Sudah masuk hampir sebulan Muammar Gaddafi dibunuh dan kini berita mengenai Libya semakin sunyi daripada liputan akhbar. Akan tetapi, 'Kebangkitan Negara Arab' masih belum reda apabila Presiden Syria masih belum meletak jawatan sedangkan ratusan rakyat Syria yang telah mati kerana proses 'pendemokrasian' negara tersebut. Tunjuk perasaan, demonstrasi, pertempuran antara tentera penyokong Presiden dan penentang, dan penggantungan negara tersebut daripada Liga Arab sudah cukup membuktikan krisis di Syria semakin teruk dan membimbangkan.
Bagaimanapun, berbanding Libya yang menerima 'sokongan penuh' daripada US dan sekutunya melalui NATO, rakyat di Syria tidaklah 'bernasib baik' lantaran pemimpin dunia sekadar 'menyokong' perjuangan mereka. Semakin banyak desakan dibuat meminta Presiden Bashar Al-Assad berundur. Al-Assad masih bermain-main dengan jawatan dan kenyataannya sama ada hendak turun takhta atau tidak. Sekejap nak, sekejap tidak. Sedangkan pada masa yang sama, semakin ramai terkorban dan semakin jelas wujudnya perang saudara yang sebenarnya akan diakhiri dengan yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu. Sedangkan masa sudah menghampiri Disember yang mana genap setahuh tercetusnya 'Kebangkitan Arab' yang bermula di Tunisia. Dan penentangan terhadap Al-Assad pula dikatakan bermula sekitar tiga bulan selepas percikan pertama itu.
Pada masa yang sama juga jangan kita lupakan usaha yang dilakukan untuk menjatuhkan Presiden Yaman, Ali Abdullah Salleh lantaran keengganan pemimpin tersebut untuk turun takhta juga . Bezanya, Ali Abudllah Salleh sudah berjanji untuk meletak jawatan dengan jaminan tidak akan dibicarakan untuk 'jenayah kuku besinya.' Tetapi kesannya tetap sama iaitu protes jalanan rakyat yang membawa kepada pertempuran dan kematian juga.
Berapa ramai manusia yang terkorban atas nama-Mu - antara ungkapan yang dipetik oleh Hamka.
Oleh sebab itu, andai dibandingkan daripada sudut campur tangan, ternyata Libyalah negara yang paling 'disayangi' oleh Barat. Barat sanggup perhabis duit membekalkan rakyat Libya dengan senjata, bantuan ketenteraan dan pelbagai lagi sokongan semata-mata untuk menggulingkan regim Gaddafi. Kesemuanya dibuat atas nama pembebasan rakyat dan mengembalikan demokrasi kepada mereka. Gerakan yang pada awalnya bersifat demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan bertukar menjadi 'Perang Libya' yang menerima campur tangan Barat. Barat memainkan peranan yang cukup bererti dalam Perang Libya yang turut mengorbankan begitu ramai rakyat mereka semata-mata untuk mengecapi kebebasan dan demokrasi.
Perkara sedemikian tidak berlaku di Syria. Juga tidak berlaku di Yaman. Tiada campur tangan ketenteraan sama ada NATO mahupun UN dalam perang tersebut. Malah, keadaan yang sama berlaku di Mesir dan Tunisia. Tidak ada sesiapa pun yang hendak menaja perang 'Arab mengenal demokrasi' ini melainkan di Libya sahaja. Istimewanya Libya di mata Barat untuk didemokrasikan...
Kini, seluruh penduduk dunia perlu sedar apakah sebenarnya maksud demokrasi yang dicanangkan oleh Barat. Mereka semua ditipu hidup-hidup oleh Barat yang belagak sebagai 'pejuang demokrasi' apabila hanya menyertai SATU sahaja kempen demokrasi dalam kebangkitan Arab. Dan demokrasi yang diperkenalkan oleh Barat bukanlah demokrasi yang menjadi citra harapan pejuang demokrasi tulen. Demokrasi tersebut ialah dengan menggunakan peluru dan bom yang tidak mengenal sesiapa untuk dijadikan mangsa. Buktinya, apabila NATO sendiri mengebom pejuang-pejuang anti-Gaddafi kerana 'tersalah sasaran.' Ada NATO peduli kepada keluarga mangsa?
Barat menggunakan demokrasi untuk mencapai kepentingannya sahaja. Umum perlu maklum, hanya kerajaan Libya sahaja yang mempunyai sikap yang tidak memihak kepada Barat. Kerajaan lain (sebelum 'kebangkitan Arab') seperti Mesir, Tunisia, Syria dan Yaman kesemuanya ialah penyokong Barat terutamanya US dan masing-masing punya kepentingan sendiri. Justeru, apabila kebangkitan di negara-negara tersebut berlaku, Barat tidak akan kisahkan sangat untuk membantu rakyat mereka mengguling kerajaan pro-Barat!
Perkara inilah yang sepatutnya disedari oleh masyarakat dunia terutamanya yang bukan Barat. Mereka perlulah berhati-hati dan menginsafi bahawa demokrasi yang diwar-warkan Barat dan menjadi inspirasi gerakan penggulingan kerajaan hanya disokong oleh 'Jaguh Demokrasi' andai menglibatkan kepentingan positif kepada mereka sahaja. Bagaimanapun, tidak boleh dinafikan sumbangan 'bawah tanah' yang diberikan oleh Barat bagi menghuru-harakan keamanan sesebuah negara. Pada masa yang sama, kita hendaklah menyedari kepentingan Barat tidak tertakluk kepada sumber asli sahaja. Pengaruh kerajaan pemerintah yang menyebelahi dasar politik dan sistem ekonomi Barat merupakan sebahagian rancangan mereka untuk mengekalkan kemandirian pengaruh mereka di dunia ini.
Dan berdasarkan kepada perangai 'perang' Barat dan cara mereka memanipulasikan sistem ekonomi agar sentiasa 'mantap' dan 'cergas,' tidak hairanlah andai 'pendemokrasian' ialah satu alat yang mujarab dalam mencapai kemandirian tersebut.
Artikel berkaitan
No comments:
Post a Comment