Friday, November 18, 2011

Cikgu tak dapat penghormatan tinggi?



Sekali lagi, isu guru mendapat perhatian di media cetak dan eletronik lantaran cadangan untuk menetapkan agar mereka turut bekerja selama sembilan jam sehari sebagaimana kakitangan awam yang lain. Salah satu maklum balas yang sempat diperoleh ialah daripada seorang pengarang dalam ruangan ‘Surat’ Berita Harian (17/11/11) yang begitu mempertahankan guru kerana terasa berdosa dengan  penghinaan kepada guru-guru. Tidak tahulah sama ada memang ada ‘penghinaan’ sedemikian atau cadangan sembilan jam bekerja itu yang sebenarnya ‘menghina guru.’

Sambil memasukkan permasalahan sosial dan masalah berkaitan pendidikan, beliau turut minta untuk kita merenungkan adakah patut untuk dikaitkan bilangan guru sebagai punca kepada masalah tersebut. Lalu diakhiri dengan frasa ‘jika anda menjadi guru, anda pasti nampak apa yang anda tidak nampak.’ Dengan beban tugas guru yang meningkat dan terpaksa pula berdiri semasa mengajar, terlibat dalam menguruskan ko-kurikulum dan acara padang kemudian terpaksa menanda buku murid di rumah!
Lalu ditegaskan pula kecekapan penggunaan masa oleh guru kerana dan tidak mungkin guru keluar daripada sekolah untuk urusan peribadi dan duduk di kantin lama semasa kerja. Termaktub dalam audit bahawa guru hanya boleh duduk 30 minit sahaja sepanjang masa dia berada di tempat kerja (baca: sekolah) dengan berdiri daripada pagi sampai tengah hari sedangkan kakitangan kerajaan lain boleh duduk di kantin lebih daripada 30 minit melakukan sesuatu yang bukan ‘kerja’. Kalaulah guru curi tulang, sudah tentu ibu bapa tahu kerana anak akan memberitahu perkara tersebut kerana cikgunya tidak masuk kelas. Diakhiri warkah tersebut dengan menegaskan supaya cikgu diberikan penghormatan yang tinggi.
Penulis berasa kagum dengan semangat pengarang dalam ruang 'Surat' Berita Harian begitu membela profesion keguruan. Kita anggaplah beliau ialah seorang kakitangan awam biasa dan benar-benar membela guru sehingga dapat merasakan dan melihat apa yang selama ini tidak dapat dilihat dan dengan pengakuan betapa ramainya kakitangan awam yang duduk tersadai berehat-rehat menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang bukan profesion lebih lama daripada guru. Jadi, walaupun kakitangan awam biasa bekerja selama sembilan jam, sebenarnya mereka bekerja kurang daripada masa itu. Seolah-olah sungguhpun masa bekerja kakitangan biasa lebih lama daripada guru, mereka bekerja lebih mudah daripada guru. Tak payah berdiri pun!
Akan tetapi, pemikiran sehingga ke tahap perlu berdiri lama lebih daripada orang merupakan satu kenyataan yang agak 'liar' kerana ternyata bukan guru sahaja yang perlu berdiri sepanjang masa. Kadang-kala, operator pengeluaran pun perlu berdiri sepanjang masa kerana polisi syarikat. Pekerja binaan pun tidak pernah duduk semasa melakukan tugasnya. Juru wang pun kadang-kala tak sempat duduk kerana terpaksa melayan pelanggan yang ingin membayar.
Walaupun diakui bahawa guru perlu 'menanda buku' di rumah, pekerja industri pun bukan kesemuanya mempunyai masa kerja yang tetap. Ada yang syif tengah malam buta dan ada yang kerja Sabtu-Ahad tanpa sebarang OT. Ada pegawai, penolong dan pembantu penyelidik yang memang kerjanya terpaksa menunggu sehingga uji kajinya selesai dalam satu sela masa, juga kurang rehatnya. Juga doktor, juru rawat dan pelbagai lagi pekerjaan kritikal yang mungkin tidak menikmati kemudahan masa sembilan jam. Juga pegawai pertahanan negara terutamanya bagi polis peronda yang kini, Inspektor pun kena turut meronda! Setiap masa sebenarnya mendedahkan diri kepada bahaya penjenayah dan juga kritikan sinis dipergunakan oleh kerajaan. Oleh sebab itu, banyak juga pekerjaan-pekerjaan yang tidak tetap masanya dan berbahaya juga.
Guru merupakan tugas yang mulia dan sangat diberkati. Janganlah kerana isu-isu seperti masa bekerja ini terlalu diberatkan seolah-olah guru dihina. Guru tetap mulia dan mulut-mulut yang mengkritik itu dan ini mungkin berasa kecewa mungkin sebab guru diberi perhatian yang begitu besar oleh kerajaan. Maklumlah, kakitangan kerajaan merupakan jantung hati kepada kerajaan. Akan tetapi, pada masa yang sama juga kita perlulah juga sedari bahawa beban kerja yang ditanggung oleh guru sentiasa bertambah; teknologi semakin canggih, capaian maklumat yang semakin luas dan budak yang semakin cerdik. Oleh sebab itu, semua yang terlibat pun mesti berlapang dada dan tak usah menghina. Semua pekerja mempunyai peranan masing-masing dan perlu menghargai satu sama lain.
Martabatkan munsyi berjiwa merdeka!
Artikel berkaitan

No comments: