Sunday, December 4, 2011

Perbankan Islam: Alatan, pengkelasan dan pendekatan kefahaman

 

Pendahuluan

Bank Islam dan perbankan Islam merupakan sebuah sistem yang dihidupkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan yang berteraskan prinsip-prinsip syariah dan menjauhi sebarang unsur riba dan ketaktentuan. Sistem sebegini mendapat perhatian yang amat menggalakan daripada pelanggan-pelanggan perbankan dalam mencari alternatif kepada perbankan konvensional yang sudah bertapak secara bersistematik dalam tempoh yang agak lama. Bagaimanapun, dengan atribut 'Islam' itu sendiri pada namanya menjadikan persepsi yang tinggi daripada masyarakat terhadap bank Islam dan perbankan Islam.

Nama 'Islam' seolah-olah menggambarkan betapa jernih, tulus dan ikhlasnya sesuatu transaksi perkhidmatan tersebut sehingga dikaitkan dengan perlunya kadar yang dikenakan lebih 'murah' dan tidak berlaku sebarang 'kezaliman.' Oleh yang demikian, apabila pelanggan membandingkan secara zahir akan kadar yang ditawarkan oleh bank Islam dan perbankan Islam lebih tinggi daripada yang konvensional sudah tentulah mereka merasakan yang bank Islam dan perbankan Islam 'tak cukup Islam,' sama sahaja dengan perbankan konvensional ataupun lebih mahal daripada perbankan konvensional.

Oleh sebab itu dalam konteks Malaysia, kita dapat perhatikan beberapa tokoh ilmuan yang cuba memberikan penjelasan mengapakah penyimpangan imej bank Islam dan perbankan Islam ini timbul dengan mengemukakan hujah-hujah yang bernas bagi merasionalkan kesejadian (nature) bank Islam dan perbankan Islam. Terbitan-terbitan makalah di majalah, blog juga buku menjelaskan secara terperinci mengenai sistem perbankan Islam agar pembaca dapat memahami apakah sebenar-benarnya perbankan Islam.

Tulisan kali ini turut berhasrat untuk mengambil langkah yang sama melalui sudut pandangan yang berbeza iaitu cuma mengkategorikan jenis-jenis alatan perbankan Islam kepada kesejadiannya yang berbeza-beza. Hal ini demikian bagi membolehkan kita lebih memahami asas kepada perbankan Islam yang mempunyai pendekatan yang sama tetapi perlaksanaan dan alatan yang berbeza. Dengan itu, barulah kita boleh memahami mengapakah perbankan Islam boleh melakukan atau menyediakan harga-harga yang kelihatan 'tidak Islam' atau lebih mahal berbanding sistem perbankan konvensional. Bagi mencapai maksud tersebut, adalah penting juga kita mengetahui sedikit sebanyak produk-produk perbankan Islam yang ditawarkan di dalam pasaran sedia ada.

Produk-produk perbankan Islam.

Produk-produk perbankan Islam ialah alatan (instruments) yang digunakan bagi membolehkan urusan dilaksanakan antara pelanggan dan penyedia perkhidmatan. Produk-produk ini jugalah yang menyediakan kontrak-kontrak (akad) berbeza bagi tujuan berbeza mengikut 'kesesuaian' sesebuah urus niaga. Lazimnya, produk-produk ini didasari oleh kaedah-kaedah fiqh muamalat yang telah disusun oleh ulama-ulama muktabar berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Akan tetapi, untuk tujuan terbitan ini, penulis menyenaraikan secara ringkas dan padat produk-produk popular yang wujud di pasaran perbankan Islam untuk membolehkan kita mengaitkannya dengan pengkelasan yang akan dibuat kelak.

Al-Ba‘i (selepas ini ditulis sebagai Al-Bai)

Secara literalnya bermaksud jual. Namun, biasanya digunakan untuk mengistilahkan 'jual-beli'[1] iaitu akad yang membolehkan pertukaran barangan oleh yang menjual dan yang membeli. yang dipersetujui nilai tukarannya melainkan dengan barang yang sama. Namun, perantara atau pertukaran yang biasanya difahami ialah antara barang/perkhidmatan dengan wang. Peranan wang suatu ketika dahulu sebagai 'perantara' kini telah bertukar menjadi objek. Antara produk al-Bai yang terkenal ialah:

  1. Murabahah iaitu jual-beli dengan tambahan keuntungan yang dicaj kepada pembeli berbanding kos keseluruhan sebenar dan tambahan tersebut diisytiharkan dalam akad tersebut. Alatan sebegini biasanya digunakan dalam pembiayaan perbankan dengan konsep bank membeli terlebih dahulu sesuatu aset ataupun produk lalu dijualkan kepada pengguna dengan harga yang ditambah dengan kos perkhidmatan dan keuntungan yang telah ditetapkan. Andai dilihat daripada satu sudut, alatan murabahah merupakan alatan yang paling telus kerana harga sebenar, kos perkhidmatan dan kadar keuntungan yang tetap telah termaktub di dalam perjanjian (akad/kontrak) jual beli. Bagaimanapun, keadaan yang ‘ideal’ untuk urus niaga ini ialah selesai dalam satu majlis yang sama. Perubahan kepada tata cara kontrak yang membawa kepada kaedah pembayaran ansuran yang dikenali sebagai pembayaran tangguh ialah Al-Bai bitaman ajil.
  2. Al-Bai bithaman ajil iaitu jualan sesuatu aset dengan pembayaran yang dibuat ialah dengan cara ansuran. Kontrak ini ialah bagi membolehkan klausa berkenaan masa dan tempat bagi majlis akad seperti yang termaktub dalam konsep murabahah menjadi sesuatu yang ‘ditangguh.’ Dalam bahasa mudah, pembayaran secara kredit. Contoh kepada pembiayaan sebegini ialah perumahan, kenderaan dan pendidikan. Secara amnya, kontrak pembelian secara ini masih menimbulkan pertikaian terutamanya bagi keterwujudannya yang disifatkan sebagai terlalu menyamai sistem konvensional.
  3. As-Salam iaitu jualan secara pesanan dengan bayaran didahulukan. Pada asasnya jualan sepatutnya pada satu jangka masa yang sama (i.e. majlis yang sama) dengan penerimaan produk dan pembayaran. Namun, jual-beli salam membenarkan barang tersebut diserahkan lewat. Biasanya kaedah ini digunakan bagi membolehkan tempahan seperti pakaian dan produk yang dibuat mengikut kekendak pelanggan (custom made).

Al-Ijarah Thumma Bai

Permasalahan Al-Bai bithaman ajil menjurus kepada keabsahan pihak bank menarik balik aset atau produk yang telah dijual seandainya si pembeli tidak membayar ansuran bulanan.[2] Juga berlaku permasalahan apabila kaedah ini menyebabkan seolah-olah pembeli membeli daripada penjual aset/produk, kemudian menjual kepada bank, akhirnya bank menjual semula kepada pembeli yang menyamai konsep Al-Inah yang diharamkan oleh majoriti ulama. Justeru, konsep sewa dahulu berakhir dengan pembelian dikatakan sebagai konsep yang lebih tepat kerana bayaran ansuran tersebut dikira sebagai bayaran ‘sewaan.’ Bagaimanapun, masih wujud pertikaian kerana seolah-olah wujud dua akad dalam satu kontrak sedangkan menurut pandangan fiqh klasik, tidak wujud dua transaksi dalam satu akad yang sama. Juga terdapat persoalan status kepada kebertanggungjawaban dan hak kerana terdapat keadaan berat sebelah yang memihak kepada bank seperti pembayaran cukai dan pampasan insuran/takaful.[3]

Mudharabah

Diterjemahkan secara bebas sebagai perkongsian (terutamanya dalam silibus sekolah menengah dan perniagaan asas di universiti!) namun hakikat sebenarnya ialah pelaburan.[4] Hal ini demikian mudharabah bukannya perkongsian kerja sebaliknya lebih bersifat pelaburan daripada pihak penanam modal dengan pelaksana peniagaan dengan keuntungan dibahagikan dengan kadar yang disepakati. Pihak bank Islam biasanya menggunakan konsep ini dengan menjadikannya sebagai ‘skim simpanan’ pelanggan dengan kadar keuntungan yang menarik. Namun, perlu diingat bahawa disebabkan kontrak ini merupakan kontrak pelaburan, seandainya berlaku kerugian dalam pelaburan yang dilaksanakan oleh bank sehinggakan tidak balik modal, secara fundamentalnya, bank tidak boleh disabitkan dengan sebarang tanggungan. Hal ini demikian kerana konsep mudharabah meletakkan tanggungan kerugian itu kepada penanam modal[5] dan pelaksana peniagaan telah pun ‘rugi’ kerana tidak dapat membuat ‘keuntungan.’ Dalam bahasa mudah, bank tidak boleh dipersalahkan seandainya berlaku kerugian yang membawa kepada kehilangan modal.

Musyarakah

Diterjemahkan secara bebas sebagai syarikat. Konsep ini merupakan konsep yang sangat luas dan tidak semata-mata menjurus kepada syarikat dalam erti kata 'syarikat perniagaan.' Misalnya satu konsep baharu yang bertujuan menggantikan bai bitaman ajil iaitu musyarakah mutanaqisah iaitu perkongsian pemilikan yang berakhir dengan pemilikan sebelah pihak (secara meningkat). Cara yang digunakan ialah melalui 'suntikan modal' terhadap baki bayaran yang perlu dibuat oleh pembeli dan kemudian, membuat dua kontrak iaitu sewaan (bayaran bulanan yang perlu dibuat oleh pembeli) dan jualan milikan aset/produk tersebut secara beransur kepada pembeli. Dalam erti kata mudah, 'sewaan' tadi seolah-olah berubah kepada pembelian menjelang masa yang telah ditetapkan.

Wadi'ah (dibaca wa-di-'ah)

Pada asalnya lebih menjurus kepada konsep simpanan barang dan kini digunakan dengan meluas untuk simpanan wang dalam bank. Seseorang itu menyimpan wang di dalam bank dengan pihak bank diberikan tanggungjawab sepenuhnya bagi menguruskannya dan mengizinkan pihak bank untuk menggunakan wang simpanan tersebut bagi menjana keuntungan bank dan pihak banklah yang paling berhak terhadap keuntungan tersebut (tetapi bank boleh berkongsi keuntungan tersebut dengan pihak pelanggan). Dalam maksud skim simpanan, kaedah wadi‘ah merupakan kaedah paling selamat kerana secara konseptualnya, apa yang disimpan itulah apa yang sepatutnya diterima semula sekiranya pelanggan mahu membuat pengeluaran. Namun, masih tidak diketahui sama ada prinsip sedemikian terpakai dalam mekanisme simpanan di bank Islam dan perbankan Islam di sini kerana seandainya simpanan tersebut besar (ratusan ribu atau jutaan ringgit misalnya), dan digunakan oleh pihak bank untuk perniagaan mereka, namun sekiranya bank menjadi bankrap angkara peniagaan tersebut, adakah simpanan tadi boleh terpelihara setidak-tidaknya pada jumlah asalnya?

Ar-Rahn

Ar-Rahn merupakan gadaian secara Islam iaitu produk atau harta yang digadai bagi mendapatkan pembiayaan. Macam iklan dalam televisyen, 'dapat pinjaman sehingga 60 peratus harga barang!' Dari beberapa sudut, gadaian merupakan sesuatu yang lebih jelas dan selamat untuk kedua-dua pembiaya dan yang dibiaya kerana setidak-tidaknya sudah ada sesuatu yang dicagarkan untuk memperoleh wang.

Takaful

Alatan ini dikatakan sebagar insuran secara Islam bagi menggantikan 'harga nyawa' yang 'dicagarkan/diperjudikan' oleh insuran konvensional. Konsepnya sebenarnya mudah iaitu saling-membantu antara satu sama lain dengan tabungan wang yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan. Namun, timbul persoalan apabila wujud pandangan tertentu yang mengatakan bahawa adalah silap untuk mengatakan sistem konvensional mengaplikasikan unsur perjudian kerana pada asasnya, insuran yang mereka wujudkan bukanlah untuk 'memperjudikan' aset atau nyawa seseorang! Oleh yang demikian, golongan sebegini mengkritik pihak yang menganjurkan konsep takaful dengan menyandarkan hujah bahawa sistem insuran konvensional sebagai sebagai sistem yang mempunyai unsur perjudian.

Demikianlah beberapa alatan kewangan Islam yang diaplikasikan oleh sistem perbankan Islam. Setiap alatan yang diwujudkan mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing namun keterwujudannya sedikit sebanyak memberikan pilihan kepada pelanggan untuk melangkaui urus niaga yang mempunyai pengaruh riba. Suka diingatkan masih terdapat banyak lagi alatan-alatan perbankan Islam yang digunakan di pasaran namun cukuplah sekadar menyebut di sini beberapa jenis yang popular untuk tujuan bandingan.

 

Pengkelasan alatan kewangan Islam

Disebabkan alatan-alatan kewangan Islam ini merupakan derivatif daripada konsep fiqh muamalat yang muktabar, pembahagian asalnya lebih merujuk kepada ketersediaan kontrak terbabit. Salah satu cara ialah dengan membahagikannya kepada dua jenis iaitu kontrak pertukaran berbalas pemilikan harta dan kontrak partisipasi. Pengkelasan ini menjadi asas kepada penulisan Zaharuddin Abd. Rahman dalam bukunya Panduan Perbankan Islam[6]. Alatan yang dimasukkan dalam kontrak pertukaran berbalas pemilikan harta ialah seperti murabahah, bai bitaman ajil, bai as-salam dan ijarah. Sementara kontrak pratisipasi ialah mudharabah dan musyarakah. Dapatlah dilihat di sini pembahagian sebegini menjurus kepada kontrak yang berunsur 'jual-beli' dan yang berunsur 'usaha sama dan modal'. Cara begini lebih menampakkan bahawa terdapat alatan yang menjurus kepada bank sebagai penjual dan bank sebagai rakan kongsi perniagaan.

Cara kedua ialah yang dikemukakan oleh ElGindi et. al yang secara mudah membahagikan alatan-alatan tersebut kepada dua kumpulan iaitu yang berasaskan perkongsian keuntungan/kerugian dan yang tidak berasaskan perkongsian keuntungan/kerugian.[7] Alatan yang termasuk dalam kategori perkongsian tersebut ialah mudharabah dan musyarakah sementara yang tidak bersifat demikian ialah seperti Al-Bai, Ijarah dan Qard Hassan. Walaupun kelihatan seperti sama dengan usul pengkelasan yang dikemukakan oleh Zaharuddin, pengelasan ini lebih bersifat liberal apabila sebarang transaksi yang tidak berasaskan kepada perkongsian boleh dimasukkan ke dalam kategori bukan-perkongsian tadi. Dan nyata sekali, berasaskan kepada fahaman fiqh klasik, hanya dua alatan sahaja yang boleh diletakkan sebagai 'perkongsian' iaitu mudharabah dan musyarakah.

 

Rangka kerja pemahaman perbankan Islam

Apabila kita memperkatakan bank Islam dan perbankan Islam, lantas yang bermain difikiran kita ialah 'bank Islam' bersaing dengan 'bank konvensional' atau seolah-olah bagaimanakah sebuah sistem yang diterima pakai secara turun temurun itu hendak 'diIslamkan.' Hal sebegini menjadi cabaran kepada umat Islam kerana ketiadaan idea asli dan ampuh bagi membentuk acuan sistem perbankan Islam. Soalnya, adakah bank Islam perlu menyediakan keserupaan yang sama dengan sistem konvensional namun sekadar menjadikannya sebagai 'cara Islam?'

Untuk itu, kita kembali semula kepada konsep wang sebagai perantara dan bukannya objek kepada sesebuah transaksi, justeru menjadikan sebahagian besar daripada alatan perbankan Islam itu sendiri sebagai kontrak 'bukan-duit,' seterusnya menjadikan bank Islam itu sebagai sebahagian daripada 'syarikat jualan.' Hal ini bermaksud, kontrak-kontrak seperti pembiayaan perumahan dan kenderaan bukanlah dalam maksud 'biaya' itu sendiri malah sebenarnya lebih kepada jual-sewa-beli. Perkara ini sudah tentu boleh dikaitkan dengan pengkelasan yang telah dicadangkan sebentar tadi apabila wujudnya kontrak yang berbentuk pelaburan dan satu lagi kontrak yang berakhir dengan pemilikan oleh pelanggan.  Paradigma sebeginilah yang perlu diperkasakan oleh pihak yang berkepentingan dan pemasar perbankan Islam kerana dalam kebanyakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank dan perbankan Islam, pelanggan sebenarnya membeli/menyewa sesuatu aset/produk daripada bank dan akhirnya setelah bayaran penuh, maka harta terbabit akan menjadi milik pelanggan.

Cabaran utama bagi kaedah kefahaman sebegini ialah apabila melibatkan pembelian jangka sederhana seperti kereta kerana terdapat kecenderungan pelanggan yang membeli kereta hanya untuk digunakan sekitar tiga atau empat tahun dan kemudian ingin menjualnya kembali. Maka, ada wajarnya pendekatan yang lebih segar dan boleh diamalkan dirangka oleh ilmuan dan pemain industri supaya dapat menyelesaikan permasalahan yang berbangkit melalui transaksi sebegini.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, penjelasan yang bersistematik dan lebih tepat harus digunakan oleh pihak pemasar perkhidmatan perbankan Islam bagi memudahkan pemahaman orang awam mengenainya dan agar dapat memberikan maklumat yang tepat kepada pengguna. Hal ini akan dapat membolehkan pengguna/pelanggan untuk memahami perbezaan yang amat ketara antara sistem perbankan Islam dengan perbankan konvensional sekali gus dapat menjana satu kefahaman yang lebih jelas dan tepat mengenai perbankan Islam dan bukanlah semata-mata 'mengIslamkan' apa yang telah wujud dalam sistem konvensional.

Usaha pihak kerajaan seperti hal-hal berkaitan peraturan dan undang-undang pun perlu diambil perhatian kerana adalah sesuatu yang janggal seandainya masalah berbangkit di dalam kapasiti syariah dibicarakan di dalam kamar mahkamah sivil sedangkan peruntukan berkaitan muamalah jelas sekali menjurus kepada bidang kuasa syariah. Pada masa yang sama, peraturan tentang hak pemilikan juga perlulah diselesaikan kerana bagaimanakah kita merasionalkan sesebuah aset/produk itu adalah milik seseorang sedangkan manfaatnya milik orang lain?[8]

Satu lagi perkara penting yang begitu sukar untuk diselesaikan ialah apabila jual-beli itu membabitkan sesuatu yang masih belum siap seperti projek perumahan yang masih sedang berjalan. Amalan perumahan baru di Malaysia menyebabkan timbul isu pembelian sesuatu yang masih belum pasti kerana rumah yang dibeli sebenarnya masih belum siap. Sedangkan pelanggan telah mengikat kontrak dengan pihak bank dan wang yang diperlukan oleh pemaju sudah pun diselesaikan. Malangnya, pemaju yang gagal menyelesaikan pembinaan rumah tersebut kini boleh ‘lari’ daripada tanggung jawab kerana urusan dengannya telah dikira ‘selesai.’ Bayar bank bulan-bulan lain cerita! Usaha untuk menjadikan kegagalan pemaju menyiapkan rumah sebagaimana masa yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi yang dijanjikan sebagai satu jenayah merupakan langkah pertama bagi mengatasi masalah tersebut. Akan tetapi, langkah sebegini masih belum tentu dapat menyelesaikan keakuran syariah yang menuntut kepada produk/perkhidmatan/aset yang dijadikan untuk jual beli mestilah dapat dipastikan kewujudannya.[9]

Justeru, isu sebegini memerlukan usaha seluruh pihak yang berkaitan dan berkepentingan (stakeholders) untuk memperkasakan sebuah sistem yang benar-benar malar segar dan releven dengan perkembangan masa. Janganlah kiranya slogan 'Islam itu lengkap' sekadar bertanam tebu di pinggir bibir sahaja kerana kita masih lagi hendak memadankan sesuatu sistem yang mempunyai asas yang cukup berbeza. Usaha ini memerlukan iltizam yang tinggi dan semoga pemain industri dan pihak yang terbabit benar-benar berusaha bagi mewujudkan sebuah sistem perbankan yang sempurna dan setidak-tidaknya boleh diterima di serata dunia.

Nota hujung


[1] As-Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah Jilid 6 terj. Nor Hasanuddin dan Aisyah Saipuddin (Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications, 2010), 34 dan Mustofa Al-Khin, et al. Kitab Fikah Mazhab Syafie Jilid 6 terj. Salehan Ayub (Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 2005), 1285.

[2] Lihat Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Transformasi Fikah Semasa (Batu Caves: PTS Islamika, 2010), 191-192.

[3] Lihat Zaharuddin Abd. Rahman, Panduan Perbankan Islam (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2009), 75-76.

[4] Walaupun tidak dinafikan sama sekali bahawa wujud unsur perkongsian keuntungan dalam hal mudharabah ini. Namun, yang menjadikannya kurang tepat ialah apabila konsep mudharabah ini dibandingkan pula dengan konsep perkongsian perniagaan sebagai salah sebuah cara untuk menjalankan perniagaan (i.e. perniagaan sendiri, perkongsian, syarikat sendirian berhad, syarikat berhad) kerana seandainya pemegang saham beratus orang sekali pun, tetapi urusan dilakukan dengan berasaskan sebelah pihak menyediakan modal dan sebelah pihak lagi menggunakan modal untuk menjana keuntungan secara asasnya tetap dinamakan sebagai mudharabah.

[5] Lihat Syed Mohd Ghazali Wafa et al., Pengantar Perniagaan Islam (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia, 2003), 160.

[6] Bagaimanapun, dalam naskah tersebut beliau ada menjelaskan mengenai pembahagian jenis-jenis kontrak menurut perspektif Islam secara rajah ringkas dan padat. Lihat Zaharuddin, Panduan Perbankan Islam,10 & 17.

[7] ElGindi, T., Said, M. dan Salevurakis, J. W. ‘Islamic alternatives to purely capitalist modes of finance: A study of Malaysian Banks from 1999 to 2006,’ Review of Radical Political Economics vol 41. no. 4 (2009): 516-538. Naskah ini secara radikal telah membandingkan kaedah muamalah dalam Islam dengan sumber sejarah Kristian yang dikatakan sebagai mempunyai banyak persamaan.

[8] Perkara ini acap kali ditimbulkan oleh Zaharuddin Abd Rahman misalnya ketika membincangkan bai bithaman ajil apabila berlaku pertembungan kepentingan antara pemilik secara perundangan (legal ownership) dan pemilik manfaat (beneficial ownership). Lihat contohnya Zaharuddin, Panduan Perbankan Islam, 38-40.

[9] Perkara ini boleh dikaitkan dengan jualan susu yang belum diperah, atau bulu haiwan yang masih belum diketam atau buah-buahan yang masih belum masak. Lihat Mustofa Al-Khin et al., Kitab Fikah Mazhab Syafie, 1325-1329. Juga melanggari syarat mampu untuk diserahkan seperti menjual ikan dalam sungai, menjual burung yang sedang terbang. Lihat Sayyed Sabiq, Fiqh Sunnah, 48-49.

No comments: