Kerjasama antara UMNO dan PAS merupakan satu enigma yang sehingga kini masih menghantui pemerhati politik, pengamal media dan rakyat secara umumnya. Baru-baru ini, Tuan Guru Sahibus-Sahamah Al-Alamah Al-Ustaz Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan kesudian beliau berjumpa dengan TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sama ada benar laporan tersebut ataupun "media" tertentu cuba memutarbelitkan fakta hanya mereka berdua yang tahu. Pun begitu, hal tersebut bukanlah kali pertama kenyataan sedemikian (berjumpa/berdiskus/bermuzakarah/bermuhabbalah/bermesyuarat) keluar dari kedua-dua mulut pemimpin tertinggi UMNO mahupun PAS.
Menyingkap kerjasama UMNO dan PAS, bukanlah sesuatu yang mustahil berlaku di dalam politik Malaysia sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya 1974. Walau bagaimanapun, "gabungan" tersebut tidak kekal lama apabila pilihan raya umum selepas itu, "gabungan" tersebut bercerai talak semula sebagai UMNO dan PAS. Pelbagai masalah muncul tatkala gabungan tersebut wujud dan akhirnya, berlakulah penyingkiran PAS dari UMNO atau pengeluaran UMNO dari PAS. Namun begitulah, dari perspektif sejarah, penyatuan kedua-dua parti majoriti Melayu-Islam tersebut pernah berlaku. Sungguh pun begitu, pastilah ada perkara-perkara yang penting (vital) yang menyebabkan kedua-dua parti ini tidak dapat bergabung dalam satu jangka masa yang lama dan stabil.
Sejarah UMNO dan PAS bermula sedari zaman pasca-merdeka lagi. Pada awalnya, UMNO diwujudkan atas asas perjumpaan Kongres Melayu pada 11 Mei 1946 di Johor Bahru.[1] UMNO dilihat sebagai pejuang masyarakat Melayu yang lebih berkonsepkan neo-feudal[2]. Barang perlu diketahui bahawa kewujudan UMNO pada ketika itu melibatkan Partai Kebangsaan Melayu Malaya yang antara lainnya disertai oleh Dr. Burhanuddin Helmy yang kelak menjadi presiden PAS. Dapatlah dilihat di sini, walaupun nampak seperti "kebetulan" PAS dan UMNO pada asalnya ada titik pertemuan. Akan tetapi, perbezaan jauh digembar-gemburkan berbanding persamaan yang ada.
Menjelang masa, wujudlah pertubuhan yang diberi nama MATA, Hizbul Muslimin yang rata-ratanya mempunyai perbezaan ideologi dan fahaman sedikit sebanyak dengan parti pejuang Melayu Nasional, UMNO. Pada masa yang sama, kepimpinan UMNO sendiri mengalami pelbagai masalah sehingga memaksa presidennya pada ketika itu, Dato' Onn Jaafar melepaskan jawatan dan keluar dari UMNO. Sebagai parti politik yang hendak memikat dan memancing undi orang Melayu, UMNO menyediakan platform bagi penyertaan golongan ulama bersama-sama menyokong UMNO. Dan "sayap" tersebut beransur-ansur dimasuki oleh ulama dan beransur-ansur juga bertindak sebagai organisasinya sendiri seterusnya terkeluar dari ruang lingkup UMNO bagi memperjuangkan agenda mereka tersendiri. Platform tersebutlah yang dinamai sebagai PAS[3].
Lanjutan daripada kejadian tersebut, PAS berjaya menambat hati Dr Burhanuddin Helmy memasuki parti tersebut seterusnya menjadi Presiden PAS ke-2. Lama selepas kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia, sekali lagi PAS dan UMNO bergabung sebagai sebuah entiti yang satu pada 1974 sebelum kembali berpecah selepas menikmati masa "bersama." Apa lagi kalau bukan perseteruan dalaman antara kedua-dua parti. Satu mengata begini-begini yang satu lagi mengata begitu-begitu. Sebab itulah boleh kita ibaratkan bahawa hubungan UMNO-PAS merupakan hubungan yang enigma. Dari masa ke masa pasti ada sahaja usulan yang dikemukan untuk "duduk berbincang" atau mengadakan pertemuan atas dasar agama dan bangsa namun selebihnya sekadar perang tajuk (headlines war) di dada akhbar.
Bagi orang yang berfikiran logik dan bernas pastilah merasakan kesukaran penyatuan antara kedua-dua belah pihak merupakan sesuatu keanehan. Malah, perpecahan di antara kedua-dua pihak ini sebenarnya mengundang negatif yang lebih besar kerana hanya kedua-dua pihak ini sahaja yang meletakkan asas perjuangan agama Islam sebagai antara intipati perjuangan mereka. Walaupun dari semasa ke semasa tuduhan dibuat terhadap UMNO yang dikatakan sebagai sekular, pembabitan UMNO dalam menjayakan agenda Islam mereka tidak boleh dipertikaikan. Malah, PAS sendiri dilihat masih "kabur" dalam perjuangan Islam yang mereka takbir-laungkan kerana jelas nyata mereka sanggup bersekongkol dengan sebuah parti yang sememangnya menolak sama sekali perjuangan Islam di Malaysia (baca DAP).
Asas kepada perbezaan pendapat antara kedua-dua parti ini sebenarnya kuasa. Kalaulah Islam yang hendak diperjuangkan, maka apakah kita dengan mudah mengkafirkan orang lain? Atau dengan mudah kita menuduh si polan itu sekular? PAS sebenarnya dari banyak segi ingin berkuasa dan diberi kuasa supaya kebolehan mereka ditonjol sementara UMNO dalam masa yang sama juga diulit dengan kekuasan mereka yang akhirnya menghancurkan diri mereka sendiri. Sungguhpun PAS sentiasa mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak memperjuangkan bangsa, namun realitinya, bangsa apakah yang majoritinya Islam di Malaysia?
Banci Penduduk 2000[4] misalnya meletakkan sekitar satu peratus sahaja penduduk cina yang beragama Islam dan sekitar empat peratus penduduk India yang beragama Islam. Bukankah lebih baik daripada berutopia dalam ucapan, ceramah mereka tentang betapa bangsa itu tidak ada makna di dalam Islam, maka mereka selaku parti yang memperjuangkan Islam sebagai ideologi yang syumul mewujudkan usaha-usaha bagi kemasukan saudara baru di dalam Islam? Di sebalik yang demikian yang sepatutnya yang berlaku, PAS mengiktiraf pula pemimpin ultra-sekular sebagai contoh pemimpin "mengikut cara khalifah" semasa daulah Islamiyyah dahulu. Bukankah hal ini cukup menganehkan?
Oleh yang demikian, enigma besar penyatuan antara dua parti yang pada asalnya mempunyai tunjang yang sama terletak kepada kompromi kedua-dua parti tersebut terhadap kuasa yang akan diagihkan. Bagi PAS misalnya, pastilah mereka hendak menegakkan perjuangan Islam dan negara Islam sebagaimana yang diwar-warkan sedari awal penubuhan parti tersebut. UMNO pula, disebalik tegar memperjuangkan Melayu-Islam, mereka juga hendak berkompromi bersama rakan barisan mereka yang bukan berbangsa Melayu-Islam. Pastilah dasar-dasar tertentu yang akan menjadi penghalang kepada penyatuan kukuh kedua-dua parti namun disebalik saranan pelbagai orang cerdik pandai dan golongan berkecuali, ada kebenarannya untuk penyatuan PAS-UMNO dilakukan.
Atau sekadar satu lagi helah politik yang digunakan media bagi mengaut keuntungan.....
___________________________________
Nota hujung
[1] Perjumpaan Kongres Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman telah pun membincangkan kewujudan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PERKEMBAR) sebelum nama UMNO dipilih selepas itu.
[2] Farish A. Noor (2004) Islam Embedded (Volume 1), K. Lumpur: Malaysian Sociological Research Institute,2004. Baca nota kaki: p. 50-51
[3] Ibid p.72
[4] Jabatan Perangkaa Malaysia, 2005
1 comment:
Pegangan PAS adalah jelas. Parti itu tidak mungkin mahu dipatuk di lubang yang sama 2 kali!
Bersekongkol dengan munafik UMNO lebih buruk berbanding DAP. Apakah yang lebih dahsyat; orang melayu mengaku Islam yang menolak undang2 Islam ataukah orang kafir yang memang jahil Islam menolak Islam?
PAS sanggup bekerjasama dengan DAP atas dasar persamaan dalam menumbangkan kuasa jahat yang memusnahkan negara, yang mengayakan kroni dan menyuburkan rasuah. Sejarah pemerintahan PAS yang singkat di Perak boleh dijadikan panduan bagaimana pribadi luhur yang ada pada Ir Nizar mampu menarik pemimpin DAP mendengar dan menghayati Islam. Tidak dengarkah kamu bagaimana seorang pemimpin DAP cuba membaca ayat Al Quran dalam ceramah beliau? Bukankah itu perkara baik?
Soal kafir-mengkafir telah lama diputar belit UMNO. Hakikatnya ucapan Tn Guru Hj Abdul hadi di banggul Pradong lewat 1982 yang lalu tidakpun menuduh UMNO itu kafir.
Kalau kamu benar, saya cabar penulis ini tampalkan ucapan Tn Guru hj Abdul hadi itu di sini dan sama-sama kita lihat duduk perkara sebenar intipati ucapan beliau itu.
Post a Comment