Wednesday, November 16, 2011

Harapan tinggi kepada pembangkang (Pakatan Rakyat)

 
Amat menarik sekali segala perkara yang dibuat oleh kerajaan kesemuanya akan dikritik dengan sebaik-baiknya oleh pembangkang. Bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana itulah sikap pembangkang. Pembangkang perlulah bertindak apa sahaja untuk 'membangkang' setiap usaha yang dikemukakan oleh kerajaan. Segala insentif yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat, akan dipersoalkan oleh pembangkang, malah akan disogokkan dengan amaran yang cukup menggemparkan bahawa insentif tersebut berbahaya kepada rakyat dalam jangka masa yang panjang. Memang diakui, sebarang insentif akan memberikan kesan jangka panjang sama ada baik ataupun buruk. Namun, kita pun tidak tahu apakah tindakan alternatif oleh pembangkang kerana pembangkang pun selalu memberikan gambaran yang sama iaitu kerajaan menikmati faedah besar seandainya mereka berjaya memerintah selepas PRU ke-13.


Antara perkara yang paling dicanang oleh pembangkang ialah harga minyak. Pembangkang dengan jelas dan nyata mengatakan kerajaan memanipulasi keuntungan syarikat petroleum negara menyebabkan rakyat membayar lebih harga petroleum. Ada penyokong mereka yang turut membandingkan kadar pengeluaran petroleum di Malaysia yang setara dengan negara sekian-sekian di Timur Tengah dan membuat kesimpulan betapa mahalnya petroleum di negara ini. Malah, dibandingkan Mesir yang bergolak sekali pun, minyak negara kita lebih mahal! Oleh sebab itu, mereka seolah-olah membawa satu persepsi andai kerajaan ditukar, nescaya harga petrol akan diturunkan oleh kerajaan Malaysia Baru. Perkara itu sesuatu yang pasti. Keuntungan besar syarikat Petronas akan diagih-agihkan kepada rakyat untuk dinikmati oleh mereka. Senang cerita, harga petrol akan turun ketika kerajaan baharu ini memerintah. Oleh sebab itu, besarlah harapan penggundi PRU kelak kerana petrol akan diturunkan! Apabila harga petrol boleh diturunkan, yang lain pun akan turut turun sebab kos itu dan ini sudah semakin murah!


Begitu juga halnya dengan bekalan eletrik dan air. Selangor telah mendahului negeri lain PR untuk menyalurkan bekalan air pecuma sebanyak 20 meter padu. Begitu perihatinnya kerajaan yang dikuasai PKR di Selangor sampaikan ada begitu ramai kenalan penulis di Johor yang begitu mencemburui rakyat di sana. Oleh sebab itu, kalau kerajaan PR berjaya kelak semasa PRU ke-13, bekalan percuma 20 meter padu air akan juga dinikmati semua rakyat Malaysia. Kos hidup akan berkurang! Rakyat boleh menikmati air pecuma tanpa perlu bimbang tentang soal bekalan, rawatan, takungan air sebab kerajaan yang cekap seperti Pakatan mampu menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih murah. Begitu juga dengan eletrik; PR akan memastikan rakyat menikmati dengan kadar yang jauh lebih murah. IPP merupakan punca sebenar mengapa kerajaan Malaysia rugi dan penuh dengan ketirisan - kata pembangkang dan mereka boleh memastikan bahawa dengan kuasa yang ada, mereka boleh memberikan yang lebih murah kepada rakyat.


Bekalan air di Kelantan? Ah, itu semua taktik kerajaan UMNO dan BN hendak memperlekehkan kerajaan pimpinan Mursyidul Am PAS Sahibul Samahah wal Fadhilah Al-Ustaz Dato' Bentara Setia Nik Aziz Nik Mat! Pesetankan UMNO; kerana Kelantan merupakan negeri termaju di Malaysia kerana sudah 20 tahun kerajaan berkebajikan PAS memerintah di sana.  Serambi Mekah - begitulah gelaran yang patut diberikan kepada Kelantan. Negeri lain ada? Tak ada... Tau tak pa! Rakyat Kelantan tidak ada kerja di negeri sendiri? Siapa kata? Sebenarnya itulah semangat sahabat-sahabat Nabi Zaman Rasulullah SAW. Mereka merantau ke negeri lain untuk mencari rezeki dan akan kembali membawanya ke negeri sendiri. Begitulah semangat sebenar yang dibawakan zaman Sahabat. Mereka keluar mencari rezeki dan kemudian kembali ke negeri sendiri mencurahkan bakti. Malah, begitu ramai di kalangan sahabat Nabi SAW yang mati di negeri orang! Biar apa orang nak kata sebab mereka tidak belajar Sunnah. Andai PR yang memerintah kelak, Sunnah ini boleh diperkembangkan lagi!


Kerajaan negara berkebajikan mengambil kira semua pendapat orang ramai. Misalnya hal-hal berkaitan murtad; kesemuanya adalah helah UMNO belaka. Jangan risau, sebab apabila kerajaan PR dapat memerintah, isu murtad ini akan tidak dibangkitkan lagi. Sebab kita pun kena faham, buat apalah orang dok sibuk-sibuk beteriak mengecam tindakan orang lain beri bantuan kepada orang Islam atas nama NGO agama lain; sedangkan jabatan agama sendiri tidak memberi bantuan sewajarnya kepada umat Islam. Sekarang, apabila sudah berlaku sedemikian (kegiatan murtad), ramai pula yang tetiba gelabah mempertikaikan itu dan ini. Justeru, apabila Pakatan mengambil alih, isu ini akan tidak wujud lagi. Kerajaan berkebajikan akan memastikan yang tidak ada umat Islam yang menerima nasib yang sama kerana Pakatan begitu cekap dan berkesan menguruskan hal-hal berkaitan agama Islam seperti zakat. Umat Islam tidak perlu takut kerana agama akan lebih terpelihara di bawah Pakatan yang mempunyai parti Islam iaitu PAS. Usaha dakwah akan lebih mekar di bawah PAS dan tidak akan ada orang Islam yang perlu merempat meminta bantuan lantaran jabatan agama yang akan mengalami reformasi pada zaman Pakatan.


Soal orang Melayu dan kedaulatan Raja-raja jangan hendak dibimbangkan. Yang diperjuangkan bukannya memusnahkan atau menentang status tersebut sebaliknya yang diperjuangkan ialah lebih keterbukaan. Masalah kerajaan UMNO dan BN ialah nepotisme. Hal inilah yang menyebabkan kerajaan kini korup. Sebaliknya kerajaan Pakatan akan mengekalkan integriti mereka dalam memberi khidmat kepada rakyat. Soal keluarga Anwar Ibrahim, dinasti Karpal-Gobind dan keturunan Lim tidak timbul sebab walaupun mereka ada talian kekeluargaan yang rapat dan erat, mereka profesional berkhidmat untuk rakyat (kononya...). Nepotisme sebegitu dibenarkan sebab tidak akan mengganggu gugat khidmat kepada rakyat. Tetapi kalau BN, kalau ada pertalian sahaja boleh dikira sebagai korup (macam peristiwa feedlot yang terhangat sekarang ini!); tak kiralah bertanggung jawab ke tidak kerana yang penting nepotisme BN tetap tidak baik. Nepotisme PR - bukanlah nepotisme sebab hala tujunya baik. Kronisme hala dalam Islam di tangan pejuang berkebajikan – kata Pok Nik, kalau dilantik anak, bini, cucu, menantu dan mentua sebab mereka layak dah! Kroni yang layak!


Rakyat juga akan lebih menikmati keterbukaan apabila kerajaan PR memerintah kerana rakyat dan boleh berekspresi sebarang pendapat bila-bila sahaja dan di mana-mana sahaja. Kerajaan Pakatan tak akan bantah sebab perkara sedemikian ialah hak asasi bersuara dan demokrasi terpimpin. Lihat sahaja di Pulau Pinang, ada sahaja tunjuk perasaan sama ada kecil mahupun sederhana yang dilakukan pihak tertentu bagi menuntut hak itu dan ini dan kerajaan negeri pasrah dengannya. Tiada kerugian apa pun. Malah, hari-hari buat demo pun tidak ada masalah kerana kerajaan Pakatan ialah kerajaan terpimpin, yang boleh menerima dengan seadanya dan menggunakan demo-demo itu untuk mendapatkan sokongan rakyat. Memang melalui demolah Pakatan mendapat sokongan besar, justeru, demonstrasi pihak lain pun memberikan kelebihan kepada kerajaan Pakatan. Tidaklah menghairankan andai Pulau Pinang akan kekal di bawah pemerintahan DAP sebab Khalifah Agung Lim Guan Eng menerima pelbagai tentangan terhadap beliau kerana partinya ialah parti demokratik. Semakin banyak demonstrasi, semakin subur demokrasi di Malaysia; bukan begitu? (kata merekalah...)


Pendek kata, dengan harapan menggunung mendengar setiap janji-janji PR, sememangnya rakyat menunggu dan menagih janji-janji tersebut. Pasti akan ada begitu ramai rakyat yang begitu teruja dengan janji-janji tersebut. Oleh sebab itu, seandainya PR berjaya memerintah, janganlah pula asyik memberi alasan salah BN/UMNO lagi sebab mereka telah mempunyai kuasa dan sumber. Kalau asyik salahkan orang, nampak sangat tiada kalibernya sebab Pak Abu pun boleh menyalahkan orang lain; tak payah nak tunggu Anwar ka, Karpal ka, Hadi Awang ka. PKR/DAP/PAS kalau kalah pun boleh disalahkan BN. Bila menang, mengaku pula rakyat pilih mereka! Jadi, sudah menang nanti, jangan lupakan janji-janji yang muluk tersebut.


Janganlah dok mengata BN/UMNO bagi gula-gula kepada rakyat sedangkan mereka pun dok bagi coklat susu penuh berkrim!

No comments: