- Kewujudan sistem kewangan Islam di Malaysia ialah seawal 70-an lagi dengan terdirinya Tabung Haji (TH).
- Sungguhpun jarang diperkatakan, idea asal TH hadir daripada Prof Diraja Ungku Aziz sekali gus memperlihatkan pandangan jangka panjang beliau dalam membantu umat Islam melaksanakan rukun Islam ke-5[1].
- Penyediaan tabungan dan pengurusan jemaah haji sudah semestinya akan memudahkan umat Islam Malaysia merancang, menyimpan dan melaksanakan haji dengan lebih teratur, tertib dan terlatih.
- Malah kini kumpulan jemaah Malaysia merupakan antara jemaah yang paling berdisiplin semasa menunaikan haji[2]; yang semestinya meletakkan TH sebagai penanda aras kepada kewangan dan kepengurusan haji.
- Kewujudan TH juga menjadi batu loncatan kepada usaha untuk menstruktur sebuah sistem perbankan Islam di Malaysia.
- Walaupun TH bertindak sebagai pengurus tabungan dan pelaburan berteraskan syariah, institusi ini masih tidak menyedia alatan-alatan lengkap yang mampu memenuhi keperluan kewangan Islam bagi menyaingi sistem perbankan konvensional (mungkin sebab matlamatnya 'Tabung' bukannya 'Labur').
- Usaha tersebut berjaya apabila pada 1983 Bank Islam diperkenalkan dalam sistem kewangan dan perbankan negara.
- Ada perbankan-dual yang mengambil inisiatif mewujudkan premis sendiri untuk perbankan Islamnya; mungkin bagi meyakinkan pelanggan bahawa urusannya tidak 'bercampur' dengan yang bukan Islamik.
- Kemudian, liberalisasi pasaran kewangan Malaysia memberikan peluang bank-bank Islam daripada luar negara bertapak di negara kita dan kini, begitu banyak sekali bank-bank Islam dan hampir kesemua bank konvensional menyediakan kaunter dwi-perbankan untuk memenuhi keperluan perbankan Islam[5].
- Dari semasa ke semasa imej dan kaliber bank Islam dan perbankan Islam akan sentiasa ditingkatkan sebagai alternatif kepada sistem konvensional sedia ada.
- Malah, kerajaan turut berusaha bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat perbankan Islam serantau.
- Begitu juga kefahaman mengenai perbankan Islam, sentiasa cuba dipromosikan terutamanya kepada umat Islam.
- Pelbagai makalah dan buku diterbitkan bagi memenuhi kefahaman rakyat tentang perbankan Islam sama ada bersifat akademik dan teknikal ataupun yang bersifat santai dan analogikal.
- Bagaimanapun, suka penulis kemukakan untuk rekod, buku-buku yang bersifat ‘teknikal’ untuk sistem perbankan dan kewangan Islam sangatlah mahal berbanding buku biasa. Mungkin memang adatnya buku sebegini mahal.
- Barangkali perlu diingat, 'bank-bank Islam' lebih-lebih lagi Bank Islam dibekalkan dengan atribut 'Islam' dan aplikasi penggunaan istilah Arab yang Islamik untuk penjenamaan dan mewujudkan persepsi betapa bank tersebutlah bank yang menjalankan operasi dan pengurusan secara Islam.
- Hal sebegini pasti memberi kelebihan saingan kepada segmen pasaran umat Islam kerana secara logik deduktifnya, umat Islam pasti mendambakan sistem yang lebih Islamik berbanding yang berteraskan kapitalisme.
- Namun akhirnya, bagi kebanyakan pengguna, harga produk dan perkhidmatan jualah yang menjadi pemberat dalam pemilihan satu-satu sistem perbankan[6].
- Dan ditambah pula dengan capaian maklumat, kesedaran kognitif yang semakin bertambah, lantas pelanggan lebih-lebih lagi umat Islam sendiri akan mula mempersoalan; adakah semata-mata namanya bank Islam/perbankan Islam atau instrumen yang digunakan dilekapkan dengan nama Arab - contohnya wadi'ah murabahah, mudharabah, ijarah dan ba'i bithaman 'ajil, maka sudah semestinya segala-galanya telah diIslamkan.
- Tambah rumit lagi, apabila perbandingan harga dan kadar dibuat, sistem konvensional tampak lebih murah berbanding perbankan Islam; hatta pelaburan menggunakan bank konvensional juga tampak memberikan keuntungan yang lebih berbanding bank Islam.
- Justeru perkara sedemikian membawa kepada kenyataan berikut: perbankan Islam bukannya bermakna harga dan kadarnya lebih murah atau pelaburannya tak semestinya lebih untung berbanding perbankan konvensional!
- Bank-bank Islam pun hendak untung juga!
- Isu sebeginilah yang kadang-kala menjadi momokan paradoks kepada sistem perbankan Islam terutamanya yang berkaitan dengan kadar 'pinjaman' yang dicaj oleh bank-bank Islam.
- Misalnya untuk pembiayaan peribadi, ada bank konvensional yang mampu menawarkan kadar yang lebih murah berbanding 'caj keuntungan tetap' yang dikenakan oleh bank Islam.
- 'Oh, itu caj yang tak nyata. Sebenarnya mereka (bank konvensional) sangat bergantung kepada kadar pinjaman asas (BLR). Cuba kalau BLR itu naik, yang konvensional akan tambah lagi caj mengikut kenaikan BLR namun yang perbankan Islam akan kekal sebab kontraknya sudah terang dan nyata bahawa kadar itu segini-segitu,' begitu antara hujah mengapa bank Islam memelihara hubungan dengan pelanggan supaya mereka tidak rugi.
- Namun, itu kalau BLR naik. Kalau BLR turun?
- Ketaktentuan pasaran bukannya semata-mata dilihat kepada harga naik, bagaimana pula kalau harga turun sedangkan kadar bank Islam sememangnya akan naik mengikut kontrak (iaitu digelar sebagai kenaikan yang telah ditetapkan).
- Dan bagaimana pula seandainya satu kumpulan (batch) pelanggan perbankan Islam mendapat kadar tetap tertentu, dan menjelang masa mungkin akibat perubahan pasaran dan strategi pasaran (berpijaklah di bumi yang nyata; bank Islam juga peniaga!) mereka mungkin menaikkan atau menurunkan kadar tersebut.
- Sememangnya kontrak asal adalah tetap sekian-sekian, akan tetapi apabila kadar itu sendiri dinaikkan atau diturunkan mengikut keperluan pasaran bukankah akan berlaku semacam ketidakadilan kepada sama ada pelanggan awal mahupun pelanggan lewat.
- Kalau kadar tetap dinaikkan, pelanggan awal (sebelum kenaikan kadar) akan mendapat kelebihan kerana kadarnya tetap tidak dinaikkan meski pasaran kewangan menaikkan kadar.
- Begitu halnya seandainya kadar tersebut diturunkan, pelanggan lewat (selepas penurunan kadar) pula menikmati faedah kerana harga yang dibayar lebih murah sepanjang masa kerana kontrak telah menetapkan kadar yang lebih rendah daripada sebelum ini; dan tidak akan berubah berbanding yang orang terdahulu, yang mesti membayar kadar yang lebih tinggi meski harga kadar pasaran ketika itu rendah.[7]
- Justeru, kefahaman mengenai bank Islam dan perbankan Islam perlulah menyeluruh dengan penekanan bahawa bank-bank Islam juga sebuah entiti perniagaan dan bukannya entiti kebajikan[8].
- Dalam kebanyakkan urusan perbankan Islam, kita sebenarnya berurusan 'jual beli' dengannya (Al-Ba'i) dan bukannya meminjam (Al-Qardu Hasan).
- Semasa kita 'meminjam' untuk membeli rumah atau kereta misalnya (contoh popular dan senang dikaitkan), kontrak sebenar ialah kita membeli tersebut daripada bank kerana bank sebenarnya telah membelinya terlebih dahulu dan bersetuju menjualkannya pula kepada kita.
- Jadi, harga dalam kontrak tertakluk kepada harga pasaran; boleh naik dan boleh turun (macam beli emas, kadang kala harganya murah, kadang-kala harga melambung tinggi).
- Namun kalau difikirkan yang konvensional pun melaksanakan perantaraan yang hampir serupa juga.
- Misalnya kalau seseorang membeli kereta, dia bayar pendahuluan sepuluh peratus kepada penjual, penjual 'tolong carikan' bank untuk membiaya kereta pembeli; sudah siap dokumen dan setelah bank luluskan pinjaman, barulah boleh dapat kereta dan urusan pembeli dengan penjual telah selesai; kerana kini secara praktiknya bank telah membayar kepada penjual amaun yang ditetapkan dan banklah yang menjadi pemilik perantara kereta tersebut sebelum penjual memiliki penuh.
- Penjual dalam hal ini, sudah pun mendapat kesemua nilai harga kereta dan pembeli pun tidaklah membayar ansuran bulanan kepada penjual; melainkan kepada bank!
- Kalau dikaitkan isu 'tarik kereta' pun (kerana ansuran bulanan tidak dibayar), pihak banklah (sama ada bank Islam atau tak Islam) yang menuntut kereta tersebut daripada pembeli dan bukannya pihak penjual yang memanggil 'bonzer-bonzer' untuk menarik kereta kerana pembeli tidak menjelaskan ansuran bulanan di bank.
- Sekali lagi menunjukkan bahawa dalam kedua-dua keadaan perbankan Islam dan konvensional, banklah yang memiliki kereta tersebut pada asalnya dan bukannya pembeli.
- Jadi, yang simpan geran pun bank, yang dibayar ansuran pun kepada bank.
- Urusan pembeli dengan penjual pun mungkin sekadar untuk hidupkan cukai jalan tahunan sahaja.
- Nama sebenar urusan sebegini di bank konvensional pun ialah 'hire purchase' (sewa-beli) dan bukannya lending purchase (pinjam beli) atau car loan (pinjaman kereta).
- Hal ini pastinya boleh dibandingkan dengan pembiayaan kereta untuk perbankan Islam yang memperkenalkan istilah Arabnya ijarah thumma ba'i iaitu 'sewaan kemudian beli.'
- Oleh yang demikian, seolah-olah satu-satunya yang membezakan sistem Islam dan konvensional (dalam konteks pembiayaan kenderaan) ialah nama Arab instrumen atau perkataan Islam itu sendiri!
- Jadi timbul persoalan kini, adakah orang tidak faham konsep pembiayaan perbankan Islam atau 'konsep pembiayaan bank' itu sendiri.
- Dalam risalah, iklan dan flyer pun sering ditulis pinjaman 100 peratus atau kadar pinjaman rendah sedangkan transaksi sebenar bank konvensional (dan bank Islam) pun mirip sewa-beli justeru istilah yang sepatutnya ialah kadar sewaan!
- Sebab itulah apabila ditanya kenapa pakai pembiayaan Islam ? -
- Akan ada yang menjawab, 'Oh, sebab dia Islam', atau 'Aku nak yang Islam supaya tak masuk neraka,' dan 'Mahal tak apa asalkan Islam.'
- Seolah-olah Islam itu telah bertukar menjadi jenama dan bukannya konsep.
- Menjadikan umat Islam mesti pasrah menerima 'mahal tak apa, asalkan Islam' satu ketetapan pemikiran.
- Dan stigma 'bank Islam pun berniaga juga' sebagai sesuatu yang semakin menjadi realiti dan seolah-olahnya mempunyai konotasi, 'mahal bank Islam, mahal ikut syariat. Murah yang konvensional sebab riba???'
- Dari hal yang demikian, adalah elok untuk pelanggan sendiri diberikan asas yang cukup untuk memahami isu perbankan dan janganlah terkeluar lagi frasa popular, 'Oh, kadar pinjaman sama je, cuma dia Islam.'
- Kerana seandainya itu berlaku, nampak sangat yang kita sekadar mengIslamkan sistem dan menggunakan frasa syariah dan fiqh muamalah hanya untuk menjadikan sistem tersebut 'sistem Islam.[9]'
- Banyak manfaatnya seandainya perbankan Islam berjaya mendapat tempat kerana sistemnya lebih jernih, tampak dan telus berbanding kapitalisme yang gemar memanipulasi keadaan dan terlalu bergantung kepada nilai-nilai potensi (future value) berbanding nilai sebenar sesuatu perniagaan[10].
- Apa lagi kerangka kapitasime yang diaplikasikan oleh sistem konvensional membolehkan keuntungan dikaut walau apa cara sekali pun tanpa mengendahkan norma, nilai kebudayaan, moral dan agama[11].
- Krisis subprima tempoh hari memperlihatkan betapa rakusnya pihak pelabur ala kapitalis yang ingin mengaut keuntungan sehingga membangkrapkan institusi pelaburan dan perniagaan itu sendiri[12].
- Tegasnya, sistem kewangan Islam perlu menjadi alternatif yang ampuh, yang berkesan dan mengemukakan konseptual yang segar untuk membolehkannya menarik minat pengguna, menjana pendapatan yang lebih dan memperkasakan ekonomi Islam itu sendiri.
- Malah, pelanggan juga perlulah didedahkan dengan maklumat-maklumat yang tepat tentang bank Islam dan sistem perbankan Islam.
- Input nilai kemanusiaan perlulah hadir bagi membezakannya dengan yang konvensional; lebih-lebih lagi nilai-nilai Islami.
- Dan nilai-nilai Islami pula tak semestinya kedengaran Arab semata-mata...
Nota hujung
[1] Anekdot ini dicatatkan misalnya dalam “Ungku Aziz – A man for all Seasons” yang turut menceritakan kekaguman Mufti Besar Al-Azhar berkenaan idea seminalnya berhubung Tabung Haji. Lihat Abu Bakar Abd Hamid & K. T. Joseph, “Ungku A Aziz – A Man for All Seasons dlm. Hashim Yaacob et al., The Renaissance Man (Kuala Lumpur: UM Press, 2010), 15.
[2] Misalnya laporan TV3 pada 30/09/2011 yang antara lain menyebut wakil Kementerian Haji Arab Saudi meletakkan gred jemaah Malaysia sebagai ‘mumtaz’ (cemerlang).
[3] Contohnya Maybank Islamic, Public Bank Islamic dan RHB Islamic.
[4] Bank Islam juga menikmati status monopoli penyedia perkhidmatan perbankan Islam tulen sehingga Bank Muamalat memulakan operasinya pada 1999. Lihat Hamim et al. “Efficiency and competition of Islamic banking in Malaysia,” Humanomic Vol. 24, no.1,(2008): 28-48.
[5] Misalnya Al-Rahji Bank dan Kuwait Finance House.
[6] Perkara sebeginilah yang menjadi kekangan apabila bank-bank konvensional memperkenalkan produk yang mempunyai kadar yang lebih murah berbanding perbankan Islam. Biasanya, apabila tiba pada tahap begini, ramai yang mengaitkan ‘hanya iman sahaja yang boleh menentukan pemilihan bank seseorang pelanggan Muslim itu.’ Tetapi, wajarkah keadaan sebegini dilabel sebegitu?
[7] Hal sebegini sebenarnya telah diulas panjang lebar berkenaan perbankan Islam menggunakan kadar kewangan asas (BFR). Malah, dalam keadaan tertentu, apabila kadar BFR menurun, pelanggan akan diberi diskaun/rebet pula kerana penurunan tersebut. Lihat Zaharuddin Abd. Rahman, Wang dan anda cet. ke-3 (Kuala Lumpur: True Welth Sdn. Bhd.), 124-134. Bagaimanapun, masih kurang jelas sama ada kesemua jenis perbankan Islam (yang tulen dan dwi-perbankan) melaksanakan cara yang sama kerana beliau memberikan contoh dua bank sahaja mengamalkan kaedah sedemikian.
[8] Perkara ini sangat-sangat ditegaskan oleh Zaharuddin Abd. Rahman kerana imej bank-bank Islam seolah-olah dilihat sebagai pusat kebajikan atau mesti memberikan kadar atau caj perkhidmatan yang lebih murah berbanding yang konvensional sedangkan kewujudan bank Islam juga sebenarnya untuk cari makan. Lihat Ibid. dan Zaharuddin Abd. Rahman, Riba dan isu kewangan semasa (Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd), 102, 142-143.
[9]Kelakuan sebegini dikritik oleh Mahmood Zuhdi kerana pemakaian istilah-istilah fiqh klasik tersebut kadang-kala digunakan secara keterlaluan bagi menghalalkan pengambilan untung untuk daripada skim hutang tanpa faedah. Sedangkan langkah-langkah seperti ini belum tentu memberi nafas baru kepada perkembangan fiqh semasa. Lihat Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Transformasi Fikah Semasa (Batu Caves: PTS Islamika, 2010), 150-152.
[10] ElGindi et al. ‘‘Islamic Alternative to purely capitalist modes of finance: A study of Malaysian Bank from 1999 to 2006,'' Review of Radical Political Economics, Vol 41, No. 4. (2009): 516-538.
[11] Ibid.
[12] Penulis telah mengulas dengan panjang lebar mengenai krisis subprima sebelum ini. Lihat http://lappanblablabla.blogspot.com/2009/06/krisis-kewangan-2007-20-perhatian.html. Juga terdapat penerangan yang terperinci peranan riba dalam krisis subprima dalam Zaharudin, Riba dan isu kewangan Islam, 73-85.
No comments:
Post a Comment