- Tun Dr Mahathir telah membuat satu komen yang menggemparkan dunia seni Malaysia - negara banyak sangat cerita hantu sedangkan cerita hantu memberikan pengaruh negatif kepada minda masyarakat Malaysia (Berita Harian 2 Oktober 2011).
- Sudah ada pandangan yang mengatakan cerita-cerita hantu ini mencerminkan imej negatif kepada agama, tidak kurang juga memantulkan nuansa yang salah terhadap ustaz-ustaz alim ulama yang seolah-olah kerja mereka yang hakiki ialah sebagai penghalau hantu dan jin!
- Selain daripada itu, filem-filem seram banyak menonjolkan kelakuan khurafat yang sebenarnya sangat-sangat ditegah dalam agama. Wajarkah filem menonjolkan kisah pemujaan kononnya untuk menyedarkan masyarakat tentang betapa salahnya perlakuan memuja sedangkan penonjolan cara-cara memuja tersebut sudah seolah-olah mempromosi pemujaan?
- Bagi pembikin filem, mereka akan betah dengan mengatakan setiap filem yang dibuat adalah untuk menyampaikan pengajaran kepada penonton dan bukannya untuk mempromosikan perlakuan khurafat, syirik mahupun idealisme takut kepada hantu.
- Malah, setiap cerita yang dibuat akan mengangkat seseorang sebagai pembimbing menuju jalan hidayah atau menjadi pengamal yang menggunakan ajaran agama untuk menewaskan kejahatan. Wujud kalimah-kalimah zikir, doa dan ayat Al-Quran yang digunakan sekali gus menjadi medium penyebaran amalan Islam menentang makhluk halus yang jahat.
- Penerimaan penonton juga harus diraikan. Bukan semua filem hantu yang berjaya pecah panggung, dan kalau berjaya pun bukannya ke mana hasil keuntungan cerita tersebut pergi melainkan ke industri perfileman kita juga. Penonton Malaysia mempunyai cita yang berbeza berbeza dengan penonton luar negara justeru kita perlu penuhi cita rasa mereka. Industeri perfileman kita jauh lebih kecil saiznya kalau hendak dibanding dengan Hollywood atau Bollywood atau hatta filem Indonesia sekali pun!
- Salah satu lagi hujah pendukung filem seram adalah betapa penonton bukannya 'tolol, bahlul dan bodoh' untuk tidak dapat menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Sungguhpun sejuta dua yang menonton filem hantu, bukannya semua yang balik daripada panggung bertukar percaya kepada hantu, pergi berjumpa pawang-pawang untuk menyembah jin atau mempelajari ilmu hitam. Penonton Malaysia masih waras dan mereka telah terpelajar dan mereka sebenarnya masih tahu, sedar dan faham yang mana buruk dan yang mana baik.
- Begitulah hujah-hujah mereka yang menyokong. Ada pojok dalam tabliod hiburan pada hari minggu yang begitu mempertahankan industri hantu-hiburan dan bertindak mengecam seorang negarawan seperti Dr M. Biarlah orang hendak buat cerita hantu, sedangkan industri hiburan Malaysia pun bukannya untung sangat pun meski ada cerita yang berjaya mengaut kutipan berjuta-juta ringgit.
- Pada hemat penulis, memang benar industri hiburan kita sebenarnya mengharapkan sangat cerita hantu sebab penonton kita memang ramai yang gemar tengok cerita hantu. Namun kita juga mesti faham bahawa corak dan pemikiran minda masyarakat juga bergantung kepada apa yang ditonjolkan melalui media mereka di hadapan mata. Persis budak terjun bangunan kerana hendak menjadi Superman. Atau orang bakar mayat demi menghapuskan DNA dan menutup jenayah; kesemuanya mungkin berasal daripada apa yang ditonton!
- Kita mungkin asalnya tak tahu atau tak faham amalan sekian-sekian, kenapa boleh jadi khurafat atau syirik, namun mestikah kita dihidangkan dengan berpuluh-puluh siri cerita berkaitan ilmu hitam dan soal bercakap dengan jin dan jembalang baru kita faham dan tahu apa yang dimaksudkan dengan 'khurafat' dan 'syirik?'
- Sama ada penonton yang hendak tengok cerita hantu atau cerita hantu yang sebenarnya mencari pasaran menemui penonton merupakan satu persoalan yang paradoks; ayam dengan telur; yang mana keluar dulu? Dua-dua sebenarnya berperanan dalam menjayakan satu kerangka model permintaan dan pembelian kerana pada akhirnya, jenama juga yang menjadi faktor pemilihan penonton terhadap cerita yang ditonton.
- Namun penghibur misalnya tidak boleh menidakkan pengaruh mereka kepada masyarakat. Pembikin filem tidak boleh mengatakan bahawa dengan penayangan adegan lucah atau membunuh orang dengan perantaraan jin misalnya tidak memberi sebarang kesan psikologi kepada penonton.
- Bukan semua orang yang datang menonton memberi tumpuan kepada nilai dan pengajaran; andai benar, nescaya filem dakwahlah yang menjadi rekod box office sepanjang zaman. Bagaimanakah mereka yang hadir kerana hendak berhibur? Seyugia diingatkan sehingga kini pun tiada kajian yang konklusif tentang tahap minda penonton pascatayangan justeru hubungan antara kelakuan penonton dan apa yang ditonton tidak semestinya tiada.
- Oleh yang demikian, saranan Dr M harus dilihat secara holistik, bukannya sekadar daripada perspektif 'pemimpin menghentam cerita seram' sahaja. Itulah satu luahan negarawan yang mengambil berat permasalahan pemikiran dikalangan masyarakat Malaysia dan seharusnya kita raikan. Kalau tidak setuju, buktikan yang beliau tidak benar. Buatlah sedikit penyelidikan bagi membuktikan kesilapan tersebut. Atau cubalah berusaha bagi menghidupkan genre baru yang mampu menyaingi cerita hantu lantaran pembuat filem jualah yang mula-mula sekali yang mempromosikan cerita bergenre seram!
- Dari hal itu, usahlah pembuat filem melatah tak tentu pasal dan terlalu bersikap defensif/mempertahankan diri dengan segenap bicara apabila isu tersebut ditimbulkan. Bagaimana kalau mereka bekerjasama dengan pengamal perubatan Islam, ahli bidang media & masyarakat dan ahli hukum bagi menyelesaikan masalah tersebut.
- Kendati kita melihat daripada aspek pengamal cereka dan kerajaan, pada akhirnya kesemua berkait dengan penonton juga. Sudah memang musimnya orang Malaysia suka tengok cerita hantu. Justeru penonton sendiri juga perlu menilai adakah wang mereka berbaloi untuk dikeluarkan untuk menonton cerita bercakap dengan hantu atau pun tidak. Sebab motif orang menonton berbeza-beza dan perbezaan itulah yang menjadi cabaran kepada ahli kaji sosial dan pemasaran untuk merasionalkan corak pemikiran penonton memilih menonton cerita hantu dan apakah kesan sosialnya kepada masyarakat.
- Bukan hantu itu yang perlu ditakuti, melainkan kesannya ke dalam minda masyarakat kita!
PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Wednesday, October 19, 2011
Hantu Bunjamin pulang balik kotak nasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment