Terbitan kali ini hendak membincangkan himpunan dan ulasan berkenaan Ph.D; sekadar muntahan persepsi penulis setelah menghadapi sebuah kursus berkaitan kaedah penyelidikan. Ph.D (ejaan yang betul Ph titik, D) ialah ijazah tertinggi yang boleh diperoleh daripada sesebuah universiti. Walaubagaimanapun, hal ini hanya benar dalam dunia pembelajaran akademik seseorang kerana pihak universiti pun biasanya akan lebih meraikan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kerana jasa seseorang itu kepada negara; walaupun beliau tidak mendapat pendidikan rasmi sebagai Ph.D. Dalam beberapa buah negara, wujud juga ijazah yang lebih tinggi daripada Ph.D yang menggunakan huruf D dihadapannya (seperti DSc.) bagi kajian yang disifatkan sebagai sangat-sangat tinggi mutunya.
Dengan namanya sahaja, sudah semestinya orang akan mengaitkannya dengan ‘falsafah.’ Jujur penulis akui bahawa apabila kita mendengar perkataan Doktor Falsafah, sudah semestinya kefalsafahan itu akan bermain di minda kita. Kalau doktor biasa, merawat pesakit maka Doktor Falsafah, sudah tentu akan berfalsafah. Falsafah ialah berkaitan kebijaksanaan dalam keilmuan. Ahli falsafah pula dikaitkan sebagai penggemar hikmah. Malah, tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan istilah ‘sufi’ sendiri kerana ahli tasauf satu ketika dahulu cukup gemar membahaskan falsafah-falsafah berkaitan ketuhanan. Sehinggakan Imam Al-Ghazali menulis karya pentingnya iaitu Tahafut-Al-Falasifah – juga berkaitan berdebatan falsafah (kecelaruan falsafah).
Namun, dalam konteks akademik, lebih-lebih lagi dalam bidang sains, kajian atau penyelidikan yang dikemukakan bagi tujuan Ph.D tidaklah sehingga seseorang calon itu boleh memfalsafahkan sesuatu bidang. Seorang yang memiliki Ph.D dalam bidang sains perubatan misalnya belum tentu dapat berfalsafah mengenai sebab kewujudan sesuatu ubat atau penyakit. Yang biasa mereka kerjakan ialah hendak mencari sesuatu yang ‘baru’ dalam bidang perubatan. Falsafah mengenai perubatan belum tentu disentuh dalam penulisan disertasinya. Pemegang Ph.D dalam ekonomi juga belum tentu dapat membahaskan falsafah ekonomi dunia ini sehingga membawa kepada jatuh bangun sesebuah tamadun bangsa. Pendek katanya, walaupun dikaitkan dengan gelaran falsafah; Ph.D yang dikerjakan bukanlah untuk menyelesaikan masalah dunia!
Jadi, apakah sebenarnya yang dibuat oleh calon Ph.D atau apakah yang diperlukan untuk mendapatkan Ph.D itu sendiri?
Bolehlah dikatakan bahawa jangkaan kepada pemegang ijazah tinggi seperti Ph.D ini seharusnya direndahkan kembali sebagai seseorang yang telah mendapat sesuatu yang lebih tinggi berbanding sebelumnya. Dia bukannya ahli falsafah. Berpijaklah di bumi yang nyata. Belum tiba tahapnya untuk memfalsafahkan sesuatu. Belum lagi dia boleh dikatakan sebagai seorang penggemar hikmah. Malah, dalam banyak keadaan pun, bicara orang yang berPh.D kadang-kala tidak menggambarkan yang dia berilmu; apatah lagi hendak mengatakan dia penggemar hikmah!
Kita dapati bidang ilmu berkembang dengan pesat dan perkara inilah yang menjadi cabaran kepada keertian dalam hasil kajian Ph.D itu sendiri. Hasil kajian pada hari ini mungkin akan menjadi sejarah pada hari esok. Kepesatan ini bukan hanya disebabkan betapa ramainya orang yang berkepinginan untuk membuat Ph.D, malah ditambah pula dengan betapa mudahnya manusia mencapai maklumat bagi melaksanakan kajian dan penyelidikan dalam sesuatu bidang. Malangnya, maklumat dan ilmu bukanlah segala-galanya dalam kajian seseorang apabila faktor material seperti kewangan dan peralatan/pekakasan/subjek bahan pun perlu diambil kira oleh seseorang pengkaji. Mereka yang gemar melaksanakan kajian in vivo (iaitu secara bahasa mudahnya, menggunakan makhluk contohnya tikus, mencit) misalnya mungkin akan menemui jalan yang sukar andai dilaksanakan di sesebuah negara yang begitu menyanjungi hak haiwan, sementara alatan canggih yang berjuta-juta mungkin menjadi hambatan kepada mereka yang memerlukannya.
Pada masa yang sama, pelajar yang mengaji Ph.D juga dikaitkan dengan cabaran dirinya sendiri untuk menyiapkan segala kerjanya. Pelajar tersebut akan menghadapi pengalaman dan kerenah yang berbeza-beza berbanding rakan-rakannya yang lain kerana tidak akan ada di kalangan mereka yang akan membuat tajuk yang sama! Pada ketika inilah perangai dan fiil manusia akan terpancar terang dan tertonjol kepada persekitarannya. Mana yang sebenarnya hasad akan tertampaklah hasadnya itu. Mana dikalangan mereka yang suka mengambil kesempatan, akan muncullah dengan jelas dan nyata perangai oppurtunisnya kepada kita. Hubungan penyelia-pelajar juga mungkin akan menjadi apa yang dikatakan sebagai pahit-manis. Lain orang lain perasaan dan kesannya. Apa yang penting ialah kemandirian seseorang itu dalam menghadapi sebarang cabaran daripada segenap pelusok arah sama ada berkaitan kajiannya ataupun pengaruh luar. Bak kata iklan Grey’s Anatomy – ‘change is literally the only constant!’ (perubahan ialah satu-satunya yang malar; dipercayai sebagai mempunyai unsur falsafah Heraclitus).
Secara rangkumanya, Ph.D ialah sekeping sijil dan tidak lebih daripada itu. Tiada orang boleh berbangga bahawa dia sudah mempunyai Ph.D kerana kini, begitu ramai juga yang mempunyai Ph.D. Lebih mencabar lagi, begitu ramai juga mereka yang kaya-raya namun ijazah am pun tidak lepas! Secara falsafahnya, Ph.D ialah satu langkah untuk membolehkan seseorang itu diiktiraf sebagai berkebolehan melaksanakan kajiannya sendiri. Namun, tidak semestinya dengannya sahajalah sesebuah kajian itu boleh dilaksanakan. Ambillah contoh Edison, cuba 2000 kali untuk mencari mentol lampu dan selepas itu, barulah beliau berjaya. Daripada satu segi, keraian dalam bidang keilmuan itu sendiri bukanlah sesuatu yang diperhebahkan apatah lagi dalam suasana masyarakat pada hari ini. Dengan tuntutan pengkomersialan, bidang penyelidikan kini bukan sahaja untuk memberikan sumbangan kepada keilmuan, malah merupakan satu cara untuk menjana pendapatan yang lumayan.
Sama ada perkara sebegini akan menyebabkan pencabulan kepada prinsip-prinsip sains yang unggul sebagaimana yang diteorikan oleh Merton, adalah menarik untuk sama-sama merenungkannya. Apa yang pasti, tidak dapat tidak, norma-norma Merton akan menghadapi cabaran yang sengit dalam mempertahankan dirinya sendiri!
No comments:
Post a Comment