Wednesday, November 2, 2011

AUKU terpaku kaku!





  • Laporan berita hari ini (1/11/11) bertumpu kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati peruntukan seksyen 15(5)(a) dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ialah bercanggah dengan Perlembagaan Persekuan.
  • Sidang Mahkamah Rayuan membabitkan tiga orang hakim dengan keputusan 2-1 iaitu bermaksud walaupun secara majoriti, seksyen berkenaan dilihat bercanggah dengan Perlembagaan, ada juga hakim yang menyokong seksyen tersebut (iaitu ketua panel penghakiman tersebut sendiri).
  • Yang terlibat juga dalam keputusan itu ialah tiga orang pelajar UKM yang digantung pengajiannya kerana dituduh melanggar peruntukan tersebut.
  • Dalam hujah penghakiman, salah seorang hakim (iaitu Datuk Hishamuddin Mohd Yunus) mendapati adalah tidak munasabah untuk larangan berpolitik dibuat kepada pelajar kerana pelajar universiti yang sudah berumur 21 tahun, boleh menjadi pengarah syarikat, boleh memegang sebarang jawatan dalam pertubuhan, boleh menyaman dan disaman, boleh menyertai sebarang perjanjian dalam kontrak, boleh berkahwin dan seterusnya boleh juga menjalankan kewajipan berkeluarga.
  • Namun kewujudan seksyen berkenaan tidak pula membolehkan mereka (pelajar universiti) menzahirkan sebarang sokongan sama ada menyokong atau membangkang sesebuah parti politik.
  • Lalu hujah beliau dikaitkan pula dengan fakta bahawa parti politik ialah entiti yang sah dari segi undang-undang dan menteri, ahli parlimen, dan ADUN sendiri merupakan ahli kepada parti politik itu sendiri.
  • Tafsiran yang lebih mudah, sedangkan pak menteri sendiri pun sebenarnya ialah ahli parti sekian-sekian dan pelajar itu pun boleh mengundi (kalau berdaftar), mengapakah pula dia dilarang untuk menyatakan sokongan atau bangkangan kepada parti politik sepanjang pengajiannya di universiti?
  • Bukankah pelajar itu sendiri sudah boleh mengundi (dah tentulah dia sokong parti politik tertentu kalau dia pergi mengundi) dan kalau dia sokong kerajaan persekutuan kini pun, bukankah bermakna dia sokong 'kerajaan BN'?
  • Takkanlah hanya kerana pelajar itu sokong parti pembangkang maka dia telah masuk ke arena 'politik' sedangkan kalau dia di pentas 'kerajaan' maka dia sebenarnya tidak melanggar peruntukan AUKU?
  • Jadi, penghakiman sebegini memberikan tafsiran dan dimensi yang lebih jelas berkenaan 'politik' itu sendiri terutamanya berkaitan 'parti politik' dan 'kerajaan.'
  • Misalnya peraturan guru kini sudah boleh melibatkan diri secara aktif dalam berpolitik sedangkan pegawai kerajaan yang lain tidak; merupakan paradoks yang hanya akan melihatkan ketaktelusan perkara berkaitan politik itu sendiri.
  • Kembali kepada kes asal, kita pasti bahawa kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi akan melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah ini; mungkin membawanya ke mahkamah yang lebih tinggi (Mahkamah Persekutuan) atau melaksanakan penelitian dan pindaan semula terhadap AUKU secara spesifiknya, seksyen berkenaan.
  • Dan keputusan Mahkamah Rayuan ini mungkin menjadi titik-tolak pertama ke arah penambahbaikan undang-undang berkaitan universiti itu sendiri.
  • Kalau kena pada tempatnya!

No comments: