Friday, November 11, 2011

Homoseksual: Antara pengiktirafan dan hukuman

 

Ramai sebenarnya yang barangkali terlupa bahawa kewujudan homoseksual berlaku seawal zaman Nabi Lut a.s lagi. Hal ini bermaksud, menurut pandangan samawi kegiatan luar tabii ini telah berlaku sebelum zaman Masehi lagi. Oleh yang demikian, adalah sangat sesuai seandainya kajian berkenaan homoseksual ini diselaraskan dengan maklumat atau ilmu berkaitan sejarah pada zaman tersebut. Apatah lagi perkataan 'liwat' itu sendiri berasal daripada 'Lut' yang merujuk kepada kaum Nabi Lut sendiri. Kaum tersebut dikatakan sebagai telah mengamalkan gaya hidup yang suka kepada jantina sejenis; seterusnya membawa kepada kemurkaan Allah Taala setelah dakwah Nabi Lut a.s tidak diendahkan. Hukuman yang dikenakan bukanlah calang-calang kerana menurut sejarah, bumi sekitar penempatan kaum tersebut telah diangkat oleh malaikat, diterbalikkan lalu dihempas ke bawah membunuh hampir kesemua manusia yang ada di situ pada ketika itu.

Dahsyatnya hukuman Tuhan terhadap kelakuan kaum Lut itu membuktikan bahawa menurut ajaran samawi, perlakuan sebegitu tidak mendapat pengiktirafan langsung daripada Yang Maha Esa. Jadi, kata-kata 'aku sudah ditakdirkan begini' tidak dapat diterima langsung kerana walaupun seseorang itu khunsa sekali pun, penzahiran satu jantina sama ada lelaki ataupun perempuan perlu dibuat bagi memenuhi konsep fitrah. Oleh sebab itu, bagaimanakah hendak diselesaikan soal fizikal lelaki namun gemarkan yang lelaki, fizikal lelaki, gemar menjadi perempuan, fizikal perempuan, gemarkan perempuan dan fizikal perempuan, gemar untuk menjadi lelaki?

Pokok pangkalnya penyelesaian adalah melalui penglibatan semua orang (walaupun kedengaran cliche) iaitu daripada pihak ibu bapa (mendidik, menegur dan memantau seawal usia pucuk), rakan-rakan (menyokong ke arah yang betul), pihak keagamaan (sokongan moral, motivasi dan hikmah keilmuan), kerajaan (menyediakan dana, rangka kerja, kelengkapan dan program intervensi) dan masyarakat (menyokong mereka dalam usaha kembali kepada fitrah dan tidak memencilkan mereka). Akan tetapi, adakah dengan mengiktiraf hak mereka maka akan selesai segala masalah?

Soal hak dan promosi, walaupun nampak berbeza, namun akhirnya boleh membawa kepada kesimpulan yang sama. Misalnya andai kerajaan mengiktiraf hak untuk menghisap dadah, maka penagih dadah tidak boleh dihukum andai mereka membeli dadah. Pengedar 'dadah tak sah' tidak boleh dihukum mati dan tidak juga boleh diletakkan dalam hukuman 'jenayah berat.' Katakanlah, orang hanya boleh beli dadah di 'kedai berlesen' sahaja. Yang pastinya, kewujudan kedai berlesen pun belum tentu mengurangkan dadah seludup. Penghisap dadah boleh jadi bertambah kerana 'hak mereka telah diiktiraf.' Kononnya, selagi mereka membeli dadah di tempat yang betul, mereka tetap tidak bersalah. Pusat serenti boleh ditutup kerana penagihan ialah sesuatu yang dibolehkan mengikut undang-undang. Semakin ramai juga anak-anak muda ingin mencuba 'benda yang dibenarkan' itu.

Maka, adakah akan terselesai masalah penagihan? Kita hanya menyelesaikan masalah penagih dadah sebagai sesuatu yang bukan menjadi kesalahan (mengurangkan atau meniadakan kesalahan 'menagih dadah') tetapi kita mencipta pelbagai lagi masalah teknikal yang menjauhkan diri kita daripada masalah fundemental iaitu 'dadah' itu sendiri. Andai ini berterusan, kelak dadah akan menjadi umpama rokok apabila yang dipersoalkan hanyalah sekadar 'dadah seludup,' 'dadah murah,' dan 'kawasan larangan hisap dadah,' 'poster/gambar pada pek dadah - Amaran Kerajaan Malaysia: dadah membawa maut' 'dadah lari cukai,' dan seumpamanya sedangkan masalah sebenarnya ialah dadah itu sendiri.

Dalam keadaan sebegitu, bukankah kerajaan akan dilihat secara tidak langsung, mempromosi agar rakyatnya menghidap dadah dengan cara yang betul? Dengan pengeluaran lesen dan pengiktirafan bahawa dadah sekian-sekian adalah sah disisi undang-undang, maka bukankah kerajaan secara tidak langsung akan menggalakkan agar rakyatnya, kalau nak hisap dadah pun, biarlah hisap dadah yang sah!

Begitulah halnya dengan isu homoseksual. Kalau kita mengiktiraf hak untuk berhomoseksual, secara tidak langsung kita juga mempromosi agar semuanya boleh untuk berhomoseksual. Homoseksual itu menjadi bukan kesalahan (secara rela). Justeru negara kita perlu mengiktiraf golongan ini mempunyai hak itu dan ini. Hak mereka untuk menuntut hak mereka juga perlu dipenuhi. Sampai sudah nanti, mungkin ada ‘jabatan kebajikan homoseksual,’ dan menjelang masa, wanita pun perlu bersaing dengan golongan homoseksual kerana mereka pun hendak menjadi menteri, naib canselor, pengarah syarikat atau jabatan kerajaan, pengurus besar atau Perdana Menteri! Seperti di Barat, mereka ada jawatan kuasa tuntutan sendiri, wakil rakyat dan menteri sendiri, boleh melangsungkan perkahwinan sendiri justeru, mestilah ada 'badan agama' yang ditubuhkan bagi memenuhi keperluan mereka ini. Sebabnya - mereka berhak!

Yang diselesaikan bukannya masalah homoseksual, akan tetapi 'homoseksual itu tidak salah.' Itu sahaja! Hal ini samalah andai dinisbahkan dengan perbuatan mencuri itu tidak salah, jadi, memanglah tiada 'jenayah mencuri' dan bukannya 'jenayah mencuri berkurang' sebab mencuri kini telah dibolehkan.

Justeru, yang lebih penting untuk kita bincangkan adalah bagaimana kita hendak mencegah, membetulkan keadaan, membantu mereka kembali ke pangkal jalan; daripada satu sudut memanglah cuba untuk 'tidak menghukum' tetapi tidak juga mengiktiraf kelakuan mereka kerana kelakuan mereka salah daripada segi moral, nilai kemanusiaan dan nilai keagamaan. Oleh yang demikian, mereka perlu 'pulang ke pangkal jalan' dan 'kembali kepada fitrah.' Sungguhpun masyarakat akan 'cuba' untuk tidak mendiskriminasi, mereka juga seharusnya 'cuba' untuk memperbaiki diri. Yang lelaki perlu kembali menjadi lelaki, yang suka lelaki kena suka kembali kepada perempuan dan begitulah juga bagi pihak wanita.

Malangnya, keadaan dan rangka kerja ideal yang sedemikianlah yang sangat-sangat sukar untuk dicapai. Ada pihak yang cenderung menghukum mereka tanpa sebarang inisiatif mendidik atau berusaha untuk mendidik dan di pihak kutub yang satu lagi, ada pula sokongan besar daripada orang yang berpengaruh, pengamal undang-undang dan hak asasi manusia yang menyokong keterwujudan mereka sebagai hak manusia sejagat. Kemenangan biasanya akan mengikut keadaan latar masyarakat sesebuah negara sama ada masyarakat tersebut sudah terlalu kuat kesekularannya ataupun masyarakat yang lebih cenderung mengamalkan ciri-ciri tradisional.

Dan itulah sebenar-benarnya cabaran untuk golongan yang berada di tengah-tengah (wasathiyyah)!

Artikel berkaitan

Homoseksual: Satu sudut pandangan pertembungan budaya

Homoseksual: Kesan perspektif politik

No comments: