- Kali ini, blog ini hendak bincangkan sesuatu yang lain sedikit daripada biasa iaitu berkaitan pengajian sains dan teknologi.
- Epistimologi - takrifan termudah yang dibuat oleh pensyarah penulis lewat kuliah Sejarah dan Falsafah Sains (di UM) ialah ilmu yang mengkaji ilmu. Memang memeningkan kepala kita apabila takrifan tersebut mengandungi unsur ganda dua - ilmu kaji ilmu - sudah menjadi ilmu2!?!
- Bagaimanapun, bidang sejarah dan falsafah sains atau pengajian sains ini merupakan bidang yang tidaklah diraikan sehebat bidang sains gunaan lain seperti kejuruteraan, biokimia, bioteknologi, kedoktoran, astronomi dan sebagainya.
- Buktinya mudah, lebih banyak dan lebih popular untuk kita mendengar biasiswa yang menanggung bidang-bidang tadi berbanding sejarah dan falsafah sains.
- Pernahkah kita dengar 'Oh, anak saya dapat biasiswa belajar sosiologi sains,' atau 'kerajaan telah mengumumkan biasiswa 1Malaysia-Otak untuk siswazah bidang kajian pemikiran logik?'
- Lebih teruk lagi, bidang pengajian sains ini kadang-kala digelar sebagai 'sastera dalam sains' yang tidak meletakkannya ke taraf sains. Mereka yang membincangkannya dikatakan sebagai 'orang bercakap kosong' kerana tiada manfaat secara terus daripada apa yang diperkatakan terhadap sains itu sendiri.
- Prof Diraja Ungku Abdul Aziz pernah menyarankan supaya pelajar sains didedahkan dengan sejarah dan falsafah sains itu sendiri supaya pelajar mendapat kefahaman yang lebih mengenai asas kepada kewujudan sains itu sendiri.
- Dan sebagai pelajar sains pula, haruslah diterima bahawa ilmu sains itu sama sahaja dengan ilmu lain. Tiada istimewanya ilmu sains itu.
- Malangnya, kerajaan kita pun lebih menitik beratkan ilmu sains berbanding yang lain. Sebabnya mudah - ilmu sains kalau hasilnya berjaya dikomersialkan, nescaya mendapat pulangan. Apatah lagi bidang kejuruteraanlah yang menjadi tunjang kepada ekonomi industri di Malaysia seperti petrokimia, pembuatan dan kenderaan.
- Oleh sebab itu, terjadilah keadaan apabila kita memperkatakan soal etika sains dan teknologi secara berasingan dengan sains dan teknologi itu sendiri.
- Balik kepada persoalan asal, apabila ilmuan dahulu hendak mengkaji sains daripada perspektif ilmu dan sosial, timbul satu masalah besar.
- Bagaimanakah hendak mengkaji sesuatu yang ulung (iaitu sains) dengan menggunakan ilmu yang tidak ulung (iaitu seperti sejarah, sosiologi dan budaya)? Sedangkan sains itu sendiri merupakan satu ilmu yang berteraskan pembuktian empirikal, justeru memerlukan kaedah yang 'lebih empirikal daripada empirikal.'
- Lantaran ada dikalangan ahli sosiologi sendiri yang enggan meletakkan sains itu sebagai ilmu yang sama dengan ilmu-ilmu yang lain. Sains itu 'suci' kerana mereka yang terlibat dengannya mengkaji alam semulajadi yang tidak boleh dimanipulasikan hasilnya. Misalnya kalau A bercampur dengan B, jadilah C; maka hasil A bercampur dengan B itu akan selama-lamanya C.
- Lalu bagi merasionalkan lagi keunggulan sains, Merton (1942) telah menggariskan empat prinsip atau norma sains yang perlu wujud, andai sesuatu ilmu itu hendak digelar 'sains' iaitu Commensurable, Universalism, Disinterestedness dan Organized Skepticism secara Melayunya ialah perkongsian, kesejagatan, tidak berkepentingan dan skeptik yang tersusun.
- Keempat-empat prinsip/norma sains ini diakronimkan sebagai CUDOS dan merupa tunjang kepada keobjektifan sains itu sendiri. CUDOS inilah yang menjadikan sains dikatakan sebagai unggul kerana hasilnya dikongsi bersama-sama tanpa ada tembok pemisah, mempunyai kesaksamaan nilai antara satu sama lain tanpa mengira sempadan geografi dan sosial, tidak mempunyai pengaruh keuntungan dan berjaya mengharungi kritikan daripada rakan-rakan.
- Prinsip-prinsip tersebut sekali imbas membuatkan sains terletak pada kelasnya tersendiri lebih tinggi daripada ilmu lain. Buktinya, di Malaysia misalnya kita pun lebih meraikan graduan sains daripada graduan sastera atau sains sosial. Lebih banyak dana yang disumbangkan untuk pembelajaran dan penyelidikan sains berbanding yang lain. Malah, pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam rendah (seperti PMR) disarankan (atau dimasukkan) ke kelas sains tulen. Jarang sangatlah kalau kita dengar biasiswa untuk Ijazah Sarjana Muda Kesenian mahupun Kajian Sastera. Gaji 'pegawai sains' lebih tinggi berbanding 'pegawai sains sosial.' Begitulah tingginya nilai martabat sains.
- Namun, benarkah dogma bahawa sains lebih tinggi martabatnya berbanding ilmu lain? Betulkah sains mempunyai unsur-unsur CUDOS yang dicadangkan oleh Merton? Atau perlukah masyarakat mengekalkan pandangan keunggulan ilmu sains selama-lamanya?
- Blog ini akan cuba merungkai persoalan-persoalan tersebut, Insya-Allah, dalam tulisan-tulisan pada masa akan datang......
- Selamat datang ke terbitan Pengajian S&T Wadah!
No comments:
Post a Comment