Thursday, November 24, 2011

Beg plastik: Keuntungan peruncit atau pemeliharaan alam sekitar?

 

Masih segar dalam ingatan pada ketika itu, tatkala menapak di Tesco Kajang, penulis terlihat iklan yang berlatar hijau dengan lambang kerajaan Selangor tertera bersama-samanya yang membawa maksud Hari Sabtu ialah hari tanpa beg plastik. Iklan dan pengumuman yang sama dapat dilihat di hampir kesemua pusat membeli-belah di 'Negeri Selangor.' Kesemua itu mula berlaku sekitar 2009 yang menunjukkan begitu mendalam perhatian yang dimainkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor untuk memelihara alam sekitar.

Kini, langkah yang sama juga dimainkan oleh kesemua pusat membeli-belah di seluruh negara. Malah, kerajaan pusat (BN) sendiri mengiktiraf usaha pertama Kerajaan Selangor dengan tidak segan silu melaksanakan idea untuk memelihara alam sekitar itu. Begitu besarnya pengaruh langkah daripada Kerajaan Selangor ini sehinggakan kerajaan pusat pun mengikut langkah yang sama. Barangkali perlu diberikan kredit kepada mereka kerana usaha sebegini tidak pernah dilaksanakan sehinggalah PR berjaya memerintah Selangor.

Namun, usaha sebegini jugalah yang mendatangkan pertikaian oleh pengguna kerana bukanlah sepenuhnya 'hari tanpa beg plastik,' melainkan kalau mahukan juga beg plastik, maka pengguna bolehlah membayar dengan harga 10-20 sen sehelai. Kalau seseorang itu membeli-belah dengan banyak, yang memerlukan berbeg-beg plastik, maka perlulah dia membayar sekali beg-beg plastik tersebut sekali. Maknanya, kalau sepuluh helai beg plastik, sudah tentu sekitar dua ringgit! Usaha sebegini dilihat sebagai 'mencabar hak pengguna' kerana pengguna telah dicaj dengan harga yang tidak dibayar selama ini. Sudah tentulah perkara sebegini akan membebankan pengguna dan menyebabkan pengguna membayar lebih.

Hal yang demikian telah dibawa kepada Pak Menteri bertanggung jawab dan sekali lagi, ditegaskan kepada peniaga supaya 'tidak mengambil peluang untuk mengaut keuntungan berganda.' Seolah-olah usaha 'memelihara alam sekitar' ini sebenarnya berbaur 'mengaut keuntungan atas angin' lantaran pengguna perlu membayar lebih hanya untuk mendapatkan beg plastik. Tidak adil kepada pengguna kerana selama ini mereka tidak membayar beg plastik tersebut dalam urusan perbelanjaan harian mereka. Namun, kini mereka dipaksa pula untuk membeli beg plastik yang selama ini diberikan kepada mereka secara percuma.

Benarkah begitu?

Sekali pandang dan dengar, macam betul yang peniaga sebenarnya 'mengeksploitasi dasar pemeliharaan alam sekitar' dengan mengecaj pengguna untuk beg plastik, tetapi adakah dengan usaha sebegini semata-mata maka peniaga boleh menjadi kaya-raya? Penulis secara peribadi sendiri mengamalkan, kalau sudah tiada beg plastik hari Sabtu atau tak mahu membayarnya, tak payah datang membeli-belah pada hari Sabtu! Datanglah pada hari lain kalau nak sangat beg plastik tersebut! Barangkali sebenarnya pengguna tidak didedahkan dengan kos-kos alam sekitar yang perlu ditanggung oleh bumi ini sedangkan bumi ini tidak dibayar walau sesen pun.

Beg plastik ialah produk yang tidak boleh terbiodegradasi; dalam bahasa mudahnya tidak boleh direputkan secara semula jadi. Pertambahan penggunaannya hanya akan menambahkan lambakan beg plastik yang sudah terbuang dan tidak digunakan. Semakin banyak beg plastik, semakin banyak juga tempat yang perlu disediakan untuk 'melupuskannya.' Namun, plastik sebenarnya tidak boleh 'dilupuskan' kerana tidak reput. Oleh sebab itu, beg ini akan mendatangkan masalah pencemaran alam sekitar. Masalah seperti, beg hanyut dalam sumber air, menyebabkan pencemaran air dan kematian organisma air yang menyangkanya sebagai obor-obor (seperti penyu yang dikatakan selalu tersilap makan beg plastik).

Lebih daripada itu, beg plastik sebenarnya berasal daripada petroleum yang sudah tentulah menggunakan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Kita pun telah diajar sedari sekolah rendah berkenaan bahan api fosil yang memerlukan masa jutaan tahun untuk dibentuk dan beg plastik pula merupakan sebahagian daripada hasil produk tersebut. Kalaulah sumber bahan api fosil ini habis (dan dikatakan sudah semestinya akan habis), bagaimanakah kita hendak menghasilkan beg plastik lagi? Sehinggalah saintis boleh menghasilkan kaedah untuk mengitar semula beg plastik kepada sumber bahan api, kita bukan sahaja menghadapi lambakan beg plastik, malah kekurangan sumber untuk membuat beg plastik. Tambahan pula kualiti beg plastik percuma yang kini bertambah teruk kerana tidak mampu tahan lama, beg plastik semakin dibuat dan semakin menambahkan lagi lambakan bahan yang takterderadasi!

Pengguna di Malaysia seolah-olah telah menerima satu statua quo bahawa plastik ialah barang yang percuma dan merupakan 'hak' mereka. Ada orang yang membeli minyak sepeket pun hendakkan plastik. Atau yang beli roti sebuku pun nak plastik. Nasib baiklah secara biasanya, rokok dan kad caj prabayar (top-up) tidak perlukan plastik; kalau tidak, nescaya pengguna hendakkan plastik juga untuk benda-benda sebegitu. Sedangkan beg plastik ialah kos yang perlu ditanggung oleh penjual untuk 'budi baik' (courtesy) kepada pembeli. Terlalu jarang pembeli yang membeli barang dengan membawa semula beg plastik. Oleh sebab itu, sudah menjadi semacam satu corak pemikiran bahawa penjualah yang sepatutnya menyediakan beg plastik dan terpaksa menanggung kos beg plastik. Sebungkus beg plastik saiz sederhana yang bercuping (tempat pegang) mempunyai kira-kira 50 helai dengan kos sekitar RM 2.00. Selama ini, peniagalah yang menanggung harga tersebut.

Sedangkan kos sebeginilah sebenarnya kos tersembunyi yang perlu diserap oleh peniaga. Ratusan atau ribuan ringgit perlu dibayar setiap minggu hanya untuk membeli beg plastik. Berasaskan kepada tahap perbelanjaan dan penggunaan yang semakin tinggi, beg plastik terpaksa disediakan dan dibeli oleh peniaga untuk memenuhi ‘budi baik’ tersebut. Malangnya, keadaan sebegini bukan sahaja akan meningkatkan kos berat sebelah kepada peniaga, malah mengancam alam sekitar dengan penggunaan beg plastik yang tidak berhemah.

Oleh yang demikian, kesatuan pengguna seharusnya mewar-warkan perspektif yang betul tentang beg plastik yang sebenarnya bukanlah semata-mata menambahkan kos harga barang, malah sebenarnya menambahkan pencemaran alam sekitar. Kos yang ditanggung sekarang ialah untuk menjamin generasi akan datang agar dapat hidup dengan lebih sempurna dan tidak menanggung bebanan kecelakaan, kesusahan dan kecemaran yang dilakukan oleh generasi kini. Daripada perspektif nilai keagamaan pula, apa yang kita lakukan pada hari ini ialah cerminan untuk apa yang akan kita peroleh di sana, jadi, usaha sedemikian sebenarnya sedikit sebanyak membantu amalan kita ke arah itu. Janganlah difikirkan sangat tentang duit kalau kita mampu berjimat dalam menggunakan beg plastik dan janganlah berkira sangat dengan duit kalau memang kita perlu menggunakannya.

Kalau tidak mahu membayar seringgit dua, sediakanlah beg serba guna bagi benar-benar menghayati usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Kalau semua pun tak sanggup, janganlah sibuk-sibuk hendak bercinta, berkahwin dan beranak-pinak kerana tidak mahu mengorbankan yang sedikit untuk generasi yang akan datang. Dan kekikiran kita hanya menyebabkan anak cucu kita menderita disebabkan tangan-tangan kita.

Kalau tak nak bayar barang seringgit dua, bawalah raga sendiri!

No comments: