- Nauzubillah... mohon dijauhkan situasi tersebut di Malaysia yang menampakkan sangat betapa kurangnya nilai manusiawi yang tinggal dalam segenap insan di dunia.
- Andai dilihat sekali imbas video tersebut dalam Youtube (misalnya dimuat naik oleh delatroy) memperlihatkan masyarakat di sana melihat seolah-olah sudah biasa melihat anak orang digelek kenderaan. Macam sudah biasa sahaja. Tidak perlu usaha mungkin hendak alihkan badannya, atau mungkin hendak diajak orang lain untuk membantu membawa si mangsa ke hospital. Tiada !
- Dikhabarkan berbelas-belas orang telah melewati jalan tersebut yang sekadar menjadi penonton termasuklah seorang ibu yang memimpin anaknya sebelum budak tersebut dialihkan oleh seorang wanita (kelihatan seperti sedang membuang sampah). Anehnya, kalau yang menunggang sekadar cuba mengelak barangkali ke ke kanan atau ke kiri. Yang berjalan seolah-olah sedang melihat objek biasa yang digelek kenderaan. Tak ada apa-apa?
- Atau sebenarnya orang yang lalu-lalang di lorong pasar di wilayah Guandong, China itu terlalu sibuk dek kesempitan hidup dan perlu memenuhi keperluan tanpa perlu menghiraukan yang lain. Mungkin kerana terlalu berfikir implikasi seandainya dialihkan badan budak tersebut, lalu badannya tercabut, mungkin ibu bapa budak tersebut akan menyamannya kerana tindakan kecemasan yang silap.
- Mungkin ada yang akan berhujah, di Malaysia teruk lagi ! Bayi baru lahir di dilempar daripada tingkat atas bangunan ke bawah. Ada yang mungkin disumbat dalam tandas dan cuba di'flush.' Ada budak disimbah asid sampai hancur muka. Ada isteri yang dibakar hidup-hidup ketika mandi. Apalah sangat hendak dibandingkan dengan insiden van dan lori menggelek budak tetapi tidak dihirau?!?!
- Dengan keadaan masyarakat dunia yang semakin berkembang, nilai kemanusiaan sebenarnya sesuatu yang amat sukar hendak dipertahankan kerana individualisme semakin menjadi sifat yang dianuti oleh manusia. Semua ada masalah masing-masing dan semua tidak mahu menanggung risiko yang mungkin berlaku.
- Justeru timbul tanda tanya sama ada wujud atau tidak sebenar-benarnya rasa prihatin, ingin membantu, rasa kasihan kepada sesama manusia tanpa mengira orang itu orang tua, muda, budak, belia, lelaki mahupun wanita.
- Kejadian di China itu dirakam oleh CCTV; sama seperti kejadian pelajar Malaysia di Britain yang dirompak oleh sekumpulan remaja yang mana ada dikalangan mereka yang berpura-pura hendak membantunya. Kita pun tidak tahu berapa banyak kejadian malang yang berlaku yang tidak dirakam sehingga dimuat naik di dalam internet. Hanya kerana dirakam sahajalah kita dapat didedahkan dengan kejengkelan makhluk bernama manusia. Kalau tidak, memang betullah selama ini kita hanya jadi penonton yang seolah-olah tak ambil pusing kecelakaan dan kemudaratan yang berlaku kepada orang lain!
- Namun, kejadian-kejadian tersebut cukup untuk membuktikan betapa 'nilai baik' manusiawi yang meningkatkan martabat insan melebihi tahap binatang sebenarnya hanya sekadar fatamorgana. Sikap dan sifat manusia sebenarnya kadang-kala lebih teruk daripada binatang kerana manusia dikurniakan akal fikiran.
- Sudahnya, sendiri mau ingatlah kalau apa-apa berlaku kepada kita kelak.
- Selain daripada itu, ibu bapa perlulah lebih peka ke mana anak-anak mereka pergi. Aneh juga bagaimana seorang budak yang dikatakan hanya berumur dua tahun dibiar berjalan-jalan tanpa pemantauan penjaga. Alangkan budak darjah tiga atau empat pun kadang-kala ada yang diculik, dilanggar-lari atau menghilangkan diri, inikan pula budak dua tahun?!
- Hendak salahkan sesiapa pun sebenarnya tiada guna. Kemalangan tersebut telah pun berlaku dan penayangannya di internet sepatutnya menjadi pengajaran kepada segenap lapisan masyarakat yang pernah menontonnya.
- Mungkin dunia semakin maju sehingga keadaan sedemikian pun boleh dirakam dan dimuat naik. Akan tetapi, apabila perkiraan diri lebih diutamakan daripada segala-galanya, apa kita hendak hairan apabila suatu hari nanti, sungguh pun negara berada dalam keadaan aman, mayat-mayat manusia bergelimpangan kerana manusia sendiri tidak menghormati dan merasai tanggung jawab kemanusiaan. Siapa tahu kelak?
- Dan kejadian sebegini sebenarnya memberikan cabaran kepada manusia dalam mentakrifkan nilai kemanusiaan yang sebenarnya. Kalau ditanya, semua mengaku dirinya suka akan baik-baik dan mengaku diri suka berbuat baik. Tapi, kata-kata adalah murah. Buatnya belum tentu!
- Sekali lagi, mohon dijauhkan sikap tersebut daripada diri kita.....!
PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Tuesday, October 18, 2011
Tengok budak kena gelek macam ayam kena gelek
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment