benar berusaha bagi mewujudkan sebuah sistem perbankan yang sempurna dan setidak-tidaknya boleh diterima di serata dunia.

Nota hujung


[1] As-Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah Jilid 6 terj. Nor Hasanuddin dan Aisyah Saipuddin (Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications, 2010), 34 dan Mustofa Al-Khin, et al. Kitab Fikah Mazhab Syafie Jilid 6 terj. Salehan Ayub (Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 2005), 1285.

[2] Lihat Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Transformasi Fikah Semasa (Batu Caves: PTS Islamika, 2010), 191-192.

[3] Lihat Zaharuddin Abd. Rahman, Panduan Perbankan Islam (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2009), 75-76.

[4] Walaupun tidak dinafikan sama sekali bahawa wujud unsur perkongsian keuntungan dalam hal mudharabah ini. Namun, yang menjadikannya kurang tepat ialah apabila konsep mudharabah ini dibandingkan pula dengan konsep perkongsian perniagaan sebagai salah sebuah cara untuk menjalankan perniagaan (i.e. perniagaan sendiri, perkongsian, syarikat sendirian berhad, syarikat berhad) kerana seandainya pemegang saham beratus orang sekali pun, tetapi urusan dilakukan dengan berasaskan sebelah pihak menyediakan modal dan sebelah pihak lagi menggunakan modal untuk menjana keuntungan secara asasnya tetap dinamakan sebagai mudharabah.

[5] Lihat Syed Mohd Ghazali Wafa et al., Pengantar Perniagaan Islam (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia, 2003), 160.

[6] Bagaimanapun, dalam naskah tersebut beliau ada menjelaskan mengenai pembahagian jenis-jenis kontrak menurut perspektif Islam secara rajah ringkas dan padat. Lihat Zaharuddin, Panduan Perbankan Islam,10 & 17.

[7] ElGindi, T., Said, M. dan Salevurakis, J. W. ‘Islamic alternatives to purely capitalist modes of finance: A study of Malaysian Banks from 1999 to 2006,’ Review of Radical Political Economics vol 41. no. 4 (2009): 516-538. Naskah ini secara radikal telah membandingkan kaedah muamalah dalam Islam dengan sumber sejarah Kristian yang dikatakan sebagai mempunyai banyak persamaan.

[8] Perkara ini acap kali ditimbulkan oleh Zaharuddin Abd Rahman misalnya ketika membincangkan bai bithaman ajil apabila berlaku pertembungan kepentingan antara pemilik secara perundangan (legal ownership) dan pemilik manfaat (beneficial ownership). Lihat contohnya Zaharuddin, Panduan Perbankan Islam, 38-40.

[9] Perkara ini boleh dikaitkan dengan jualan susu yang belum diperah, atau bulu haiwan yang masih belum diketam atau buah-buahan yang masih belum masak. Lihat Mustofa Al-Khin et al., Kitab Fikah Mazhab Syafie, 1325-1329. Juga melanggari syarat mampu untuk diserahkan seperti menjual ikan dalam sungai, menjual burung yang sedang terbang. Lihat Sayyed Sabiq, Fiqh Sunnah, 48-49.

Saturday, December 3, 2011

Calon boleh menang atau masa boleh menang: Antara strategi politik dan politik strategi

 

Telanjur orang tengah bercerita tentang Perhimpunan Agung UMNO pada sela masa begini, elok juga kita ulaskan pandangan orang luar yang 'tidak partisan' terhadap canangan UMNO untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat ini. Walaupun UMNO perlu sedia maklum sebarang kelebihan dan risiko yang mereka mesti tanggung, nampak gayanya PRU 13 sudah semakin dekat dengan paluan gendang perjuangan memenanginya dan isu calon yang kini semakin kerap diwar-warkan sebermula daripada ungkapan Presiden mereka, PM Najib.

Kata Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, calon boleh menang boleh dirisik daripada kualiti salah seorang YB, ketika 2004 menang tanpa bertanding, 2008 pun menang tanpa bertanding walaupun PRU ketika itu dikatakan sebagai tsunami politik tanah air. Kalau calon boleh menanglah yang menjadi pemberat terbesar dalam meramal keputusan PRU akan datang, maka sememangnya UMNO perlu bermuhasabah sama ada wujudkah kualiti tertentu yang menyebabkan ahli parlimen tersebut boleh memenanginya dengan begitu mudah! Sudah tentu ada sesuatu yang menarik pada calon tersebut sampaikan beliau boleh menang di tempat yang sama dalam keadaan dua situasi yang jauh kontra; malah menang tanpa bertanding pulak tu!

Kemudian, beliau menyebutkan betapa UMNO sebenarnya masih tidak dapat memenangi hati dan perasaan orang bandar kerana pelbagai usaha yang dibuat hanya nampak berkesan bagi kawasan luar bandar. UMNO sebenarnya tenggelam di kawasan yang sudah membangun pesat dan hal yang demikian bukan sahaja benar untuk UMNO, malah komponen BN turut terpalit dogma yang sama. Penulis telah mengutarakan pendapat yang sama sebelum ini apabila kita lihat PRU 2008, hampir kesemua bandar-bandar besar yang bertaraf ibu negeri pun tumbang kepada Pakatan Rakyat! Sedangkan, daerah bandar inilah tempat di mana kerajaan buat duit sementara di kawasan luar bandar, kerajaan kena keluarkan duit. Justeru, usaha pengampuan sosioekonomi penduduk bandar nampaknya masih belum mencukupi, kalaupun ada; menjelang PRU akan datang kerana kesempitan rakyat yang terpaksa tanggung lantaran kenaikan harga barang yang berterusan.

Bebeza dengan seorang panelis dalam program Bicara Rakyat Sayed Munawar Mustar semalam (Jumaat 2/12/11). Penulis tidak dapat tangkap namanya namun pelat cinanya pekat. Jarang diberikan peluang bercakap namun ideanya barulah boleh dikatakan sebagai 'di luar lingkungan.' Beliau mengaitkan ekonomi sebagai salah satu pembolehubah untuk meramal kemenangan kerana menurut beliau, seandainya kerajaan mampu mewujudkan keadaan ekonomi yang baik, tiada sebab untuk pengundi memilih pembangkang. Beliau turut berhujah bukan masalah orang muda tidak menyokong kerajaan, masalahnya orang muda sendiri tidak pergi mengundi; macam mana hendak sokong parti apa sekali pun? (sambil mengaitkan trend begini ialah sesuatu yang biasa di mana-mana negara pun). Dan satu lagi faktor yang agak kontra dengan momokan yang dibawa oleh UMNO/BN pada pra-PRU ini ialah 'masa boleh menang' yang sebenarnya kurang (atau tiada langsung) dibincangkan oleh parti sendiri. Calon hebat mana pun, kalau masanya tidak tepat, tetap orang akan tidak menyokong mereka. Sedangkan pembangkang, letak posman dan perakam video pun boleh menang! Nampak sekali keputusan PRU 2008 sebenarnya manifestasi saat dan ketika orang tidak sukakan kerajaan pemerintah dan bukannya siapa calon yang diletak oleh kerajaan pada ketika itu. Oleh sebab itu, masa untuk PRU 13 sebenarnya juga merupakan satu lagi pembolehubah yang sangat penting bagi menentukan kemenangan parti yang bertanding.

Justeru, seandainya idea kedua-dua tokoh akademik ini digabungkan bersama, maka pihak kerajaan jualah yang mempunyai kelebihan (secara literalnya) kerana mereka mempunyai calon yang jauh lebih kaliber berbanding lawan mereka dan juga mempunyai kelebihan untuk membuat pembubaran parlimen ketika mereka rasakan mereka boleh menang. Oleh sebab itu, apakah yang sebenarnya ditakutkan oleh UMNO/BN? Adakah dakyah pembangkang dalam media maya lebih hebat berbanding kerja-kerja yang mereka telah laksanakan? Sebab melainkan beberapa buah negeri, BN menguasai majoriti negeri dan peringkat parlimen, justeru mereka mempunyai kelebihan tentang 'masa boleh menang.' Dan usaha berbuih mulut daripada pihak kerajaan pun memberikan kelebihan kepada mereka seandainya mereka berjaya mempromosikan dan menjayakan program-program berorientasikan rakyat untuk menarik sokongan mereka. Dana boleh disediakan oleh pihak BN juga sepatutnya jauh lebih besar berbanding pembangkang. Calon yang mereka kemukakan sedari dahulu pun bukannya tangkap muat sahaja dan kini ditambah pula boleh menang. Jadi, andai berlaku PRU berlaku dan kekalahan jua diterima oleh BN, apa sebenarnya yang mereka tidak ambil kira?

Barangkali mereka yang berkepentingan perlu melihat daripada sudut PRU sebagai satu temuduga untuk mendapatkan kerja. Calon-calon PRU sebenarnya ialah calon untuk mendapatkan kerja dan mereka diberikan masa yang tertentu untuk berkempen mempromosikan diri mereka dan dibantu oleh parti mereka. Canangan calon dan partinya sebenarnya dibandingkan sebagai ucapan yang dibuat ketika seseorang hendak meyakinkan penemuduga bahawa merekalah yang sepatutnya diterima menjadi pekerja. Oleh sebab itu, mereka perlulah mempromosi diri dan parti agar mereka boleh menang pada PRU.

Soal boleh buat kerja? Itu soal kedua. Masa berkempen pom pang-pom pang, semua boleh; lautan api sanggup direnangi dan gunung nan tinggi sanggup didaki. Tetapi selepas dapat jawatan, lain pula ceritanya. Hal begini memang berlaku di dalam alam pekerjaan. Semasa temuduga, kata sanggup bekerja sampai ke malam untuk kepentingan jabatan atau syarikat. Selepas berjaya dalam temuduga, ada yang memang komited, dan ada juga yang tidak kerap curi tulang dan menjadi liabiliti kepada syarikat, begitulah halnya dengan PRU. Kedua-dua pembangkang dan pihak kerajaan pun sedang berkempen dan berpromosi mereka lebih baik daripada yang satu lagi. Soal boleh kerja tu, memang soal nombor dua. Satu pihak boleh menjanjikan bulan dan bintang dan andai dia tidak mampu memenuhinya, PRU akan datang mereka boleh tukar strategi menjanjikan syurga dan kenikmatannya. Dan begitulah pada masa akan datang; umpama yang sudah dibuang kerja boleh pergi mendapatkan pekerjaan yang lain pula.

Jadi, andai rakyat disogokkan dengan keenakan bayangan utopia yang indah-indah daripada kerajaan dan pembangkang, terpulanglah kepada kecerdikan pemilih yang akan menentukannya. Namun, pemilih pula bukanlah kesemuanya mampu untuk menterjemahkan kecerdikan mereka lantaran bukan semuanya pandai mengundi dan pergi mengundi!

Friday, December 2, 2011

Hijrah Wanita Jelmaan

 

Begitulah tajuk hadapan yang dipaparkan di Harian Metro (2/11/11) dengan isi kandungnya berkisar tentang seramai 40 mak nyah yang mengikuti pemulihan yang dianjurkan JAKIM. Satu muka surat daripada akhbar berkenaan turut mendedikasikan berita mengenai Program Mukhayyam ini yang antara lain memberikan fokus untuk mengembalikan semula golongan mak nyah ini ke pangkal jalan. Beberapa pengakuan juga turut disertakan sebagai merasionalkan mengapakah golongan sebegini wujud dan secara tidak langsung memperincikan kesan kepada kehidupan mereka daripada memperhabiskan wang bagi memenuhi kehendak 'kewanitaan' mereka sehinggalah terjebak dengan gejala pelacuran yang keji dan jijik. Bagaimanapun, mereka yang menyertai program ini nampaknya menggagahkan diri juga untuk usaha pulang ke pangkal jalan.

Hal sebeginilah yang seharusnya diambil tahu dan pengajaran bukan sahaja untuk golongan wanita jelmaan ini, malah pertubuhan atau gabungan yang beria-ia sangat hendak memperjuangkan hak mereka seperti Ambiga dan Majlis Peguam. Golongan yang mengeksploitasi isu berkaitan homoseksual ini jelas sekali mempergunakan segenap cara bagi menunjukkan merekalah hero yang memperjuangkan nasib rakyat; padahal, kesan kepada perjuangan mereka sebenarnya amat dahsyat. Kejadian di parlimen berkenaan bangkangan rang Undang-undang Perhimpunan Aman yang secara terang, jelas dan tidak berselindung membabitkan golongan penyokong LGBT, BERSIH dan Majlis Peguam. Adakah mereka kini boleh bekerjasama untuk memperjuangkan idealogi kebebasan manusia sepenuhnya sedangkan golongan yang anti-kerajaan ini turut disertai oleh parti politik bertunjangkan Islam seperti PAS?

Amat tepat sekali usaha yang dilakukan oleh JAKIM, malah boleh dipuji juga muka hadapan Harian Metro terbitan ini. Kita hendaklah mendedahkan golongan yang tidak menyokong tuntutan hak oleh Seksualiti Merdeka bukannya tidak mahu menerima sepenuhnya kewujudan manusia yang 'keliru gender' sebaliknya cenderung supaya mereka kembali ke pangkal jalan. Yang lelaki biarlah jadi lelaki, yang wanita tetap kekal menjadi wanita. Itu sahaja. Malangnya, perkara sebegini dieksploitasi oleh mereka yang jelas mempunyai fahaman keBaratan yang kini menuntut agar masyarakat menerima seadanya mereka ini; dalam erti kata mengiktiraf kewujudan mereka dan memberika ruang dan peluang kepada mereka. Sepatutnya bukannya ruang dan peluang untuk mengiakan gaya hidup mereka, sebaliknya ruang dan peluang untuk kembali ke pangkal jalan!

Pengaruh kesekularan begini begitu tertonjol pada dasar perjuangan seperti BERSIH dan penyokong LGBT. Sama ada pengikut-pengikutnya sedar atau tidak, hanya Tuhan yang Maha Tahu. Namun, daripada apa yang dapat dilihat di sini, nyata sekali mereka mempergunakan arena politik bagi memperjuangkan hasrat mereka, menyelinap masuk ke dalam program-program yang disokong oleh parti pembangkang bagi mendapatkan liputan peringkat antarabangsa (kerana media antarabangsa begitu menyayangi pemimpin pembangkang) akhirnya, menjerut sekali pemimpin pembangkang untuk mengikuti rentak mereka ini. Sebab itulah acap kali ditimbulkan isu yang mencabar status quo terutamanya membabitkan hal yang menyalahi keagamaan, pembangkang pun takut untuk menyuarakan pendapat mereka dengan jelas kerana takut mereka kehilangan undi daripada golongan sebegini (dan macam yang pernah ditulis dalam blog ini akhirnya, UMNO jugalah yang akan menjadi mangsa tomahan mereka).

Seharusnya, program kesedaran dan usaha perubahan kepada fitrah yang dilakukan oleh JAKIM perlulah diraikan lebih lagi dengan liputan media bagi mendorong mereka yang mempunyai masalah sebegini dibimbing dengan cara yang betul; bukannya menyokong 'hak mereka' untuk itu dan ini. Golongan sebegini juga harus di salurkan ke jalan yang betul dan terus diberikan peluang untuk mengubah cara hidup mereka. Peranan masyarakat dalam hal ini bukanlah mengiakan kehidupan mereka atau menyisihkan sama sekali golongan sebegini sebaliknya lebih kepada memberikan semangat untuk berubah kepada fitrah sebagaimana kelahiran mereka ke dunia ini.

Haruslah semua akui, tiada bayi yang lahir sahaja ke dunia ini sebagai lelaki, terus meronta-ronta dalam tangisan kerana hendak menjadi wanita dan begitu juga sebaliknya. Apa yang penting ialah promosi dan acara yang membolehkan mereka kembali ke pangkal jalan dan hidup sebagaiman yang sepatutnya. Manusia semuanya mempunyai kelemahan masing-masing dan kerap melakukan kesilapan. Namun, adakah sokongan perlu diberikan untuk terus terjerumus ke lembah yang salah ataupun untuk kembali kepada jalan yang benar?

Soalan inilah yang harus dijawab oleh kesemua orang; lebih-lebih lagi orang politik!

Thursday, December 1, 2011

Calon boleh menang? Dah kalah macam mana nak menang?

 

Mantra sebenar PM Najib menjelang PRU akan datang ialah calon boleh menang. Mantra ini diulang-ulang daripada semasa ke semasa bagi membuktikan UMNO dan BN begitu serius untuk mengetengahkan calon yang terbaik buat rakyat. Calon boleh menang bukanlah semata-mata tertakluk kepada peringkatn parlimen, malah di peringkat dewan undangan negeri sekali. Calon boleh menang ini menjadi manifestasi kepada perubahan besar dalam UMNO dan BN untuk membuktikan mereka sudah berubah dan akur dengan kehendak rakyat. Benarkah begitu?

Istilah ‘calon boleh menang’ hanya akan menjadi omongan palsu seandainya calon itu tidak menang. Lebih memilukan, kalau calon itu bukan sahaja tidak menang, malah telah ditolak oleh pengundi pada PRU yang lepas. Maka, bagaimanakah UMNO dan BN ingin menetapkan kreteria yang dimaksudkan dengan ‘boleh menang itu?’ Masih kedengaran daripada mulut pemimpin tertinggi parti tersebut betapa mereka akan ‘akur’ dengan kehendak pucuk pimpinan seandainya mereka telah memutuskan calon yang sesuai. Jadi timbul persoalan, kenapa ketika itu tidak memperjuangkan calon yang lebih baik kalau rasakan calon pucuk pimpinan kurang ‘kebolehmenangnya?’

Hal sebeginilah yang menjadi cabaran retorika UMNO dan BN dalam mewar-warkan strategi bertanding mereka kepada umum. Semestinya isu calon menang ini mesti dikaitkan dengan PRU yang lepas apabila begitu ramai sekali orang-orang besar dalam BN yang tumbang kerana keadaan mereka pada ketika itu yang ternyata ‘tidak boleh menang.’ Sekadar menyebut beberapa nama popular, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin (bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (orang kuat, tulang belakang Putera UMNO) dan Senator Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil (sekarang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat). Di antara nama-nama tersebut, ada yang bolehlah dikatakan sudah ditolak ketepi sebagai calon PRU akan datang, namun, bukankah ada juga yang sebenarnya disebabkan atas kapasiti di dalam parti, masih diharapkan untuk menjadi calon selepas ini?

Bayangkanlah nama-nama besar yang suatu ketika dahulu (malah sehingga kini pun) yang menjadi orang kanan di dalam UMNO/BN, apakah nasib mereka akan berbeza lantaran kedudukan mereka mengikut keadaan semasa di dalam parti? Bagaimanakah nasib Pak Lah misalnya yang sungguh pun kini tiada berpangkat namun masih berpengaruh setidak-tidaknya di kawasannya? Adakah seruan ‘yang lama berikan peluang kepada yang baru’ ini sekadar untuk YB-YB berumur pencen namun masih mendapat tempat di mata rakyat walaupun tidak sehebat dahulu? Bagaimanakah mereka hendak merasionalkan calon yang sebelum ini kalah, tetapi diberi peluang sementara calon yang menang dalam PRU lepas tetapi hendak disingkirkan untuk ‘memberi laluan kepada yang muda’ seandainya berlaku keadaan sedemikian kelak?

Sebenarnya, apabila PM Najib meletakkan syarat ‘calon boleh menang’ dengan sendirinya beliau telah menjerat pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang ada pengaruh dalam parti tetapi tiada pengaruh di sisi masyarakat. Ungkapan yang beliau keluarkan itu sebenarnya amat sukar untuk dipenuhi oleh UMNO/BN sendiri kerana begitu banyak pertembungan kepentingan antara UMNO/BN dan kepentingan pengundi. Hal ini disebabkan kuasa politik parti itu lebih besar ertinya semasa PRU berbanding undi rakyat. Akhirnya, UMNO/BN akan sukar untuk mengotakan proklamasi sendiri disebabkan persoalan ‘bolehkah yang begitu berpengaruh di dalam parti hendak digadaikan hanya disebabkan dia kalah pada PRU yang lepas?’

Oleh yang demikian, UMNO dan BN sebenarnya terlebih dahulu bermuhasabah sama ada mereka boleh mengotakan janji mereka meletakkan calon boleh menang kerana ternyata, yang memberi kemenangan kepada calon tersebut pun ialah rakyat sendiri. Terdapat pemimpin atau ahli di dalam UMNO/BN yang ditolak oleh UMNO/BN sendiri ketika pemilihan parti namun lebih diterima oleh masyarakat setempat. Ada pemimpin yang dijulang setinggi-tingginya di dalam parti namun ternyata telah ditolak mentah-mentah oleh masyarakat setempat. Konotasi calon boleh menang itu sendiri sepatutnya ialah kombinasi penerimaan peringkat parti dan masyarakat; malah yang sebenarnya perlu diberatkan ialah di peringkat masyarakat kerana merekalah yang mengundi di PRU, bukannya ahli parti sahaja!

Dengan sogokan semboyan PRU semakin hampir, momokan calon boleh menang itu sendiri menjadi satu masalah besar kepada BN dan UMNO untuk menyediakannya. Sama ada mereka percaya kepada jenama parti atau lebih percaya kepada aura kepimpinan individu, hanya masa sahaja akan memperlihatkan keadaan sebenar. Tatkala kelebihan yang rata-rata memihak kepada pembangkang untuk menyerang segenap sudut kekurangan dan kelemahan BN dan UMNO pada PRU akan datang, masih menjadi enigma bagaimanakah UMNO dan BN akan bertindak bagi mengeluarkan calon boleh menang dengan begitu banyak halangan dan dugaan untuk merealisasikannya.

Pada ketika itulah baru kita akan dapat perhatikan sejauh manakah ahli dan pemimpin parti memerintah ini sanggup bekorban untuk kepentingan parti; dan lebih penting lagi untuk kepentingan rakyat!

Wednesday, November 30, 2011

Sembah kubur Tok Pulau Manis.

 

Pemujaan merupakan satu amalan karut-marut yang masih lagi diamalkan oleh segelintir daripada umat Islam di Malaysia ini. Masih ada dikalangan manusia yang hadir ke kubur-kubur lama, menurun dan 'menaik' agar mendapatkan ilham nombor yang akan naik semasa cabutan permainan nombor ekor bagi memperoleh keuntungan dengan mudah. Malangnya, nombor ramalan atau ekor itu sendiri dikira sebagai berjudi dan sudah semestinya juga hasil daripadanya juga merupakan hasil yang haram.

Namun yang menganehkan ialah betapa kelakuan tersebut dibuat oleh golongan yang mempergunakan imej keagamaan untuk mengaburi amalan yang khurafat (merujuk tajuk 'Esakan di makam keramat,' Harian Metro, 29/11/11, 4). Mereka beserban dan berjubah untuk menyelindung diri yang sedang mengamalkan perkara yang ditegah oleh agama dan kemungkaran yang membawa kepada kesyirikan! Begitu mudah sekali dan betapa beraninya mereka ini menggunakan imej Islamik untuk melakukan sesuatu yang haram di sisi Islam. Berani sungguh mereka ini!

Pemujaan nombor ekor nampaknya masih lagi menjadi amalan sesetengah di kalangan orang Melayu yang tampaknya tidak insaf dengan kelakuan syirik tersebut. Membesarkan makam-makam para ulama (dalam maksud mengagungkan) dengan menjadikannya sebagai tempat memuja masig diamalkan sehingga kini walaupun capaian maklumat dan aspek rasional dikatakan semakin berkembang pada generasi kini. Sedangkan sistem pendidikan kita sudah pun memasukkan unsur-unsur akidah bagi menerapkan nilai-nilai tauhid di dalam jiwa sanubari pelajar ketika mempelajarinya, justeru membawa kepada persoalan, sejauh manakah sistem pendidikan keagamaan kita berkesan dan cekap untuk melahirkan insan yang tidak melakukan perkara-perkara yang syirik?

Kita boleh dengan mudahnya salahkan sistem, kita salahkan yang pendidikan sekarang kononnya masih tidak cukup Islam. Atau ada yang lebih keras lagi dengan melabelkan sistem pendidikan sekarang ini sekular. Namun, sejauh manakah pula mereka yang dikatakan sebagai alim, berilmu pengetahuan yang luas dalam bidang agama membanteras gejala-gejala seperti ini? Adakah golongan ustaz-ustaz di Malaysia ini hanya pandai berceramah pom-pang, pom-pang hentam sini sana tetapi dakwahnya sekadar di masjid? Bukankah mereka sepatutnya turut serta bekerja turun padang membanteras kelakuan jijik sedemikian dengan gerak usaha penyertaan dalam masyarakat bagi menggerakkan dakwah bil hal?

Kejadian pemujaan di makam orang saleh dan kelakuan khurafat bukanlah hanya unik di Malaysia. Serata dunia Islam pun menghadapi perkara yang sama. Semasa musim haji misalnya, dikhabarkan bahawa ada jemaah tertentu yang cenderung untuk menggunting kelambu Kaabah untuk dijadikan azimat. Kubur dan makam ulama tertentu di Mesir sangat digemari oleh golongan tertentu untuk dipuja. Wujud golongan yang terlalu mendewakan syeikh polan bin polan kerana kekeramatannya dan seterusnya selalu beribadah dan mengagungkan makam syeikh tersebut, Perkara sebegini bukanlah sesuatu yang unik di Malaysia sahaja.

Justeru membawa persoalan, sama ada adakah pendekatan Islam pada hari ini membolehkan pemujaan tersebut berlaku? Kita sering mendengar usaha ulama-ulama yang dikatakan sebagai Salafi daripada Ibn Taimiyah dan Muhammad Ibn Wahhab mempunyai cita-cita untuk menghapuskan sama sekali perlakuan 'bidaah' seperti pemujaan makam dan sebagainya, malangnya usaha mereka digenangi pula oleh isu-isu seperti Wahabi, takfir dan hal-hal pertikaian furu seperti bidaah itu sendiri. Akhirnya, idealisme ulama sebegini tenggelam dek pertikaian antara golongan yang menyokong mereka dan yang menentang mereka dalam hal-hal berkaitan ibadah!

Jangan silap faham. Penulis bukanlah hendak membela penyokong tegar Taimiyah, Wahabi atau Salafi. Pada hemat penulis, isu menyembah kubur ini jauh lebih besar daripada kita dok bertelagah tentang Nabi zikir dan doa secara jam'ie ataupun tidak. Isu berkaitan orang Islam menurun ekor di makam wali-wali ini jauh lebih dahsyat ertinya berbanding pertikaian tentang sembahyang tarawih berapa rakaat. Malangnya, perkara akidah sebegini yang jarang sekali diperbincangkan sesama cendikiawan Islam sendiri sebaliknya yang lebih diraikan ialah berkenaan siapa undi siapa masuk syurga, yang tak undi sekian-sekian itu faham-faham aje lah!

Kini, maruah dan martabat umat Islam sering diperendahkan dengan pelbagai cara hanya kerana ungkapan 'your taboo is not my taboo.' Sebabnya, umat Islam mudah sekali berpecah -belah hanya disebabkan ideologi politik dan tidak mahu mendahulukan akidah dan penyatuan umat terlebih dahulu. Akhirnya, kita akan dapati kaum yang memusuhi Islam akan semakin berani mencabar umat Islam, menuntut agar keIslaman umat Islam dikurangkan kononnya bagi membolehkan proses demokrasi berjalan lancar. Undang-undang di negara-negara Barat tertentu jelas menunjukkan penindasan terhadap muslim dan siapa yang hendak bangkit mempertikaikan yang tindakan sebegini menyalahi hak kebebasan beragama?

Kesemuanya hanya disebabkan umat Islam tidak mahu bersatu bagi memelihara akidahnya. Oleh yang demikian, tidak hairanlah akan wujud lagi mereka yang pergi ke kubur lama menyembah minta ilham nombor ekor sedangkan tok guru masih dok bertelagah undi siapa masuk syurga, undi siapa pergi neraka!

Dan mereka yang bukan Islam pun bolehlah terhibur dengan gelagat sedemikian.

Tuesday, November 29, 2011

Pengekalan BN

 

Ramai pemerhati politik dan ahli politik sendiri yang berpendapat bahawa Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada minggu ini ialah perhimpunan/persidangan yang terakhir sebelum PRU 13. Malah, 'tekad' tiga pemimpin sayap UMNO yang tampak mengakui bahawa PRU semakin hampir dan kini, Ketua Pemuda UMNO pun menyeru betapa transformasi merupakan 'mantera' penting untuk memancing undi rakyat. Malangnya, mantera sahaja bukanlah penentu kepada kejayaan sesebuah parti.

PM Najib kini bagaikan sedang menunjukkan peri pentingnya untuk mengekalkan BN sebagai pemerintah, seolah-olah dalam nada tersirat risaukan atau mempertikaikan, bolehkah BN kekal? Luahan Tun Dr. Mahathir melalui akhbar Mingguan Malaysia tempoh hari menunjukkan beliau nampaknya masih mempunyai nada kecewa terhadap UMNO seolah-olah usaha yang sedang dilakukan oleh parti tersebut masih tidak mencukupi. Padahal kita boleh lihat betapa sibuk dan bersengkang matanya PM Najib dalam melaksanakan usaha dan gerak kerja bagi menambat hati rakyat dan masyarakat antarabangsa; lepas ke sini, ke situ pula. Baru balik luar negara, sudah melawat kawasan, hadir perhimpunan ini dan itu. Mungkinkah tidak cukup?

Mungkinkah segala usaha yang diperah oleh PM Najib ini sebenarnya masih tidak mencukupi? Barangkali perlu diingat, PRU akan datang bukannya medan untuk memilih PM. PM di Malaysia ialah lantikan bukan secara langsung melalui PRU. Sebaliknya yang menjawat PM di Malaysia secara tradisi ialah ketua eksekutif sesebuah parti politik yang mempunyai majoriti tertinggi di dalam PRU. Dalam konteks BN, komponen UMNOlah yang mempunyai kerusi terbanyak, memberikan jawatan tersebut dipegang oleh presiden parti. Jadi, PRU hanya menentukan siapa PM selepas segala-galanya selesai dan bukannya kemenangan PM Najib di kerusinya di Pekan yang menjadikan beliau PM.

Oleh yang demikian, sepatutnya pemimpin dan calon parti turut serta dalam menjayakan persepsi rakyat terhadap parti tersebut. PM Najib mungkin telah melakukan segala-galanya atas kapasiti PM, begitu juga tangan kanannya TPM Tan Sri Muhyiddin. Namun bagaimanakah mereka yang di peringkat akar umbi? Di peringkat cawangan (ranting) dan bahagian (cabang)? Kita bukan bercerita rakyat di kawasan Kulaijaya misalnya hendak memangkah PM Najib ataupun Khalifah Agung Lim Guan Eng? (mungkin sepatutnya Anugerah Tuhan Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kita bercerita tentang wakil parti DAP melawan wakil parti MCA di sana. Sebab itulah PRU sebegini lebih banyak faktor yang perlu diambil kira daripada partinya, parti naungannya, peribadi calonnya, prestasi calonnya dan lain-lain. Berbeza keadaan kalau hendak dibandingkan dengan pemilihan Presiden di US mahupun Indonesia. Yang dipilih ialah presiden; ketua kepada kerajaan. Presiden memilih kabinet atas budi bicaranya. Orang yang menganggotai kabinet meskipun mempunyai pengaruh daripada parti, tetapi bukannya daripada wakil rakyat. Maka yang dipilih oleh rakyat ialah regu presiden dan naib presiden.

Justeru, BN kalau hendak kekal, bukan kerja PM Najib sahaja; kesemuanya perlu bekerja. Usah hendak harapkan aura sokongan Najib kalau di kawasan sendiri tidak ada aura pemimpin seumpama itu. Berpijaklah di bumi yang nyata, bukan semua ceruk bandar dan kampung yang mampu menerima tempias kedatangan Najib atau Pak Din. Di situlah keperluan MB, ahli parlimen, ADUN, ketua bahagian dan ketua cawangan untuk menyinar dengan menunjukkan kematangan dan kebolehan mereka membantu rakyat yang memerlukan. Namun, adakah situasi sebegitu berlaku?

BN memerlukan lebih daripada magis Najib untuk terus berkekal releven kerana sogokan dan janji manis pembangkang kadang-kala lebih mengiurkan daripada usaha kerajaan yang telah dan akan dilaksanakan. Siapa tak mahu perkara yang serba murah dan mementingkan rakyat? Tetapi, tahap pencapaian daripada pihak sana nampaknya tidaklah berapa cemerlang sebagaimana yang diharapkan. Politik persepsi yang dimainkan oleh kedua-dua pihak tampak semakin menjadi-jadi sedangkan kedua-dua pihak pun sangat kurang bercakap mengenai rakyat yang sedang dalam keperluan.

Untuk BN kekal di puncak pemerintahan, pemimpin pertengahan mereka yang betul-betuk dahulukan rakyat, bukannya dahulukan kerabat!

Monday, November 28, 2011

NATO yang kotor

 

Laporan AFP yang dipetik oleh Harian Metro (28/11/11) jelas menceritakan segala-galanya. NATO umpama sebuah organisasi ketenteraan yang dahagakan darah sehingga yang berpihak kepada mereka pun (secara teknikal) menerima tempias serangannya. Itu belum kita masukkan 'kesilapan' serangan sebelum ini termasuklah di Libya. Apa yang jelas ialah pakatan 'Atlantik Utara' ini sebenarnya tidak pernah menghiraukan keselamatan dan sebarang kemungkinan kepada sekutu mereka asalkan 'serangan' mereka berjaya.

Keadaan sebegini berlaku di setiap peperangan menentang 'paksi kejahatan' yang dipimpin oleh US dan negara-negara Eropah. Peristiwa pasukan tentera luar mengebom rakyat tempatan yang memihak kepada mereka merupakan sesuatu keadaan yang biasa, sedangkan pasukan tentera seperti NATO ini dikatakan memiliki senjata yang canggih, mampu melancarkan serangan ke atas koordinat yang tepat dan telah terlebih dahulu mendapat sumber-sumber yang 99.9 peratus sahih sebelum melancarkan sebarang serangan. Namun, kekerapan penyimpangan yang amat ketara menyebabkan kita boleh mempersoalkan layakkah sebuah badan ketenteraan Barat yang begitu berkuasa diberikan autonomi untuk membuat sesuka hati mereka untuk memuaskan kempen 'perang terhadap keganasan?'

Kejadian di Pakistan yang mengorbankan 26 nyawa tentera tempatan bukanlah kali pertama dan mungkin bukan yang terakhir yang dikatakan sebagai 'salah bom/bedil.' Dalam peperangan zaman moden ini, bom dan peluru tidak kenal kasihan dan tidak mengenal orang. Jadi, untuk mengatakan bahawa NATO 'tersilap' pecaturan merupakan satu kenyataan yang bersifat apologikal tanpa menjurus kepada sebab mereka begitu yakin bahawa kawasan serangan benar-benar merupakan kawasan Al-Qaeda.

Sebagaimana tentera Amerika menyerang rumah, masjid dan hospital di Iraq dan Israel menyerang kawasan penempatan awam yang 'mempunyai penentang mereka/Hamas' kita amat yakin Barat satu hari nanti akan melakukan perkara yang sama bagi merasionalkan serangan terhadap Iran. Apa yang tetap menjadi persoalan ialah mengapakah Barat yang berpaksikan 'demokrasi' tidak mahu terlebih dahulu menyerang Korea Utara yang terang-terangan mengisytiharkan mereka telah membangunkan senjata nuklear sedangkan terlalu sibuk menentang kumpulan atau negara-negara yang 'kedengaran arab' atau 'militia Islam.' 'Harapan baru' yang dikemukakan oleh Obama ternyata palsu kerana di tangan beliau sahaja, begitu ramai orang bukan-US yang mati dibedil oleh tentera US sama ada atas nama negara Uncle Sam itu ataupun pakatan yang disertai US. Malah, beliau lebih licik lagi dengan menggunakan NATO sebagai alat untuk menyerang negara lain bagi menyembunyikan graviti sebenar peperangan supaya kelihatan seperti 'Dunia menetang keganasan' dan bukannua 'US menentang keganasan.'

Oleh yang demikian, kelicikan US lebih tertonjol dengan membabitkan orang lain untuk menjalankan kempen ketenteraan menentang demokrasi. NATO dipergunakan dengan sepenuhnya bagi memperjuangkan idea Barat dan menentang sesiapa sahaja yang menghalang demokrasi ala-Barat. Setelah terlibat dengan pelbagai peperangan, mereka mempunyai peluang yang luas untuk memperdagangkan senjata dan selepas perang tamat, mereka juga berpeluang untuk terlibat dalam pembangunan negara yang menjadi sasaran ketenteraan itu. Buktinya, US tiba-tiba menjadi salah sebuah negara pengeluar minyaK bersandarkan 'sumber' mereka di Iraq.

US nampaknya begitu dahagakan sumber asli seperti petroleum dan penguasaan ekonomi dunia sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi mencapainya. Alasan seperti mengembalikan demokrasi dan menentang paksi kejahatan merupakan sebab yang begitu mujarab bagi menghalalkan kegiatan ekonomi bebas yang ditunjangi oleh mereka untuk terus bermandiri.

Hal ini akan menyebabkan mereka dapat mengekalkan kepercayaan dunia bahawa merekalah kuasa ekonomi dunia dan yang paling 'tahu mengenai kebebasan.' US seterusnya memberikan momokan berkenaan keganasan semata-mata bagi mengalihkan tumpuan terhadap kenazakan ekonomi mereka sendiri yang dikelilingi oleh hutang dan pengangguran. Dan dengan mempergunakan pakatan seperti NATO, US akan cuba menyelindung daripada belakang segala tindakan negara tersebut melancarkan perang terhadap negara-negara yang tidak tunduk kepada desakan mereka. Selepas negara yang diserang menjadi lunyai, merekalah yang akan 'membangunkan' semula negara tersebut bagi membuktikan 'kebertanggungjawaban' mereka. Namun, kita pun mengetahui hasrat sebenar US dok sibuk-sibuk menyerang negara orang kononnya bagi mempertahankan demokrasi negara lain.

Justeru, tidak hairanlah kekotoran yang dipalitkan oleh US terhadap badan seperti NATO; kesemuanya bagi membuktikan kuasanya sebagai polis dunia. Disebalik sindiran No Action Talk Only yang selalu digambarkan terhadap organisasi ketenteraan tersebut, apa yang jelas ialah tindakan sebenarnya hanya akan dilakukan apabila melibatkan kepentingan US sahaja!

Nampaknya nama timangan baru yang wajar diberikan ialah 'No stake for American? Talk only laaa... '

Sunday, November 27, 2011

Hijrah: Yang diutamakan ialah ummah

 

Sekali lagi kita bertemu dengan tahun baru Hijrah dan diberikan sambutan peringkat negara. Perhimpunan dibuat, ceramah diberi dan anugerah dikurniakan. Beginilah sambutan Maal Hijrah saban tahun dan saban masa di Malaysia. Sama ada berkesan atau tidak sambutan sebegini, tidaklah dapat diketahui. Akan tetapi, sambutan Hijrah ini bolehlah dikatakan sebagai satu cara bagi mengenang kembali peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah Al-Munawwarah bersama-sama sahabat baginda, Sayidina Abu Bakar As-Sidiq.

Satu-satunya lagu yang begitu diraikan dalam acara Hijrah ialah 'Maal Hijrah' yang antara kalimahnya:

Hijrah itu pengorbanan,

hijrah itu perjuangan,

hijrah itu persaudaraan,

hijrah membentuk perpaduan.

Malang sekali, kendatipun ungkapan pada lagu ini selalu diulang-ulang saban tahun baru Hijriyah, amalan berkenaannya sangat kurang sekali di peringkat pimpinan politik negara sama ada dalam mahupun luar negeri. Pemimpin sesama Islam berpecah kerana ideologi politik yang berbeza dan tidak sanggup untuk bekorban, berjuang, bersaudara mahupun berpadu tenaga untuk membentuk ukwah Islami yang begitu dituntut dalam agama itu sendiri. Kesemuanya kerana merasakan diri sendiri lebih benar berbanding yang lain. Mereka bertakbir membesarkan Allah bagi menunjukkan betapa pejuang mereka ke jalan Allah. Namun, yang ditentang itu ialah umat Islam sendiri! Yang diseru untuk diperangi ialah muslim yang sama bersyahadah Tiada Tuhan melainkan Allah!

Tampak bahawa sambutan Maal Hijrah yang saban hari dan saban tahun dirai kurang memberikan impak secara keseluruhan kepada kesatuan umat Islam itu sendiri. Tatkala tema kesatuan ummah menjadi salah satu daripada pendekatan mengenang peristiwa hijrah Nabi, jarang apa yang diperkatakan itu dizahirkan secara kesanggupan politik (political will). Krisis kepimpinan, pertembungan pendapat dan ketaksuban sokongan menyebabkan seperti tidak akan ada titik pertemuan antara satu pihak dengan pihak yang lain. Rakyat juga menjadi semakin resah kerana kekeliruan hala tuju sedangkan kedua-dua pihak pun kononnya berjuang untuk rakyat. Ada dikalangan mereka yang disogok dengan ideologi menentang sehinggakan apa sahaja yang dilakukan bagi meredakan keadaan dikatakan sebagai bertentangan dengan demokrasi.

Sedangkan umat Islam acap kali sambutan Maal Hijrah, diperingatkan dengan kisah pengorbanan yang dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabat, diulangkan nuansa keberanian sahabat Nabi r.a bekorban diri semata-mata atas nama perjuangan ke jalan Allah, dikisahkan semula persaudaraan Muhajirin dan Ansar, suku Aus dan Khazraj. Adakah kisah-kisah ini hanya sekadar di bibir-bibir penceramah, pemimpin politik dan sekadar cerita atuk budak kepada budak sahaja? Apabila dibawa usul penyatuan antara ummah, macam-macam alasan pula yang dikemukakan yang rata-ratanya hanya bersifat polemik dan politik sahaja. Sedangkan kesatuan ummah itu lebih utama berbanding saling bermusuhan sesama umat Islam yang mengucap kesaksian yang sama.

Justeru, kejayaan umat Islam pada masa ini bergantung banyak kepada bagaimana mereka mengamalkan kesatuan ummah, satu tema yang saban hari diulang-ulangkan; namun resapannya ke dalam jiwa nurani pimpinan kita seperti tidak kelihatan. Dari itu, bedoalah sebanyak-banyaknya agar hati-hati umat Islam terutamanya daripada peringkat kepimpinannya disatukan kerana kita sangat menagih kesatuan umat Islam yang murni dan mahabbah. Sudah-sudahlah kita bertelagah sesama kita sedangkan yang memperoleh kelebihan tersebut ialah musuh-musuh yang sentiasa menanti pepecahan di antara umat Islam!

Artikel berkaitan

Hijrah: Signifikasi kesatuan ummah

Saturday, November 26, 2011

Wasatiyah: Ganti Islam Hadhari?

 

Semasa pemerintahan Pak Lah, beliau memperkenalkan sebuah konsep yang begitu gah yang dinamai Islam Hadhari. Pelbagai acara dilaksanakan bagi meraikan konseptual Islam Hadhari ini seperti terbitan buku-buku dan makalah, anugerah dan tidak ketinggalan sebuah institut yang didedikasikan dengan nama tersebut. Perbincangan dan kritikan juga dilemparkan kepada konsep tersebut daripada namanya sehinggalah ke unsur-unsur yang dikatakan sebagai menunjangi gagasan tersebut. Di pihak pembangkang juga berlegar berkenaan nama konsep tersebut dan gambaran yang begitu menakjubkan iaitu Islam Hadhari sebagai sebuah ‘mazhab baharu yang diwujudkan oleh Pak Lah!’ Konsep Islam Hadhari begitu dicanang ke peringkat antarabangsa sehingga menyebabkan kononnya negara-negara Islam begitu menerima falsafah yang dikemukakan oleh Pak Lah ini dan dijadikan sebagai subjek bandingan apabila membincangkan berkaitan pemerintahan Islam dan agama.

Itu semuanya cerita dahulu. Zaman Pak Lah sudah beredar. Setelah Pak Lah tidak lagi berkuasa, lompong yang ditinggalkan beliau terhadap Islam Hadhari begitu mendalam. Seolah-olah kesinambungan konsep dan gagasan Islam Hadhari ini terhenti begitu sahaja. Jadilah usaha tersebut bersifat politikal sahaja apabila kita sudah tidak kedengaran lagi ulasan dan cemuhan sama ada menyokong atau membantah konsep tersebut. Seolah-olah berlakulah noktah terhadap perbincangan mengenainya. Malah, pihak Pak Menteri (dalam Kabinet Najib) yang bertanggung jawab mengenai hal ehwal Islam pun tampak tidak membuat sesuatu yang menggambarkan usaha ke arah memperkukuhkan konsep tersebut; malah beliau menjanjikan Islam Hadhari akan dikaji! Semarak berkenaan Islam Hadhari seperti tiba-tiba menemui jalan buntu dan tidak boleh mara ke hadapan lagi. Dan dalam keadaan diam inilah, muncul sebuah konsep Islam yang baharu yang dicanang oleh PM Najib. Konsep itu bernama wasatiyah.

Jarang yang mengetahui atau mengingati bahawa penglibatan PM Najib dengan 'ajaran' wasatiyah ini sebenarnya sudah muncul ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan lagi. Penulis masih mengingati ketika Tingkatan 1, pelajar didedahkan dengan beberapa topik baru yang masih belum dimasukkan ke dalam silibus buku teks pada ketika itu dan antaranya ialah konsep wasatiyah ini. Ketika itu, Najib menyandang jawatan Menteri Pendidikan di bawah regim Tun Dr Mahathir. Ustazah yang mengajar kami ketika itu pun mengakui bahawa topik wasatiyah ialah antara topik yang baru diperkenalkan dan 'nota hanya boleh diperoleh melalui papan hitam' (masa itu, guru di sekolah penulis pakai kapur lagi).

Nyata di sini konsep wasatiyah yang diperkenalkan oleh PM Najib bukanlah satu konsep yang baharu[1] kerana semasa beliau mengepalai Kementerian Pendidikan (sekarang Kementerian Pelajaran), subjek berkenaannya telah pun diperkenalkan. Perkara ini berlaku hampir 15 tahun yang lepas. Oleh yang demikian, beliau sekadar menghidupkan kembali satu konsep yang satu ketika dahulu diperkenalkan olehnya sendiri. Konsep ini berlandaskan tuntutan untuk menjadi umat pertengahan dan melalui sebuah riwayat yang membawa maksud besederhana dalam melakukan sesuatu perkara.[2]

Secara asasnya, wasatiyah mengambil konsep umat pertengahan yang telah disebut di dalam Al-Quran.[3] Menurut pendapat Ibn Kathir semasa mentafsirkan ayat ini, wasat yang menjadi akar kepada perkataan wasata dalam bermaksud yang terbaik dan yang terpuji.[4] Seterusnya, beliau memetik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Said yang antara inti sarinya bermaksud, 'wasat itu bermaksud adil. Kamu semua akan diminta untuk menyaksikan bahawa Nuh a.s telah menyampaikan (risalahnya) dan kemudian aku (Nabi Muhammad SAW) akan mepersaksikan kesaksianmu.'[5]

Sementara Hamka dalam mentafsirkan ayat sama mengenai umat pertengahan ini membawa perspektif berkenaan kaum Yahudi yang terlalu cenderung kepada keduniaan sehingga sanggup mengeksploitasi sistem ekonomi dan politik untuk kepentingan mereka. Manakala kaum Nasrani terlalu berat kepada akhirat sehingga mengamalkan kebiaraan dan meninggalkan sama sekali hal-hal keduniaan. Namun Islam dilihat sebagai umat pertengahan kerana memilih pertengahan melalui ibadah diri sendiri (melalui sembahyang) dan kepada orang lain (melalui zakat). Mana mungkin boleh membayar zakat kalau tidak mencari harta di dunia ini?[6] Idea wasatiyah daripada perspektif ini ialah besederhana dalam melakukan tuntutan duniawi dan ukhrawi. Dan Tafsir Mubin memberikan penjelasan pertengahan sebagai besederhana dalam segala pembawaannya dan tidak melampau-lampau atau keterlaluan dalam menganut kepercayaan dan besederhana dalam akhlak dan amalannya.[7]

Dan kini, menjelang Perhimpunan Agung UMNO, kefahaman mengenai wasatiyah menjadi salah satu agenda yang jadualkan untuk diperkenal dan diperbahaskan. Seminar mengenainya telah diadakan dan tidaklah menghairankan seandainya akan wujud seminar atau simposium susulan berkenaannya. Terbitan berkenaannya akan diwujudkan bagi mengembangkan gagasan wasatiyah yang dipelopori oleh Malaysia ke mata dunia; sebagaimana dahulu yang cuba dilakukan oleh Pak Lah terhadap Islam Hadhari. Malah, warga dunia lebih dahulu diperkenalkan dengan konsep wasatiyah-Najib ini lantaran pelancaran Gerakan Kesederhanaan Global yang dicanang oleh PM Najib ini sebelum konsep tersebut diperbahaskan dalam ‘Seminar Wasatiyah’ Pra-Perhimpunan Agung UMNO. Jelas sekali di sini bahawa paksi pendekatan Islami kini telah berubah daripada pemikiran ‘Hadhari’ kepada ‘Wasatiyah.’

Apa yang pasti ialah hanya menjelang masa sahaja perbahasan mengenai wasatiyah ini digemburkan sama ada daripada perspektif keilmuan, ekonomi, politik, sosial dan pendidikan. Tidak mengejutkan seandainya selepas ini konsep wasatiyah ini popular, akan ada buku dan makalah yang menyokongnya, dan tidak kurang juga ada daripada pihak tertentu yang akan menonjolkan konsep mereka pula berkenaan wasatiyah yang lebih betul dan lebih Islamik. Dana wasatiyah, anugerah wasatiyah dan institut wasatiyah mungkin akan diwujudkan bagi mendukung perihal yang berkaitan dengannya sekali gus menjadikan perbincangan wasatiyah ditonjolkan sebagai satu perbincangan yang penting dan bermanfaat untuk pihak awam. Bagaimanapun, berbeza pula dengan Islam Hadhari yang tidak diketahui nasibnya dan pengakhirnya. Adakah berkubur Islam Hadhari tanpa sebarang nisan? Atau segala yang berkait rapat dengannya hanya akan menjadi ‘perkara atau pendekatan yang pernah wujud’ sebelum ini? Dan Institut Islam Hadhari dan segala program berkaitan Islam Hadhari akan secara tiba-tiba terputus daripada pandangan dan penglibatan orang ramai?

Sama ada berkesan atau tidak, hanya masa dan Tuhan sahaja yang menentukannya. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah sebenarnya penyatuan umat Islam sedunia dalam satu manhaj yang sama dan bertoleransi dalam menerima pendapat yang bertentangan dengan prinsip kita. Sesungguhnya, mencapai satu modus vivendi lebih penting berbanding pertelingkahan untuk menegakkan idea bahawa pandangannya lebih betul daripada yang lain. Apa yang lebih mengejutkan ialah umat Islam yang sering berteriak betapa mereka ialah penganut yang besejahtera, bertoleransi, berlapang dada, berpandangan terbuka dan mungkin kini ‘berwasatiyah,’ namun begitu banyak gejala keretakan dan pertelingkahan sesama sendiri yang berlaku di negara-negara yang didominasi oleh umat Islam itu sendiri. Cukuplah umat Islam bersifat apologikal dan lebih mempraktikkan dasar Islam yang menuntut kesejahteraan itu sendiri.

Sebab akhirnya, jatuh bangun sesebuah tamadun bangsa bukan lantaran citra pemikirannya, bukan kerana gagasan konseptualnya dan bukan kerana kewujudan ulama besarnya, sebaliknya bergantung kepada penghargaan, pengiktirafan dan penghayatan gagasan itu tadi melalui amal yang dilaksanakan. Kerana pendapat ulama mengenai amalan niat ialah ‘separuh atau sepertiga’ daripada Islam[8], namun sekadar menjalankan niat semata-mata, tak sah juga amalannya!

Nota hujung


[1] Dalam konteks penghebahan luas ke media massa; penulis bukan bermaksud PM Najiblah orang pertama yang mencipta istilah ataupun konsep wasatiyah.

[2] Status ungkapan ‘sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan’ diragui sama ada sebuah hadis mahupun bukan kerana tidak kurang tiga pendapat tentang kata-kata tersebut iaitu sebagai sebuah Hadis Nabi SAW riwayat Ahmad, kata-kata Umar Al-Khattab ataupun kata-kata hukama. Bagaimanapun, sememangnya wujud beberapa hadis yang secara tidak langsung menuntut kesederhanaan dalam melakukan ibadah misalnya Imam Nawawi yang didedikasikan sebuah babdaripada Riyadh Salihin. Lihat contohnya Muhyiddin Yahya Syaraf An-Nawawi, Ringkasan Riyadh Salihin susunan Syaikh Yusuf Al-Nabhani terj.Abu Khodijah Abdulrrohim (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2010), 245-261.

[3] Surah Al-Baqarah: 2, ayat 143.

[4] Rujukan penulis ialah Imam Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir Edisi Inggeris, dimuat turun daripada http://www.quran4u.com/Tafsir%20Ibn%20Kathir/Index.htm., 419.

[5] Ibid., 421.

[6] Hamka, Tafsir Al-Azhar, cet. ke-5, jil.1(Singapura: Pustaka Nasional, 2003), 332.

[7] Salahuddin Abdullah dan Omar Khalid, Tafsir Mubin (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009), 108.

[8] Pendapat sebegini dikemukan dalam mensyarahkan hadis Nabi SAW berkaitan, ‘Setiap amalan itu adalah dengan niat.’ Seandainya idea atau citra itu dibandingkan dengan niat, maka masih tidak sempuran lagi sesebuah idea itu kerana baru sahaja memenuhi sebahagian daripada keperluannya sebaliknya amalan terhadap idea itu juga penting sebagaimana idea itu sendiri. Amalam masih tidak lengkap kalau setakat berniat sahaja (walaupun diberi pahala) begitu juga idea masih tidak lengkap kalau pelaksanaannya tiada!

Thursday, November 24, 2011

Syiah: Satu tinjauan awal

 

Soal penularan kegiatan syiah di dalam masyarakat Islam Malaysia telah bertambah dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini, sudah kedengaran yang kumpulan cenderung Syiah telah membuat permohonan di mahkamah bagi mencabar keabsahan serbuan jabatan agama ke markaz kegiatan mereka[1].

Oleh yang demikian, sudah semestinya hal yang demikian mengundang persoalan tentang semenjak bilakah wujudnya kemasukan aliran akidah tersebut sedangkan umat Islam di Malaysia secara struktur dan amalannya adalah berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie[2].

Kehadiran aliran Syiah di Malaysia tidak boleh sama sekali disamakan dengan kewujudan mazhab akidah tersebut yang mendominasi Iran dan Iraq, dan menjadi mazhab akidah yang minoriti namun bererti di Lubnan dan negara-negara Asia Tengah.

Secara ‘konvensyennya’ aliran pemikiran akidah yang datang ke Tanah Melayu ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah[3].

Pengiktirafan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi boleh dilihat dengan kesemua negeri di Malaysia meletakkan sama ada mazhab Syafie atau Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi bagi umat Islam di peringkat negeri[4].

Oleh sebab itu, bagaimanakah unsur Syiah itu boleh menyelinap masul ke dalam pemikiran sesetengah umat Islam dan kini menjadi satu ancaman untuk mengekalkan kelangsungan dominasi pemikiran sunni?

Untuk tujuan pemahaman konsep Syiah itu sendiri, adalah wajar untuk kita meneliti sejarah awal kewujudan perpecahan pandangan yang menyebabkan wujudnya mazhab-mazhab aliran akidah.

Pertembungan-pertembungan pendapat atau idealisme di kalangan umat Islam pada zaman Nabi SAW tidak dikira sebagai satu pertembungan yang serius kerana ketika itu, perselisihan tersebut lantas diselesaikan terus dengan merujuk Nabi SAW. Misalnya perselisihan sahabat-sahabat berkenaan sembahyang Asar di perkampungan Bani Quraizah yang dirujuk kepada Nabi SAW, dan ditaqrirkan oleh Nabi SAW sama ada puak yang melakukan sembahyang Asar semasa perjalanan tersebut dan puak yang mentak’hirkan sembahyang Asar hingga tiba ke perkampungan tersebut.

Sebarang perselisihan ketika itu dengan mudah diselesaikan kerana umat Islam ketika itu masih mampu ketemu Nabi SAW untuk bertanyakan soal-soal hukum-hakam dan pendapat.

Bagaimanapun, kontra dengan pemikiran bahawa pepecahan itu sudah mula berlaku sewaktu zaman Uthman ra atau setelah kematian Ali kwj, pepecahan dikalangan umat Islam yang sebenarnya telah muncul seawal kewafatan Nabi SAW lagi apabila ada dikalangan para sahabat yang tidak boleh menerima bahawa Nabi SAW sudah tiada di sisi mereka.

Sedangkan Umar Al-Khattab r.a, sahabat akrab Nabi SAW yang terkenal dengan ketegasan, keilmuan dan dikategorikan sebagai ‘yang dijamin syurga;’ pada awalnya tidak dapat menerima sama sekali kewafatan Nabi, sehingga mengancam untuk memenggal kepada sesiapa sahaja yang berkata Nabi SAW telah wafat!

Mujur dengan rahmat Allah melalui kebijaksanaan Abu Bakar As-Siddiq r.a yang dapat mententeramkan keadaan pada ketika itu dengan hikmah membacakan ayat-ayat Al-Quran yang antara lain mempunyai inti pati pertanyaan kepada umat Islam, seandainya Nabi SAW wafat atau terbunuh, maka mereka akan murtad kembali kepada agama lain/asal[5]?

Kemudian, timbul pula perselisihan berkenaan pemakaman Rasulullah SAW, warisan (harta) Nabi dan kemuncak kepada perselisihan tersebut ialah berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu selepas kewafatan Nabi SAW[6].

Isu berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu berlegar antara tuntutan kaum Muhajirin dan Ansar bagi jawatan pemimpin dan perselisihan inilah menjadi bibit-bibit sejarah kewujudan kaum Syiah di dunia ini.

Walaupun terdapat riwayat yang mengatakan bahawa perselisihan di Balai Bani Sa‘idah tersebut sekadar antara kaum Muhajirin dan Ansar sahaja, ada pendapat juga yang menyebut Ali sendiri yang inginkan agar beliau dilantik sebagai khalifah[7].

Ditambah pula dengan keengganan Ali kwj membai‘ah Abu Bakar r.a pada awalnya sehinggalah selepas enam bulan iaitu setelah kematian isterinya iaitu anak Rasulullah SAW Fatimah Az-Zahra[8].

Nuansa ini sudah cukup untuk merasionalkan mengapakah gerakan pembelaan Ali kwj itu wujud; kerana pada pendapat mereka, Sayidina Alilah yang sepatutnya dilantik sebagai khalifah, dan bukannya Abu Bakar.

Ditambah pula dengan hujah puak penyokong Ali kwj yang mendakwa Nabi SAW telah telah berwasiat agar pimpinan patut diturunkan kepada Ali kwj (disebut juga sebagai Hadis Ghadir Khum) sempena tempat yang didakwa Nabi menyampaikan wasiat/hadis tersebut) dan hadis-hadis lain yang menunjukkan kelebihan Ali disisi Rasulullah SAW[9].

Akan tetapi, letusan cetusan ketakakuran puak penyokong Ali kepada kekhalifahan Abu Bakar dan Umar dikatakan hanya berlaku setelah kedua-duanya meninggal dunia setelah pada ketika itu, Sayidina Uthman mati terbunuh dan Muawiyah bin Abu Sufyan berkehendakkan jawatan khalifah.

Maka, puak-puak ini membela terus menerus Sayidina Ali kwj dan Ali diangkat menjadi khalifah dalam suasana ketaktentuan pada ketika itu yang membawa kepada peperangan Siffin, majlis Tahkim dan akhirnya pembunuhan Khalifah Ali Abi Thalib.

Namun, pada peringkat awal, pembelaan terhadap Sayidina Ali kwj hanya bersifat politikal dan bukannya membabitkan aspek kepercayaan dan ibadah[10].

Kewujudah pembela Ali ini adalah sebagai respon kepada puak Khawarij yang satu ketika menyokong dan mengikuti Khalifah Ali namun bertindak sebaliknya apabila Khalifah Ali bersetuju untuk berunding dengan Muawiyah[11].

Kehuru-haraan politik pada ketika itu menunjukkan betapa umat Islam pada ketika itu menghadapi pertembungan ideologi yang membawa kepada pembunuhan demi pembunuhan sahabat r.hum.

Kesemua puak yang terbabit mengaku bahawa merekalah yang sebenar-benarnya paling benar dan hal yang demikian mengundang kepada pepecahan, peperangan, tikam-menikam daripada belakang.

Setelah dinasti Umaiyah diwujudkan, terdapat beberapa pemimpin mereka yang terlalu melampau dalam menghina dan mencaci Ali kwj untuk menaikkan imej Muawiyah dan Uthman Affan r.a yang lantas menyebabkan ketidakpuasan penyokong-penyokong Ali kwj[12].

Perubahan kepimpinan, pengaruh, pepecahan dan tokok tambah dalam kepercayaan bagi mengagungkan Sayidina Ali menyebabkan puak Syiah itu sendiri terbahagi kepada beberapa kumpulan seperti Imamiyah, Zaidiyah, Ismailiyah dan Sabaiyah[13].

Bagaimanapun, kumpulan Imamiyah merupakan kumpulan yang paling dominan dan sehingga kini mendominasi mazhab Syiah itu sendiri. Kumpulan ini mempercayai imam yang dua belas termasuklah Imam Mahdi yang didakwa akan muncul semula bagi menegakkan keadilan Islam.[14]

Jadi, kelangsungan pemikiran Syiah bolehlah dikatakan begitu kuat berbanding mazhab-mazhab akidah yang lain kerana kewujudannya sehingga kini yang menjadi perbezaan yang jelas antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Hal yang demikian boleh dilihat apabila mazhab akidah yang lain yang wujud ketika zaman sahabat dan dinasti Umaiyah, Abbasiyah seperti Muktazilah dan Khawarij sudah lenyap walaupun intisari dan kecenderungan yang menghala ke unsur-unsur kedua-duanya masih wujud.

Misalnya puak-puak yang mudah mengkafirkan orang lain dilihat sebagai cenderung mempunyai pemikiran Khawarij dan mereka yang gemar menggunakan pandangan akal atau logik akal dikatakan sebagai Muktazilah.

Sebaliknya, Syiah kekal membentuk satu kumpulan atau mazhab berbeza dan dominan daripada segi akidah di negara-negara tertentu seperti di Iran atau berjaya menembusi pemikiran dominan Sunni seperti di Malaysia. Wujud cakap-cakap tertentu juga bahawa terdapat pemimpin parti politik Islam di sini yang cenderung kepada aliran Syiah[15].

Pada masa yang sama, pengaruh Syiah tidak boleh dipandang sepi oleh Jabatan-jabatan Agama Islam andai mereka mahu mengekalkan status quo bahawa akidah dan sumber hukum yang dipegang di Malaysia ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie.

Hal ini demikian kerana cabaran Syiah membuka lembaran baru usaha mempertahankan status quo tersebut apabila selama ini, perkelahian yang tampak antara umat Islam sesama umat Islam masih dilingkungi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (seperti Syafie – Wahabi; Syafie – Salafi; Syafie – Hambali; UMNO – PAS daripada segi politik).

Justeru, sudah semestinya dakyah atau gerakan Syiah ini berasal daripada pemikiran Islam seawal zaman kehadiran Islam di Nusantara/Kepulauan Melayu/Tanah Melayu kerana sudah tentulah blueprintnya wujud pada masa tersebut.

Gerakan Syiah bukanlah sesuatu yang baharu dan asing daripada segi kewujudannya; oleh sebab itu, adalah wajar untuk diteliti sama ada pengaruh aliran tersebut hadir seawal kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi bagi memahami kewujudannya dan pengaruhnya dalam pemikiran akidah di Malaysia.

Hal ini sekali gus akan dapat memberikan kepada kita gambaran sebenar sejarah amalan dan ibadah yang telah sebati dengan masyarakat Islam di sini dan memberikan peluang untuk kita memahami perkembangan amalan-amalan tersebut sehingga menyebabkan umat Islam di Malaysia telah menerimanya sebagai amalan harian.

 

Nota hujung


[1] Laporan Bernama 31/10/11 yang antara lain menyebut salah seorang pengikut Syiah memfailkan saman terhadap JAIS dan Utusan berkenaan serbuan yang membawa kepada penangkapannya Disember tahun lepas. Hakim bagaimanapun telah membenarkan pembatalan saman oleh JAIS dan Ketua Pengarahnya pada ketika itu, Dato’ Khusrin Munawi.

[2] Di peringkat Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal ehwal Ugama Islam (dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsan) pada 1996 misalnya telah memutuskan tujuh ketetapan berkaitan Syiah yang antara lain memansukhkan penerimaan amalan Syiah Zaidiyah dan Imamiyah di Malaysia dan menetapkan bahawa agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri perlulah ditetapkan sebagai berasaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah daripada segi Akidah, Syariah dan Akhlak. Contoh lain ialah Keputusan Fatwa bagi Jawatan kuasa Perundingan Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor misalnya mendapati ajaran Syiah bersalahan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sambil menyatakan tiga cara penyebaran Syiah di Malaysia iaitu melalui 1. Lawatan pembesar daripada Iran, 2. Pelajar yang ditawarkan belajar di Iran dan 3. Hadiah buku kepada perpustakaan, umum dan kedai buku terkenal. Untuk rujukan lanjut teks sila lihat http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/syiah-di-malaysia dan http://www.e-fatwa.gov.my/tagging-kod-isu/1996khas.

[3] Sebenarnya, perkara inilah yang menjadi titik persoalan berkenaan kedatangan Islam di Kepulauan Melayu yang kini dibayangi oleh dogma yang mengatakan Islam hadir melalui ajaran Sufi dan bermazhab Syafie. Pun begitu, andai dirujuk kepada sumber primer seperti Sulalatus-Salatin sekalipun, tidak ada tanda-tanda pengarang menyatakan secara terus apakah mazhab yang dibawa oleh pendakwah Islam pada ketika itu semasa penyebaran agama Islam di kepulauan ini. Sama ada pertikaian mazhab akidah pada ketika itu dikira penting atau tidak untuk pengarang-pengarang ‘hikayat’ tersebut belumlah dapat dipastikan. Bagaimanapun, kajian-kaiian terkini sebenarnya membuktikan bahawa aliran kesufian yang mula-mula tiba di Kepulauan Melayu sebenarnya cenderung kepada pemikiran Syiah.

[4] Misalnya Fasal 54 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor yang menetapkan agar qaul yang muktamad hendaklah daripada Mazhab Syafie, namun andai kesukaran atau berlawanan dengan kepentingan awam maka subfasa (2) menetapkan Jawatan kuasa fatwa boleh mengikut qaul daripada Hanafi, Maliki atau Hanbali. Ayat-ayat yang hampir sama juga ditemui di dalam Seksyen 39, Akta 505 Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan dan Seksyen 54 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor. Bagaimanapun, di Perlis Seksyen 7(4) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Ugama Islam menetapkan bahawa Jawatan kuasa Syariah perlulah menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah dalam mengeluarkan fatwa.

[5] Surah Ali-Imran: 3 ayat 144. Bacaan ayat ini seterusnya disambung pula dengan kata-kata Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, ‘Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Dan barang siapa yang menyembah Allah (sebahagian versi disebut ‘Tuhan Muhammad,’ membawa konotasi yang sama juga iaitu Allah), maka sesungguhnya Dia Maha Hidup, tidak sama sekali akan mati.

[6] Lihat Ahmad Muhd Abd. Ghaffar, Serpihan Ummah Jilid (Kuala Lumpur: Darul Nu’man 1999), 2-7.

[7] Lihat Ahmad Shalaby, Sejarah dan Kebudayaan Islam Jilid 1, Cetakan ke-8, (Singapura: Pustaka Nasional, 2000) 258-259. Sungguhpun wujud golongan yang menyokong Ali pada waktu perselisihan perlantikan kepimpinan selepas kewafatan Nabi, golongan ini tetap menerima perlantikan Abu Bakar As-Siddiq dan bekerjasama dengan beliau. Lihat Mahayudin Yahya, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam (KL: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009) 202.

[8] Pendidikan Sirah Darjah Enam, Edisi Jabatan Agama Johor, (Kajang: Synergymate Sdn Bhd, 1998), 45.

[9] Misalnya ‘Aku (Nabi SAW) adalah kota ilmu sedangkan Ali adalah pintunya.’ Hadis ini dan hadis Ghadir Khum merupakan hadis-hadis yang dianggap lemah atau palsu oleh ulama hadis Ahlus Sunnah. Lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 13-14 dan Abdul Razak Muthalib, 40 Hadis Palsu Popular (Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd., 2011) 66-70 .

[10] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 15 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 202. Akan tetapi, S. H. Nasr menyatakan sungguhpun pendapat tersebut benar (i.e. dikatakan sebagai pandangan orientalis), beliau tetap menegaskan bahawa wujud perbezaan keagamaan dan teologi berkenaan jawatan khalifah/imam . Menurut pandangan Sunni, khalifah ialah pemimpin di peringkat syariah bagi sesebuah komuniti sementara Syiah pula cenderung meletakkan khalifah/imam sebagai pewaris fungsi spiritual yang mewarisi ajaran Nabi. Lihat S. H. Nasr, Ideals and Realities of Islam (London: Allen & Unwin, 1966), 148.

[11] Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 198 dan 201.

[12] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 16

[13] Untuk doktrin golongan Syiah yang lebih panjang, boleh lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, dan Ab. Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin, Kemunculan Aliran Akidah dlm. Perbahasan Akidah Islam (KL: Pustaka Salam, 2007), 139-159 dan Nasr, Ideals and Realities of Islam, 147-176. Tulisan S. H. Nasr mempunyai banyak kecenderungan menyertakan pandangan Syiah apabila kebanyakan tulisannya mengenai aspek teologi/akidah cenderung untuk menonjolkan sudut perspektif ‘Mazhab Imam yang 12’ dan Ismailiyah; walaupun tidak dinafikan sama sekali beliau turut mengulas bersama-samanya sisi pandangan Sunni. Justeru, adalah selamat untuk mengatakan beliau cenderung kepada fahaman Syiah meskipun sering ditonjolkan sebagai mengikuti ‘mazhab Sufi.’

[14] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 17 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 204.

[15] Disebabkan cakap-cakap ini bersifat spekulaitif, tiadalah penulis mahu memperincikan siapa yang dimaksudkan kerana bukti yang nyata masih belum dikemukakan atau ‘kesyiahannya’ masih belum ditonjolkan sendiri oleh pemimpin tersebut.