- Ramai pemimpin dunia yang semasa pilihan raya berjanji yang muluk-muluk; sedap didengar di telinga dan menjadikan rakyat begitu teruja dengannya.
- Lalu rakyat yang mengundi memilih mereka sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung.
- Obama misalnya mengeluarkan kata-kata 'Change: We Belief It.'
- PM pertama daripada DPJ, Yukio Hatoyama juga menjanjikan perkara yang sama sewaktu kemenangan monumental parti yang secara relatifnya baru di Jepun tatkala menumbangkan parti atuk (bekas partinya sendiri) LDP, namun tidak sampai setahun, beliau meletak jawatan kerana gagal dalam menunaikan janjinya menutup pangkalan tentera US di Jepun.
- Pengganti beliau, Naoto Kan juga turut meletak jawatan setelah beberapa bulan wilayah Fukushima di Jepun mengalami gempa dan tsunami hanya setahun lebih di tampuk pemerintahan.
- Susilo Bambang Yudhoyono juga turut menjanjikan 15 perkara yang akan dilaksanakan andai beliau dan regunya memenangi pemilihan presiden Indonesia pada 2009.
- Dan terbaru, Yingluck Shinawarta dengan senyumannya yang menawan, aura keluarga Shinawatra (disebut 'shinawat') dan namanya yang seandai ditulis huruf roman, mempunyai suku kata yang kedengaran sebagai 'tuah' dalam Bahasa Inggeris (luck) turut menebarkan seribu janji untuk rakyat Thailand.
- Antara janjinya yang paling mudah diingati ialah satu murid satu komputernya; persis zaman kebangkitan IT di Malaysia apabila PM ketika itu, Tun Dr. Mahathir melancarkan motto 'satu rumah satu komputer.'
- Zahir janji Shinawatra sebenarnya lebih hebat daripada motto Dr. M kerana kalau satu rumah itu ada tiga orang murid, maka rumah tersebut ada tiga komputer!
- Soal kaedah perlaksanaan manifesto Shinawatra itu terserahlah kepadanya kerana yang kita beratkan ialah janji dan tertunainya janji.
- Akan tetapi, saban hari, untuk melihat kesemua janji-janji pemimpin-pemimpin tadi untuk ditunaikan semakin lama semakin samar.
- Andai dilihat kepada peratusan pula, (melainkan Shinawatra yang baharu di tampuk pemerintahan) hanya kurang 50 peratus sahaja janji-janji mereka yang ditunaikan atau ditepati.
- Obama begitu beria-ia menyatakan yang penglibatan US di kempen demokrasi Iraq akan ditamatkan serta-merta sejurus beliau memegang jawatan Presiden.
- Sebaliknya, sehingga sekarang pun bukan semua askar-askar demokrasi US di Iraq pulang ke tanah airnya sedangkan masa pemerintahan Obama tinggal setahun sahaja lagi.
- Malah, US membabitkan diri lagi dengan perang di tempat orang apabila melobi untuk NATO turut serta dalam menggulingkan 'pemimpin kuku besi' Libya Muammar Gaddafi.
- Setelah Gaddafi dibunuh, 'pasukan pejuang demokrasi' NTC bukannya mahu NATO berundur sebaliknya digesa kekal untuk beberapa seketika bagi membantu mereka 'menjaga keamanan' Libya takut-takut pembela Gaddafi membuat serangan balas.
- Sudah pasti andai seruan ini dipenuhi, kos peperangan NATO akan bertambah dan secara tidak langsung menambahkan juga kos peperangan US.
- Oleh sebab itu, perkara sebegini menjadikan US sebagai negara yang paling banyak melabur untuk 'mempertahankan tanah airnya' dengan berbuat perang di negara orang lantaran tiada satu pun peperangan yang mereka sertai pasca-Perang Dunia Ke-2 yang melibatkan tempat dan lokasinya sendiri di Amerika!
- Itu cerita Obama dan US. Cerita Hatoyama dan karier politiknya di Jepun lebih tragis lagi kerana di bawah kepimpinan beliaulah parti LDP digulingkan daripada tampuk pemerintahan yang cukup-cukup lama (sedari 1955; melainkan sela masa 1993-1994)
- Beliau menjadi PM Jepun selama tak sampai setahun pun kerana mengambil tanggungjawab dalam kegagalan usaha kerajaan menutup operasi pasukan marine US di Okinawa.
- Pengganti beliau iaitu Naoto Kan juga mengalami nasib yang sama apabila melepaskan jawatan kerana kegagalan dalam menguruskan kawasan terjejas di Fukushima setelah daerah itu dilanda tsunami.
- Kematian rakyat, kemusnahan infrastruktur, pemaparan kesan negatif radioaktif yang dibandingkan dengan bencana Chernobyl, kekurangan makanan, minuman bersih dan bantuan perubatan menjadi sebab kepada perletakan jawatan beliau atas rasa tanggungjawab.
- Sedangkan daripada satu sudut, beliau sendiri tidak boleh mengelak amukan alam dan takdir Tuhan yang menyebabkan bencana tersebut berlaku.
- Kedua-dua kejadian ini ditambah pula dengan fakta bahawa sudah ada lapan PM Jepun semenjak tahun 2000, memperlihatkan sisi kebudayaan kepimpinan Jepun yang cukup-cukup berbeza berbanding negara-negara lain di seluruh dunia.
- Mereka nampaknya benar-benar mengambil kira semangat kebertanggungjawaban atas setiap permasalah rakyatnya sehingga bertindak untuk melepaskan jawatan andai berlaku sebarang kegagalan yang memperlihatkan keaiban kepimpinan mereka walaupun masalahnya dicetuskan oleh bencana seperti gempa bumi dan tsunami.
- Sehinggakan satu ketika dahulu, menteri kewangannya Soichi Nakagawa terpaksa meletak jawatan hanya kerana kelihatan mengantuk ketika menghadiri persidangan G7 di Rome.
- Kembali ke rantau Asia Tenggara, SBY mencatat sejarah sebagai presiden Indonesia pertama yang dipilih terus oleh rakyat Indonesia.
- Juga beliau sebagai presiden pertama yang berjaya mempertahankan jawatan tersebut dengan kaedah pemilihan terus itu.
- Namun, tahun pertama pemerintahan beliau yang pertama, Indonesia dilanda tsunami sehingga mengakibatkan bumi Acheh bagaikan padang jarak padang tekukur.
- Pun begitu, nasib beliau lebih baik jika dibandingkan dengan rakan sejawatnya daripada Jepun kerana bukan sahaja beliau berjaya 'mengharungi' bencana tsunami, malah beliau turut dipilih sekali lagi dalam pemilihan presiden (dengan regu barunya).
- Menjelang masa, kemenangan beliau tidak juga dirai selama-lamanya apabila sudah ada kajian persepsi yang dilakukan terhadap janji-janjinya (15 kesemuanya) yang menunjukkan setelah dua tahun dipilih semula, beliau hanya berjaya melunaskan tiga janji pilihan raya sahaja (iaitu sekitar 20 peratus).
- Sekali lagi, beliau merupakan contoh betapa keadaan dan nasib menyebelahi seseorang pemimpin kerana sebagaimana US, presiden hanya boleh memegang itu tersebut sebanyak dua penggal sahaja dan kelihatan tiada sebab mengapa kegagalan memenuhi janji itu mendorong beliau meletak jawatan.
- Paling tidak pun, wakil parti beliau tidak dipilih lagi dan beliau pun tidak mendapat kesan apa-apa seperti 'kalah' misalnya kerana presiden yang akan datang secara teknikalnya adalah 'hal dia orang sendiri.'
- Kini, kita ke utara Semenanjung pula dengan Thailand menghadapi banjir terburuk dalam sejarah lima dasawarsa.
- Kerajaan dan pimpinan Yingluck Shinawatra dikritik hebat oleh rakyatnya kerana pengurusan banjir yang kurang berkesan.
- Pertelingkahan selatan tanah air mereka juga tidak pernah kerana acap kali akan kedengaran serangan-serangan tertentu yang melibatkan puak-puak yang bertelagah. Ramai juga menjadi korban.
- Nampaknya, Shinawatra yang ini tidak sempat untuk melakukan sesuatu pun bagi memenuhi janji-janjinya kerana kini sibuk menguruskan bencana banjir di negaranya.
- Sudah tentu banjir ini akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara, menambahkan kos pengurusan negara, mengganggu kehidupan rakyat seharian dan sekali gus menyebabkan kesemua 'janji-janji manis' yang telah dibuat oleh pemimpin negara Gajah Putih itu semakin tak tertunai.
- Apa lagi janji popular seperti satu murid satu komputer.
- Hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada nasibnya seperti PM-PM Jepun atau SBY.
- Cuma daripada satu seginya, kejadian-kejadian yang dibeberkan tadi menunjukkan betapa sukarnya janji manis seorang pemimpin untuk dilaksana.
- Lantaran pelbagai tekanan yang pemimpin itu perlu hadapi, baik daripada kroninya, baik daripada sekutunya, baik daripada rakyatnya dan tidak kurang penting daripada kejadian-kejadian alami.
- Juga sebagai teladan kepada pemimpin-pemimpin yang sedia ada, sama ada pemimpin baru yang menggulingkan orang lain melalui cara jalanan atau ketenteraan, juga kepada yang masih kekal di tampuk kuasa.
- Bahawa ada dikalangan mereka yang mungkin menjanjikan bulan dan bintang, menggunakan frasa seperti 'Change' atau 'Ubah' namun kesan akhirnya, bukan sahaja tiada perubahan, malah bertambah teruk pula.
- Mungkin orang boleh kata, bukannya kehendak pemimpin itu untuk tidak memenuhi janji yang ditagih oleh rakyatnya; malah dia sudah mencuba.
- Namun tak siapa pun boleh menafikan apabila intervensi Yang Maha Esa berlaku, mereka sebenarnya lebih kerdil daripada penonjolan keagungan diri mereka di mata khalayak ramai.
- Jadi, apabila kepentingan pihak tertentu yang lebih perlu dipenuhi dan apabila bencana alam datang melanda;
- Tidak siapa pun di antara mereka mampu mengelaknya.
- Dan mungkin mereka tidak pernah terfikir pun bahawa selain daripada pihak lawan di dalam dunia politik mereka yang boleh merencatkan cita-cita mereka, terdapat kuasa yang di atas sana yang lebih tahu untung nasib manusia!
PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Friday, November 4, 2011
Janji senang; tunai janji lain pula ceritanya!
Labels:
Bencana Banjir,
Gaddafi dibunuh,
Isu antarabangsa,
Libya,
Politik,
PRU,
rampasan kuasa,
Thailand,
US
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment