Berada di sekitar Kuala Lumpur (KL) dan bandar-bandar satelitnya kadang-kala memberikan satu persepsi berbeza terhadap Malaysia. Di tengah-tengah kota raya yang begitu pesat dan maju, kadang-kala perbandingan antara KL dan tempat asal tidak dapat tidak pasti akan terlintas jua di fikiran kita. Seakan-akan KL merupakan sesuatu tempat yang cukup berbeza berbanding dengan bandar-bandar besar lain di seluruh negara. Suasananya sibuk sekali dari pagi hingga ke malam. Di sebahagian kawasan, suasana diniharinya jauh lebih meriah berbanding waktu siang hari.
Lalulah Jalan Sultan Ismail pada malam hari berhampiran simpang Jalan Bukit Bintang. Betapa ramai pengunjung berkumpul dan berhimpun berhampiran simpang Jalan Bukit Bintang dan laluan tersebut bagaikan lautan manusia yang mengerumuni simpang empat! Ada yang sekadar lepak, ada yang berhibur dan melihat pertunjukan jalanan dan nyanyian. Jalan Bukit Bintang tatkala malam cukup-cukup berbeza berbanding siang hari. Pelbagai bangsa, ragam, dan kewarganegaraan yang boleh kita perhatikan; yang putih, yang gelap, yang arab. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai "kemeriahan" Bintang Walk. Namun, bagi yang berkereta, pastilah melalui jalan ini merupakan sesuatu yang cukup mendebarkan. Dengan kumpulan besar manusia yang pelbagai ragam, melepasi kawasan tersebut tanpa sebarang kemalangan dan kecederaan bukan sahaja kepada orang sekeliking, malah kepada diri sendiri dan kereta sendiri dikira satu pencapaian yang baik. Bayangkanlah kalau seseorang pemandu tertabrak orang di dalam lautan himpunan manusia, pastilah huru-hara jadinya dan pertumpahan darah boleh berlaku andai berlaku salah faham.
Akan tetapi, bukan itu sahaja caranya untuk merasai kelainan dan perbezaan di Kuala Lumpur. Kalau ke gedung membeli-belahnya, ada kala kita akan merasakan diri kita begitu asing sekali (bagi yang bukan berasal dari Kuala Lumpur). Misalnya di Berjaya Times Square (BTS), siapa sangka permainan tema seperti roller coaster pun boleh muat dalam sebuah pusat membeli-belah! Harga tiket yang mahal bukanlah satu halangan untuk mereka yang ingin merasai ketakutan, keseraman dan ingin menguji keberanian mereka. Kalau dahulu, mereka yang ingin merasai roller coaster perlu ke Genting namun kini, sudah ada dua tiga taman tema dalam negara yang memberikan peluang yang sama; BTS adalah sebahagian daripadanya. Tetapi, bukan taman tema sahaja yang menjanjikan kelainan di BTS. Pengunjung tempatan juga akan makin lama makin terperasan bahawa BTS adalah antara destinasi yang sangat disukai Pak Arab. Disebabkan Pak Arab gemar berkunjung ke pusat membeli belah mega ini, maka peruncit di dalamnya juga menyediakan barangan yang sesuai untuk Pak Arab. Bagi mendapatkan kasut misalnya, agak mudah bagi mereka yang memerlukan saiz yang besar kerana peniaga di sini menyediakan saiz kasut untuk bukan sahaja pengunjung tempatan, malah untuk saiz Pak Arab! Jadi, seandainya tiada saiz yang padan (kecil) maka peruncit akan memberikan alasan bahawa "bukan musim Pak Arab shopping di Malaysia!"
Bercakap tentang arab, kini rakyat Malaysia tidak perlu ke Mesir untuk menyaksikan sphinx dan piramid. Kedua-duanya boleh kita tatapi di sebuah lagi pusat membeli-belah di Bandar Sunway bersebelahan Sunway Lagoon (yang secara ironinya bersetentangan dengan sebuah masjid). Tempat tersebut, dikenali sebagai Sunway Pyramid merupakan satu lagi pusat membeli belah yang mempamerkan sesuatu yang berbeza tentang Malaysia. Dan nampaknya, Pak Arab pun tidak melepaskan peluang untuk ke Sunway Pyramid walaupun negara mereka lebih dekat dengan binaan "Tujuh Keajaiban Dunia" itu. Berbeza dengan BTS, Sunway Piramid menonjolkan sisi lain "keriangan" di Malaysia. Di bahagaian hadapan bangunan pusat membeli-belah dibarisi dengan pelbagai pub dan kelab malam yang pelbagai nama. Menjelang waktu malam, pub dan kelab ini akan bernyawa dan akan menjadi tempat pilihan golongan tertentu "melepaskan tekanan." Di salah satu atrium pusat membeli-belah terbabit wujud pula gelanggang luncur ais bagi pengunjung dan peluncur ais mahir.(agak kontra dengan konsep pusat membeli belah itu sendiri yang mempromosikan dirinya sebagai ala-padang pasir) Pengunjung boleh merasai sendiri perasaan meluncur ais dan bagi mereka yang tidak pernah berbuat demikian, bersedialah menghadapi lutut dan punggung basah dek tergolek di kawasan luncur ais. Dari tingkat atas ruang legar, pemerhati boleh memerhati segala gelagat mereka: gelak dan tawa; ada yang sudah boleh berpusing-pusing menari, ada yang boleh meluncur lancar dan tidak kurang juga ada yang terkapai-kapai dan terus-menerus memegang tembok di sekeliling gelanggang tersebut.
Agaknya disebabkan Pak Arab gemar juga berkunjung ke Sunway Piramid, maka terdapat satu lorong khas kawasan membeli-belah yang berasaskan ala-Arabian Night di dalam pusat membeli-belah tersebut. Restoran dan kedai runcit di kawasan itu sememangnya kearaban sungguhpun pemiliknya bukan arab. Dan, bukan Pak Arab sahaja yang gemar berkunjung di Sunway Piramid. Warga Indonesia juga sangat gemar mengunjungi gedung. Namun, yang dimaksudkan dengan warga Indonesia bukanlah sebagaimana yang dibayangkan mereka yang bekerja buruh binaan atau buruh kasar atau pembantu rumah (bagi perempuan) sebaliknya mereka yang hadir adalah terdiri daripada belia usia awal 20-an. Menariknya, kita juga boleh bertemu dengan wanita yang wajahnya cina, sememang cina, pakaiannya baju ketat dan seluar pendek atau skirt pendek tapi berloghat Indonedia apabila berkata-kata! (Penulis juga pernah bertemu dengan orang India dari Indonesia yang memang hanya tahu berbahasa Indonesia). Mungkin mereka ini merupakan pelajar Indonesia yang belajar di IPT tempatan.
Sesungguhnya, kesemua suasana terbabit ada di KL dan sekitarnya. Mungkin apa yang ditonjolkan bukan sepenuhnya KL. Malah, tulisan ini pun hanya memberatkan Pak Arab dan warga Indonesia sahaja namun menjelang perayaan besar, warga kota akan pulang ke desa dan golongan bukan warganegaralah yang akan memenuhi ibu kota. Semacam kita merayakan cuti, maka mereka juga bercuti juga. Hakikatnya, ibu kota yang diberi nama Kuala Lumpur ini merupakan satu jelmaan berbeza sisi sebuah negara bernama Malaysia. Kepelbagaian ragam dan budaya boleh kita perhatikan di sini. Ditengah-tengah kesibukan warga kota mencari rezeki di KL, mereka dikelilingi oleh pelancong asing pelbagai warna kulit dari arab, timur tengah, tanah besar China malah negara jiran seperti Indonesia. Dengan mengambil kira mereka yang berasal dari luar negara, maka apakah jelmaan sebenar ibu kota yang bernama Kuala Lumpur?
No comments:
Post a Comment