- Setelah KM Pulau Pinang persis Khalifah Agung Saidina Umar Abdul Aziz, Lim Guan Eng menimbulkan isu Johor tidak selamat untuk warga Singapura, media 'negara kepulauan tanam' itu heboh dengan isu keselamatan warganya untuk datang ke Johor.
- Seorang kaki golf warga negara terbabit telah menerima nasib malang apabila kenderaannya dicuri ketika beliau dan rakan-rakannya sedang menikmati makan malam di Permas Jaya lantas mendapat liputan besar-besaran daripada pemilik Channel NewsAsia iaitu Mediacorp yang ditunjangi oleh golongan pro-kerajaan republik tersebut.
- 'Habislah, memang tak selamat warga Singapura datang ke Malaysia lebih-lebih lagi ke Johor Bahru.' Atau, 'Keselamatan warga Singapura pasti akan terancam andai ke Johor Bahru.' Seolah-olah itulah yang cuba ditonjolkan oleh media sana sambil memetik angka-angka statistik jenayah yang melibatkan warganya sebagai mangsa, sekadar 0.4 peratus.
- 'Kereta telah berkunci, segala langkah keselamatan telah dibuat, tetapi masih dicuri! Polis kata, kereta saya jangan haraplah nak jumpa balik. Saya cukup kecewa (dengan tahap keselamatan di sini)... Tak apalah, saya tetap akan datang ke Johor (walaupun saya tahu tidak selamat),' begitulah wawancara yang disiarkan sama ada di Saluran Cina (Ch8), Saluran Cina II (ChU), Saluran Inggeris (Ch5) dan Saluran Melayu (Suria). Saluran India, minta maaf, penulis tak faham sebab tak belajar Tamil. (ayat dalam kurungan bercorak condong adalah tafsiran penulis).
- Anehnya, apabila kenderaan telah dijumpai kembali, tidak pula pemiliknya mahu datang ke sini mengambilnya sebaliknya diperintahkan pula kereta itu 'diekstradisi' ke polis Singapura? Banyak besar awak punya lagak! Kehilangan berlaku di Malaysia, sudah jumpa balik, datanglah Malaysia ambil hak awak! Kalau kereta orang Malaysia kena curi di Singapura, apakah menjadi tanggung jawab Singapura untuk pulang semula kereta tu ke Malaysia?
- Tapi penulis percaya, isu ini akan selesai. Namun, bukan ucapan 'syabas' yang ikhlas yang akan diberikan kepada pihak polis Malaysia melainkan nada sinis betapa keselamatan rakyat Singapura di Malaysia sentiasa terancam; begitulah yang mungkin akan dibuat oleh media republik tersebut.
- Aneh juga apabila kita melihat perilaku sedemikian kerana saban bulan, media mereka akan mengetengahkan jenayah di Singapura sendiri lewat siri majalah televisyen Crime Watch (dalam bahasa Melayunya - ('Jejak Jenayah') namun nuansanya tidak pula menggambarkan betapa tidak selamatnya rakyatnya di negara sendiri! Sebaliknya siri tersebut menunjukkan betapa cekapnya pasukan polis di sana dan betapa benarnya frasa 'jenayah membawa padah' persis rancangan 999 di TV3 (untuk rekod, Crime Watch ialah siri yang lebih dahulu ditayangkan; lama sebelum kewujudan 999 di TV3).
- Moralnya, janganlah kita wujudkan ketegangan persepsi antara rakyat negara ini dan negara lain seolah-olah hubungan kita tidak pernah harmoni. Sedangkan berapa banyak orang di Singapura yang berkacuk dengan orang Malaysia dan begitu juga sebaliknya. Berapa ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura; dan berapa ramai rakyat Singapuran yang datang ke Malaysia untuk berbelanja dan menemui sanak-saudara.
- Kita tidak mahu 'hubungan' antara kedua-dua negara ini menjadi tegang hanya kerana media memutarkan cerita sensasi membabitkan warga negara sekian-sekian menjadi mangsa jenayah. Sedangkan rakyatnya saling menerima antara satu sama lain.
- Usahlah dibangkitkan isu keselamatan 'warga Singapura' sedangkan polis di mana-mana negara pun mempunyai tanggung jawab yang sama untuk menjaga keselamatan orang yang berada di negara tersebut. Sebab kalau yang demikian, seolah-olah membuat tuntutan supaya warga Singapura yang datang ke Malaysia diiringi oleh polis negara ini untuk mengelak daripada berlaku jenayah!
- Jenayah tidak mengenal warga negara dan hal ini terbukti dengan penahanan 44 rakyat Singapura di Johor untuk sabitan kes 39B, Akta Dadah Berbahaya (Harian Metro 21/10/2011). Isnin lalu, dua orang rakyat Singapura dijatuhi hukuman mati mandatori atas sabitan kes yang sama.
- Justeru, adakah wajar media kita mewar-warkan dengan memukulrata kes-kes tersebut dengan kenyataan 'warga Singapura yang banyak mengedar dadah di Malaysia' atau 'kebanyakan penjenayah di Johor merupakan orang Singapura; jadi rakyat Johor Bahru tak selamat sebab kehadiran mereka?' Atau lebih radikal lagi, ‘Apalah kerajaan Singapura, rakyat ketika dalam negara alim bagai malaikat, tetapi apabila keluar negara terutamanya Malaysia, perangai umpama pelesit dizahirkan pula!’ Sudah tentu tidak patut media kita berbuat demikian!.
- Untuk rekod, kedua-dua Malaysia dan Singapura mempunyai hukuman yang sama untuk 'pengedar dadah' iaitu mati mandatori.
- Sebagai penutup, hubungan Malaysia-Singapura semenagnya penuh dengan pancaroba; malah kewujudan Republik Singapura pada 1965 pun menjadi bukti pemikiran pemimpin pada ketika itu berlainan kutub. Namun di peringkat rakyat, bukan semua yang membenci antara satu sama lain, atau mempunyai sentimen 'tidak suka' dengan yang lagi satu.
- Oleh yang demikian, media janganlah hendak 'simbah petrol ke tempat yang terbakar' dengan memperbesarkan cerita kecil yang menyakitkan hati di pihak lain. Kita perlu akui bahawa jenayah boleh berlaku di mana-mana ke atas sesiapa pun tanpa mengira kewarganegaraan. Jadi, peranan media menjadi perantara yang berkesan untuk mengeratkan hubungan, bukannya merenggangkannya.
- Lagi pun Malaysia melalui kerajaan BN pun tak pernah buat bantahan terhadap laporan dan cerminan yang nyata berat sebelah daripada media Singapura terutamanya berkaitan politik kerana memang nyata, terang lagi bersuluh bahawa laporan mereka lebih memihak kepada pembangkang Malaysia. Kita pun faham al-maklumlah, pembangkang di negara sendiri memang sudah lama hidup segan, mati tak mahu, jadi kalau ditayang cerita pembangkang Malaysia, bolehlah menarik perhatian rakyatnya untuk bangkit menyokong pembangkang bagi mengubah status quo betapa kuatnya PAP di negara tersebut.... Kita faham.
- Namun, janganlah sampai jadi macam cerita Tomorrow Never Dies lakonan Pierce Brosnan dan Datuk Michelle Yeoh yang mana orang jahatnya ingin menakluki dunia dengan menggunakan peranan berita dan media.
- Mohon dijauhkan!
No comments:
Post a Comment