Monday, October 3, 2011

Pekerja lama hendak lama; yang baru nak campak mana?

 
Ramai orang yang mengatakan bahawa dengan peningkatan kos sara hidup, gaji pekerja mesti dinaikkan. Hanya dengan gaji naik sahaja maka rakyat boleh bertahan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar. Tuntutan sebegini biasanya dibuat oleh badan-badan penekan dan kesatuan-kesatuan pekerja. Pada hemat mereka, adalah wajar untuk majikan mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh pekerja bagi sektor pekerjaan mereka. Bukankah pekerja yang berusaha dengan penuh dedikasi dan penat lelah untuk menyumbang kepada peningkatan pendapatan firma/kerajaan dan bagi mereka yang telah memenuhi keperluan pendapatan dicukai, maka cukai pula perlu dibayar untuk pembangunan negara?

Pada masa yang sama, kedengaran dengan lantang dan jelas supaya umur pesaraan wajib bagi kedua-dua sektor awam dan swasta ditingkatkan ke 60 tahun. Bukankah mereka yang berpengalaman ini patut dihargai kerana telah memberi sumbangan besar kepada firma/kerajaan dan pengalaman mereka tidak akan sama sekali dapat dijual beli? Malah, merekalah yang sepatutnya diangkat menjadi mentor kepada pekerja baru agar dapat menurunkan ilmu dan pengalaman bagi menghadapi cabaran mendatang?

 
Bagi generasi muda, janganlah sama sekali rasa terancam bahawa peningkatan umur pesaraan ini mengganggu-gugat peluang mereka memasuki alam pekerjaan. Peluang pekerjaan banyak! Terdapat beratus ribu kekosongan jawatan dalam segala bidang yang boleh diisi oleh mereka. Malah, ada yang menyindir 'andai yang muda ini sudah tiba ke tahap umur yang tua, pasti cadangan lanjutan umur pesaraan ini pantas dipersetujui.’ Kita perlu menerapkan meritrokrasi sedari sekarang supaya yang benar-benar layak sahaja yang mengisi jawatan. Yang tidak layak, silakan pergi kursus-kursus peningkatan kemahiran bagi menambahkan ilmu dan pengalaman. Kita perlukan pekerja yang dinamik, yang mampu menghadapi pancaroba akan datang, jadi perlukan bakal pekerja yang mahir, yang mantap serba-serbi. Jangan rasa peluang tidak ada hanya kerana yang tua diberi peluang barang tiga-empat tahun tambahan bekerja kerana kelak, yang muda akan jadi tua menyebabkan kaedah sama juga memberi manfaat kepada yang muda sekarang ini.


Lalu dibuatlah perbandingan umur pesaraan dengan negara-negara lain, semuanya bagi maksud merasionalkan keperluan untuk melanjutkan umur pesaraan. Ada negara yang hingga 65 tahun, ada yang sehingga 60 tahun. Maka dikeluarkanlah kenyataan bahawa 'rakyat Malaysia terlalu muda untuk pencen pada 55 tahun.’ 55 tahun itu masih muda! Kata orang putih, 'life begin at 40!' Kalau begitu, jangka masa selepas 40 baru 15 tahun jika umur pesaraan dikira pada usia 55 tahun.


Andai dilihat pula daripada segi jangka umur, secara puratanya, umur penduduk di Malaysia adalah lebih 70 tahun. Sudah tentu perbezaan 15 tahun selepas pesaraan perlu diambil kira. Bayangkan tabungan pesara kelak sekiranya sekadar bekerja sehingga 55! Kalau setakat tabungan RM100 000, maka jumlah perbelanjaan bulanan yang dapat ditampung selepas bersara hanya sekitar RM550; setara dengan pendapatan golongan miskin. Justeru, tambahan masa bekerja sehingga 60 tahun pasti akan membantu mereka menampung kehidupan selepas sepuluh tahun mereka bersara. Lagipun, mereka yang telah tiba di usia sedemikian bolehlah dikatakan sebagai 'nenek-nenek' atau 'atuk-atuk' atau mungkin 'moyang-moyang.' Inilah masanya orang-orang muda berbakti kepada bakal-bakal nenek, atuk dan moyang dengan memberikan tempat kepada mereka bekerja barang lebih lima tahun daripada masa biasa sekarang ini. Bukannya hendak minta duit pun, hendak minta kerja itu diberi tempoh yang lebih lama! Mereka yang terbabit bukannya makan gaji buta! Tetapi sebenarnya menyumbang juga untuk negara!


Begitulah hujah-hujah mereka yang membangkitkan dan menyokong cadangan ini. Kesemuanya menjurus kepada tekanan kos ekonomi yang tinggi, kepakaran yang berharga dan jangka hayat penduduk yang meningkat. Oleh sebab itu, sebagai orang muda mereka mesti faham cadangan dan tuntutan ini sebenarnya membawa manfaat bersama. Kita kena fikirkan yang muda sudah tentu akan jadi tua, dan yang tua sudah tentu bertambah tua dan mungkin telah menghadapi Ilahi tatkala yang muda menjadi tua. Apalah salahnya andai umur pesaraan itu dilanjut sampai ke 60 tahun?


Penulis setuju sangat dengan cadangan tersebut. Malah, jangankan sampai ke umur 60, sampai ke tua­-bangka pun penulis setuju sangat. Malangnya, kita mesti berpijak di bumi yang nyata dan realiti masa kini. Antara kehendak, kemahuan untuk bekerja, keperluan, kemampuan majikan untuk membayarnya dan kemampuan pekerja itu sendiri untuk bekerja. Faktor-faktor inilah yang sepatutnya ditimbang dahulu sebelum kerajaan/pihak majikan untuk melaksanakannya. Kalau negara mampu, memang patut ditanggung rakyatnya sampai ke liang lahad. Patutnya dibayar terus pencen untuk semua tanpa mengira sektor apa kerana mereka semua berjasa kepada negara. Buat apa disuruh kerja pasca-55? Akan tetapi, mampukah kita?

Sebab itu kita hendaklah berpijak di bumi yang nyata. Kita jangan menuntut tetapi sekadar sehala sahaja tuntutan kita. Kalau boleh dilaksanakan, nah silakan! Tetapi kalau tak dapat, janganlah kita menuduh orang muda takut kepada peluang orang tua. Mungkin ada dikalangan muda yang berfikiran begitu akan tetapi kehujahan mereka tidak semestinya salah. Kita kena kaji secara pendekatan holistik bagi menanganinya. Kalau sesebuah firma itu mampu, rasanya tidak akan ada sebab mereka tidak berbuat begitu kerana pekerja merupakan aset. Lebih mudah mengekalkan pekerja berbanding mencari yang baru yang sudah semestinya perlu dibangunkan (nuture). Namun kalau pekerja tersebut mempunyai masalah, misalnya masalah kesihatan sehingga menjejaskan produktiviti, mengapakah perlu diberi peluang kepadanya sehingga lanjut umur?

Selain itu, sikap ‘orang muda-orang tua’ merupakan satu lagi yang mendorong orang muda kurang gemar dengan cadangan sedemikian. Golongan yang veteran ini kadang-kala lebih menjadi liabiliti berbanding aset seandainya mereka kekal pada pemikiran takuk lama. Pemimpin-pemimpin tertinggi kadang-kala mendakwa bahawa yang muda kurang kreatif, namun apakah ertinya kreativiti dan inovasi yang cuba diketengahkan oleh orang muda kalau orang lama itu tolak mentah-mentah. Sudahnya, yang muda akan kekal mengikut perangai orang yang lama dan mereka akan berperangai sama apabila mereka tiba ke tahap tersebut. Tiada peningkatan langsung daripada segi sikap, kelakuan dan hubungan daripada satu generasi pekerja ke generasi yang lain kerana sebarang perubahan akan dicantas siang-siang.

Kekangan kewangan juga menjadi salah satu faktor yang mungkin dipertimbangkan. Adalah lebih mudah membayar pekerja baru pada harga yang lebih rendah berbanding mengekalkan yang tidak produktif pada harga yang tinggi. Menggaji pekerja baru yang dinamik lebih baik daripada menyimpan penyakit di dalam sesebuah firma. Oleh sebab itu, janganlah harapkan yang tua hendak dibayar sedangkan banyak kerja yang tak beres sedangkan yang muda mungkin boleh membuat kerja dua kali ganda berbanding yang tua.

Lebih daripada itu, pekerja lama telah dapat merasa suasana ekonomi yang jauh lebih baik berbanding pekerja baru, jadi apa salahnya orang lama berkorban sedikit demi yang muda dalam bidang pekerjaan setelah tiba masa yang veteran itu bersara? Andai kos sara hidup masa sekarang dijadikan sandaran, bagaimanakah pula kos sara hidup pada masa hadapan? Setakat ini, terlalu sedikit harga barangan keperluan yang mempunyai trend menurun harganya berbanding menaik! Generasi pencen sekarang mungkin sudah memiliki rumah; namun harga perumahan secara statistiknya sentiasa meningkat sehingga harga yang tidak munasabah. Sudah tentu generasi muda akan perlu membayar lebih berbanding generasi pencen jikalau untuk memiliki rumah!

Peluang kenaikan pangkat pekerja pula, kalau pun tidak memberikan kesan yang besar, pasti akan tetap memberikan kesan kepada struktur pangkat dan jawatan sesebuah firma dan jabatan kerajaan. Sudah tentu yang veteran menginginkan jawatan dan tangga gaji lebih tinggi dan lebih baik andai hendak dikekalkan berbanding jawatan lama. Oleh yang demikian, adalah sangat wajar kajian dilaksanakan kerana pekerja yang baru masuk ke alam pekerjaan sudah tentu akan terpaksa menghadap masa yang lebih panjang untuk naik pangkat kerana yang di atasnya kekal lebih lama.

Justeru penilaian yang menyeluruh harus dilakukan oleh pakar-pakar tempatan bagi mencari penanda aras yang realistik untuk usia pesaraan di Malaysia. Jangan dilihat semata- mata kepada usia pesaraan negara lain andai tidak dilihat bersama-sama dengan kerangka sistem pesaraan mereka (termasuk kaedah tabungan), kadar kelahiran, kadar kematian dan tahap kesihatan, lebih-lebih lagi penyakit kronik. Jangan kita bandingkan kita dengan negara yang mempunyai kadar kelahiran dan kadar pertumbuhan populasi yang rendah sedangkan generasi baru mereka jauh lebih rendah dinisbahkan dengan negara ini. Bak kata orang putih bandinglah epal dengan epal. Bandinglah ‘pekerjaan’ itu secara holistik meliputi segala sistem berkaitan dan dasar pemerintah agar kita dapat maklumat yang tepat dan berguna untuk kita contohi di negara kita. Penulis yakin perkara tersebut pantas sekali dilakukan oleh pakar-pakar sosial dan pembuat dasar negara ini bagi membolehkan keputusan yang lebik konstruktif bersama-sama bukti-bukti empirikal dan bukan sekadar andaian-andaian kosong.


Selain itu, mentor yang baik menghasilkan protege yang baik. Malah, dalam kebanyakan keadaan, protege lebih menyerlah berbanding mentor. Maka kita hendaklah mewujudkan satu sistem ‘pewarisan tanggungjawab’ (succession) yang mantap bagi mempersediakan orang baru mewarisi kerja orang lama dengan lebih baik. Pengekalan orang lama seharusnya lebih kepada mempersiapkan orang baru untuk mengambil alih jawatannya, dan bukannya semata-mata sebagai ‘mengenang jasa,’ atau ‘sebagai membantu yang veteran menambahkan tabungan pesaraan’ atau kerana ‘yang tua lebih dulu makan asam dan garam berbanding yang muda.’ Didiklah si muda supaya merasa garam dengan betul, yang asli; bukannya hanyut dek kesedapan serbuk perasa monosodium glutamate; sedapnya seketika tetapi haus selepasnya... Masya Allah! Namun, bersediakah orang yang veteran ini bertindak demikian berbanding berfikiran yang lebih muda cuba merampas kerjanya kelak?


 
Kesimpulannya, sebagaimana yang pernah diutarakan dalam blog ini bagi isu wanita yang cuti bersalin mahukan cuti tiga atau empat bulan, tuntutan hendaklah dibuat mengikut kemampuan kita dan bukan kerana negara lain buat, maka negara kita hendaklah buat. Kalau mampu, tiada salah, cacat dan celanya berbuat demikian. Namun kalau tak mampu, berlapang dadalah kerana ketakmampuan kerajaan dan majikan kita. Kejayaan generasi sekarang sangat bergantung dengan generasi terdahulu dan memanglah patut untuk generasi sekarang akui. Pada masa yang sama, penting juga diingat bahawa kejayaan generasi akan datang pula sangat-sangat bergantung kepada generasi sekarang juga. Selain kita bekerja untuk diri kita, ingat-ingatlah juga kepada yang akan datang yang akan mengganti kita sebab mereka pun akan kelak mengganti tempat kita.
Letaklah tuntutan pada tempatnya.,..................

No comments: