Saturday, July 17, 2010

Susun- menyusun kerajaan tak tersusun


 

Harga minyak petrol RON 95, RON 97 dan Diesel naik lagi. Satu lagi produk petroleum yang menanti-nanti kenaikkannya sejak dulu lagi (zaman Pak Lah) pun akhirnya naik juga – gas memasak. Dan dalam masa yang sama, setelah kerajaan hendak menyusun pengagihan gula dengan mewajibkan lesen kepada penjual gula, kerajaan memberi "hadiah" dengan menaikkan harga gula. Maka, kita pun boleh bayangkanlah berapakah agaknya kos yang hendak peniaga tanggung apabila harga gula subsidi telah "disusun sepenuhnya subsidi tersebut" (Baca: tak bagi subsidi) dan lesen yang bakal "berharga" pada masa akan datang. Belum lagi masuk kos tempat menyimpan yang selalunya dengan mudah ditafsir oleh pihak kerajaan secara kasar sebagai "stor menyimpan stok jualan agar dapat menyorok gula tersebut."

Untuk rekod, ini bukanlah kali terakhir regim PM Najib hendak "susun" semula subsidi di mana penyusunan tersebut (baca: kenaikkan harga tersebut) mungkin akan berterusan dari setahun ke setahun. Rasionalisasi kepada penyusunan subsidi tersebut adalah disebabkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi menampung subsidi bahan yang ditanggung oleh kerajaan. Pada masa yang sama juga, PM Najib juga akan dari semasa ke semasa menunaikan janji yang beliau telah buat terlebih dahulu jauh sebelum beliau menjadi PM lagi iaitu rakyat akan terpaksa (dipaksa) membeli harga sebenar petroleum mengikut harga pasaran pada suatu masa nanti.

Kita nampaknya terpaksa bersetuju dengan PM Najib bahawa Malaysia merupakan negara yang kaya dengan subsidi. Kalau hendak dibanding negara itu dan ini pun, Malaysia masih diketegorikan sebagai negara pemberi subsidi yang begitu mewah yang dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat. Kita juga terpaksa akur bahawa kalau pihak PR boleh tuduh FELDA bankrup dek amalan pengurusan mereka sekarang ini, maka BN pun boleh cakap yang MALAYSIA akan bankrup menjelang 2019 kalau masih mengekalkan momentumnya memberi subsidi kepada rakyat!

Realitinya, seandai apa pun yang berlaku, harga petroleum tetap akan naik kerana itulah penanda aras ekonomi dunia dan negara kuasa dunia. Tatkala harga petroleum munjunam, persekitaran ekonomi ketika itu tidaklah berapa baik/kondusif dan ekonomi tatkala itu juga diselubungi oleh syarikat mega yang bankrup kerana ketololan mereka sendiri. Soalnya sekarang, tatkala harga minyak dunia meningkat naik, adakah ekonomi dunia juga meningkat naik?

Krisis ekonomi/kewangan global pada hakikatnya masih diselubungi kudis-kudis yang bernanah kekuningan dan berbau busuk umpama orang yang mengalami kencing manis mendapat gangren di kaki. Mungkin kita boleh guna pelbagai perubatan moden dan alternatif – suntikan insulin, antibiotik, makan petai belalang, ataupun mendapatkan khidmat terapi berenga (maggot therapy) namun kebarangkalian kaki tersebut terpaksa dipotong tetap ada. Pemimpin Malaysia boleh berbangga mengisytiharkan bahawa kita tidak akan terkesan dengan krisis ekonomi EU akan tetapi itulah juga yang diwar-warkan dengan penuh keyakinan dan kepastian tatkala berlakunya krisis subprima di Amerika Syarikat tidak lama dahulu. Adakah pisang akan berbuah berkali-kali?

Oleh sebab itu, dalam pada pengkaji-pengkaji lantikan kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan "penyusunan semula subsidi," adalah sewajarnya mereka terlebih dahulu memberi definisi yang jelas dan nyata kepada rakyat jelata yang sememangnya kurang arif tentang apa itu subsidi dan SIAPA yang seharusnya layak mendapat subsidi. Tatkala kita hendak menyelesaikan masalah (susun subsidi) maka seharusnya terdapat beberapa pernyataan masalah yang seharusnya dijawab terlebih dahulu. Jangan kita syok sendiri katakan bahawa kita akan berikan subsidi kepada "golongan sasar" sedangkan kita tidak pernah pun mendefinisikan siapa itu golongan sasar? Adakah mereka yang tinggal di pondok usang, rumah separuh siap dan terpaksa meminta sedekah dijalanan maka itu yang dipanggil golongan sasar? Bagaimanakah pula dengan mereka yang mempunyai gaji RM 3000, sudah berkahwin dan beranak-pinak dengan lebih separuh gaji mereka adalah untuk membayar hutang/sewa itu dan ini dengan taraf hidup di kota yang sememangnya mendambakan wang yang berterusan?

Benar, kita tidak boleh terlalu negatif dengan tindakan dan dasar kerajaan. Pun begitu, kita juga tidak boleh terlalu optimis bahawa segala perancangan kerajaan akan sampai ke sasarannya. Di sebalik kita hendak memburu mimpi untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, seharusnya kita terlebih dahulu menyediakan diri kita ke tahap minda berpendapatan tinggi yang tulen (bukannya dalam bank ada berjuta-juta tapi semuanya hutang belaka). Sistem penyampaian kerajaan, walaupun dikatakan baik sebenarnya masih banyak yang boleh ditambah baik. Infrastruktur dan kemudahan (umpamanya jalan raya) dikatakan cantik sebenarnya masih banyak yang perlu dipercantik. Bagaimanakah kerajaan hendak merasionalkan negara berpendapatan tinggi sedangkan jalan berlubang mengambil masa berbulan-bulan/bertahun-tahun untuk dibetulkan? Apakah benar negara berpendapatan tinggi kalau urusan itu dan ini memakan masa berminggu-minggu untuk diselesaikan?

Justeru, untuk menyusun agar rakyat mendapat apa yang sepatutnya, maka kerajaan terlebih dahulu seharusnya menyampaikan (deliver) apa yang sepatutnya. Janganlah asyik menagih rakyat agar faham dan faham namun kerajaan dan kakitangan-kakitangan mereka tak pernah-pernah faham.

Relation: It works both ways.


 


 


 


 

No comments: