- Laporan Audit Negara bagi tahun 2010 telah dikeluarkan. Aneh juga Jabatan Audit Negara memerlukan sehingga setahun untuk membentangkan laporan tahun lepas.
- Macam dah basi ja...
- Mungkin sebab hampir setahun juga yang diperlukan oleh jabatan ini untuk menghimpun kesemua laporan setiap jabatan atau agensi terbabit bagi membuat analisis dan laporan keseluruhan di peringkat kebangsaan.
- Laporan ini menilai pencapaian jabatan atau agensi kerajaan terutamanya membabitkan perbelanjaan jabatan atau agensi tersebut.
- Dalam bahasa yang mudah, laporan inilah sebenarnya laporan perbelanjaan di peringkat sektor kerajaan; duit yang telah dikeluarkan oleh kerajaan untuk perbelanjaannya mengurus tadbir dan menyediakan khidmat memudah cara kepada rakyat.
- Andai diputar pula perspektif laporan itu kepada rakyat, laporan itu merupakan perbelanjaan wang rakyat melalui cukai, sumber kewangan lain dan pinjaman yang dibuat kerajaan - dan disinilah kaitannya dengan 'rakyat yang membayar cukai kerajaan.' (sangat-sangat gemar dibahasa Inggeriskan sebagai we, as the government tax payers).
- Maka memang wajar sangatlah andai rakyat hendakkan sangat laporan ini kerana secara tidak langsung, rakyat akan tahu kemanakah perginya duit yang mereka bayar melalui cukai.
- Laporan sepenting ini barangkali perlukan lebih perhatian yang lebih agar rakyat faham mengenai perbelanjaan kerajaan. Maklumlah, duit rakyatlah antara sumber yang dileburkan untuk membayar gaji, membeli peralatan itu dan ini, melaksanakan projek itu dan ini, menawarkan jawatan itu dan ini atau dijadikan modal skim pinjaman itu dan ini.
- Namun, liputan tentang laporan ini tidaklah sehangat yang disangka. Hal ini benar bagi akhbar Bahasa Melayu terbitan NSTP.
- Muka hadapan berita masih lagi cerita Gaddafi (tajuk spesifiknya: Wasiat Gaddafi). Jangan haraplah Harian Metro hendak buat liputan tentang Audit Negara.
- Kita faham mungkin cerita tentang Gaddafi lebih mudah dihadam oleh pembaca. Imej sama berulang-ulang kali yang menunjukkan saat kematiannya, (dengan muka dan badan penuh berdarah) atau imej rakyat terutamanya pemberontak mengambil gambar dengan mayatnya merupakan sesuatu yang lebih mudah dijadikan bahan cerita atau topik perbincangan dua tiga hari ini; lantaran itu, pengarang meletakkannya sebagai muka depan akhbar.
- Kita faham. Seolah-olah ada semacam maksud tersirat kepada pemimpin kita yang anda pun mungkin jadi sepertinya?!?
- Itu hak pengarang akhbar hendak letak cerita apa di muka mana.
- Akan tetapi, alangkah eloknya liputan mengenai 'perbelanjaan yang telah kerajaan buat sepanjang 2010' itu mendapat tempat lebih utama lagi kerana rakyat berhak untuk tahu, mengambil tahu dan diberitahu supaya mengambil tahu tentang kecekapan dan keberkesanan kerajaan menggunakan sumber terutamanya sumber kewangan yang datang daripada rakyat sendiri.
- Barulah rakyat faham ke mana perginya belanja, dan sekurang-kurangnya bagi yang lebih kritikal dan analitikal, mereka boleh menilai dan memberikan pandangan terhadap audit tersebut.
- Bentangkanlah dengan piktograf, graf pai yang mudah dihadam oleh orang kebanyakan, dengan itu mereka bukan sahaja mendapat maklumat, malah menambahkan setidak-tidaknya pengetahuan terhadap sumber dan perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan.
- Itu satu isu tentang pasaran - iaitu pasaran cerita dan berita. Ingat, berita hari ini ialah cerita semalam!
- Satu lagi ialah berkaitan isi laporan itu sendiri.
- Antaranya adalah berkaitan bintang-bintang yang diperoleh jabatan atau agensi, projek-projek perumahan yang tidak dilaksana terutamanya 'Kerajaan Kelantan,' dan lain-lain.
- Selain itu Berita Harian turut memaparkan tajuk (yang lebih kecil berbanding tajuk besar muka tersebut) 'Belian alatan 2805 peratus yang lebih harga pasaran.'
- Rasanya isu jabatan sekian-sekian beli dengan harga sekian-sekian yang lagi mahal daripada harga pasaran yang sekian-sekian memang sentiasa menjadi topik laporan audit negara.
- Laporan sedemikian selalu sangat dikeluarkan namun penjelasan, penyelesaian, pendakwaan (jika ada) tidak pula diberikan liputan yang sama.
- Soalnya, bagaimanakah boleh sehingga 2000 peratus lebih tinggi daripada pasaran? Bukan calang-calang harga yang berada di atas pasaran. 2000 persen!?!
- Mengapakah setiap tahun perkara yang sama didedahkan, misalnya harga komputer riba dibeli pada harga yang memang jauh daripada munasabah sehingga mencecah lebih RM 11 000 seunit; adakah laptop itu perisiannya canggih sangat ka mungkin boleh mencetak, menablet, membuat semua dalam satu?
- Itulah satu contoh terbaik yang ramai orang boleh kaitkan, yang senang orang kebanyakan boleh hubungkan. Kalau peralatan lain yang aneh-aneh susah pula orang nak cerita.
- Justeru pihak yang berkaitan perlulah mengemukakan sebab harga sedemikian jauh tersisih daripada harga pasaran; hatta jenama yang mahal sekali pun!
- Sedangkan wang yang digunakan untuk pembeliannya tidak dapat tidak berasal daripada cukai dibayar oleh rakyat.
- Rakyat pun tidak ada yang sampai sanggup membeli komputer riba dengan harga sedahsyat demikian; maka apakah istimewanya komputer tersebut sampai sebegitu harganya?
- Oleh yang demikian, soal ketelusan jabatan kerajaan perlulah dijaga kerana laporan audit demikian merupakan laporan rasmi negara.
- Penulis tidak mahulah mengulas mengenai metodologi jabatan audit membuat audit sebab tiadalah penulis akan pengetahuan mengenainya.
- Akan tetapi, tidak mungkinlah jabatan yang demikian asyik membuat khilaf yang sama, sedangkan laporan pembelian yang melebihi harga pasaran merupakan isu yang saban tahun dilaporkan.
- Jadi, kini kerajaan perlu mengambil serius isu tersebut kerana hal yang demikian adalah cerminan ketelusan perbelanjaan kerajaan secara keseluruhannya.
- Apa lagi andai dimasukkan sekali tuduhan-tuduhan parti pembangkang mengenai 'ketirisan' kerajaan dalam perbelanjaan dan yang kadang-kala kerajaan sendiri tidak mampu menjawabnya dengan lancar dan jelas.
- Dan apa yang lebih-lebih ialah langkah kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut agar persepsi rakyat terhadap kerajaan bertambah baik.
- Kemudian laporan-laporan sebegini tidak lagi berlaku lagi; bukannya tidak dilaporkan kerana tidak mahu diketahui umum melainkan sememangnya tidak wujud masalah beli lebih mahal daripada harga pasaran!
- Kerana yang penting ialah rakyat tahu yang sebarang permasalahan boleh diatasi seandainya kerajaan benar-benar ikhlas berkhidmat untuk rakyat.
- Laksana cogan kata yang diwar-warkan oleh PM Najib - pencapaian diutamakan!
PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Wednesday, October 26, 2011
Terhangat di pasaran....? Hangat sangatkah?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment