Thursday, November 10, 2011

Tiadanya hak kebebasan bersuara...?

 

Tengku Razaleigh dalam sidang medianya dalam penubuhan AMANAH telah mengeluarkan kenyataan mengenai ruang bercakap dalam UMNO dan menyifatkannya sebagai tidak wujud lagi di dalam parti tersebut. Kalau hendak bercakap di Perhimpunan Agung mesti melalui 'tapisan daripada pucuk pimpinan terlebih dahulu.' Dan beliau sendiri menjamin bahawa penubuhan AMANAH bukanlah sama sekali untuk mengganggu gugat UMNO dan BN pada PRU akan datang.

Kita baru lagi dihidangkan dengan penubuhan PERKASA sebagai satu persatuan NGO yang memperjuangkan hal ehwal orang Melayu yang bukan kesemuanya yang dapat dikemukakan oleh UMNO. Kita juga dihidangkan dengan parti politik baru yang merupakan serpihan kepada parti politik sedia ada. Oleh sebab itu, PRU 13 akan dilengkapi dengan pelbagai parti politik yang cuba memenangi hati rakyat disamping BN dan PR. Jadi, rakyat berkemungkinan 'pening' dok fikir siapa yang mereka hendak pilih.

Sedangkan daripada satu segi, kepartian politik itu sendiri sudah menjadi satu 'pagar' yang menghalang seseorang itu 'berucap berlawanan dengan hasrat parti.' Jadi, bolehkan seseorang itu mengkritik dengan lantang pemimpin tertingginya secara terus dalam mana-mana Persidangan Agung mereka. Pernah kita dengar ahli PAS mengkritik Mursyidul Am mereka secara terus sekiranya wujud ketidakpuashatian kepadanya? Atau mungkin ada dikalangan ahli PKR yang secara lantang bersuara mengkritik Presiden PKR 'tidak wujud' dan hanya bersandarkan kepada Anugerah Tuhan Anwar Ibrahim. Khalifah Agung Umar Abdul Aziz Lim Guan Eng pun tidak pernah dikritik oleh PAS secara langsung; dan kalau pun ada, pasti selepas seketika dua dipersalahkan terus kepada UMNO. Apatah lagi ahli DAP hendak mengkritik beliau. Kalau kritik pun bukannya berkudis pun, gatal lagilah tidak! Yang sekarang ini kedengaran ahlinya dok kritik dengan jelas supaya Presidennya berundur cuma Gerakan.

Nampak jelas kalau pimpinan partinya huru-hara, barulah orang boleh menghentam pemimpin atasan mereka. Kalau tidak, jangan haraplah orang hendak menentang mereka kerana 'sokongan rakyat' atau ahli parti. Memanglah sukar untuk seseorang seperti Ku Li yang sudah ada pengaruh satu ketika dahulu untuk menyuarakan apa yang terbuku di hati melalui UMNO. Maka bersuaralah melalui media!

Media pula kini senang memanipulasi!

Justeru, memang sukarlah orang untuk bersuara. Hak itu dan ini mahu ditegakkan tetapi kerajaan tidak membenarkannya. Jangankan hak untuk bersuara, hak untuk berhomoseksual pun sekarang ini tidak dibenarkan? Justeru, bagi membolehkan hak homoseksual ini diperdengar dan diperjelaskan, sewajarnya pemimpin homoseksual ini masuk politik, dan cubalah untuk memenangi hati rakyat mengapa homoseksual itu penting. Bak kata Anwar Ibrahim, isu homoseksual telah 'dimanipulasi' oleh media, jadi golongan ini perlu menyokong Anwar supaya pandangan, tuntutan dan hak mereka dirai.

Belum cerita hak beragama. Kini orang bukan Islam pun sudah geti mengucapkan 'La ikro ha fiddin' - tiada paksaan dalam beragama. Hak inilah yang sering dipertikaikan oleh mereka yang merasakan kerajaan menindas agama mereka. Tak boleh ini dan tak boleh itu. Tidak boleh buat korban sebab dia menjejaskan keharmonian agama. Sudah itu, bagaimana pula dengan kegiatan keagamaan yang lain? Tak maulah kita tulis panjang sebabnya pasti akan menimbulkan sentimen kurang senang kepada penganut agama lain.

Sebab itulah, penulis cenderung dengan frasa 'setiap hak ada had.' Hak itu boleh sahaja kita tuntut sebab barangkali hak itu betul, lantaran etimologinya, perkataaan 'hak' itu sendiri bermaksud benar. Tetapi setiap hak itu ada hadnya. Dan perkataan had inilah yang menjadi akar kepada kata 'hudud.' Secara awamnya, satu ketetapan yang tidak boleh dilewati. Macam filem wayang had umur 18 tahun ke atas, jadi filem itu hanya boleh ditonton oleh mereka yang telah mencapai umur tersebut.

Had inilah yang sebenarnya menjadikan manusia sebagai 'manusia' dan bukannya sejenis hidupan seperti ‘binatang.’ Had memerlukan kepakaran dalam pelbagai unsur insaniah yang mesti diterapkan daripada nilai kemanusiaan, nilai keagamaan dan nilai ketamadunan. Nilai-nilai ini boleh jadi tetap atau boleh jadi relatif. Justeru yang menetapkan had merupakan mereka yang mempunyai kebijaksanaan dan daya fikir hikmah. Dalam kontes negara, mereka inilah penggubal undang-undang yang dilantik iaitu 'wakil rakyat.'

Kembali kepada Ku Li, disebabkan beliau sendiri merupakan seorang ahli parlimen, jadi beliau sebenarnya bolehlah bersuara sebagai 'ahli parlimen.' Tak perlulah tunggu majlis UMNO yang pada hemat beliau terlalu sempit sebab beliau ada hak beliau sebagai 'wakil rakyat.' Suarakanlah di saluran yang disukai olehnya sama ada di parlimen ka, melalui NGO barunya ke, pentas awam ke, pentas politik lain ke, kerana beliau ada hak tersebut. Apa yang hendak dirisaukan?

Sama ada NGO itu akan memihak atau menetang UMNO pun menjadi haknya juga sebagai Presiden menentukan hala tuju NGO tersebut. Sebab kadang-kala timbulnya pelbagai pertubuhan politik dan NGO yang baru-baru ini bukanlah lantaran tidak berpuas hati dengan yang sedia ada melainkan tidak berpuas hati yang 'presiden' itu bukan dirinya. Maka tubuhlah berapa banyak pun NGO supaya 'presidennya' boleh menjadi miliknya.

Pokoknya, diharapkan benar-benarlah kewujudan pelbagai parti baru dan NGO itu sememangnya untuk memperjuangkan hak-hak tertentu, bukannya sebab kemaruk hak jadi pemimpin!

No comments: