Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran melalui menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar dua peperiksaan awam iaitu UPSR dan PMR dimansukhkan dan digantikan dengan penilaian yang baru yang bukan pada tahap "awam". Dalam erti kata yang mudah, sungguhpun kedua-dua peperiksaan itu dimansukhkan, masih ada penilaian tertentu yang akan dibuat kepada pelajar di peringkat sekolah. Demikianlah yang difahami penulis setakat ini.
Bagi mereka yang menyokong, pemansukhan tersebut akan mengurangkan "orientasi peperiksaan" yang berlaku dalam sistem pendidikan/pelajaran negara. Mereka berhujah bahawa kewujudan peperiksaan awam di negara ini menyebabkan penilaian terhadap pelajar dan kebolehan mereka adalah berasaskan peperiksaan semata-mata. Dengan termansukhnya peperiksaan awam seperti UPSR dan PMR, penilaian yang lebih menyeluruh akan dapat dilaksanakan kepada pelajar-pelajar dari aspek kefahaman dan kebolehan untuk menyelesaikan masalah.
Selain itu, ada yang berpendapat bahawa pemansukhan peperiksaan awam akan membolehkan penilaian lain berasaskan ko-kurikulum pula dilaksanakan. Kini, sekolah bolehlah pula menumpukan aspek ko-kurikulum pelajar dalam membuat penilaian kecemerlangan pelajar. Mungkin aspek ko-kurikulum boleh ditambahkan pemberatnya bagi mengukur prestasi pelajar selepas aspek tersebut sekian lama diketepikan dalam pengukuran pencapaian pelajar. Oleh sebab itu, sekolah kini boleh memberikan tumpuan kepada ko-kurikulum dalam mengkelaskan pelajar mana yang cemerlang dan pelajar mana yang kurang cemerlang.
Pemansukhan UPSR dan PMR juga akan mengelakkan berlakunya pelajar yang hanya menghafal sahaja input-input yang diberikan dan tidak berfikir tentang fakta yang ada dalam pembelajaran mereka. Keadaan tersebut ibarat mesin cetak yang hanya mencetak semula jawapan di atas kertas soalan dalam ujian. Selepas daripada itu, otak pelajar terbabit akan "kosong" semula kerana merasakan apa yang telah dipelajari telah "habis" dan tidak lagi mengingati sebarang fakta yang telah mereka hafal semasa peperiksaan. Jadi, pemansukhan peperiksaan awam akan dapat mengelakkan daripada berlaku keadaan demikian dan diharapkan pelajar akan ingat apa yang diajar sepanjang hayatnya walaupun tanpa melalui peperiksaan awam.
Walaupun penulis setuju agar peperiksaan awam itu dihapuskan, namun hujah-hujah yang diberikan terutamanya apabila dikaitkan dengan "orientasi peperiksaan" dan "pelajar mesin cetak" merupakan sesuatu yang dangkal dan tidak ada hujung pangkal. Hujah-hujah tersebut memperlihatkan kita sekadar menumpukan kepada kesan tanpa kita melihat kepada sebab berlaku keadaan demikian. Hal ini umpama kita sekadar makan parasetamol untuk meredakan demam tetapi tidak pula berusaha memulihkan apakah sebenarnya yang menyebabkan demam itu. Hendak menjadi holistik, tetapi holistik yang sekadar bombastik dan tidak berpijak di bumi yang nyata.
Sebagai pemula, kalau bukan peperiksaan yang digunakan untuk menilai pelajar, maka apakah kaedah lain untuk menilai pelajar? Dalam apa keadaan pun, peperiksaan memainkan peranan dalam penilaian kefahaman dan kemampuan pelajar menguasai sesuatu subjek. Di universiti pun ada peperiksaan akhir semester, peperiksaan pertengahan semester, kuiz dan lain-lain. Hatta, kerajaan Malaysia yang menyalahkan "orientasi peperiksaan" pun membuat peperiksaan PTK untuk kakitangannya yang hendak naik pangkat. Maka apakah itu bukannya "orientasi peperiksaan" ? Kena beli buku "Malaysia Kita" atau PTK itu dan ini untuk belajar semata-mata hendak naik pangkat; bukankah begitu? Kita boleh katakan pelajar boleh buat persembahan (presentation), atau kerja kursus (assignment) atau pelbagai lagi alternatif untuk menjadi pemberat penilaian pelajar, namun kalau tidak ada peperiksaan, apakah sekadar itu sahaja penilaian yang hendak dibuat?
Masalah utama bukanlah peperiksaan tersebut, namun persepsi orang/pelajar/ibu bapa/guru/kerajaan terhadap peperiksaan tersebut. Peperiksaan semata-mata tidak mendatangkan hal, namun apabila keputusan peperiksaan itu yang seolah-olah "menentukan segala-galanya" maka sebab itulah pihak-pihak berkepentingan itu tadi memberatkan MARKAH/GRED peperiksaan tersebut. Gred sekian-sekian maka layaklah dia mendapat biasiswa sekian-sekian, atau masuk ke sekolah asrama penuh sekian-sekian. Gred sekian-sekian jugalah yang melayakkan pelajar tersebut mengambil jurusan sekian-sekian. Sebab itu, yang diberatkan adalah gred/markah dalam peperiksaan.
Misalnya tatkala keputusan peperiksaan awam dibuat, maka diumumkan sekali pelajar sekian-sekian dapat berbelas A atau berpuluh A. "Straight A" itulah yang biasanya diwar-warkan sebagai kayu pengukur pelajar cemerlang. Begitu juga dalam hal penerimaan biasiswa, kemasukan ke sekolah asrama penuh. Apakah ada syarat yang memberikan kelebihan kepada mereka yang cemerlang di tahap sukan dan ko-kurikulum semata-mata? Kita pun hendakkan all rounder, namun adakah kita hedak nafikan kewujudan peperiksaan sebagai satu kaedah penilaian prestasi akademik pelajar?
Begitu halnya juga dengan masalah pelajar mesin cetak. Kalau tidak dihafal apa yang diajar apakah seseorang itu akan mampu ingat pun sesuatu pembelajaran itu sehingga dewasa. Mungkin benar seseorang pelajar itu boleh menghafal sahaja sesuatu subjek itu namun bukankah seseorang itu pun perlu membaca dahulu sebelum menghafal. Sekurangnya pelajar tersebut telah membaca apa yang seharusnya dibaca. Malah, menyatakan sistem peperiksaan itu menghasilkan pelajar mesin cetak seolah-olah memperkecilkan soalan-soalan (baca: pembuat-pembuat soalan) yang dikemukan dalam peperiksaan. Apakah soalan-soalan yang dikeluarkan hanya menuntut pelajar mencetak sahaja jawapan di minda dan dirizokan di atas kertas peperiksaan? Ke manakah perginya soalan KBKK yang begitu diwar-warkan sebelum ini? Bukankah dalam soalan-soalan yang dikemukakan ada tahap-tahap tertentu yang perlu dialami oleh pelajar? Ada jenis yang analisis, ada yang jenis perbandingan, ada yang jenis saranan. Apakah kesemua itu boleh dihafal semata-mata oleh pelajar tanpa memahaminya?
Malahan, dalam subjek tertentu, apa yang difaham/hafal untuk peperiksaan tertentulah yang menjadi asas dan kelangsungan pemahamannya pada subjek akan datang. Contohnya, Matematik tahap PMR itulah yang menjadi asas yang sangat penting bagi mereka yang akan mengambil subjek Matematik Moden dan Matematik Tambahan pada akan datang. Di universiti pun, ada jenis subjek yang menjadi prasyarat subjek yang lain. Oleh yang demikian, seandainya seseorang itu telahpun faham/hafal kaedah subjek tersebut, akan menjadi mudah untuknya bagi subjek akan datang. Justeru, mengatakan bahawa pelajar selepas peperiksaan adalah "kosong" dan otaknya telah didelete penuh adalah sesuatu yang sangat-sangat dangkal.
Memansukhkan peperiksaan bagi memberi ruang kepada penilaian berasaskan ko-kurikulum memanglah sesuatu yang boleh dikatakan ideal. Namun, dalam pada kita begitu bersemangat untuk menilai ko-kurikulum, kita juga perlu nilai mampukah kita menilai ko-kurikulum itu sendiri. Sudahkah kita menyediakan prasarana untuk ko-kurikulum pelajar? Kalau penilaian unit beruniform, mampukah sekolah menyediakan peralatan dan kelengkapan unit beruniform itu sendiri? Memanglah ko-kurikulum itu kebanyakkannya inisiatif pelajar, namun, kalau guru penyelia/pembimbingnya pun tidak semangat/tiada dorongan/tidak tahu menahu bagaimana hendak membimbing dan memberi sokongan kepada pelajar, bagaimanakah pula pelajar hendak aktif dalam bidang tersebut? Misalnya guru pembimbing sendiri tidak tahu membuat simpulan sekian-sekian (contohnya dalam pengakap) maka bagaimanakah tunjuk ajar itu hendak diberikan kepada pelajar?
Pengalaman penulis, kadang-kala terdapat lebih banyak persatuan daripada pelajar bagi ko-kurikulum. Sudahnya, persatuan tersebut dibubarkan sahaja kerana tiada sambutan. Perlu diketahui bahawa keahlian pelajar dalam sesuatu kelab belum tentu menjadi kayu pengukur keaktifan ahli kelab/persatuan tersebut. Dahulu penulis bukanlah ahli persatuan drama dan teater namun penulis merupakan pelakon drama pentas ke peringkat daerah semasa di sekolah. Apakah penulis tidak aktif ko-kurikulum hanya kerana penulis bukan ahli persatuan teater?
Itu belum lagi hendak dimasukkan satu pelajar satu sukan. Sudah bersediakah sekolah di Malaysia ini hendak sampai ke tahap itu? Dahulu semasa penulis bersekolah, permainan utama semasa PJK adalah bola sepak. Waktu PJK, guru sukan bawa sebiji bola dan mainlah bola tersebut. Bertahun-tahun PJK pun main bola. Penulis yang kaki bangku simen memang sekadar berjonging sahajalah kejar bola. Manakah perginya inisiatif guru sukan untuk memperkenalkan sukan lain selain bola sepak? Memang kena inisiatif pelajar sendiri untuk memasuki acara lain selain bola sepak. Namun, pihak sekolah (baca: sekolah bukannya universiti) perlulah ingat bahawa pelajar sekolah adalah pelajar sekolah. Ada yang mungkin berinisiatif, namun ada yang mungkin tidak. Maka gurulah yang seharusnya memupuk inisiatif tersebut semasa PJK. Tetapi, apakah sekolah-sekolah kita telah bersedia dengan inisiatif guru PJK berkenaan? Kadang-kala, guru yang beropsyen PJK ini tidak boleh "posting" mengajar sebab yang dia pakar cuma PJK! Guru PJK pun kena ada kepakaran mengajar benda lain juga. Jadilah sebagaimana apa yang pernah penulis nyatakan dahulu, guru bidan terjun serba boleh...Itu belum lagi isu sekolah pun tiada padang, bagaimanakah pelajar hendak galak bersukan?
Rumusannya pemansukhan peperiksaan awam mungkin satu cara untuk kerajaan mentranfomasikan pendidikan negara. Namun, tatkala kerajaan hendak mengubah sesuatu dasar dalam pendidikan, janganlah perubahan tersebut sekadar satu perubahan semata-mata (for the sake of change) tanpa ada hala tuju yang jelas dan matlamat yang nyata hendak dicapai. Kerajaan Malaysia terutamanya pihak Kementerian Pelajaran/Pendidikan memang sudah dikenali rakyatnya sebagai pembawa dasar separuh masak. Pertimbangan yang benar-benar konkrit hendaklah dibuat bagi mengelakkan telur menjadi separuh masak sekali lagi. Apakah pemansukhan UPSR dan PMR memberi kesan terhadap kurikulum negara? Apakah kesan kepada buku teks misalnya – apakah kandungannya akan berubah lagi (setelah kandungan bahasanya berubah-ubah sebelum ini). Apakah strategi yang jelas bagi penilaian pelajar bagi sesuatu subjek? Bagaimanakah pihak kementerian hendak mewujudkan benchmarking (penanda aras/ukur tara) kecemerlangan pelajar/soalan peperiksaan sekolah? Apakah cukup untuk dibandingkan dengan sekolah-sekolah "emas" kerajaan sahaja (baca: SPT, SBP, MRSM, dll).
Persoalan-persoalan penilaian berkaitan ko-kurikulum, sukan juga perlulah dijelaskan terlebih dahulu sebelum hendak mengubah itu dan ini. Dalam kita beria-ia hendak memasukkan unsur ko-kurikulum, ingatlah bahawa bukan semua pelajar dalam satu-satu sekolah boleh sampai ke peringkat negara, negeri hatta daerah sekalipun. Bukan semuanya berpeluang hendak menjadi pengerusi, setiausaha, bendahari sekalipun. Apakah mereka yang tidak berpeluang ini akan disingkirkan dari arus perdana? Bagaimanakah kementerian dapat memastikan segala fasiliti, peralatan, kelengkapan dan jurulatih bagi membimbing anak-anak murid ini agar menjadi pelajar akif ko-kurikulum sebagaimana yang didambakan orang-ramai?
Lebih penting lagi, bagaimanakah hendak memastikan cara dan kaedah pengajaran guru itu tidak menjurus kepada mendapat markah yang tinggi semata-mata? Atau tidak semata-mata menjadikan pelajar sebagai mesin cetak jawapan peperiksaan semata-mata? Bagaimanakah bersedianya guru kita memupuk semangat berfikir, berinteraksi dan cuba mewujudkan sebarang kebarangkalian melangkaui skema pendidikan yang telah ditetapkan kementerian bagi melahirkan generasi yang benar-benar holistik? Bagaimanakah bersedianya seluruh warga kementerian, guru, ibu bapa dan pelajar menghadapi dunia maklumat tanpa sempadan yang secara tidak langsung memberikan cabaran kepada kelangsungan dan kerelevenan sistem pendidikan negara?
Kesemua itu perlu direnungi terlebih dahulu daripada semata-mata menyalahkan peperiksaan. Kalau benarlah peperiksaan itu tidak penting, tak perlulah buat peperiksaan untuk memasuki skim jawatan kerajaan, atau peperiksaan PTK dan pelbagai lagi peperiksaan yang perlu dihadapi seseorang itu selepas seseorang itu telahpun mengabiskan masa belajarnya yang rasmi di sekolah mahupun di universiti.
Jangan jadikan lagi dasar pendidikan negara separuh masak.....
No comments:
Post a Comment