Saturday, October 22, 2011

Nusantara satu.... Hah, tak ada? Habis tu apa yang ada?

 

  • Sebagai lelaki, adalah sesuatu yang tidak menghairankan untuk dikelilingi rakan-rakan yang merokok.
  • Malah, wanita kini sudah sebaris lelaki dalam menghisap rokok. Maklumlah, kini wanita pun hendak duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan lelaki, kalau lelaki jadi CEO, wanita pun kena jadi CEO, kalau lelaki main bola sepak, wanita pun perlu bermain bola sepak dan kalau lelaki hisap rokok, wanita pun lebihlah lagi perlu diberi hak menghisap rokok!
  • Tulisan kali ini bukan berniat untuk membincangkan gender dan rokok... Di atas tadi sekadar menyebut realiti yang berlaku.
  • Langkah kerajaan Malaysia untuk tidak menaikkan cukai rokok (baca: harga rokok) merupakan sesuatu yang amat-amat memeranjatkan pemerhati ekonomi; lebih-lebih lagi pakar cukai. Adakah ini taktik pilihan raya PM Najib?
  • Masa pilihan raya, industri rokok merupakan antara yang paling banyak menerima tempias faedahnya.
  • Sama ada puak kerajaan mahupun pembangkang, rokok merupakan insentif yang cukup popular untuk dibekalkan kepada pekerja-pekerja pilihan raya.
  • Daripada peraih undinya, tukang pasang bendera dan kain rentangnya, pengiring orang kenamaannya, semuanya sudah tentu menginginkan sedikit habuan; maklumlah, ada yang cuti tanpa gaji, ada yang cuti sakit, ada yang memang kerjanya begitu; tunggu pilihan raya, adalah kerja lepas itu menganggur.
  • Habuan paling popular (bagi lelaki) sebagai 'tanda mata' ialah rokok. Sekurang-kurangnya jimat duit rokok seminggu. Tak gitu?
  • Tak payah tunggu pilihan raya, kalau dalam majlis rewang pun tentu ada tuan rumah yang menaja rokok. Daripada menyiang sampailah siap hidang di meja buffet, mestilah nak juga habuan rokok. Sekali lagi - biasanya lelaki la...
  • Apabila kerajaan tidak naikkan harga rokok, dan ditanya pula kepada PM Najib merangkap Menteri Kewangan I, apa jawapannya? 'Oh, kita kena pertimbangkan harganya sudah sampai ke satu tahap yang tinggi. Kerajaan perlu pertimbangkan hal itu. Sekarang ini yang lebih kita concern ialah yang seludup.' Begitulah lebih kurang jawapan beliau.
  • Begitu perihatin kerajaan Malaysia kerana takut rakyatnya tidak mampu beli rokok. Dan sekarang, dengan harga yang tinggi, kena fikir pula pasal rokok seludup.
  • Sedangkan daripada satu segi, ekonomi bawah tanah, dalam konteks rokok telah lama berlaku. Penulis berkenalan dengan jenama bawah tanah terpilih terutamanya kretek sedari harga rokok premium Dunhill 20' sekitar RM5 lagi.
  • Ialah, harga jenama bawah tanah Gud**g *aram Sur*a[1] pun baru sekitar RM2.50.
  • Setelah itu, kenaikan rokok berlaku dengan drastik sehingga harga Duhill menjejak lebih RM8.00 sekotak. Kretek tetap naik juga namun tidaklah sedrastik rokok sah. Kini, harga minimum rokok sah di Malaysia ialah RM7.00, Gud**g *aram masih dalam lingkungan RM5.00-RM5.50.
  • Namun, bukan itu sahaja jenama rokok kretek lari cukai yang ada di Malaysia; apa lagi adik-adik jenama utama Sur*a yang jauh lebih murah dan kononnya lebih 'mild' berbanding kretek kuat contohnya Nusan*a*a, St*rm*ld dan Sampoerna Indonesia.
  • Tahun berganti tahun, semasa peningkatan harga rokok di pasaran, munculah jenama rokok tempatan yang dijual dengan harga yang jauh lebih rendah berbanding jenama yang kukuh (established).
  • Nama seperti rokok John, Promax, dan yang terbaharu (yang penulis sedang jual) Manchester pada asalnya dijual cuma sekitar RM3.00-RM4.00 sekotak.
  • Sedangkan pada masa yang sama juga, kemasukan ‘rokok putih’ seludup juga berleluasa. Jenama seperti N*x, rokok bola, dan Ra*; semua diseludup dan dijual pada harga yang sangat-sangatlah murah.
  • Walau bagaimanapun, dikri kerjaan merubah segala-galanya kononnya harga minimum rokok sah Malaysia ditetapkan pada kadar RM7.00. Justeru membawa kepada peningkatan harga rokok sah buatan/jenama Malaysia kepada RM7.00. Kononnya bagi menghalang budak sekolah membeli dan mengurangkan penghisap rokok yang baru.
  • Pada ketika itu, pihak pembuat dan syarikat masih curi-curi menjual harga rokok tersebut dengan RM4.00. Mereka berpakat dengan penjual supaya pembelian satu karton dapat satu karton.
  • Kaedah sedemikian tidak mampu bertahan lama. Akhirnya mereka tunduk kepada desakan kerajaan untuk menjual pada harga minimum yang dibenarkan. Kalau tidak, lagilah tiada bisnes![2]
  • Akan tetapi, jenama seludup tetap kekal dengan harga yang lebih rendah. Masih ada peruncit yang berjaya mendapatkan bekalan untuk menjual rokok seludup kendatipun saban hari, ada sahaja laporan dalam akhbar tentang tangkapan besar-besaran rokok seludup.
  • Terimalah hakikat. Margin keuntungan rokok seludup sungguhpun tidak besar, namun lebih besar berbanding menjual rokok sah yang untung bagi sepuluh kotak rokok 20' ialah sekotak rokok! Untung sekotak rokok pula hanya sebatang rokok.
  • Sebaliknya, dengan harga yang lebih 'kompetetif,' rokok seludup lebih banyak dicari orang, lebih cepat habis dijual, lebih murah dan lebih tinggi pula nilai keuntungan kepada peruncit[3].
  • Sedangkan penyeludupan rokok lebih kepada soal penguatkuasaan, keaktifan pihak penguat kuasa mencari 'lobang yang ditebuk' sehingga membolehkan produk tersebut terlepas ke pasaran Malaysia dan sudah semestinya soal wujudkah unsur rasuah yang membolehkan penyeludupan berlaku?
  • Apakah kaitan rokok seludup dengan kenaikan harga rokok sah kalau kerajaan berjaya mengekang kemasukan rokok seludup dengan cekap dan berkesan? Kalau kita berjaya mengawal dengan sehabis mungkin rokok seludup sehingga harganya daripada semurah-murahnya hingga menjadi harga yang sama atau lebih mahal daripada rokok sah, sudah tentu isu rokok seludup tidak akan timbul!
  • Malangnya, hal yang inilah yang kekal menjadi enigma kepada kerajaan, penjual dan pembeli rokok seludup.
  • Kalau peruncit tidak mendapat sumber rokok seludup, sudah tentu dia tidak akan dapat menjualnya. Kalau tidak dapat jual, sudah tentu pembeli akan; mungkin pada awalnya mencari sehingga dapat tetapi akhirnya kalau semua sudah tiada, bagaimanakah dia hendak beli[4]?
  • Memanglah selagi ada permintaan, akan ada penawaranan. Tetapi kalau secara ‘idealnya,’ andai sesuatu produk atau perkhidmatan itu sudah dibekukan pengeluarannya atau dalam konteks rokok seludup, sudah ditangani habis-habisan tanpa sebarang ‘ketirisan’ daripada pihak berwajib, sudah semestinya rokok seludup semakin sukar diperoleh. Harganya mungkin akan melambung tinggi kerana kenadirannya dan andai tiba tahap artikulasi pembeli memikirkan harganya sama dengan jualan rokok sah, sudah semestinya rokok R*y diganti rokok Malaysia yang lebih murah.
  • Oleh yang demikian, adalah menjadi pilihan dan bergantung kepada keputusan kerajaan untuk benar-benar memerangi rokok seludup[5].
  • Kalau sepakat fatwa melalui Majlis Fatwa Kerajaan mengiktiraf rokok sebagai haram; lagi bagus[6]. Pastilah wujud soal lesen dan lebih-lebih lagi, hanya bukan muslim sahaja yang boleh membelinya; akan memberikan sinar baru tahap kesihatan rakyat Malaysia dan dapat mengurangkan kemunafikan manusia yang beria-ia berteriak ‘boikot Yahudi’ dan ‘kerajaan ada kaitan dengan Apco ejen Yahudi’ tetapi rokok hisap berbatang-batang. Yang rokok tu bukan produk Yahudi ka[7]?
  • Dari hal itu, bersama-samalah pihak pengilang rokok Malaysia, perokok dan penguatkuasa menggembleng usaha bagi membanteras kegiatan rokok seludup ini.
  • Penulis masukkan pengilang rokok Malaysia (sama ada rokok Malaysia atau rokok yang dipasarkan di Malaysia seperti BAT, PM, JTI) kerana merekalah pihak yang paling berkepentingan dalam isu rokok ini. Kos rokok sangat rendah berbanding harga jualan dan perkara sebegini sebenarnya disebabkan oleh cukai kerajaan. Jadi, mereka harus bersatu menekan kerajaan dan pihak berkuasa melunyaikan sama sekali perniagaan bawah tanah ini. Malah mereka yang akan mendapat untung andai pembeli beralih arah membeli rokok mereka.
  • Atau sebenarnya kerajaan kita dan pihak-pihak berkepentingan tersebut yang mempunyai pergantungan dengan ekonomi bawah tanah yang secara tidak langsung memacu ekonomi negara dan memberikan peluang pekerjaan[8]?
  • Kita tidak mahu menuduh sedemikian dan kita lebih beratkan yang masalah rokok seludup timbul kerana kekurangan sumber penguatkuasaan atau ‘masalah’ berkaitan ‘kuasa.’
  • Maka, buktikanlah bahawa masalah ini boleh diselesaikan[9]!

Nota hujung


[1]Nama rokok seludup atau bawah tanah atau pasaran gelap tidak akan disiarkan penuh. Siapa yang tahu, faham-faham sahajalah! Selain nama-nama yang disebut sini, banyak lagi jenama lain rokok seludup.Bukan niat penulis untuk membuat promosi rokok seludup.

[2] Misalnya syarikat pembuat Manchester telah mendapat kata dua daripada kerajaan supaya meningkatkan harga jualan mereka dan akhirnya mereka terpaksa akur (mungkin sebab takut lesen digantung, tindakan saman dan sebagainya. Maklumlah, ‘mat pot’ dalam isu sebegini sudah tentulah pesaing mereka yang menjual pada harga minimum yang ditetapkan oleh kerajaan.

[3] Maksudnya rokok seludup lebih berdaya saing dalam pasaran berbanding rokok sah ialah kerana harga yang lebih murah. Kualiti rokok kadang-kala berbeza antara penghisap rokok. Ada rakan penulis yang mengatakan Marlboro sebagai rokok ‘kuat’ namun tidak kurang yang mengatakan Dunhill sebagai rokok yang lebih ‘kuat.’ Namun semua sepakat bahawa Benson merupakan ‘rokok orang tua.’ Akan tetapi, dalam banyak keadaan, sekiranya rokok itu murah dan dapat memenuhi citarasanya, jenama biasanya ditolak ke tepi.

[4] Contoh kes ini pernah berlaku apabila rokok Dunhill menukarkan penampilannya yang baru. Pada waktu itu, terdapat ramai pelanggan Dunhill yang beria-ia hendak mencari Dunhill pek lama kononnya yang baru ‘tidak sedap.’ Sebaliknya Dunhill bertegas dengan pek baru itu dan akhirnya, pelanggan setia akan menerima juga seadanya sebab pek lama sudah tiada.

[5] Penulis pernah berhadapan dengan pelanggan yang membeli rokok seludup namu berungut bahawa harga rokok yang penulis jual mahal dan beliau mengugut untuk memberi tahu pihak Kastam. Apa yang menghairankan ialah beliau sendiri adalah seorang penjawat kerajaan; apa ke jadahnya hendak mencari rokok seludup? Sudah masuk dua penulis tidak lagi menjual rokok seludup di kedai penulis namun sehingga sekarang pun, makhluk ini tidak segan silu pula akan bertanya tentang rokok seludup kepada penulis acap kali tempat pembelian biasanya ketiadaan barang!

[6] Negeri Perak dan Selangor telah mewartakan keharaman rokok namun pengalaman penulis di Selangor, begitu ramai rakyatnya yang lelaki, wanita dan tidak ketinggalan tok imam bilal yang berdosa besar kerana tidak mengendahkan fatwa ini. Penulis pernah utarakan perbincangan ini dalam tajuk Halal-haram: Antara hukum, perlaksanaan dan implikasi.

[7] Hal ini merupakan satu paradoks yang sangat-sangat menghairankan. Sering kita lihat penyokong-penyokong kegiatan boikot ini begitu lantang bersuara dalam usaha mendakyahkan amalan boikot mereka namun mereka sendiri menghisap rokok yang merupakan salah satu dakyah Yahudi yang mereka perangi.

[8] Memetik laporan Buehn dan Schneider 2009, Malaysia mempunyai 31.9 peratus GDP yang berasaskan ekonomi bayangan atau ‘pasaran gelap.’ Lihat A. Buehn dan F. Schneider, Corruption dan The Shadow Economy: A Structural Economy Approach. Discussion Paper No. 4182,Institute for Study of Labor (IZA), May 2009. Boleh diakses melalui http://ftp.iza.org/dp4182.pdf

[9] Penulisan ini tidak bermaksud bahawa penulis menyokong kegiatan merokok; bagaimanapun cara untuk membanterasnya adalah terus ke akar umbi. Tidak perlulah beri alasan ‘ekonomi’ atau ‘pekerjaan’ atau pelbagai lagi alasan lain kerana ternyata akan keharaman rokok itu. Namun, mungkin langkah pertama untuk mengatasi masalah ialah dengan menyekat secara keseluruhan lambakan rokok murah seperti rokok seludup. Harga rokok seludup yang sangat-sangat murah menyebabkan perokok sanggup mencari ke mana sahaja jenis rokok tersebut.

No comments: