Ruangan Rencana dalam Berita Harian (8/12/11) menarik perhatian penulis apabila mengemukakan permasalahan berkaitan perbahasan usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang lepas. Antara ulasan yang diberikan oleh pengarangnya, Anwar Patho Rohman ialah betapa 'rendahnya' mutu perbahasan berkaitan isu ekonomi dalam perhimpunan tersebut dan pembahas yang kebanyakannya hanyut dek aura hendak meletakkan CEO GLC daripada kalangan orang UMNO.
Pembahas seolah-olah sekadar menyanjung tinggi segala usaha Presiden mereka tanpa secara kritikal memberikan input yang berguna kepada persidangan yang disertai oleh mereka. Seolah-olah mereka sekadar memuntahkan kembali apa yang kerajaan sedang lakukan tanpa memberikan cadangan yang bernas dalam aspek penambahbaikan ataupun mencambahkan idea baru. Jarang yang diperkatakan berkaitan peranan UMNO dalam membangkitkan kuasa ekonomi orang Melayu secara menyeluruh terutamanya mereka yang berada di luar bandar, apatah lagi di bandar.
Sekali lagi, dikotomi bandar-luar bandar itu wujud kembali kerana secara dasarnya, keperluan kedua-dua sektor adalah cukup berbeza. Misalnya bagi kawasan luar bandar, kerajaan boleh 'pajakkan' tanah suruh orang bertani, berternak namun di bandar, jangankan hendak bercucuk tanam, menanam pokok hiasan pun kadang-kala tiada tempat lantaran tinggal di flat. Harga barang, makanan dan rumah yang kadang-kala tidak masuk akal menyebabkan kehidupan mereka berada dalam tekanan walaupun mungkin mempunyai gaji yang melebihi RM3000. Hal inilah yang jarang diperkatakan oleh UMNO dan orang UMNO.
Program usahawan juga kini tidak boleh hanya tertakluk kepada luar bandar sahaja. Kini, sudah tiba masanya kerajaan memberikan tumpuan khusus bagi pembangunan usahawan bandar juga. Kita perlu memahami bahawa apabila bercakap mengenai perniagaan, situasi di bandar dan luar bandar cukup berbeza. Mungkin imej dan persepsi seseorang tauke di kampung-kampung tidak menjadi permasalahan sangat; ada dikalangan mereka yang boleh berjaya tetapi kekal menggunakan Waja atau Pesona. Di bandar, lain pula ceritanya. Disebabkan kegiatan mereka jauh lebih kompleks, mereka memerlukan sesuatu yang lebih kerana mungkin terpaksa berurusan secara niaga-ke-niaga (B2B). Jadi, adakah pelanggan mahu menjalinkan kerjasama ataupun urusan perniagaan dengan si tauke hanya memakai MyVi atau ViVa? Imej dan persepsi memainkan peranan penting dalam hal ini walaupun bukan jaminan kejayaan sesuatu peniagaan.
Semua orang bercakap tentang harga perumahan yang telah meningkat tinggi dan usaha kerajaan bagi membantu rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Namun, pada masa yang sama, jarang orang memperkatakan projek perumahan yang mewah dengan harga yang tidak masuk akal; tetapi tetap dibeli oleh orang. Hal ini membuktikan bahawa marginisasi antara yang kaya dan yang miskin sebenarnya semakin meluas. Apabila perumahan yang menelan harga hampir jutaan ringgit seunit masih mempunyai ramai pembeli atau habis dijual, sudah semestinya perkara sedemikian membuktikan kewujudan orang kaya Malaysia yang mampu untuk membelinya. Namun, pada masa yang sama, begitu ramai juga rakyat Malaysia yang begitu sukar untuk memiliki rumah sendiri dan perkara sebegini memberikan gambaran betapa wujudnya juga permasalahan pemilikan rumah bagi mereka yang berpendapatan sederhana. Andai kita mengambil kira komposisi mereka yang pendapatan sederhana jauh lebih besar berbanding yang kaya, sudah tentu perkara ini amat merisaukan kerana jurang antara yang kaya dan yang sederhana sebenarnya bertambah. Tiba ke satu tahap, kewujudan golongan berpendapatan sederhana akan menjadi 'pupus' dek kerana ada yang mungkin mampu menghala ke kategori berpendapatan tinggi sedangkan begitu ramai yang tidak mampu akan jatuh semula ke kategori berpendapatan rendah.
Oleh yang demikian, isu miskin bandar sebeginilah yang seharusnya cuba diselesaikan oleh pihak kerajaan bertunjangkan UMNO kerana mereka yang mempunyai kuasa. Dan orang UMNO ataupun pihak daripada Pakatan perlulah sedar akan kewujudan masalah sebegini kerana tampak sangat akan kurangnya idealisme dan hala tuju bagi menyelesaikan permasalahan ini. Lebih-lebih lagi, dalam konteks ekonomi, perkara sebeginilah yang harusnya diutarakan dalam perbahasan seperti dalam Perhimpunan Agung UMNO kerana membabitkan kepentingan golongan bumiputera yang banyak tergolong dalam kategori sederhana. Sehingga kini, konsep kemiskinan bandar masih lagi dibiarkan dalam keadaan samar sedangkan kewujudnya tidak boleh dinafikan. Sebagai parti yang menunjangi perjuangan orang Melayu, isu ini tidak boleh dipandang sepi kerana kelak akan menjadi duri dalam daging sokongan terhadap UMNO sendiri.
Sebab kepada permasalah ini mungkin berpunca kepada sumber atau maklumat terhadap ekonomi itu sendiri. Sebagaimana yang pernah penulis pernah utarakan, sumber berkaitan ekonomi yang dalam Bahasa Melayu sendiri sangatlah kurang sedangkan yang hendak membincangkannya ialah 'orang UMNO.' Sedangkan minat orang awam tentang ekonomi juga bukanlah berada pada tahap yang baik. Melihat kepada akhbar Bahasa Melayu tempatan sahaja kita boleh nampak betapa sedikitnya ruang yang diberikan kepada sektor ekonomi berbanding yang lain. Malah, cerita artis pun boleh mendapat satu sisipan khas pada hari minggu; tidak termasuk sisipan mini harian tentang mereka. Cerita wartawan hiburan tak dapat jemputan kahwin lebih diraikan berbanding kisah betapa ramainya rakyat Malaysia yang muflis angkara kad kredit. Kesemua itu menunjukkan tahap minda masyarakat Melayu yang tampak masih kurang peka terhadap isu ekonomi.
Hendak salahkan pihak akhbar pun tidak boleh juga kerana mereka pun hendak buat untung. Mengapa hendak sediakan ruang yang banyak kepada isu yang jarang dibaca? Justeru, melainkan anjakan paradigma berlaku dalam keseluruhan masyarakat Melayu, kita pun sebenarnya boleh ramalkan, apakah intipati usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO akan datang - puji Perdana Menteri, salahkan pula GLC!
No comments:
Post a Comment