Bercakap tentang tazkirah Ramadhan (semasa tarawih – kalau ada), maka penulis teringatkan berberapa persoalan keagaman yang penulis musykilkan dan sempat bertanya kepada beberapa orang rakan penulis yang berpangkat ustaz. Pertamanya berkaitan dengan bacaan La haula wala quwwata illa biLla dan yang keduanya tentang wakaf lazim dalam bacaan Al-Quran...
Penulis rasakan pada bulan yang mulia inilah kita sebenarnya diberi peluang untuk memperbetulkan bacaan Al-Quran kita bagi yang sempat bertadarus. Ada di kalangan ahli yang bacaannya lebih baik dari yang lain. Maka seharusnya penyebaran ilmu itu dibuat.
Bacaan bertajwid terutamanya bagi hukum yang asas sepatutnya kita perhatikan. Mana idghamnya, mana ikhfanya, mana izharnya, mana madnya – hal ini bagi memastikan bacaan Al-Quran itu tepat dan memenuhi maksud. Sebab itu ulama menghukumkan bacaan Al-Quran bertajwid itu hukumnya fardhu ain.
Kadang kala bacaan Yassin ekspres di surau/masjid menyebabkan jemaah terburu-buru dan melanggar segala hukum tajwid yang ada di dalam surah tersebut. Akhirnya, bacaan boleh jadi tunggang langgang dan tidak mencapai tahap "tartil" lagi..
Oleh sebab itu, bagi mereka yang berpeluang bertadarus pada bulan rahmat ini, rebutlah peluang tersebut untuk memperbaiki bacaan Al-Quran kita. Janganlah niat kita kononnya hendak berkhatam secara beramai-ramai tetapi tajwid main langgar dan tiada tambah nilai di dalam bacaan kita.
Dan penulis kira ada baiknya tazkirah Ramadhan yang dijalankan menekankan aspek tajwid yang asas supaya bacaan jemaah dapat ditingkatkan. Satu hari satu hukum tajwid, dalam dua puluh hari, rasanya sudah lengkap tajwid asas seperti nun sakinah, mim sakinah, mad itu dan ini, wakaf dan wasal....
Fikir-fikir dan timbang-timbangkanlah...
Selamat beramal..
No comments:
Post a Comment