Thursday, August 27, 2009

Antara keanehan dan kehairanan

Mungkin kita tidak tahu perkara sedemikian boleh berlaku. Atau mungkin kita tidak pasti perkara seperti itu akan berlaku. Namun, apakah kita tidak pernah terfikir atau terbayang bahawa sesuatu perkara itu pasti berlaku???

Yang penulis maksudkan ialah penjadualan sesuatu perkara. Ambil satu contoh, kes berkait dengan model sambilan yang dihukum sebat oleh mahkamah syariah Pahang. Penulis bukan hendak mengutuk, jauh sekali ingin merendahkan bidang kuasa mana-mana mahkamah dan pihak pemutus hukum di Malaysia, akan tetapi, kalau sudah tahu tarikh perlaksanaan hukum itu pada bulan Ramadhan, kenapa tidak tangguhkan hukuman tersebut awal-awal? Bukankah sangat-sangat logik bahawa seandainya sesuatu hukuman fizikal tersebut akan dipertikaikan seandainya dilaksanakan tatkala bulan puasa?

Lebih menimbulkan kehairanan adalah "fakta" bahawa ketiadaan penyebat syarie di Malaysia. Tetapi tarikh jatuh hukum telah ditetapkan. Bukankah agak aneh seandainya seseorang hakim itu menjatuhkan hukuman pada waktu sekian-sekian namun tidak ada orang yang ahli di dalam melaksanakan hukuman tersebut? Kalaulah ditakdirkan seseorang itu dijatuhi hukuman gantung, namun tidak ada orang yang mahir di dalam melaksanakan hukuman gantung sampai mati, bagaimana pula status hukuman tersebut seandainya tarikh jatuh hukum telah ditetapkan pada ketika ketiadaan orang pelaksana hukum? Kena tangguh juga agaknya?

Peristiwa model sambilan yang dijatuhi hukuman sebat kerana bersalah meminum arak merupakan satu perkara yang memberi pengajaran kepada semua pihak terlibat; Jabatan Agama, Mahkamah Syariah, dan kerajaan Malaysia pada umumnya. Hal ini disebabkan penangguhan satu kes yang berjaya disensasikan oleh media akan memberikan persepsi buruk kepada pihak berkuasa yang dilantik bagi melaksanakan undang-undang. Pasti ada pihak yang akan memandang rendah terhadap pihak terbabit kerana mereka tidak dapat melaksanakan undang-undang dengan mengambil kira semua faktor; lebih-lebih lagi faktor tersebut terlalu remeh – akan tetapi penting.

Perkara sebegini seharusnya mendapat perhatian semua pihak yang terbabit agar tidak berlaku lagi. Because in the end, it goes to credibility of the enforcer and the government of Malaysia really does not want the issue will turn up to be a bad perception for the people and in the end, they (read: BN) will continue to suffer loss of confidence of the people. Wakie, wakie!!!!

P/s: Keadaan BN terutama komponen MCA dan kerajaan Terengganu sudah huru- hara. Tak sedar lagikah?

Tuesday, August 25, 2009

Kesukaran menjadi kerajaan

Kewujudannya SPRM memberikan satu "sinar" baru dalam kamus pembanterasan korupsi. Agenda asalnya begitu suci dan murni. Walaubagaimanapun, kini keterwujudannya menjadi bualan hari-hari – antara melakukan tugas atau menjadi barua kerajaan.

Ada pun salah, tak ada pun salah. Walaupun usianya secara teknikalnya tak pun sampai setahun, situasi dan keadaan yang dihadapinya sekarang ini seumpama sudah menerima nasib bagaikan PDRM, ada pun salah, tak ada pun salah. Tangkap orang pun salah, tak tangkap orang pun salah. Buat apa pun salah!

Dilabel sebagai barua kerajaan bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Pendek kata, kerja dengan kerajaan pun bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Apa sahaja tindak tanduk sebagai pekerja kerajaan akan dinilai oleh mereka yang berurusan dengan kerajaan. Kalau lembab dikatakan karenah birokrasi, kalau cepat dikatakan guna cable.

Tetapi apabila pilihan raya, rakyat yang menentukan. Persepsi rakyat terhadap pekerja kerajaan sedikit sebanyak akan mempengaruhi undi mereka kepada kerajaan yang memerintah. Perlu diingat juga, dalam golongan yang dikatakan sebagai pekerja kerajaan juga ada yang menyokong pembangkang!

Memang susah hendak jadi kerajaan. Bersediakah Pakatan Rakyat untuk menghadapi karenah yang sama yang bakal mereka hadapi seandainya mereka memenangi PRU 13 nanti?

Penulis secara peribadi risau mengenangkan seandainya PR tidak mampu memerintah dengan baik. Melainkan mereka benar-benar menggunakan kaedah dictatorship untuk memerintah. Dah tentulah BN pun akan menjadi parti pembangkang yang tidak kurang hebatnya. BN telah berjaya menumbangkan kerajaan PR di Perak dan berjaya menghuru-harakan kerajaan Selangor, mencucuk sedikit sebanyak di Pulau Pinang dan Kedah.

Sebab itu, adalah penting untuk Anwar Ibrahim dan kunco-kunconya berfikir tentang apa yang mereka patut lakukan sejurus selepas seandainya mereka menang. ISA? Dah tentu akta tersebut tak boleh guna sebab mereka sendiri yang memperjuang untuk dimansukhkan. Mungkin dengan pengaruh Anwar yang sentiasa mendapat pujian melangit daripada media antarabangsa, beliau boleh berlagak seperti Aung San Suu Kyi atau Mahatma Ghandi untuk menarik perhatian dunia bahawa beliau telah berjaya mengembalikan demokrasi Malaysia ke tempatnya!

Dan seandainya PR berjaya memerintah, maka penulis kira kita akan ada beberapa orang TPM khusus untuk memenuhi kepelbagaian kaum di Malaysia. DEB akan dihapuskan dan digantikan dengan agenda ekonomi rakyat – memberi peluang terbuka kepada rakyat Malaysia merentasi bangsa. Korupsi dah tentulah sepatutnya tak ada, jadi SPRM pun boleh kita bubarkan? Jadi, tak payahlah orang sibuk-sibuk nak baling Molotov Cocktail di kereta orang lagi...

Seandainya PR menang PRU 13...........

P/s: Harus sekali kita sedar, sudah hampir setahun 16 September tidak direalisasikan... Adakah akan ada 16 September kedua???? Tunggu..........

“Sokong”, “ahli”, “ syurga”, “neraka”

Kalau seseorang itu bukan ahli kepada sesuatu persatuan, tetapi beliau menyokong segala yang dibuat oleh persatuan tersebut kita boleh katakan beliau sebagai penyokong yang bukan ahli.

Lebihlah logik apabila seseorang itu adalah ahli kepada persatuan; sudah pasti beliau menyokong persatuan. Buat apa jadi ahli kepada persatuan yang beliau tak sokong? Betul tak?

Kalau tak masuk syurga, makanya nerakalah jawapannya. Sebab pada hari pembalasan nanti, hanya ada dua keputusan sahaja – syurga atau neraka. Itu bagi mereka-mereka yang beragama dan mempercayai pembalasan selepas kematian.

Begitulah gravitinya....

Isu hok pangkoh parti ni masuk syurga hok yang lain tak masuk syurga merupakan satu isu popular di tanah air kita. Dari dahulu sampai sekarang pun ahli politik terutamanya berkaitan dengan UMNO-PAS membincangkan hal tersebut. Penulis tidak mahu menjadi seorang racist, namun hakikatnya, selain dari UMNO-PAS, parti lain (Baca: MCA, MIC, DAP, PPP, Gerakan... mungkin boleh masuk PKR) TAK PERNAH peduli pun isu syurga neraka pun di dalam memberikan sokongan mereka kepada parti mereka.

Dalam Malaysia, tidak pernah pun kita dengar orang bukan Melayu/Islam yang mengatakan bahawa parti mereka lebih baik dari segi outcome masuk syurga. Mungkin mereka lebih sekular daripada orang Melayu/Islam kerana membiarkan unsur-unsur masuk syurga-neraka itu kepada diri sendiri dan Tuhan mereka.

Tentang kata-kata Pok Nik diputar alam oleh media, maka perkara tersebut seharusnya pihak Pok Nik dan penyokong-penyokongnya sedia maklum; mana ada akhbar yang tak putar alam? Semua akhbar ditulis berasaskan persepsi pengarang dan persepsi pengarang dibentuk oleh persekitaran penulis itu sendiri. Sebab itulah agaknya bila hok Pok Nik royat “plastik” demo dok dengo “palastin”. Pok Nik keno cakak Melayu standed, tak dok la demo dengo hok lain.... tulih hok lain....

PAS sehrusnya kini perlu mengembalikan doktrin Islam mereka ke tempat asal. Kini orang melihat Pas sebagai parti pengikut setia yang ditambat oleh DAP dan PKR. Sedangkan dari segi negerinya, PAS memiliki DUA negeri berbanding rakan PR yang lain. Hal ini bermaksud orang lebih hendakkan PAS memerintah berbanding DAP dan PKR....

Satu lagi, rasanya Tok Guru Pok Nik kena ada setiausaha akhbarnya yang lebih cekap. Mungkin ada translator ke supaya apa yang hendak disampaikan beliau tidak diputaralamkan. Penulis sebenarnya sedih membaca posting blog-blog tertentu yang begitu kritikal terhadap Pok Nik sampai dilabel yang bukan-bukan... Kasihan beliau. Kepada PAS, jangan biarkan pemimpin anda dikutuk sebegitu rupa! Pok Nik itu Mursyidul Am yang anda sendiri lantik!

P/s: Berbahasa dialek bukanlah satu kekuatan penulis....

Belajar tatkala boleh

Bercakap tentang tazkirah Ramadhan (semasa tarawih – kalau ada), maka penulis teringatkan berberapa persoalan keagaman yang penulis musykilkan dan sempat bertanya kepada beberapa orang rakan penulis yang berpangkat ustaz. Pertamanya berkaitan dengan bacaan La haula wala quwwata illa biLla dan yang keduanya tentang wakaf lazim dalam bacaan Al-Quran...

Penulis rasakan pada bulan yang mulia inilah kita sebenarnya diberi peluang untuk memperbetulkan bacaan Al-Quran kita bagi yang sempat bertadarus. Ada di kalangan ahli yang bacaannya lebih baik dari yang lain. Maka seharusnya penyebaran ilmu itu dibuat.

Bacaan bertajwid terutamanya bagi hukum yang asas sepatutnya kita perhatikan. Mana idghamnya, mana ikhfanya, mana izharnya, mana madnya – hal ini bagi memastikan bacaan Al-Quran itu tepat dan memenuhi maksud. Sebab itu ulama menghukumkan bacaan Al-Quran bertajwid itu hukumnya fardhu ain.

Kadang kala bacaan Yassin ekspres di surau/masjid menyebabkan jemaah terburu-buru dan melanggar segala hukum tajwid yang ada di dalam surah tersebut. Akhirnya, bacaan boleh jadi tunggang langgang dan tidak mencapai tahap "tartil" lagi..

Oleh sebab itu, bagi mereka yang berpeluang bertadarus pada bulan rahmat ini, rebutlah peluang tersebut untuk memperbaiki bacaan Al-Quran kita. Janganlah niat kita kononnya hendak berkhatam secara beramai-ramai tetapi tajwid main langgar dan tiada tambah nilai di dalam bacaan kita.

Dan penulis kira ada baiknya tazkirah Ramadhan yang dijalankan menekankan aspek tajwid yang asas supaya bacaan jemaah dapat ditingkatkan. Satu hari satu hukum tajwid, dalam dua puluh hari, rasanya sudah lengkap tajwid asas seperti nun sakinah, mim sakinah, mad itu dan ini, wakaf dan wasal....

Fikir-fikir dan timbang-timbangkanlah...

Selamat beramal..

Sunday, August 23, 2009

Tarawih di sana sini

Antara kelebihan Ramadhan adalah kewujudan satu sembahyang sunat yang mendapat perhatian seluruh umat Islam di dalam dunia ini iaitu sembahyang tarawih. Suasana begitu berbeza sekali di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara terutamanya pada awal bulan Ramadhan. Orang berpusu-pusu untuk melaksanakan dan mengambil barakah daripada amalan sunat yang begitu dituntut semasa kita berpuasa di bulan al-Mubarak ini.

Penulis tidak mahu komen tentang betapa jemaah yang begitu ramai dan berasak-asak pada awal bulan puasa namun semakin suram menjelang pertengahan dan akhir bulan Ramadhan. Pada penulis, istikomahnya seseorang itu untuk menunaikan ibadah adalah bergantung kepada kudrat dan iradatnya, hati dan keazamannya. Kita boleh sentiasa memperbaiki perkara tersebut.

Oleh sebab itu, lebih baik lagi beliau itu datang juga ke masjid dan surau pada awal Ramadhan daripada mereka yang dalam bulan puasa pun tak ada langsung perubahan di dalam diri mereka. Lebih baik seseorang itu hangat-hangat tahi ayam untuk bertarawih dan bertadarus pada bulan puasa ini berbanding orang yang langsung tidak berubah dari keburukan tak kira apa bulan, masa dan umur pun.

Kembali kepada tarawih – semasa penulis berada di sekitar Lembah Klang sebenarnya penulis gemar untuk pergi bertarawih dari satu masjid/surau ke satu surau yang lain. Melainkan semasa tahun satu dan dua penulis di UM, penulis banyak merantau dari satu masjid/surau ke satu surau/masjid yang lain. Tatkala tahun tiga misalnya, penulis sempat bertarawih di hampir kesemua masjid di kawasan TTDI – dan yang paling digemari pastilah Masjid Al-Ghufran di pinggiran TTDI. Suasana kondusif di dalam masjid menjadi faktor yang menyebabkan penulis menggemari masjid tersebut walaupun hendak parking kereta merupakan sesuatu yang agak sukar.

Menarik juga tarawih di sana sini adalah gelagat budak-budak selepas bertarawih untuk mengambil moreh. Ada tempat yang bebudaknya berebut-rebut bagaikan peminta sedekah menghurungi orang yang menabur duit. Ada pula tempat yang jawatankuasa jemaahnya sudah bersiap sedia mendisiplinkan budak-budak selepas tarawih dengan menyuruh mereka beratur bagi mendapatkan barang kuih nan sekeping dan air nan secawan.

Tarawih di negeri orang juga berbeza dengan tarawih di negeri sendiri. Bagi penulis yang dibesarkan di Johor, tarawih dilakukan dua puluh rakaat (tambah 3 witir) dengan bacaan antara dua rakaat sembahyang sunat yang sedikit berbeza berbanding dengan di negeri lain. Bacaan surah juga biasanya tetap iaitu ayat-ayat lazim pada rakaat pertama (15 awal)/surah Al-Qadr (15 akhir) dan surah Al-Ikhlas (15 awal)/ayat-ayat lazim (15 akhir) pada rakaat kedua. Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian juga bagi surau/masjid yang mendapatkan khidmat Al-Hafiz atau imamnya dapat membaca lebih dari itu. Tarawih di Lembah Klang, kebanyakannya dilakukan lapan rakaat (tambah 3 witir) dengan bacaan surah pada rakaat yang biasanya tidak tetap.

Tentang dua puluh atau lapan rakaat sembahyang tarawih, penulis tidak mahu ulas panjang. Kalaupun tok imam di tempat tertentu itu buat dua puluh pun, bukannya jemaah tak boleh balik pun selepas rakaat kelapan, atau selepas rakaat keenam, atau selepas rakaat keempat, atau selepas rakaat kedua, hatta selepas solat isyak, pun jemaah boleh pulang. Jadi, buat sahajalah yang termampu; kenapa pula ada orang yang sampai berdebat debik itu dan ini tentang berapa rakaat tarawih? Lebih baik lagi orang yang membuat dua puluh rakaat tarawih atau lapan rakaat; berbanding mereka yang berdebat itu dan ini namun langsung tak berbuat tarawih tersebut!

Pendek kata, Ramadhan sebenarnya menuntut kita berbuat amalan, mengamalkan amalan dan bukannya semata-mata kita memperbahaskan amalan. Sebab itu kalau nak buat tazkirah pun antara rakaat tarawih, sepatutnya ringkas dan padat. Jangan tazkirahnya sampai setengah jam sehingga jemaah kurang selesa; lebih-lebih lagi seandainya tazkirah itu dimasuk unsur politik. Hendak buat ceramah, buatlah selepas tarawih; malah sepatutnya lebih baik lagi selepas tarawih itu dibuat tadarus! Kurangkan kata-kata lagho...

Bersama kita beramal dalam Ramadhan........ Insya- Allah,.....Amin

5 RM2

Puasa tahun lepas hampir setiap hari penulis berbuka dengan roti john. Sebatang roti john dalam RM 3; dikatakan sebagai harga yang piawai. Yang over rated sikit boleh sembelih sehingga RM3.50. Kuih 5 untuk RM2 itu sudah menjadi kebiasaan; malahan pelanggan yang hadir ke pasar Ramadhan seakan-akan boleh menerima akan harga yang tidak masuk akal tersebut.

Mungkin pada bulan puasa sebeginilah agensi kerajaan dan kepenggunaan perlu memperkasakan kempen mereka untuk menjadi pengguna yang bijak. Walaupun kita tinggal di bandar besar, tidak bermaksud kita "dituntut" untuk membayar harga yang tidak munasabah untuk makanan. Atau seandainya hendak benar-benar mengeratkan tali silaturahim antara keluarga, jiran tetangga maka sebaiknya kita memasak sendiri juadah berbuka.... Hmm... Jadi isu pula bagi yang satu keluarga suami isteri yang bekerja.....Nak buat macam mana?!!?

Apa pun, lebih penting daripada itu, kita seharusnya berazam untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dalam bulan yang sangat-sangat berkat ini...

Saturday, August 22, 2009

Dormant boy wanna get active back

Sangat lama rasanya penulis tidak updatekan blog ini. Sebulan lebih lamanya. Mungkin terlalu banyak aktiviti lain yang penulis sertai, atau sekadar menjalani tempoh dorman yang singkat. Sepanjang tidak menulis, terlalu banyak isu semasa yang diperdebatkan. Malah, kini sudahpun masuk ke dalam bulan Ramadhan. Kepada pembaca yang beragama Islam, salam menyambut Ramadhan dan marilah kita sama-sama memperbanyakkan amalan kita dalam bulan yang mulia ini

Dan tatkala tiba Ramadhan tahun ini juga, hampir setahun rasanya penulis bergelumang dengan penulisan di blog. Mungkin, dari segi marketing blog ini perlu ditambahbaik lagi. Sementara orang sedang sibuk berblog dan mempunyai laman sesawang sosial seperti friendster dan facebook, timbul pula twitter yang sememangnya penulis tak tahu apa-apa pun (melainkan namanya)...Nampaknya teknologi semakin meninggalkan kita.

Rakan penulis sedang bercerita tentang Nintendo DS sedangkan penulis usahkan Tendo ini dan itu, PS pun tak pernah penulis sentuh!!!

Nampaknya penulis perlu belajar juga untuk menggunakan peralatan canggih-manggih itu. Kalau tak............

Selamat berpuasa dan moga dapat kekal bertarawih.