Monday, June 14, 2010

Cuti bersalin: Antara keperluan dan kemampuan


Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil menyatakan dilemma beliau tentang usaha beliau memperjuangkan cuti bersalin untuk ditambah sebulan lagi (menjadi tiga bulan) untuk pekerja-pekerja wanita di seluruh negara. Dilemma yang dihadapi adalah sama ada tambahan cuti sebulan itu merupakan cuti bergaji atau tidak.


Dalam pada itu, terdapat kesatuan pekerja, badan bukan kerajaan dan juga pendirian peribadi rakyat yang dirakamkan saban hari di dalam akhbar-akhbar utama. Ada yang mengibaratkan cuti tersebut sangat perlu memandangkan cuti ini merupakan masa yang sangat penting bagi pertumbuhan bayi yang baru lahir. Secara langsung, cuti ini akan memberikan masa yang lebih kepada si bayi untuk mendapat perhatian daripada si ibu dan dapat dijaga dengan baik. Dapatlah kiranya si ibu menyusukan bayi dan menjaga bayi pada usia awal bayi tersebut agar bayi tersebut sihat dan mendapat perhatian yang sewajarnya daripada si ibu.


Selain itu, kaum hawa yang bersalin juga dapat menikmati masa yang lebih panjang untuk tujuan rawatan daripada perit jerih bersalin. Sebagaimana yang menjadi hujah popular, mengandung dan bersalin merupakan proses yang mengunakan segenap tenaga wanita dan akan memberikan kesan kepada kesihatan ibu-ibu. Ibu yang bersalin bertarung nyawa bagi melahirkan bayi yang bakal menjadi pewaris bangsa dan negara kelak. Oleh sebab itu, adalah wajar bagi ibu-ibu yang baru bersalin mendapat rehat yang cukup bagi pemulihan diri dan menjamin kesihatan si ibu selepas bersalin.


Disebabkan bayi yang lahir tersebut akan menjadi pewaris bangsa dan negara kelak, bayi tersebut adalah bakal tenaga kerja yang begitu penting kepada negara. Oleh yang demikian, adalah wajar dan bertepatan sekali si ibu diberi cuti bergaji kerana mengenangkan kepentingan bayi tersebut sebagai tenaga pekerja yang amat penting buat negara pada masa akan datang. Dapatlah dikaitkan dalam hal ini bahawa cuti dan gaji yang dinikmati oleh para pekerja wanita merupakan pelaburan negara kepada mereka kerana mereka merupakan aset yang penting kepada negara. Malah, cuti tiga bulan bergaji ini begitu signifikan kerana akan mengelakkan pekerja mahir dan profesional dari kalangan wanita berhenti bekerja dan kerana terpaksa menjaga bayi.


Justeru, pelbagai pihak yang menyokong usaha ini dan menuntut agar perkara ini dapat dilaksanakan. Bukan sahaja itu, seharusnya cuti bersalin bergaji yang tiga bulan itu haruslah diberikan kepada wanita tanpa mengira anak keberapakah yang dilahirkan. Ada pengarang yang mengarang di ruangan "surat" di akhbar utama yang menuntut agar jangan hadkan cuti tersebut kepada lima orang anak yang awal sahaja! Bagaimana pula dengan anak-anak yang seterusnya? Melahirkan anak keenam misalnya tidak banyak beza keperitan, kepayahan dan kejerihannya berbanding lima anak sebelum ini. Malah, cuti yang bergaji ini penting kerana menjamin kedudukan ekonomi keluarga yang saban hari semakin sempit dek harga barang yang kerap naik, kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar besar dan kos kehidupan yang meningkat dek kerana ahli baru dalam keluarga!


Dalam pada membaca komen-komen, ulasan-ulasan berkait dengan mereka yang menyokong usul tersebut, ada juga yang kurang senang dengan usul beri cuti tiga bulan bergaji. Hatta, kalau cuti yang sebulan lagi tak bergaji pun tidak juga semua yang setuju. Hal ini disebabkan bebanan kerja yang ditanggung oleh pekerja lain disebabkan kekurangan kakitangan selama pekerja tersebut bercuti. Bayangkan seandainya sesuatu unit dalam sesuatu jabatan itu mempunyai sepuluh orang pekerja/pegawai/.penolong pegawai/ahli, salah seorang bercuti berterusan selama dua hingga tiga bulan, maka beban kerjanya terpaksa ditanggung oleh orang lain dalam jabatan tersebut. Hal ini membanyakkan kerja pekerja lain yang sememangnya sudah banyak kerja. Dengan demikian, tidak boleh tidak produktiviti pekerja dan kualiti kerja pekerja lain akan menjadi taruhan. Oleh sebab itu, penambahan cuti bagi pekerja bersalin akan membebankan organisasi.


Selain itu, organisasi/jabatan/syarikat juga mungkin terpaksa mendapatkan pekerja kontrak pula bagi menampung kekurangan yang ada. Maka, akan wujud pula bebanan yang ditanggung majikan kerana terpaksa menggaji pekerja kontrak dan dalam masa yang sama menggaji pekerja yang tidak bekerja. Jadi, perkiraan sedemikian menjadi faktor: seorang pekerja wanita yang kerja di sesuatu jabatan yang mendapat cuti bersalin selama dua bulan untuk setiap anaknya, kalau beliau mempunyai lima orang anak, sudah tentu beliau akan menikmati cuti selama 300 hari dengan gaji tanpa sebarang kerja pun. Bukankah hal demikian akan membebankan majikan dan kerajaan?


Pada hemat penulis, penulis sangat setuju dengan cuti bersalin tiga bulan dengan bergaji. Malah, kalaulah ditakdirkan boleh seseorang wanita itu bercuti panjang bergaji bagi benar-benar menjaga anaknya yang kecil, mendidiknya dari peringkat awal kanak-kanak, pastilah penulis menyokongnya tanpa bantah. Namun, dalam hal ini bukan masalah menyokong, atau hak wanita, atau kewajaran bercuti ataupun kepatutan wanita bersalin bercuti dua, tiga atau berbulan-bulan atas dasar bersalin. Isu sebenar yang harus kita selidiki adalah kemampuan kerajaan dan majikan menanggung kekurangan tersebut dalam hal tersebut.


Kita boleh bandingkan dengan mana-mana negara, negara jiran kita ada yang memberi cuti bersalin tiga bulan gaji penuh. Atau ada negara yang memberi cuti empat bulan bergaji penuh. Kita boleh bandingkan secara kasar begitu. Namun, apa yang lebih penting adalah mampukah negara kita berbuat demikian. Mampukah sesebuah jabatan/organisasi/syarikat menanggung ketiadaan kakitangan sekian-sekian lama bagi beban kerja pekerja tersebut? Mampukah tenaga kerja kita yang sedia ada di Malaysia ini menampung kekurangan yang wujud akibat keadaan tersebut?


Kalau cuti bergaji yang diberikan atas dasar organisasi tersebut hendaklah menyediakan suasana dan persekitaran kewangan yang kondusif bagi bayi yang dilahirkan kerana bayi tersebut adalah bakal peneraju dan modal insan negara pada masa akan datang, nescayalah bukan setakat cuti tiga bulan bergaji sahaja yang harus diberikan kepada si ibu melainkan cuti penuh sampai anak dewasa dengan disertakan elaun anak bagi menjamin anak tersebut akan benar-benar menjadi anak yang berguna kepada negara! Maka, keluarga, suami isteri tidak lagi perlu pening kepala mencari rezeki bagi menanggung anak kerana anak sudahpun tertanggung untuk menjadi orang yang berguna dan akan menjadi human capital pada suatu hari akan datang. Tidak begitu?


Justeru, sekali lagi penulis rasakan soal cuti bersalin ini bukan soal patut cuti, namun mampukah kita bercuti. Bagi mereka yang berhujah bahawa kos sara hidup tinggi dan tambahan beban, seharusnya mereka menilai dahulu kemampuan diri mereka dan keluarga mereka untuk menambah cahaya mata. Kata orang, anak itu merupakan rezeki. Maka, adakah wajar untuk kita salahkan rezeki yang Tuhan telah kurniakan kepada kita atas dasar kemahuan kita juga untuk kekurangan rezeki bagi menanggung anak itu? Kalau sebeginilah mentaliti manusia (menggunakan alasan anak secara tidak langsung sebagai sebab kepada kekurangan rezeki dan terpaksa menanggung ahli baru dalam keluarga) maka apa yang hendak kita hairankan kejadian dan gejala "anak buang mak bapa" yang berlaku sekarang ini.


Mak bapa berungut anak lahir maka terpaksa menanggung lebih daripada sepatutnya sedangkan mereka sendiri yang menjadi penyebab kepada anak tersebut lahir! Bukankah kita boleh merancang keluarga? Kalau tidak mampu/merasakan diri tidak mampu/merasa tidak redha kelahiran anak kerana merasa tidak mampu, maka kenapakah kita hendak salahkan anak itu dilahirkan sebagai penyebab kekurangan rezeki kita, kekurangan wang kita terpaksa menaggungnya?


Kesimpulannya, apabila kita hendak beranak pinak, seharusnya kita mengukur baju di badan sendiri. Jangan salahkan orang tak bagi cuti dan orang tidak bagi gaji kalau tidak dapat menanggung anak yang ramai. Agak memelikkan apabila dunia semakin moden dan perancangan keluarga semakin dipraktikkan, masih ada alasan menanggung anak yang ramai sebagai punca rezeki berkurang. Kalau tidak mampu untuk menanggung anak yang ramai, mengapa kita hendak beranak ramai? Sudahnya, anak-anak tersebut pula yang terpaksa menanggung kekurangan yang dirasai ibu bapa. Kalau kes-kes nadir, kes-kes yang setaraf dengan kes "Bersamamu" itu lainlah ceritanya. Namun, kalau kes keluarga sederhana mampu, tinggal di bandar, mempunyai segala kelengkapan di rumah, Astro, pendingin hawa, kereta, mampu membeli makan minum, apakah kita tidak boleh merancang kapasiti keluaga sendiri?


Selain itu, pihak kerajaan juga perlu mengkaji unjuran penduduk yang mereka mahukan bagi menampung keperluan pekerjaan dan rezeki pada masa akan datang. Berapakah saranan bilangan anak bagi sesebuah keluarga. Hal ini bagi membolehkan kita merangka dan menstruktur pembangunan negara bagi memenuhi pasaran kerja pada masa akan datang agar jangan sampai penduduknya ramai tetapi tiada kerja.


Terbitan berkaitan

Pekerja lama nak lama; yang baru nak campak mana?

No comments: