Dalam banyak keadaan, yang berkuasa menentukan keputusan adalah mereka-mereka yang berada di atas. Misalnya bagi sesebuah syarikat/firma, yang paling berkuasa dalam menentukan hala tuju syarikat, visi, misi dan dasar-dasar syarikat adalah Ahli Lembaga Pengarah (ALP/BOD). Sungguhpun lantikan Lembaga Pengarah tertakluk kepada undian pemegang saham, merekalah (ALP) yang menjadi proksi kepada pemegang saham bagi sebarang keputusan berkaitan dengan hala tuju syarikat tersebut.
Begitulah halnya dalam dasar kerajaan. Walaupun banyak juga perkara-perkara yang berbentuk perundangan yang perlu diselesaikan di peringkat parlimen (seperti rang undang-undang, pindaan akta dll.), ada juga yang tidak perlu sampai ke tahap itu dan sekadar memerlukan persetujuan dari pihak pak menteri. Sebagai contoh, kenaikan harga minyak, makanan dan bahan-bahan, pemansukhan peperiksaan dan sebagainya. Pokok pangkalnya, terdapat keputusan yang sangat-sangat bergantung kepada kebijaksanaan (hikmah) jemaah pak menteri yang diketuai Perdana Menteri untuk memutuskannaya.
Hal yang sama hampir sama dalam kes-kes berkaitan jenayah dan mahkamah. Polis menangkap, pendakwa raya memutuskan sabitan kes, hakim yang menentukan salah benar, siapa yang mendapat tuntutan, siapa yang kena bayar tuntutan dan sebagainya. Perkara ini pun banyak bergantung kepada sejauh mana bukti yang ada, sejauh mana saksi boleh dipercayai dan sedalam mana sabitnya defendan dalam kes tersebut. Orang kebanyakan tidak berapa faham dan mahir tentang istilah-istilah berkaitan perundangan sebab itu mereka yang di atas inilah yang akan mengeksesaiskan (exercise) keperluan undang-undang yang ada.
Namun, dalam banyak keadaan juga, luahan orang bahawan sangat penting bagi memahami situasi sebenar pada peringkat akar umbi. Atau kalau tidak pun secara hierarkinya yang paling bawah, tetapi mereka yang berkepakaran/berpengalaman/berpengetahuan dalam sesuatu isu yang dibangkitkan. Pandangan mereka boleh juga diibaratkan sebagai pandangan orang bawahan kerana mereka ini bukannya terlibat secara langsung dalam hal-hal berkaitan pemutusan dasar akan tetapi, buah fikiran dan pandangan mereka boleh membantu sedikit sebanyak dalam membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat. Lebih-lebih lagi, seandainya golongan ini berpengaruh di kalangan rakyat, atau mereka adalah pakar ataupun berpengalaman luas dalam bidang tersebut.
Justeru, pandangan golongan sebegini tidak boleh kita ketepikan sahaja. Dalam mencari titik perubahan misalnya, apa yang kurang atau yang bermasalah perlu didefinisikan terlebih dahulu. Andai tidak, sesuatu perubahan itu akan menjadi sekadar perubahan dan tidak mendatangkan impak kepada sesuatu dasar. Atau, seandainya sesuatu tindakan sepatutnya diambil namun tidak diambil, maka hal ini boleh jadi merugikan ramai pihak yang berkepentingan dan akhirnya menjadi satu kesan domino (domino effect) yang seterusnya memberi impak yang berterusan menuruni hierarki berkepentingan. Sudahnya, golongan yang dibawah pun akan merasai tempiasnya!
Dalam hal pemansukhan UPSR dan PMR misalnya, adalah amat dihargai apabila pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mengadakan "meja bulat" perbahasan tentang kedua-dua peperiksaan tersebut dan penambahbaikkan sistem pendidikan negara. Perkara tersebut merupakan satu langkah yang baik, dengan menjemput ramai cendekiawan dan orang-orang yang berkepentingan untuk berbahas bagi mendapatkan input-input yang segar dan penting. Bagaimanapun, tidak dapat tidak, masih bergantung kepada pak menteri dan orang-orang kanannya dalam memutuskan apa yang hendak mereka buat. Oleh sebab itu, pak menteri dan orang-orang inilah yang harus dipertanggungjawabkan seandainya berlaku lagi sebarang dasar separa mentah kerana mereka telah pun mendapat pandangan sewajarnya daripada yang berkenaan.
Satu peristiwa yang menarik perhatian jika dikaitkan dengan mendengar pendapat orang adalah berkaitan dengan skandal pelaburan Madoff. Bernard Madoff, merupakan bekas pengerusi Nasdaq US bertanggungjawab terhadap kerugian bilionan dolar pelabur-pelaburnya dan badan-badan NGO yang berkaitan dengan firma pelaburannya akibat skim penipuan pelaburan yang dijalankan oleh beliau. Dengan menggunakan kaedah yang didasari oleh skim Ponzi, beliau berjaya bermandiri (survive) dari dikesan oleh pihak berkuasa lebih sedekat sebelum beliau disabitkan kesalahan. Untuk rekod, skim Ponzi adalah sejenis skim yang beramalgamasi dalam lingkungan skim piramid, skim cepat kaya, atau skim kutu. Atas dasar beliau merupakan seorang yang berkaliber dalam bidangnya (atau sebagaimana yang dipersepsikan oleh orang), ramai yang telah terpengaruh dengan pelaburan beliau dan menyertainya.
Pun begitu, akhirnya beliau ditangkap juga oleh pihak berkuasa dan disabitkan atas kesalahan tersebut pada Jun 2009 dengan hukuman penjara 150 tahun. Dengan umurnya pada tahun ini mencecah 72 tahun, pastilah beliau merengkok dalam penjara sepanjang hayatnya dek kerana melakukan kesalahan yang bukan sahaja menipu duit orang, malah menyusahkan orang lain. Bagaimanapun, isu yang lebih besar dari kebesaran kesalahan beliau adalah betapa sebelum ini, sekitar tahun 2000 pakar penyiasat forensik kewangan telahpun memberikan amaran/peringatan kepada pihak berkuasa kewangan US (SEC) tentang keharianan beliau terhadap firma Madoff. Herry Markopolos, peyiasat kewangan berkenaan telah membuat laporan tentang anomali yang beliau temui dalam kewangan Madoff kepada SEC, malangnya laporan beliau dipandang sepi sehingga sembilan tahun lamanya. Nyata sekali kegiatan Madoff boleh dielakkan dari berlarutan sehingga sebegitu lama, akan tetapi, pihak berkuasalah yang membuat keputusan untuk tidak berbuat apa-apa (agree to do nothing) sehinggalah skandal tersebut berlarutan dan merugikan lebih banyak pihak. Markopolos meluahkan rasa kesal secara terang-terangan melalui tajuk bukunya, "No One Would Listen: A True Financial Thriller" (Wiley, 2010).
Kisah itu adalah kisah yang mana sudah diberitahu tetapi tidak berbuat apa-apa. Kementerian Pelajaran pula pernah mengalami kisah di mana disuruh jangan dibuat tetapi tetap dibuat (baca: PPSMI). Adalah diharapkan bagi orang-orang yang sangat penting nun di atas sana sentiasa mengambil kira pandangan orang-orang yang nun jauh di bawah sini. Bukan untuk memuaskan hati semua orang, tetapi bagi mendapatkan keputusan/penyelesaian/outcome yang jauh lebih baik untuk kepentingan orang ramai dan mengelakkan daripada berlakunya kerugian yang besar di pihak yang berkaitan dengannya. Ringkasnya, jadikan pengajaran bagi sejarah yang telah berlalu dan bukan dambakan sejarah yang asyik berulang.
No comments:
Post a Comment