Antara kelebihan Ramadhan adalah kewujudan satu sembahyang sunat yang mendapat perhatian seluruh umat Islam di dalam dunia ini iaitu sembahyang tarawih. Suasana begitu berbeza sekali di masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara terutamanya pada awal bulan Ramadhan. Orang berpusu-pusu untuk melaksanakan dan mengambil barakah daripada amalan sunat yang begitu dituntut semasa kita berpuasa di bulan al-Mubarak ini.
Penulis tidak mahu komen tentang betapa jemaah yang begitu ramai dan berasak-asak pada awal bulan puasa namun semakin suram menjelang pertengahan dan akhir bulan Ramadhan. Pada penulis, istikomahnya seseorang itu untuk menunaikan ibadah adalah bergantung kepada kudrat dan iradatnya, hati dan keazamannya. Kita boleh sentiasa memperbaiki perkara tersebut.
Oleh sebab itu, lebih baik lagi beliau itu datang juga ke masjid dan surau pada awal Ramadhan daripada mereka yang dalam bulan puasa pun tak ada langsung perubahan di dalam diri mereka. Lebih baik seseorang itu hangat-hangat tahi ayam untuk bertarawih dan bertadarus pada bulan puasa ini berbanding orang yang langsung tidak berubah dari keburukan tak kira apa bulan, masa dan umur pun.
Kembali kepada tarawih – semasa penulis berada di sekitar Lembah Klang sebenarnya penulis gemar untuk pergi bertarawih dari satu masjid/surau ke satu surau yang lain. Melainkan semasa tahun satu dan dua penulis di UM, penulis banyak merantau dari satu masjid/surau ke satu surau/masjid yang lain. Tatkala tahun tiga misalnya, penulis sempat bertarawih di hampir kesemua masjid di kawasan TTDI – dan yang paling digemari pastilah Masjid Al-Ghufran di pinggiran TTDI. Suasana kondusif di dalam masjid menjadi faktor yang menyebabkan penulis menggemari masjid tersebut walaupun hendak parking kereta merupakan sesuatu yang agak sukar.
Menarik juga tarawih di sana sini adalah gelagat budak-budak selepas bertarawih untuk mengambil moreh. Ada tempat yang bebudaknya berebut-rebut bagaikan peminta sedekah menghurungi orang yang menabur duit. Ada pula tempat yang jawatankuasa jemaahnya sudah bersiap sedia mendisiplinkan budak-budak selepas tarawih dengan menyuruh mereka beratur bagi mendapatkan barang kuih nan sekeping dan air nan secawan.
Tarawih di negeri orang juga berbeza dengan tarawih di negeri sendiri. Bagi penulis yang dibesarkan di Johor, tarawih dilakukan dua puluh rakaat (tambah 3 witir) dengan bacaan antara dua rakaat sembahyang sunat yang sedikit berbeza berbanding dengan di negeri lain. Bacaan surah juga biasanya tetap iaitu ayat-ayat lazim pada rakaat pertama (15 awal)/surah Al-Qadr (15 akhir) dan surah Al-Ikhlas (15 awal)/ayat-ayat lazim (15 akhir) pada rakaat kedua. Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian juga bagi surau/masjid yang mendapatkan khidmat Al-Hafiz atau imamnya dapat membaca lebih dari itu. Tarawih di Lembah Klang, kebanyakannya dilakukan lapan rakaat (tambah 3 witir) dengan bacaan surah pada rakaat yang biasanya tidak tetap.
Tentang dua puluh atau lapan rakaat sembahyang tarawih, penulis tidak mahu ulas panjang. Kalaupun tok imam di tempat tertentu itu buat dua puluh pun, bukannya jemaah tak boleh balik pun selepas rakaat kelapan, atau selepas rakaat keenam, atau selepas rakaat keempat, atau selepas rakaat kedua, hatta selepas solat isyak, pun jemaah boleh pulang. Jadi, buat sahajalah yang termampu; kenapa pula ada orang yang sampai berdebat debik itu dan ini tentang berapa rakaat tarawih? Lebih baik lagi orang yang membuat dua puluh rakaat tarawih atau lapan rakaat; berbanding mereka yang berdebat itu dan ini namun langsung tak berbuat tarawih tersebut!
Pendek kata, Ramadhan sebenarnya menuntut kita berbuat amalan, mengamalkan amalan dan bukannya semata-mata kita memperbahaskan amalan. Sebab itu kalau nak buat tazkirah pun antara rakaat tarawih, sepatutnya ringkas dan padat. Jangan tazkirahnya sampai setengah jam sehingga jemaah kurang selesa; lebih-lebih lagi seandainya tazkirah itu dimasuk unsur politik. Hendak buat ceramah, buatlah selepas tarawih; malah sepatutnya lebih baik lagi selepas tarawih itu dibuat tadarus! Kurangkan kata-kata lagho...
Bersama kita beramal dalam Ramadhan........ Insya- Allah,.....Amin
No comments:
Post a Comment