Tuesday, December 13, 2011

Kalau betul, sila dedahkan

 

Kata-kata Tun Dr Mahathir berkenaan penguasaan Yahudi di US dan pengaruh mereka dalam melancarkan gerakan 'pendemokrasian kerajaan' di negara-negara yang tidak menyokong mereka merupakan satu kata-kata tipikal daripadanya. Bukanlah sesuatu yang rahsia Dr M merupakan seorang pejuang keamanan dan dalam banyak ucapannya dan tulisannya, sering mengaitkan keganasan dan peperangan dengan pengaruh Yahudi di US.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila beliau sendiri tidak dapat mendedahkan sebarang nama mereka yang terlibat dalam gerakan tersebut di Malaysia sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian (12/12/11, m.s. 2) walaupun beliau mengaitkannya dengan kerja NGO, Majlis Peguam dan pembangkang. Penulis tidak ada masalah untuk memahami mengapa beliau beranggapan demikian. Nama ketua pembangkang memang biasanya digunakan dalam hal-hal berkaitan dengan unsur Yahudi dan 'kawan rapatnya' Paul Wolfowitz. Bagaimanapun, permasalahan timbul apabila pihak Dr M dan penyokong citra tersebut kelihatan seolah-olah gagal untuk menjelaskan modus operandi kepada proses pengaruh keyahudian tersebut dengan bukti yang bersifat konkrit dan bukan sekadar 'circumtancial' sahaja.

Benarlah kawan kepada pembuat minyak wangi akan terkena tempias wanginya minyak yang dihasilkan dan yang bersahabat dengan tukang besi pasti akan terkena percikan api serpihan besi, namun perkara tersebut tidak pantas untuk mengatakan seseorang itu menganut ideologi kedua-dua kawannya itu. Kita pasti, sekiranga betul dan wujud dalil konkrit yang Anwar itu bersahabat baik dengan orang Yahudi, sudah semestinya ada puak-puak tertentu yang tetap akan membelanya. Sirah nabawi akan digunakan bagi merasionalkan mengapa beliau boleh berkawan dengan Yahudi. Dalil Al-Quran akan digunakan bagi membela hubungan Anwar Ibrahim dengan Yahudi ini. Hal-hal sebegini ialah sesuatu yang pasti. Alangkan Tuan Guru Sohibus Samahah Datuk Setia DiRaja Nik Aziz pun diakui tarafnya Nabi oleh seorang ustaz mengaku budak - pun dikatakan betul dan sohih, inikan pula sekadar Anwar Ibrahim berkawan dengan Yahudi! penakluk dunia!

Nampak sekali bahawa usaha dalam membuktikan sumber besar yang diterima oleh Anwar Ibrahim dan ''NGO-NGO' tertentu yang ingin menghuru-harakan Malaysia masih lagi di tahap yang cetek. Selagi bukti jelas dan nyata tidak mampu dikemukakan oleh golongan antikonspirasi Yahudi, selagi itulah juga konspirasi tersebut masih bersifat spekulatif. Hal yang sama juga yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim dalam merasionalkan betapa beliau merupakan seorang yang dizalimi sedari beliau memasuki dunia politik lagi. Kezaliman terhadap beliau akan terus dijadikan sebagai senjata yang ampuh untuk pihak pembangkang meraih sokongan daripada rakyat dan sekiranya mereka memenangi PRU, seluruh landskap politik, sejarah, ekonomi dan pendidikan boleh sahaja diubah bagi menyokong perjuangan mereka memerdekakan tanah air! Mereka boleh mengisytiharkan hari cuti baru iaitu kemerdekaan daripada kezaliman BN. Perkara sebegini boleh dilakukan!

Justeru, usaha 'mengantoikan' Anwar Ibrahim, Majlis Peguam dan NGO-NGO tertentu ini perlulah dilakukan dengan betul-betul cermat dan bersungguh-sungguh kerana andai tidak, berita itu sekadar menjadi satu spekulasi yang bermain di dalam nuansa politik; tetapi terlalu sedikit kesannya dalam melunturkan sokongan terhadap mereka. Jelasnya, kalau betullah mereka ini terlibat sebagai ejen US dalam menggulingkan kerajaan, bukti perlu dikemukakan. Dedahkan sumber kewangan. Dedahkan masa perjumpaan. Peranan media massa sangat penting dalam hal ini jadi, bersediakah media massa melakukannya?

Sebab medialah yang boleh mencanang sesuatu dalam perspektif buruk dan baik untuk ditayangkan kepada penonton dan menunjangi persepsi mereka. Umpama Channel NewsAsia yang begitu beria-ia menayangkan banjir kilat di Kajang, seolah-olah betapa teruknya keadaan di Malaysia ketika itu, sedangkan berminggu-minggu lamanya sebelum itu, kota Singa dilanda dengan banjir kilat juga, tenggelam juga premis-premis tertentu; langsung tidak dihebahkan dalam berita mereka (tetapi terkantoi jua dalam internet).

Media menanamkan persepsi penonton terhadap isu semasa; dan Dr M pun perlu sedar keperluan tersebut!

Friday, December 9, 2011

Apa yang beria Ph.D?

 

Terbitan kali ini hendak membincangkan himpunan dan ulasan berkenaan Ph.D; sekadar muntahan persepsi penulis setelah menghadapi sebuah kursus berkaitan kaedah penyelidikan. Ph.D (ejaan yang betul Ph titik, D) ialah ijazah tertinggi yang boleh diperoleh daripada sesebuah universiti. Walaubagaimanapun, hal ini hanya benar dalam dunia pembelajaran akademik seseorang kerana pihak universiti pun biasanya akan lebih meraikan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kerana jasa seseorang itu kepada negara; walaupun beliau tidak mendapat pendidikan rasmi sebagai Ph.D. Dalam beberapa buah negara, wujud juga ijazah yang lebih tinggi daripada Ph.D yang menggunakan huruf D dihadapannya (seperti DSc.) bagi kajian yang disifatkan sebagai sangat-sangat tinggi mutunya.

Dengan namanya sahaja, sudah semestinya orang akan mengaitkannya dengan ‘falsafah.’ Jujur penulis akui bahawa apabila kita mendengar perkataan Doktor Falsafah, sudah semestinya kefalsafahan itu akan bermain di minda kita. Kalau doktor biasa, merawat pesakit maka Doktor Falsafah, sudah tentu akan berfalsafah. Falsafah ialah berkaitan kebijaksanaan dalam keilmuan. Ahli falsafah pula dikaitkan sebagai penggemar hikmah. Malah, tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan istilah ‘sufi’ sendiri kerana ahli tasauf satu ketika dahulu cukup gemar membahaskan falsafah-falsafah berkaitan ketuhanan. Sehinggakan Imam Al-Ghazali menulis karya pentingnya iaitu Tahafut-Al-Falasifah – juga berkaitan berdebatan falsafah (kecelaruan falsafah).

Namun, dalam konteks akademik, lebih-lebih lagi dalam bidang sains, kajian atau penyelidikan yang dikemukakan bagi tujuan Ph.D tidaklah sehingga seseorang calon itu boleh memfalsafahkan sesuatu bidang. Seorang yang memiliki Ph.D dalam bidang sains perubatan misalnya belum tentu dapat berfalsafah mengenai sebab kewujudan sesuatu ubat atau penyakit. Yang biasa mereka kerjakan ialah hendak mencari sesuatu yang ‘baru’ dalam bidang perubatan. Falsafah mengenai perubatan belum tentu disentuh dalam penulisan disertasinya. Pemegang Ph.D dalam ekonomi juga belum tentu dapat membahaskan falsafah ekonomi dunia ini sehingga membawa kepada jatuh bangun sesebuah tamadun bangsa. Pendek katanya, walaupun dikaitkan dengan gelaran falsafah; Ph.D yang dikerjakan bukanlah untuk menyelesaikan masalah dunia!

Jadi, apakah sebenarnya yang dibuat oleh calon Ph.D atau apakah yang diperlukan untuk mendapatkan Ph.D itu sendiri?

Bolehlah dikatakan bahawa jangkaan kepada pemegang ijazah tinggi seperti Ph.D ini seharusnya direndahkan kembali sebagai seseorang yang telah mendapat sesuatu yang lebih tinggi berbanding sebelumnya. Dia bukannya ahli falsafah. Berpijaklah di bumi yang nyata. Belum tiba tahapnya untuk memfalsafahkan sesuatu. Belum lagi dia boleh dikatakan sebagai seorang penggemar hikmah. Malah, dalam banyak keadaan pun, bicara orang yang berPh.D kadang-kala tidak menggambarkan yang dia berilmu; apatah lagi hendak mengatakan dia penggemar hikmah!

Kita dapati bidang ilmu berkembang dengan pesat dan perkara inilah yang menjadi cabaran kepada keertian dalam hasil kajian Ph.D itu sendiri. Hasil kajian pada hari ini mungkin akan menjadi sejarah pada hari esok. Kepesatan ini bukan hanya disebabkan betapa ramainya orang yang berkepinginan untuk membuat Ph.D, malah ditambah pula dengan betapa mudahnya manusia mencapai maklumat bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan dalam sesuatu bidang. Malangnya, maklumat dan ilmu bukanlah segala-galanya dalam kajian seseorang apabila faktor material seperti kewangan dan peralatan/pekakasan/subjek bahan pun perlu diambil kira oleh seseorang pengkaji. Mereka yang gemar melaksanakan kajian in vivo (iaitu secara bahasa mudahnya, menggunakan makhluk contohnya tikus, mencit) misalnya mungkin akan menemui jalan yang sukar andai dilaksanakan di sesebuah negara yang begitu menyanjungi hak haiwan, sementara alatan canggih yang berjuta-juta mungkin menjadi hambatan kepada mereka yang memerlukannya.

Pada masa yang sama, pelajar yang mengaji Ph.D juga dikaitkan dengan cabaran dirinya sendiri untuk menyiapkan segala kerjanya. Pelajar tersebut akan menghadapi pengalaman dan kerenah yang berbeza-beza berbanding rakan-rakannya yang lain kerana tidak akan ada di kalangan mereka yang akan membuat tajuk yang sama! Pada ketika inilah perangai dan fiil manusia akan terpancar terang dan tertonjol kepada persekitarannya. Mana yang sebenarnya hasad akan tertampaklah hasadnya itu. Mana dikalangan mereka yang suka mengambil kesempatan, akan muncullah dengan jelas dan nyata perangai oppurtunisnya kepada kita. Hubungan penyelia-pelajar juga mungkin akan menjadi apa yang dikatakan sebagai pahit-manis. Lain orang lain perasaan dan kesannya. Apa yang penting ialah kemandirian seseorang itu dalam menghadapi sebarang cabaran daripada segenap pelusok arah sama ada berkaitan kajiannya ataupun pengaruh luar. Bak kata iklan Grey’s Anatomy – ‘change is literally the only constant!’ (perubahan ialah satu-satunya yang malar; dipercayai sebagai mempunyai unsur falsafah Heraclitus).

Secara rangkumanya, Ph.D ialah sekeping sijil dan tidak lebih daripada itu. Tiada orang boleh berbangga bahawa dia sudah mempunyai Ph.D kerana kini, begitu ramai juga yang mempunyai Ph.D. Lebih mencabar lagi, begitu ramai juga mereka yang kaya-raya namun ijazah am pun tidak lepas! Secara falsafahnya, Ph.D ialah satu langkah untuk membolehkan seseorang itu diiktiraf sebagai berkebolehan melaksanakan kajiannya sendiri. Namun, tidak semestinya dengannya sahajalah sesebuah kajian itu boleh dilaksanakan. Ambillah contoh Edison, cuba 2000 kali untuk mencari mentol lampu dan selepas itu, barulah beliau berjaya. Daripada satu segi, keraian dalam bidang keilmuan itu sendiri bukanlah sesuatu yang diperhebahkan apatah lagi dalam suasana masyarakat pada hari ini. Dengan tuntutan pengkomersialan, bidang penyelidikan kini bukan sahaja untuk memberikan sumbangan kepada keilmuan, malah merupakan satu cara untuk menjana pendapatan yang lumayan.

Sama ada perkara sebegini akan menyebabkan pencabulan kepada prinsip-prinsip sains yang unggul sebagaimana yang diteorikan oleh Merton, adalah menarik untuk sama-sama merenungkannya. Apa yang pasti, tidak dapat tidak, norma-norma Merton akan menghadapi cabaran yang sengit dalam mempertahankan dirinya sendiri!

Thursday, December 8, 2011

Ekonomi? Apa benda nak bincang tentang ekonomi?

 

Ruangan Rencana dalam Berita Harian (8/12/11) menarik perhatian penulis apabila mengemukakan permasalahan berkaitan perbahasan usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang lepas. Antara ulasan yang diberikan oleh pengarangnya, Anwar Patho Rohman ialah betapa 'rendahnya' mutu perbahasan berkaitan isu ekonomi dalam perhimpunan tersebut dan pembahas yang kebanyakannya hanyut dek aura hendak meletakkan CEO GLC daripada kalangan orang UMNO.

Pembahas seolah-olah sekadar menyanjung tinggi segala usaha Presiden mereka tanpa secara kritikal memberikan input yang berguna kepada persidangan yang disertai oleh mereka. Seolah-olah mereka sekadar memuntahkan kembali apa yang kerajaan sedang lakukan tanpa memberikan cadangan yang bernas dalam aspek penambahbaikan ataupun mencambahkan idea baru. Jarang yang diperkatakan berkaitan peranan UMNO dalam membangkitkan kuasa ekonomi orang Melayu secara menyeluruh terutamanya mereka yang berada di luar bandar, apatah lagi di bandar.

Sekali lagi, dikotomi bandar-luar bandar itu wujud kembali kerana secara dasarnya, keperluan kedua-dua sektor adalah cukup berbeza. Misalnya bagi kawasan luar bandar, kerajaan boleh 'pajakkan' tanah suruh orang bertani, berternak namun di bandar, jangankan hendak bercucuk tanam, menanam pokok hiasan pun kadang-kala tiada tempat lantaran tinggal di flat. Harga barang, makanan dan rumah yang kadang-kala tidak masuk akal menyebabkan kehidupan mereka berada dalam tekanan walaupun mungkin mempunyai gaji yang melebihi RM3000. Hal inilah yang jarang diperkatakan oleh UMNO dan orang UMNO.

Program usahawan juga kini tidak boleh hanya tertakluk kepada luar bandar sahaja. Kini, sudah tiba masanya kerajaan memberikan tumpuan khusus bagi pembangunan usahawan bandar juga. Kita perlu memahami bahawa apabila bercakap mengenai perniagaan, situasi di bandar dan luar bandar cukup berbeza. Mungkin imej dan persepsi seseorang tauke di kampung-kampung tidak menjadi permasalahan sangat; ada dikalangan mereka yang boleh berjaya tetapi kekal menggunakan Waja atau Pesona. Di bandar, lain pula ceritanya. Disebabkan kegiatan mereka jauh lebih kompleks, mereka memerlukan sesuatu yang lebih kerana mungkin terpaksa berurusan secara niaga-ke-niaga (B2B). Jadi, adakah pelanggan mahu menjalinkan kerjasama ataupun urusan perniagaan dengan si tauke hanya memakai MyVi atau ViVa? Imej dan persepsi memainkan peranan penting dalam hal ini walaupun bukan jaminan kejayaan sesuatu peniagaan.

Semua orang bercakap tentang harga perumahan yang telah meningkat tinggi dan usaha kerajaan bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Namun, pada masa yang sama, jarang orang memperkatakan projek perumahan yang mewah dengan harga yang tidak masuk akal; tetapi tetap dibeli oleh orang. Hal ini membuktikan bahawa marginisasi antara yang kaya dan yang miskin sebenarnya semakin meluas. Apabila perumahan yang menelan harga hampir jutaan ringgit seunit masih mempunyai ramai pembeli atau habis dijual, sudah semestinya perkara sedemikian membuktikan kewujudan orang kaya Malaysia yang mampu untuk membelinya. Namun, pada masa yang sama, begitu ramai juga rakyat Malaysia yang begitu sukar untuk memiliki rumah sendiri dan perkara sebegini memberikan gambaran betapa wujudnya juga permasalahan pemilikan rumah bagi mereka yang berpendapatan sederhana. Andai kita mengambil kira komposisi mereka yang pendapatan sederhana jauh lebih besar berbanding yang kaya, sudah tentu perkara ini amat merisaukan kerana jurang antara yang kaya dan yang sederhana sebenarnya bertambah. Tiba ke satu tahap, kewujudan golongan berpendapatan sederhana akan menjadi 'pupus' dek kerana ada yang mungkin mampu menghala ke kategori berpendapatan tinggi sedangkan begitu ramai yang tidak mampu akan jatuh semula ke kategori berpendapatan rendah.

Oleh yang demikian, isu miskin bandar sebeginilah yang seharusnya cuba diselesaikan oleh pihak kerajaan bertunjangkan UMNO kerana mereka yang mempunyai kuasa. Dan orang UMNO ataupun pihak daripada Pakatan perlulah sedar akan kewujudan masalah sebegini kerana tampak sangat akan kurangnya idealisme dan hala tuju bagi menyelesaikan permasalahan ini. Lebih-lebih lagi, dalam konteks ekonomi, perkara sebeginilah yang harusnya diutarakan dalam perbahasan seperti dalam Perhimpunan Agung UMNO kerana membabitkan kepentingan golongan bumiputera yang banyak tergolong dalam kategori sederhana. Sehingga kini, konsep kemiskinan bandar masih lagi dibiarkan dalam keadaan samar sedangkan kewujudnya tidak boleh dinafikan. Sebagai parti yang menunjangi perjuangan orang Melayu, isu ini tidak boleh dipandang sepi kerana kelak akan menjadi duri dalam daging sokongan terhadap UMNO sendiri.

Sebab kepada permasalah ini mungkin berpunca kepada sumber atau maklumat terhadap ekonomi itu sendiri. Sebagaimana yang pernah penulis pernah utarakan, sumber berkaitan ekonomi yang dalam Bahasa Melayu sendiri sangatlah kurang sedangkan yang hendak membincangkannya ialah 'orang UMNO.' Sedangkan minat orang awam tentang ekonomi juga bukanlah berada pada tahap yang baik. Melihat kepada akhbar Bahasa Melayu tempatan sahaja kita boleh nampak betapa sedikitnya ruang yang diberikan kepada sektor ekonomi berbanding yang lain. Malah, cerita artis pun boleh mendapat satu sisipan khas pada hari minggu; tidak termasuk sisipan mini harian tentang mereka. Cerita wartawan hiburan tak dapat jemputan kahwin lebih diraikan berbanding kisah betapa ramainya rakyat Malaysia yang muflis angkara kad kredit. Kesemua itu menunjukkan tahap minda masyarakat Melayu yang tampak masih kurang peka terhadap isu ekonomi.

Hendak salahkan pihak akhbar pun tidak boleh juga kerana mereka pun hendak buat untung. Mengapa hendak sediakan ruang yang banyak kepada isu yang jarang dibaca? Justeru, melainkan anjakan paradigma berlaku dalam keseluruhan masyarakat Melayu, kita pun sebenarnya boleh ramalkan, apakah intipati usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang - puji Perdana Menteri, salahkan pula GLC!

Tuesday, December 6, 2011

Tak boleh selesaikan? Apa susah, salahkan jela yang terdahulu!

 

Berita Harian hari ini (6/12/11) mendedahkan satu berita yang amat penulis takuti akan berlaku kelak dengan tajuk 'Guan Eng salahkan BN isu parkir Bukit Bendera.' Bukanlah kerana Guan Eng merupakan seorang pemimpin DAP, malah kalaulah 'Khalifah Agung Umar Abdul Aziz' Lim seorang pemimpin BN pun akan penulis bangkitkan perkara yang sama. Menyalahkan yang sebelum ini akan segala perkara yang tidak dapat mereka selesaikan sedangkan ketika pilihan raya, mereka mendakwa merekalah jaguh dalam segala hal dan jauh lebih baik daripada parti yang satu lagi.

Soalnya, mengapakah salahkan orang lain atas ketidakupayaan diri sendiri? Kelakuan menyalahkan orang lain itu menampakkan betapa mudahnya mereka memberi alasan ke atas ketidakupayaan mereka tatkala mereka memerintah. Misalnya kalau negara mengalami kerugian, apa susah? Salahkan sahaja BN kerana kegagalan tersebut sebelum ini. BN korup. BN tidak cekap. Jadi, kalau negara ini bankrup pun, senang sahaja alasannya. Sebab sebelum ini, BN punya kerja!

Trend sebegini dapat dilihat dalam segala ketakupayaan pemimpin menyelesaikan masalah mereka sedangkan semasa pilihan raya, ungkapan seperti 'percaya kepada perubahan' atau 'bertindak sekarang' memberikan persepsi betapa mereka kononnya lebih baik daripada yang satu lagi. Namun, apabila sudah memegang tampuk, lain pula ucapannya.

Ambil contoh, Obama. Sebelum dipilih menjadi Presiden US, begitu berkarisma sekali beliau ini menyampaikan, berhujah, berdebat untuk 'mengubah dunia.' Polisi akan diperbaharui. Ekonomi akan direformasikan kepada yang lebih baik. Askar US di Iraq akan kembali sebaik memegang jawatan. Begitulah hebatnya beliau berkempen dan hasilnya, beliau menang bergaya. Dua tahun selepas itu; US perlu tingkatkan lagi siling hutangnya. Askar US barulah hendak pulang ke tanah air walaupun dipujuk rayu oleh pemerintah Iraq sendiri supaya tinggal lebih lama kerana masih huru hara. Pengangguran meningkat. Dan akhirnya, terkeluar juga daripada mulutnya betapa beliau mewarisi keadaan yang begitu teruk sedangkan satu ketika dahulu, beliaulah 'permata negara.' Ucapan retoriknya kini sudah semakin kurang kedengaran dan mungkin hanya akan muncul ketika mempertahankan jawatannya sahaja. Secara asasnya, berdasarkan pengaruh di Kongres, beliau sudah ketinggalan berbanding sesiapa sahaja yang bakal ditandinginya daripada Republikan kerana pengaruh mereka melebihi beliau.

Oleh yang demikian, kejayaan beliau memenangi jawatan Presiden kini sudah semakin dilupakan dek tanggungan dan kebertanggungjawaban beliau yang masih tidak selesai. Populariti beliau semakin terancam apabila sudah ada yang mula mempertikaikan janji manis yang tidak tertunai lagi. Sudah semestinya beliau terpaksa bekerja berganda dengan keadaan sedia ada bagi mengekalkan jawatannya untuk sepenggal lagi.

Keadaan sebegini perlu diinsafi oleh pihak di Malaysia sama ada pihak kerajaan apatah lagi pihak pembangkang. Kalau kita sudah sampai menyalahkan orang lain setelah bertahun-tahun memerintah, dan banyak keputusan eksekutif telah dibuat oleh kita sendiri, adakah kita hendak salahkan orang lain atas kegagalan kita. Kalau tak mahu teruskan, pancung awal-awal. Tetapi kalau sudah janji muluk tetapi tidak dapat diselesaikan, salah orang lain juga, bagaimana hendak dikatakan pemimpin berkesan dan cekap?

Alangkah mudahnya kita menjadi pemimpin yang diamanahkan oleh masyarakat kalau begitulah caranya! Kerja tak setel, seterulah sebabnya! Pak Man jual buah pun boleh jadi pemimpin negara!

Sunday, December 4, 2011

Perbankan Islam: Alatan, pengkelasan dan pendekatan kefahaman

 

Pendahuluan

Bank Islam dan perbankan Islam merupakan sebuah sistem yang dihidupkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan yang berteraskan prinsip-prinsip syariah dan menjauhi sebarang unsur riba dan ketaktentuan. Sistem sebegini mendapat perhatian yang amat menggalakan daripada pelanggan-pelanggan perbankan dalam mencari alternatif kepada perbankan konvensional yang sudah bertapak secara bersistematik dalam tempoh yang agak lama. Bagaimanapun, dengan atribut 'Islam' itu sendiri pada namanya menjadikan persepsi yang tinggi daripada masyarakat terhadap bank Islam dan perbankan Islam.

Nama 'Islam' seolah-olah menggambarkan betapa jernih, tulus dan ikhlasnya sesuatu transaksi perkhidmatan tersebut sehingga dikaitkan dengan perlunya kadar yang dikenakan lebih 'murah' dan tidak berlaku sebarang 'kezaliman.' Oleh yang demikian, apabila pelanggan membandingkan secara zahir akan kadar yang ditawarkan oleh bank Islam dan perbankan Islam lebih tinggi daripada yang konvensional sudah tentulah mereka merasakan yang bank Islam dan perbankan Islam 'tak cukup Islam,' sama sahaja dengan perbankan konvensional ataupun lebih mahal daripada perbankan konvensional.

Oleh sebab itu dalam konteks Malaysia, kita dapat perhatikan beberapa tokoh ilmuan yang cuba memberikan penjelasan mengapakah penyimpangan imej bank Islam dan perbankan Islam ini timbul dengan mengemukakan hujah-hujah yang bernas bagi merasionalkan kesejadian (nature) bank Islam dan perbankan Islam. Terbitan-terbitan makalah di majalah, blog juga buku menjelaskan secara terperinci mengenai sistem perbankan Islam agar pembaca dapat memahami apakah sebenar-benarnya perbankan Islam.

Tulisan kali ini turut berhasrat untuk mengambil langkah yang sama melalui sudut pandangan yang berbeza iaitu cuma mengkategorikan jenis-jenis alatan perbankan Islam kepada kesejadiannya yang berbeza-beza. Hal ini demikian bagi membolehkan kita lebih memahami asas kepada perbankan Islam yang mempunyai pendekatan yang sama tetapi perlaksanaan dan alatan yang berbeza. Dengan itu, barulah kita boleh memahami mengapakah perbankan Islam boleh melakukan atau menyediakan harga-harga yang kelihatan 'tidak Islam' atau lebih mahal berbanding sistem perbankan konvensional. Bagi mencapai maksud tersebut, adalah penting juga kita mengetahui sedikit sebanyak produk-produk perbankan Islam yang ditawarkan di dalam pasaran sedia ada.

Produk-produk perbankan Islam.

Produk-produk perbankan Islam ialah alatan (instruments) yang digunakan bagi membolehkan urusan dilaksanakan antara pelanggan dan penyedia perkhidmatan. Produk-produk ini jugalah yang menyediakan kontrak-kontrak (akad) berbeza bagi tujuan berbeza mengikut 'kesesuaian' sesebuah urus niaga. Lazimnya, produk-produk ini didasari oleh kaedah-kaedah fiqh muamalat yang telah disusun oleh ulama-ulama muktabar berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Akan tetapi, untuk tujuan terbitan ini, penulis menyenaraikan secara ringkas dan padat produk-produk popular yang wujud di pasaran perbankan Islam untuk membolehkan kita mengaitkannya dengan pengkelasan yang akan dibuat kelak.

Al-Ba‘i (selepas ini ditulis sebagai Al-Bai)

Secara literalnya bermaksud jual. Namun, biasanya digunakan untuk mengistilahkan 'jual-beli'[1] iaitu akad yang membolehkan pertukaran barangan oleh yang menjual dan yang membeli. yang dipersetujui nilai tukarannya melainkan dengan barang yang sama. Namun, perantara atau pertukaran yang biasanya difahami ialah antara barang/perkhidmatan dengan wang. Peranan wang suatu ketika dahulu sebagai 'perantara' kini telah bertukar menjadi objek. Antara produk al-Bai yang terkenal ialah:

  1. Murabahah iaitu jual-beli dengan tambahan keuntungan yang dicaj kepada pembeli berbanding kos keseluruhan sebenar dan tambahan tersebut diisytiharkan dalam akad tersebut. Alatan sebegini biasanya digunakan dalam pembiayaan perbankan dengan konsep bank membeli terlebih dahulu sesuatu aset ataupun produk lalu dijualkan kepada pengguna dengan harga yang ditambah dengan kos perkhidmatan dan keuntungan yang telah ditetapkan. Andai dilihat daripada satu sudut, alatan murabahah merupakan alatan yang paling telus kerana harga sebenar, kos perkhidmatan dan kadar keuntungan yang tetap telah termaktub di dalam perjanjian (akad/kontrak) jual beli. Bagaimanapun, keadaan yang ‘ideal’ untuk urus niaga ini ialah selesai dalam satu majlis yang sama. Perubahan kepada tata cara kontrak yang membawa kepada kaedah pembayaran ansuran yang dikenali sebagai pembayaran tangguh ialah Al-Bai bitaman ajil.
  2. Al-Bai bithaman ajil iaitu jualan sesuatu aset dengan pembayaran yang dibuat ialah dengan cara ansuran. Kontrak ini ialah bagi membolehkan klausa berkenaan masa dan tempat bagi majlis akad seperti yang termaktub dalam konsep murabahah menjadi sesuatu yang ‘ditangguh.’ Dalam bahasa mudah, pembayaran secara kredit. Contoh kepada pembiayaan sebegini ialah perumahan, kenderaan dan pendidikan. Secara amnya, kontrak pembelian secara ini masih menimbulkan pertikaian terutamanya bagi keterwujudannya yang disifatkan sebagai terlalu menyamai sistem konvensional.
  3. As-Salam iaitu jualan secara pesanan dengan bayaran didahulukan. Pada asasnya jualan sepatutnya pada satu jangka masa yang sama (i.e. majlis yang sama) dengan penerimaan produk dan pembayaran. Namun, jual-beli salam membenarkan barang tersebut diserahkan lewat. Biasanya kaedah ini digunakan bagi membolehkan tempahan seperti pakaian dan produk yang dibuat mengikut kekendak pelanggan (custom made).

Al-Ijarah Thumma Bai

Permasalahan Al-Bai bithaman ajil menjurus kepada keabsahan pihak bank menarik balik aset atau produk yang telah dijual seandainya si pembeli tidak membayar ansuran bulanan.[2] Juga berlaku permasalahan apabila kaedah ini menyebabkan seolah-olah pembeli membeli daripada penjual aset/produk, kemudian menjual kepada bank, akhirnya bank menjual semula kepada pembeli yang menyamai konsep Al-Inah yang diharamkan oleh majoriti ulama. Justeru, konsep sewa dahulu berakhir dengan pembelian dikatakan sebagai konsep yang lebih tepat kerana bayaran ansuran tersebut dikira sebagai bayaran ‘sewaan.’ Bagaimanapun, masih wujud pertikaian kerana seolah-olah wujud dua akad dalam satu kontrak sedangkan menurut pandangan fiqh klasik, tidak wujud dua transaksi dalam satu akad yang sama. Juga terdapat persoalan status kepada kebertanggungjawaban dan hak kerana terdapat keadaan berat sebelah yang memihak kepada bank seperti pembayaran cukai dan pampasan insuran/takaful.[3]

Mudharabah

Diterjemahkan secara bebas sebagai perkongsian (terutamanya dalam silibus sekolah menengah dan perniagaan asas di universiti!) namun hakikat sebenarnya ialah pelaburan.[4] Hal ini demikian mudharabah bukannya perkongsian kerja sebaliknya lebih bersifat pelaburan daripada pihak penanam modal dengan pelaksana peniagaan dengan keuntungan dibahagikan dengan kadar yang disepakati. Pihak bank Islam biasanya menggunakan konsep ini dengan menjadikannya sebagai ‘skim simpanan’ pelanggan dengan kadar keuntungan yang menarik. Namun, perlu diingat bahawa disebabkan kontrak ini merupakan kontrak pelaburan, seandainya berlaku kerugian dalam pelaburan yang dilaksanakan oleh bank sehinggakan tidak balik modal, secara fundamentalnya, bank tidak boleh disabitkan dengan sebarang tanggungan. Hal ini demikian kerana konsep mudharabah meletakkan tanggungan kerugian itu kepada penanam modal[5] dan pelaksana peniagaan telah pun ‘rugi’ kerana tidak dapat membuat ‘keuntungan.’ Dalam bahasa mudah, bank tidak boleh dipersalahkan seandainya berlaku kerugian yang membawa kepada kehilangan modal.

Musyarakah

Diterjemahkan secara bebas sebagai syarikat. Konsep ini merupakan konsep yang sangat luas dan tidak semata-mata menjurus kepada syarikat dalam erti kata 'syarikat perniagaan.' Misalnya satu konsep baharu yang bertujuan menggantikan bai bitaman ajil iaitu musyarakah mutanaqisah iaitu perkongsian pemilikan yang berakhir dengan pemilikan sebelah pihak (secara meningkat). Cara yang digunakan ialah melalui 'suntikan modal' terhadap baki bayaran yang perlu dibuat oleh pembeli dan kemudian, membuat dua kontrak iaitu sewaan (bayaran bulanan yang perlu dibuat oleh pembeli) dan jualan milikan aset/produk tersebut secara beransur kepada pembeli. Dalam erti kata mudah, 'sewaan' tadi seolah-olah berubah kepada pembelian menjelang masa yang telah ditetapkan.

Wadi'ah (dibaca wa-di-'ah)

Pada asalnya lebih menjurus kepada konsep simpanan barang dan kini digunakan dengan meluas untuk simpanan wang dalam bank. Seseorang itu menyimpan wang di dalam bank dengan pihak bank diberikan tanggungjawab sepenuhnya bagi menguruskannya dan mengizinkan pihak bank untuk menggunakan wang simpanan tersebut bagi menjana keuntungan bank dan pihak banklah yang paling berhak terhadap keuntungan tersebut (tetapi bank boleh berkongsi keuntungan tersebut dengan pihak pelanggan). Dalam maksud skim simpanan, kaedah wadi‘ah merupakan kaedah paling selamat kerana secara konseptualnya, apa yang disimpan itulah apa yang sepatutnya diterima semula sekiranya pelanggan mahu membuat pengeluaran. Namun, masih tidak diketahui sama ada prinsip sedemikian terpakai dalam mekanisme simpanan di bank Islam dan perbankan Islam di sini kerana seandainya simpanan tersebut besar (ratusan ribu atau jutaan ringgit misalnya), dan digunakan oleh pihak bank untuk perniagaan mereka, namun sekiranya bank menjadi bankrap angkara peniagaan tersebut, adakah simpanan tadi boleh terpelihara setidak-tidaknya pada jumlah asalnya?

Ar-Rahn

Ar-Rahn merupakan gadaian secara Islam iaitu produk atau harta yang digadai bagi mendapatkan pembiayaan. Macam iklan dalam televisyen, 'dapat pinjaman sehingga 60 peratus harga barang!' Dari beberapa sudut, gadaian merupakan sesuatu yang lebih jelas dan selamat untuk kedua-dua pembiaya dan yang dibiaya kerana setidak-tidaknya sudah ada sesuatu yang dicagarkan untuk memperoleh wang.

Takaful

Alatan ini dikatakan sebagar insuran secara Islam bagi menggantikan 'harga nyawa' yang 'dicagarkan/diperjudikan' oleh insuran konvensional. Konsepnya sebenarnya mudah iaitu saling-membantu antara satu sama lain dengan tabungan wang yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan. Namun, timbul persoalan apabila wujud pandangan tertentu yang mengatakan bahawa adalah silap untuk mengatakan sistem konvensional mengaplikasikan unsur perjudian kerana pada asasnya, insuran yang mereka wujudkan bukanlah untuk 'memperjudikan' aset atau nyawa seseorang! Oleh yang demikian, golongan sebegini mengkritik pihak yang menganjurkan konsep takaful dengan menyandarkan hujah bahawa sistem insuran konvensional sebagai sebagai sistem yang mempunyai unsur perjudian.

Demikianlah beberapa alatan kewangan Islam yang diaplikasikan oleh sistem perbankan Islam. Setiap alatan yang diwujudkan mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing namun keterwujudannya sedikit sebanyak memberikan pilihan kepada pelanggan untuk melangkaui urus niaga yang mempunyai pengaruh riba. Suka diingatkan masih terdapat banyak lagi alatan-alatan perbankan Islam yang digunakan di pasaran namun cukuplah sekadar menyebut di sini beberapa jenis yang popular untuk tujuan bandingan.

 

Pengkelasan alatan kewangan Islam

Disebabkan alatan-alatan kewangan Islam ini merupakan derivatif daripada konsep fiqh muamalat yang muktabar, pembahagian asalnya lebih merujuk kepada ketersediaan kontrak terbabit. Salah satu cara ialah dengan membahagikannya kepada dua jenis iaitu kontrak pertukaran berbalas pemilikan harta dan kontrak partisipasi. Pengkelasan ini menjadi asas kepada penulisan Zaharuddin Abd. Rahman dalam bukunya Panduan Perbankan Islam[6]. Alatan yang dimasukkan dalam kontrak pertukaran berbalas pemilikan harta ialah seperti murabahah, bai bitaman ajil, bai as-salam dan ijarah. Sementara kontrak pratisipasi ialah mudharabah dan musyarakah. Dapatlah dilihat di sini pembahagian sebegini menjurus kepada kontrak yang berunsur 'jual-beli' dan yang berunsur 'usaha sama dan modal'. Cara begini lebih menampakkan bahawa terdapat alatan yang menjurus kepada bank sebagai penjual dan bank sebagai rakan kongsi perniagaan.

Cara kedua ialah yang dikemukakan oleh ElGindi et. al yang secara mudah membahagikan alatan-alatan tersebut kepada dua kumpulan iaitu yang berasaskan perkongsian keuntungan/kerugian dan yang tidak berasaskan perkongsian keuntungan/kerugian.[7] Alatan yang termasuk dalam kategori perkongsian tersebut ialah mudharabah dan musyarakah sementara yang tidak bersifat demikian ialah seperti Al-Bai, Ijarah dan Qard Hassan. Walaupun kelihatan seperti sama dengan usul pengkelasan yang dikemukakan oleh Zaharuddin, pengelasan ini lebih bersifat liberal apabila sebarang transaksi yang tidak berasaskan kepada perkongsian boleh dimasukkan ke dalam kategori bukan-perkongsian tadi. Dan nyata sekali, berasaskan kepada fahaman fiqh klasik, hanya dua alatan sahaja yang boleh diletakkan sebagai 'perkongsian' iaitu mudharabah dan musyarakah.

 

Rangka kerja pemahaman perbankan Islam

Apabila kita memperkatakan bank Islam dan perbankan Islam, lantas yang bermain difikiran kita ialah 'bank Islam' bersaing dengan 'bank konvensional' atau seolah-olah bagaimanakah sebuah sistem yang diterima pakai secara turun temurun itu hendak 'diIslamkan.' Hal sebegini menjadi cabaran kepada umat Islam kerana ketiadaan idea asli dan ampuh bagi membentuk acuan sistem perbankan Islam. Soalnya, adakah bank Islam perlu menyediakan keserupaan yang sama dengan sistem konvensional namun sekadar menjadikannya sebagai 'cara Islam?'

Untuk itu, kita kembali semula kepada konsep wang sebagai perantara dan bukannya objek kepada sesebuah transaksi, justeru menjadikan sebahagian besar daripada alatan perbankan Islam itu sendiri sebagai kontrak 'bukan-duit,' seterusnya menjadikan bank Islam itu sebagai sebahagian daripada 'syarikat jualan.' Hal ini bermaksud, kontrak-kontrak seperti pembiayaan perumahan dan kenderaan bukanlah dalam maksud 'biaya' itu sendiri malah sebenarnya lebih kepada jual-sewa-beli. Perkara ini sudah tentu boleh dikaitkan dengan pengkelasan yang telah dicadangkan sebentar tadi apabila wujudnya kontrak yang berbentuk pelaburan dan satu lagi kontrak yang berakhir dengan pemilikan oleh pelanggan.  Paradigma sebeginilah yang perlu diperkasakan oleh pihak yang berkepentingan dan pemasar perbankan Islam kerana dalam kebanyakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank dan perbankan Islam, pelanggan sebenarnya membeli/menyewa sesuatu aset/produk daripada bank dan akhirnya setelah bayaran penuh, maka harta terbabit akan menjadi milik pelanggan.

Cabaran utama bagi kaedah kefahaman sebegini ialah apabila melibatkan pembelian jangka sederhana seperti kereta kerana terdapat kecenderungan pelanggan yang membeli kereta hanya untuk digunakan sekitar tiga atau empat tahun dan kemudian ingin menjualnya kembali. Maka, ada wajarnya pendekatan yang lebih segar dan boleh diamalkan dirangka oleh ilmuan dan pemain industri supaya dapat menyelesaikan permasalahan yang berbangkit melalui transaksi sebegini.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, penjelasan yang bersistematik dan lebih tepat harus digunakan oleh pihak pemasar perkhidmatan perbankan Islam bagi memudahkan pemahaman orang awam mengenainya dan agar dapat memberikan maklumat yang tepat kepada pengguna. Hal ini akan dapat membolehkan pengguna/pelanggan untuk memahami perbezaan yang amat ketara antara sistem perbankan Islam dengan perbankan konvensional sekali gus dapat menjana satu kefahaman yang lebih jelas dan tepat mengenai perbankan Islam dan bukanlah semata-mata 'mengIslamkan' apa yang telah wujud dalam sistem konvensional.

Usaha pihak kerajaan seperti hal-hal berkaitan peraturan dan undang-undang pun perlu diambil perhatian kerana adalah sesuatu yang janggal seandainya masalah berbangkit di dalam kapasiti syariah dibicarakan di dalam kamar mahkamah sivil sedangkan peruntukan berkaitan muamalah jelas sekali menjurus kepada bidang kuasa syariah. Pada masa yang sama, peraturan tentang hak pemilikan juga perlulah diselesaikan kerana bagaimanakah kita merasionalkan sesebuah aset/produk itu adalah milik seseorang sedangkan manfaatnya milik orang lain?[8]

Satu lagi perkara penting yang begitu sukar untuk diselesaikan ialah apabila jual-beli itu membabitkan sesuatu yang masih belum siap seperti projek perumahan yang masih sedang berjalan. Amalan perumahan baru di Malaysia menyebabkan timbul isu pembelian sesuatu yang masih belum pasti kerana rumah yang dibeli sebenarnya masih belum siap. Sedangkan pelanggan telah mengikat kontrak dengan pihak bank dan wang yang diperlukan oleh pemaju sudah pun diselesaikan. Malangnya, pemaju yang gagal menyelesaikan pembinaan rumah tersebut kini boleh ‘lari’ daripada tanggung jawab kerana urusan dengannya telah dikira ‘selesai.’ Bayar bank bulan-bulan lain cerita! Usaha untuk menjadikan kegagalan pemaju menyiapkan rumah sebagaimana masa yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi yang dijanjikan sebagai satu jenayah merupakan langkah pertama bagi mengatasi masalah tersebut. Akan tetapi, langkah sebegini masih belum tentu dapat menyelesaikan keakuran syariah yang menuntut kepada produk/perkhidmatan/aset yang dijadikan untuk jual beli mestilah dapat dipastikan kewujudannya.[9]

Justeru, isu sebegini memerlukan usaha seluruh pihak yang berkaitan dan berkepentingan (stakeholders) untuk memperkasakan sebuah sistem yang benar-benar malar segar dan releven dengan perkembangan masa. Janganlah kiranya slogan 'Islam itu lengkap' sekadar bertanam tebu di pinggir bibir sahaja kerana kita masih lagi hendak memadankan sesuatu sistem yang mempunyai asas yang cukup berbeza. Usaha ini memerlukan iltizam yang tinggi dan semoga pemain industri dan pihak yang terbabit benar-benar berusaha bagi mewujudkan sebuah sistem perbankan yang sempurna dan setidak-tidaknya boleh diterima di serata dunia.

Nota hujung


[1] As-Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah Jilid 6 terj. Nor Hasanuddin dan Aisyah Saipuddin (Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications, 2010), 34 dan Mustofa Al-Khin, et al. Kitab Fikah Mazhab Syafie Jilid 6 terj. Salehan Ayub (Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 2005), 1285.

[2] Lihat Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Transformasi Fikah Semasa (Batu Caves: PTS Islamika, 2010), 191-192.

[3] Lihat Zaharuddin Abd. Rahman, Panduan Perbankan Islam (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2009), 75-76.

[4] Walaupun tidak dinafikan sama sekali bahawa wujud unsur perkongsian keuntungan dalam hal mudharabah ini. Namun, yang menjadikannya kurang tepat ialah apabila konsep mudharabah ini dibandingkan pula dengan konsep perkongsian perniagaan sebagai salah sebuah cara untuk menjalankan perniagaan (i.e. perniagaan sendiri, perkongsian, syarikat sendirian berhad, syarikat berhad) kerana seandainya pemegang saham beratus orang sekali pun, tetapi urusan dilakukan dengan berasaskan sebelah pihak menyediakan modal dan sebelah pihak lagi menggunakan modal untuk menjana keuntungan secara asasnya tetap dinamakan sebagai mudharabah.

[5] Lihat Syed Mohd Ghazali Wafa et al., Pengantar Perniagaan Islam (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia, 2003), 160.

[6] Bagaimanapun, dalam naskah tersebut beliau ada menjelaskan mengenai pembahagian jenis-jenis kontrak menurut perspektif Islam secara rajah ringkas dan padat. Lihat Zaharuddin, Panduan Perbankan Islam,10 & 17.

[7] ElGindi, T., Said, M. dan Salevurakis, J. W. ‘Islamic alternatives to purely capitalist modes of finance: A study of Malaysian Banks from 1999 to 2006,’ Review of Radical Political Economics vol 41. no. 4 (2009): 516-538. Naskah ini secara radikal telah membandingkan kaedah muamalah dalam Islam dengan sumber sejarah Kristian yang dikatakan sebagai mempunyai banyak persamaan.

[8] Perkara ini acap kali ditimbulkan oleh Zaharuddin Abd Rahman misalnya ketika membincangkan bai bithaman ajil apabila berlaku pertembungan kepentingan antara pemilik secara perundangan (legal ownership) dan pemilik manfaat (beneficial ownership). Lihat contohnya Zaharuddin, Panduan Perbankan Islam, 38-40.

[9] Perkara ini boleh dikaitkan dengan jualan susu yang belum diperah, atau bulu haiwan yang masih belum diketam atau buah-buahan yang masih belum masak. Lihat Mustofa Al-Khin et al., Kitab Fikah Mazhab Syafie, 1325-1329. Juga melanggari syarat mampu untuk diserahkan seperti menjual ikan dalam sungai, menjual burung yang sedang terbang. Lihat Sayyed Sabiq, Fiqh Sunnah, 48-49.

Saturday, December 3, 2011

Calon boleh menang atau masa boleh menang: Antara strategi politik dan politik strategi

 

Telanjur orang tengah bercerita tentang Perhimpunan Agung UMNO pada sela masa begini, elok juga kita ulaskan pandangan orang luar yang 'tidak partisan' terhadap canangan UMNO untuk mengadakan PRU dalam masa terdekat ini. Walaupun UMNO perlu sedia maklum sebarang kelebihan dan risiko yang mereka mesti tanggung, nampak gayanya PRU 13 sudah semakin dekat dengan paluan gendang perjuangan memenanginya dan isu calon yang kini semakin kerap diwar-warkan sebermula daripada ungkapan Presiden mereka, PM Najib.

Kata Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, calon boleh menang boleh dirisik daripada kualiti salah seorang YB, ketika 2004 menang tanpa bertanding, 2008 pun menang tanpa bertanding walaupun PRU ketika itu dikatakan sebagai tsunami politik tanah air. Kalau calon boleh menanglah yang menjadi pemberat terbesar dalam meramal keputusan PRU akan datang, maka sememangnya UMNO perlu bermuhasabah sama ada wujudkah kualiti tertentu yang menyebabkan ahli parlimen tersebut boleh memenanginya dengan begitu mudah! Sudah tentu ada sesuatu yang menarik pada calon tersebut sampaikan beliau boleh menang di tempat yang sama dalam keadaan dua situasi yang jauh kontra; malah menang tanpa bertanding pulak tu!

Kemudian, beliau menyebutkan betapa UMNO sebenarnya masih tidak dapat memenangi hati dan perasaan orang bandar kerana pelbagai usaha yang dibuat hanya nampak berkesan bagi kawasan luar bandar. UMNO sebenarnya tenggelam di kawasan yang sudah membangun pesat dan hal yang demikian bukan sahaja benar untuk UMNO, malah komponen BN turut terpalit dogma yang sama. Penulis telah mengutarakan pendapat yang sama sebelum ini apabila kita lihat PRU 2008, hampir kesemua bandar-bandar besar yang bertaraf ibu negeri pun tumbang kepada Pakatan Rakyat! Sedangkan, daerah bandar inilah tempat di mana kerajaan buat duit sementara di kawasan luar bandar, kerajaan kena keluarkan duit. Justeru, usaha pengampuan sosioekonomi penduduk bandar nampaknya masih belum mencukupi, kalaupun ada; menjelang PRU akan datang kerana kesempitan rakyat yang terpaksa tanggung lantaran kenaikan harga barang yang berterusan.

Bebeza dengan seorang panelis dalam program Bicara Rakyat Sayed Munawar Mustar semalam (Jumaat 2/12/11). Penulis tidak dapat tangkap namanya namun pelat cinanya pekat. Jarang diberikan peluang bercakap namun ideanya barulah boleh dikatakan sebagai 'di luar lingkungan.' Beliau mengaitkan ekonomi sebagai salah satu pembolehubah untuk meramal kemenangan kerana menurut beliau, seandainya kerajaan mampu mewujudkan keadaan ekonomi yang baik, tiada sebab untuk pengundi memilih pembangkang. Beliau turut berhujah bukan masalah orang muda tidak menyokong kerajaan, masalahnya orang muda sendiri tidak pergi mengundi; macam mana hendak sokong parti apa sekali pun? (sambil mengaitkan trend begini ialah sesuatu yang biasa di mana-mana negara pun). Dan satu lagi faktor yang agak kontra dengan momokan yang dibawa oleh UMNO/BN pada pra-PRU ini ialah 'masa boleh menang' yang sebenarnya kurang (atau tiada langsung) dibincangkan oleh parti sendiri. Calon hebat mana pun, kalau masanya tidak tepat, tetap orang akan tidak menyokong mereka. Sedangkan pembangkang, letak posman dan perakam video pun boleh menang! Nampak sekali keputusan PRU 2008 sebenarnya manifestasi saat dan ketika orang tidak sukakan kerajaan pemerintah dan bukannya siapa calon yang diletak oleh kerajaan pada ketika itu. Oleh sebab itu, masa untuk PRU 13 sebenarnya juga merupakan satu lagi pembolehubah yang sangat penting bagi menentukan kemenangan parti yang bertanding.

Justeru, seandainya idea kedua-dua tokoh akademik ini digabungkan bersama, maka pihak kerajaan jualah yang mempunyai kelebihan (secara literalnya) kerana mereka mempunyai calon yang jauh lebih kaliber berbanding lawan mereka dan juga mempunyai kelebihan untuk membuat pembubaran parlimen ketika mereka rasakan mereka boleh menang. Oleh sebab itu, apakah yang sebenarnya ditakutkan oleh UMNO/BN? Adakah dakyah pembangkang dalam media maya lebih hebat berbanding kerja-kerja yang mereka telah laksanakan? Sebab melainkan beberapa buah negeri, BN menguasai majoriti negeri dan peringkat parlimen, justeru mereka mempunyai kelebihan tentang 'masa boleh menang.' Dan usaha berbuih mulut daripada pihak kerajaan pun memberikan kelebihan kepada mereka seandainya mereka berjaya mempromosikan dan menjayakan program-program berorientasikan rakyat untuk menarik sokongan mereka. Dana boleh disediakan oleh pihak BN juga sepatutnya jauh lebih besar berbanding pembangkang. Calon yang mereka kemukakan sedari dahulu pun bukannya tangkap muat sahaja dan kini ditambah pula boleh menang. Jadi, andai berlaku PRU berlaku dan kekalahan jua diterima oleh BN, apa sebenarnya yang mereka tidak ambil kira?

Barangkali mereka yang berkepentingan perlu melihat daripada sudut PRU sebagai satu temuduga untuk mendapatkan kerja. Calon-calon PRU sebenarnya ialah calon untuk mendapatkan kerja dan mereka diberikan masa yang tertentu untuk berkempen mempromosikan diri mereka dan dibantu oleh parti mereka. Canangan calon dan partinya sebenarnya dibandingkan sebagai ucapan yang dibuat ketika seseorang hendak meyakinkan penemuduga bahawa merekalah yang sepatutnya diterima menjadi pekerja. Oleh sebab itu, mereka perlulah mempromosi diri dan parti agar mereka boleh menang pada PRU.

Soal boleh buat kerja? Itu soal kedua. Masa berkempen pom pang-pom pang, semua boleh; lautan api sanggup direnangi dan gunung nan tinggi sanggup didaki. Tetapi selepas dapat jawatan, lain pula ceritanya. Hal begini memang berlaku di dalam alam pekerjaan. Semasa temuduga, kata sanggup bekerja sampai ke malam untuk kepentingan jabatan atau syarikat. Selepas berjaya dalam temuduga, ada yang memang komited, dan ada juga yang tidak kerap curi tulang dan menjadi liabiliti kepada syarikat, begitulah halnya dengan PRU. Kedua-dua pembangkang dan pihak kerajaan pun sedang berkempen dan berpromosi mereka lebih baik daripada yang satu lagi. Soal boleh kerja tu, memang soal nombor dua. Satu pihak boleh menjanjikan bulan dan bintang dan andai dia tidak mampu memenuhinya, PRU akan datang mereka boleh tukar strategi menjanjikan syurga dan kenikmatannya. Dan begitulah pada masa akan datang; umpama yang sudah dibuang kerja boleh pergi mendapatkan pekerjaan yang lain pula.

Jadi, andai rakyat disogokkan dengan keenakan bayangan utopia yang indah-indah daripada kerajaan dan pembangkang, terpulanglah kepada kecerdikan pemilih yang akan menentukannya. Namun, pemilih pula bukanlah kesemuanya mampu untuk menterjemahkan kecerdikan mereka lantaran bukan semuanya pandai mengundi dan pergi mengundi!

Friday, December 2, 2011

Hijrah Wanita Jelmaan

 

Begitulah tajuk hadapan yang dipaparkan di Harian Metro (2/11/11) dengan isi kandungnya berkisar tentang seramai 40 mak nyah yang mengikuti pemulihan yang dianjurkan JAKIM. Satu muka surat daripada akhbar berkenaan turut mendedikasikan berita mengenai Program Mukhayyam ini yang antara lain memberikan fokus untuk mengembalikan semula golongan mak nyah ini ke pangkal jalan. Beberapa pengakuan juga turut disertakan sebagai merasionalkan mengapakah golongan sebegini wujud dan secara tidak langsung memperincikan kesan kepada kehidupan mereka daripada memperhabiskan wang bagi memenuhi kehendak 'kewanitaan' mereka sehinggalah terjebak dengan gejala pelacuran yang keji dan jijik. Bagaimanapun, mereka yang menyertai program ini nampaknya menggagahkan diri juga untuk usaha pulang ke pangkal jalan.

Hal sebeginilah yang seharusnya diambil tahu dan pengajaran bukan sahaja untuk golongan wanita jelmaan ini, malah pertubuhan atau gabungan yang beria-ia sangat hendak memperjuangkan hak mereka seperti Ambiga dan Majlis Peguam. Golongan yang mengeksploitasi isu berkaitan homoseksual ini jelas sekali mempergunakan segenap cara bagi menunjukkan merekalah hero yang memperjuangkan nasib rakyat; padahal, kesan kepada perjuangan mereka sebenarnya amat dahsyat. Kejadian di parlimen berkenaan bangkangan rang Undang-undang Perhimpunan Aman yang secara terang, jelas dan tidak berselindung membabitkan golongan penyokong LGBT, BERSIH dan Majlis Peguam. Adakah mereka kini boleh bekerjasama untuk memperjuangkan idealogi kebebasan manusia sepenuhnya sedangkan golongan yang anti-kerajaan ini turut disertai oleh parti politik bertunjangkan Islam seperti PAS?

Amat tepat sekali usaha yang dilakukan oleh JAKIM, malah boleh dipuji juga muka hadapan Harian Metro terbitan ini. Kita hendaklah mendedahkan golongan yang tidak menyokong tuntutan hak oleh Seksualiti Merdeka bukannya tidak mahu menerima sepenuhnya kewujudan manusia yang 'keliru gender' sebaliknya cenderung supaya mereka kembali ke pangkal jalan. Yang lelaki biarlah jadi lelaki, yang wanita tetap kekal menjadi wanita. Itu sahaja. Malangnya, perkara sebegini dieksploitasi oleh mereka yang jelas mempunyai fahaman keBaratan yang kini menuntut agar masyarakat menerima seadanya mereka ini; dalam erti kata mengiktiraf kewujudan mereka dan memberika ruang dan peluang kepada mereka. Sepatutnya bukannya ruang dan peluang untuk mengiakan gaya hidup mereka, sebaliknya ruang dan peluang untuk kembali ke pangkal jalan!

Pengaruh kesekularan begini begitu tertonjol pada dasar perjuangan seperti BERSIH dan penyokong LGBT. Sama ada pengikut-pengikutnya sedar atau tidak, hanya Tuhan yang Maha Tahu. Namun, daripada apa yang dapat dilihat di sini, nyata sekali mereka mempergunakan arena politik bagi memperjuangkan hasrat mereka, menyelinap masuk ke dalam program-program yang disokong oleh parti pembangkang bagi mendapatkan liputan peringkat antarabangsa (kerana media antarabangsa begitu menyayangi pemimpin pembangkang) akhirnya, menjerut sekali pemimpin pembangkang untuk mengikuti rentak mereka ini. Sebab itulah acap kali ditimbulkan isu yang mencabar status quo terutamanya membabitkan hal yang menyalahi keagamaan, pembangkang pun takut untuk menyuarakan pendapat mereka dengan jelas kerana takut mereka kehilangan undi daripada golongan sebegini (dan macam yang pernah ditulis dalam blog ini akhirnya, UMNO jugalah yang akan menjadi mangsa tomahan mereka).

Seharusnya, program kesedaran dan usaha perubahan kepada fitrah yang dilakukan oleh JAKIM perlulah diraikan lebih lagi dengan liputan media bagi mendorong mereka yang mempunyai masalah sebegini dibimbing dengan cara yang betul; bukannya menyokong 'hak mereka' untuk itu dan ini. Golongan sebegini juga harus di salurkan ke jalan yang betul dan terus diberikan peluang untuk mengubah cara hidup mereka. Peranan masyarakat dalam hal ini bukanlah mengiakan kehidupan mereka atau menyisihkan sama sekali golongan sebegini sebaliknya lebih kepada memberikan semangat untuk berubah kepada fitrah sebagaimana kelahiran mereka ke dunia ini.

Haruslah semua akui, tiada bayi yang lahir sahaja ke dunia ini sebagai lelaki, terus meronta-ronta dalam tangisan kerana hendak menjadi wanita dan begitu juga sebaliknya. Apa yang penting ialah promosi dan acara yang membolehkan mereka kembali ke pangkal jalan dan hidup sebagaiman yang sepatutnya. Manusia semuanya mempunyai kelemahan masing-masing dan kerap melakukan kesilapan. Namun, adakah sokongan perlu diberikan untuk terus terjerumus ke lembah yang salah ataupun untuk kembali kepada jalan yang benar?

Soalan inilah yang harus dijawab oleh kesemua orang; lebih-lebih lagi orang politik!

Thursday, December 1, 2011

Calon boleh menang? Dah kalah macam mana nak menang?

 

Mantra sebenar PM Najib menjelang PRU akan datang ialah calon boleh menang. Mantra ini diulang-ulang daripada semasa ke semasa bagi membuktikan UMNO dan BN begitu serius untuk mengetengahkan calon yang terbaik buat rakyat. Calon boleh menang bukanlah semata-mata tertakluk kepada peringkatn parlimen, malah di peringkat dewan undangan negeri sekali. Calon boleh menang ini menjadi manifestasi kepada perubahan besar dalam UMNO dan BN untuk membuktikan mereka sudah berubah dan akur dengan kehendak rakyat. Benarkah begitu?

Istilah ‘calon boleh menang’ hanya akan menjadi omongan palsu seandainya calon itu tidak menang. Lebih memilukan, kalau calon itu bukan sahaja tidak menang, malah telah ditolak oleh pengundi pada PRU yang lepas. Maka, bagaimanakah UMNO dan BN ingin menetapkan kreteria yang dimaksudkan dengan ‘boleh menang itu?’ Masih kedengaran daripada mulut pemimpin tertinggi parti tersebut betapa mereka akan ‘akur’ dengan kehendak pucuk pimpinan seandainya mereka telah memutuskan calon yang sesuai. Jadi timbul persoalan, kenapa ketika itu tidak memperjuangkan calon yang lebih baik kalau rasakan calon pucuk pimpinan kurang ‘kebolehmenangnya?’

Hal sebeginilah yang menjadi cabaran retorika UMNO dan BN dalam mewar-warkan strategi bertanding mereka kepada umum. Semestinya isu calon menang ini mesti dikaitkan dengan PRU yang lepas apabila begitu ramai sekali orang-orang besar dalam BN yang tumbang kerana keadaan mereka pada ketika itu yang ternyata ‘tidak boleh menang.’ Sekadar menyebut beberapa nama popular, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin (bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (orang kuat, tulang belakang Putera UMNO) dan Senator Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil (sekarang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat). Di antara nama-nama tersebut, ada yang bolehlah dikatakan sudah ditolak ketepi sebagai calon PRU akan datang, namun, bukankah ada juga yang sebenarnya disebabkan atas kapasiti di dalam parti, masih diharapkan untuk menjadi calon selepas ini?

Bayangkanlah nama-nama besar yang suatu ketika dahulu (malah sehingga kini pun) yang menjadi orang kanan di dalam UMNO/BN, apakah nasib mereka akan berbeza lantaran kedudukan mereka mengikut keadaan semasa di dalam parti? Bagaimanakah nasib Pak Lah misalnya yang sungguh pun kini tiada berpangkat namun masih berpengaruh setidak-tidaknya di kawasannya? Adakah seruan ‘yang lama berikan peluang kepada yang baru’ ini sekadar untuk YB-YB berumur pencen namun masih mendapat tempat di mata rakyat walaupun tidak sehebat dahulu? Bagaimanakah mereka hendak merasionalkan calon yang sebelum ini kalah, tetapi diberi peluang sementara calon yang menang dalam PRU lepas tetapi hendak disingkirkan untuk ‘memberi laluan kepada yang muda’ seandainya berlaku keadaan sedemikian kelak?

Sebenarnya, apabila PM Najib meletakkan syarat ‘calon boleh menang’ dengan sendirinya beliau telah menjerat pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang ada pengaruh dalam parti tetapi tiada pengaruh di sisi masyarakat. Ungkapan yang beliau keluarkan itu sebenarnya amat sukar untuk dipenuhi oleh UMNO/BN sendiri kerana begitu banyak pertembungan kepentingan antara UMNO/BN dan kepentingan pengundi. Hal ini disebabkan kuasa politik parti itu lebih besar ertinya semasa PRU berbanding undi rakyat. Akhirnya, UMNO/BN akan sukar untuk mengotakan proklamasi sendiri disebabkan persoalan ‘bolehkah yang begitu berpengaruh di dalam parti hendak digadaikan hanya disebabkan dia kalah pada PRU yang lepas?’

Oleh yang demikian, UMNO dan BN sebenarnya terlebih dahulu bermuhasabah sama ada mereka boleh mengotakan janji mereka meletakkan calon boleh menang kerana ternyata, yang memberi kemenangan kepada calon tersebut pun ialah rakyat sendiri. Terdapat pemimpin atau ahli di dalam UMNO/BN yang ditolak oleh UMNO/BN sendiri ketika pemilihan parti namun lebih diterima oleh masyarakat setempat. Ada pemimpin yang dijulang setinggi-tingginya di dalam parti namun ternyata telah ditolak mentah-mentah oleh masyarakat setempat. Konotasi calon boleh menang itu sendiri sepatutnya ialah kombinasi penerimaan peringkat parti dan masyarakat; malah yang sebenarnya perlu diberatkan ialah di peringkat masyarakat kerana merekalah yang mengundi di PRU, bukannya ahli parti sahaja!

Dengan sogokan semboyan PRU semakin hampir, momokan calon boleh menang itu sendiri menjadi satu masalah besar kepada BN dan UMNO untuk menyediakannya. Sama ada mereka percaya kepada jenama parti atau lebih percaya kepada aura kepimpinan individu, hanya masa sahaja akan memperlihatkan keadaan sebenar. Tatkala kelebihan yang rata-rata memihak kepada pembangkang untuk menyerang segenap sudut kekurangan dan kelemahan BN dan UMNO pada PRU akan datang, masih menjadi enigma bagaimanakah UMNO dan BN akan bertindak bagi mengeluarkan calon boleh menang dengan begitu banyak halangan dan dugaan untuk merealisasikannya.

Pada ketika itulah baru kita akan dapat perhatikan sejauh manakah ahli dan pemimpin parti memerintah ini sanggup bekorban untuk kepentingan parti; dan lebih penting lagi untuk kepentingan rakyat!