Tuesday, November 8, 2011

Mengurangkan kakitangan awam.

Umum mengetahui bahawa kakitangan awam merupakan sektor pekerjaan yang paling banyak menikmati imbuhan semasa Belanjawan 2011. Malah, dalam banyak keadaan pun kakitangan awam dan badan berkanun jugalah yang menikmati pelbagai kelebihan tatkala berada dalam perkhidmatan dan selepas bersara kelak.


Pinjaman kerajaan, pinjaman koperasi dan skim pinjaman tertentu semuanya lebih memihak kepada penjawat awam berbanding yang 'bukan-penjawat awam.' Begitu juga dengan pencen yang dinikmati oleh penjawat awam selepas mereka bersara daripada perkhidmatan.


Berbanding perkhidmatan swasta yang selalunya dikaitkan dengan buat duit untuk diri sendiri, keluarga, syarikat dan kerajaan. Keringat yang diperah tidak semestinya berasaskan waktu standard 9-5 dan limpahan cuti yang merata-rata. Ada yang bekerja pada Sabtu dan Ahad namun atas keadaan tertentu tidak pula boleh dicaj gaji 'overtime' (persis kategori 'pegawai' dalam sektor awam).


Walaupun imej mereka yang selalu dicemburui penjawat awam ialah 'bonus berbulan-bulan,' barangkali perlu diingat yang bukan semua syarikat menyediakan bonus tahunan dan bukannya tiap-tiap tahun pun akan dapat 'bonus berbulan-bulan.'


Justeru, perkara sebegini mengundang rasa tidak puas hati Setiausaha Publisiti Kebangsaan Tony Pua yang menjanjikan andai DAP berjaya memenangi PRU, maka kerajaan mereka akan mengurangkan sama sekali penjawat awam bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. Hal ini juga didorong oleh keperluan kerajaan menyediakan insentif tambahan kepada mereka yang semestinya 'menambahkan kos kerajaan.'


Sekali lagi, frasa 'we as the government tax payer' akan dijadikan sebagai kata-kata merasionalkan tuntutan agar kerajaan menambahkan kecekapan khidmat kerajaan kerana mereka sebenarnya sebagai pemudah cara dan bukannya sebagai penguatkuasa semata-mata. Kakitangan kerajaan dimanjakan dengan pelbagai insentif kerajaan yang tidak mungkin akan dinikmati pekerja lain. Kalau pun kerajaan memberikan insentif umum seperti bantuan khas RM500 kepada yang berpendapatan rendah, penjawat awang yang berpendapatan rendah pun layak juga menerima insentif tersebut.


Akan tetapi, ada juga dikalangan pemerhati yang menyarankan tindakan 'janji' DAP melalui Tony Pua itu berbaur perkauman lantaran majoriti pekerja sektor awam ialah orang Melayu dan Bumiputera. Misalnya Berita Harian (8/11/11, m.s. 4) memetik Pengerusi Majlis Perundingan Melayu Malaysia Prof Datuk Dr Kamarudin Kachar menyatakan tindakan DAP itu sebagai 'bermatlamatkan mengurangkan orang Melayu dan Bumiputera dalam perkhidmatan awam.' Presiden NUTP, Hashim Adnan pula menyatakan ketidakcukupan jumlah kakitangan awam khususnya guru sedangkan jumlah murid yang memasuki alam persekolahan saban tahun bertambah.


Isu berkaitan bilangan kakitangan awam di Malaysia sebenarnya lebih berbentuk abstrak berbanding sesuatu yang tampak, jelas dan mudah difahami oleh segenap masyarakat Malaysia. Hal ini mungkin disebabkan sebaran maklumat mengenainya tidak meluas atau memang tiada kajian terperinci secara rasmi pun yang dibentangkan untuk isu sebegini. Yang paling mudah untuk dikaitkan dengan isu sebegini ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana merekalah yang mengawal selia, mengurus jawatan, penggajian, pencen dan pelbagai hal berkaitan penjawat awam sama ada guru, tentera, polis, PAR atau pegawai-pegawainya.


Cuma daripada satu segi, maklumat mengenai produktiviti penjawat awam merupakan sesuatu yang kekal menjadi enigma kerana wujudkah sebenar-benarnya kajian yang bersifat sedemikian? Selama ini, ramai yang sekadar memberikan pandangan dogmatik yang masih belum dibuktikan secara konstruktif. Bagaimanakah kita hendak menentukan sama ada produktif atau tidak untuk perkhidmatan awam? Sebab hanya dengan cara begitu barulah kita boleh bercakap soal kecekapan dan keberkesanan.


Merumitkan lagi keadaan, kualiti perkhidmatan tidak semestinya berkait rapat dengan produktiviti walaupun kedua-duanya sering diungkapkan bersama-sama. Maknanya, kalau Pak Abu berpuas hati dengan perkhidmatan jabatan A, berbanding jabatan B, belum tentu jabatan A itu lebih produktif berbanding jabatan B. Pak Abu cuma suka jabatan A lebih, tapi jabatan A tak semesti menyumbang lebih kepada kerajaan!


Oleh sebab itu, apabila kita mengatakan hal-hal berkaitan 'efisyen' dan 'produktif,' tidak dapat tidak kita perlu meletakkan parameter tertentu bagi membolehkan pengukurannya. Barangkali perlu diingat bahawa kedua-dua istilah itu sebenarnya sangat berkaitan dengan 'ekonomi' yang tidak dapat tidak, perlu menggunakan nombor juga dalam bual bicaranya.


Maka, apakah data-data itu sudah tersedia? Bagaimanakah kita hendak mengukur produktiviti guru misalnya, atau pekerja kaunter Jabatan Tanah dan Galian? Semua itu perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum kita membuat praanggapan kakitangan kerajaan tidak produktif atau tidak cekap.


Tetapi andai sudah wujud data-data tersebut, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membuat hebahan kerana perkara tersebut merupakan kepentingan awam. Penerangan perlu dibuat kepada rakyat tentang penjawatan, sasaran numerikal dan kecekapan dan produktiviti kakitangan mereka. Hal ini demikian kerana penjawat awam diberi kuasa tertentu yang dipelihara oleh undang-undang sehingga seandainya 'menghalang kerja penjawat awam' pun boleh dikira sebagai satu kesalahan. Jadi, kalau sebegitulah hebatnya penetapan klausa tersebut dalam undang-undang, sudah semestinya rakyat biasa pun mahu mengetahui sama ada penjawat awam benar-benar melakukan tugas mereka dengan adil bagi memenuhi fungsi mereka sebagai 'pemudah cara' rakyat Malaysia.


Kalau setakat kata 'bandingkan dengan negara sekian-sekian, ada kakitangan awam seramai sekian-sekian yang lagi ramai jumlahnya daripada kakitangan awam Malaysia' tidak memadai. Bukan semua perkara yang negara sekian-sekian itu perlu disamakan dengan Malaysia kerana struktur masyarakat yang berbeza, keperluan yang berbeza, struktur pekerjaan juga berbeza dan struktur negara yang juga berbeza.


Oleh sebab itu, secara objektifnya janji Tony Pua dan DAP sebenarnya telah berjaya membuka mata kepada pihak kerajaan supaya merasionalkan pengambilan kakitangan awam, penjawatan dan hebahan berkenaan kecekapan dan produktiviti penjawat awam. Sudah semestinya janji sedemikian ialah janji yang berbaur politik tetapi, menjadi tanggungjawab kerajaan juga untuk menjawab kenapa jumlah kakitangan awam adalah sebagaimana sekarang ini. Dan sudah semestinya dengan istilah-istilah muluk seperti KPI, NKRA, NKEA, GTP, harus sekali mereka menzahirkan 'kejayaan-kejayaan' mereka.


Malah, kerajaan DAP Pulau Pinang pun perlulah kini mengurangkan kakitangan peringkat negeri mereka selaras dengan idealisme untuk mengurangkan kakitangan awam bagi memastikan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam negeri tersebut meningkat. Hal ini demikian kerana sekaranglah masanya bagi membuktikan cadangan mereka bernas kerana terbukti apabila kakitangan dikurangkan, kecekapan dan produktiviti meningkat. Barulah mereka boleh mengatakan yang cadangan mereka untuk kepentingan awam dan bukannya berunsur politik semata-mata.


Tambahan pula andai politiklah yang menjadi pemberat pengurangan kakitangan awam, pandangan sedemikian juga amat-amat kurang munasabah. Penulis secara peribadi bersahabat dengan penjawat awam, selalu berbual dengan mereka dan tidak menunjukkan pula tanda-tanda yang mereka lebih meyokong kerajaan BN/UMNO. Berapa ramai polis yang pernah berbual dengan penulis yang sebenarnya sering menzahirkan rasa tidak puas hati dan sinis dengan kerajaan sedangkan golongan inilah yang paling banyak dihentam oleh pembangkang terutamanya ketika berlakunya tunjuk perasaan.

Ada juga di kalangan kakitangan kerajaan yang secara terbuka mengisytiharkan mereka tidak menyokong BN pada PRU 2008 hanya kerana kerajaan tidak beri bonus. Ungkapan zaman Pak Lah yang lalu, 'cemerlang, gemilang, terbilang' sering diajuk dengan 'cemerlang gemilang temberang' oleh kakitangan awam sendiri. Ramai kakitangan kerajaan daripada kumpulan profesional lebih kritikal kepada pihak kerajaan berbanding menzahirkan sokongan tak berbelah bagi. Oleh sebab itu, apa yang hendak dirisaukan kerana sememangnya terbukti, penjawat kerajaanlah juga yang menyumbang kepada kemenangan monumental pembangkang tempoh hari!?


Dari hal itu, DAP kini perlulah ‘walk the talk’ dan bukannya kekal dalam kepompong lama sekadar talk the talk!

1 comment:

Hesome said...

Aku sokong kurangkan kakitangan awam