Saturday, June 5, 2010

Statistik Bombastik: Versi Piala Dunia

Rancangan kerajaan memberikan lesen pejudian khas Piala Dunia 2010 kepada sebuah syarikat pejudian multi-million ringgit negara dirasionalkan sebagaimana berikut: Antara lain dapat mencegah "pejudian haram" tatkala Piala Dunia berlangsung, duit lesen itu boleh digunakan untuk "pembangunan negara" dan kerajaan juga akan dapat untung sebagaimana syarikat yang dilesenkan itu mendapat untung (melalui harga lesen, cukai itu dan ini dll).

Malang sekali bagi pihak kerajaan Malaysia kerana mereka tidak pula melihat kepada siapakah yang paling untung (baca: syarikat judi berkenaan) dan deklarasi pemimpin-pemimpin mereka sendiri yang menyatakan bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam. Dalam pada masa yang sama, penduduk di negara ini juga majoriti mudahnya Islam. Oleh sebab itu, situasi sebegini sudah pasti akan menghadirkan persepsi negetif buruk yang akan digembar-gemburkan oleh pihak berlawanan dengan salah satu komponen pihak tersebut mempunyai nama Islam di dalam partinya (baca: PAS).

Telah banyak hujah yang dikemukakan oleh kolumnis akhbar perdana tempatan terutamanya yang mempunyai autoriti keagamaan (seperti Ustaz) tentang betapa seandainya kerajaan menghalalkan sekalipun pejudian tersebut (dengan cara memberi lesen) hukumnya dalam Islam tetap haram. Tambahan pula, apakah yang menyebabkan kerajaan Malaysia menyangka bahawa dengan wujudnya pejudian dilesenkan oleh kerajaan, maka pejudian "haram" itu tidak akan wujud.

Oleh sebab itu, biarlah kerajaan Malaysia (yang ditunjangi oleh BN) sekarang ini yang menanggung persepsi buruk rakyat (terutamanya yang muslim) terhadapnya kerana mereka sendiri yang mencari penyakit, mereka sendiri yang hendakkan keuntungan hasil judi dan mereka sendiri sudahpun membuat cost-benefit analysis mereka sendiri terhadap keuntungan yang mereka terima dan kerugian yang bakal mereka terima. Satu yang pasti adalah yang haram tetap haram dan hatta kalau kerajaan Arab Saudi mengatakan perkara yang jelas nyata haram itu halal, nescaya hukumnya tetap haram!

Berbalik kita semula tentang kolumnis dan bola sepak Piala Dunia. Amat menarik sekali apabila ada yang berpendapat bahawa permainan bola itu bukan sekadar bola. Permainan bola itu bukan sekadar tentang siapa yang menang, siapa yang kalah dan berapa gol dijaringkan. Mereka yang ahli tentang permainan bola sepak (i.e. football pundit) akan melihat kepada semua aspek – formasi pasukan, kapten pasukan, jurulatih pasukan/pengurus pasukan, statistik pemain dan pasukan, berapa gol dijaringkan, berapa sepakan sudut yang diperolehi, berapa cubaan tepat dan cubaan tersasar, berapa banyak offside, berapa kali penjaga gol menepis bola/menangkap bola, berapa banyak penguasaan bola dalam padang serta pelbagai lagi perkara yang boleh dinomborkan dan dijadikan sebagai fakta.

Malah, ada rakan taulan penulis sendiri menyatakan bahawa stastistik itulah yang benar-benar penting dalam pejudian bola sepak. Kadang-kala, yang ditaruhkan bukan sekadar berapa gol dan siapa menang/seri/kalah tetapi siapa yang menjaringkan gol, siapa yang membantu dalam menjaringkan gol, penjaga gol mana yang berjaya menepis bola dan dari siapa bola itu datang ke dirinya hatta mungkin ke minit ke berapa gol itu dijaringkan! Begitulah pentingnya statistik itu dalam Piala Dunia ini!

Justeru, bagi setiap siaran langsung perlawanan bola sepak (bukan sahaja Piala Dunia tetapi pelbagai lagi kejohanan yang lain), akan ada pakar-pakar bola sepak yang bergelar pundit ini akan membincangkan dengan nada yang sangat serius tentang apakah ramalan mereka, impak perlawanan dan pelbagai lagi yang perkara berkait dengan bola sepak dan kejohanan tersebut.

Pada awalnya mereka mungkin akan membincangkan formasi, mungkin membuat ramalan tentang pasukan yang lebih dominan serta mungkin keputusan perlawanan. Kemudian pada masa rehat separuh masa pertama, mereka membincangkan tentang gol sebarang percubaan yang berlaku sepanjang separuh masa pertama dan mungkin menyarankan strategi kepada pasukan (dan macamlah pemain-pemain yang bermain pada ketika itu dapat mendengar saranan tersebut!). Dan selepas akhir perlawanan, sekali lagi perbincangan tentang keputusan perlawanan dan menilai semula ramalan mereka sebelum ini. Dalam konteks Piala Dunia, mungkin ada yang memberi ramalan tentang siapa yang "mahu" menang dan siapa yang "buat-buat" kalah pada pusingan pertama bagi mendapat laluan yang lebih mudah untuk mara ke pusingan seterusnya.

Sebaliknya, segala statistik yang diuja-ujakan dan ramalan yang dibuat mungkin sahaja tidak tepat. Ibarat kata orang, bola itu bulat, 11 orang mengejarnya dan belum tentu satu terlepas masuk gol; atau satu itu boleh secara "tidak sengaja" boleh pula masuk ke dalam gol. Lebih-lebih lagi, dengan teknologi bola rasmi yang semakin maju dan berkembang, belum tentu bola itu menurut kata penendangnya – kalau nak swing belum tentu swing dan kalau hendak ditangkap oleh penjaga gol, belum tentu tertangkap.

Akhirnya disebalik statistik yang berselirat yang dibentangkan kepada penonton, yang benar-benar penting adalah gol! Siapa yang lebih banyak daripada pasukan yang satu lagi adalah pemenang. 1-0 pun dikira pemenang, 5-0 pun dikira pemenang. Paling teruk, loteri perlawanan kalah mati i.e penentuan sepakan penalti. Itupun berasaskan gol. Pada ketika itu, orang akan berpijak di bumi yang nyata apabila tidak kiralah penguasaan bola sesuatu pasukan itu teruk (seperti 30-70), akhirnya bergantung juga kepada gol. Kalau pasukan yang sekadar 30 peratus penguasaan bolanya mempunyai gol yang lebih dari pihak lawan yang bermain dengannya, pasukan itu tetap dikira pemenang!

Begitulah adatnya. Euphoria tentang Piala Dunia (dalam konteks negara yang sekadar menjadi penonton) mungkin paling kemuncak adalah pada SEBELUM perlawanan. Keseronokkan dan keterujaan pada ketika itu digabungkan dengan suasana persekitaran penonton (di kedai mamak atau di rumah dengan home theater lengkap dengan TV LED HD yang lengkap dengan sistem bunyi memukau). Selepas itu, segala-galanya bertukar menjadi normal semula. Bagi peminat pasukan yang menang, mungkin mereka tersenyum sehari pada keesokkan harinya dan bagi yang kalah, mungkin mereka tidak mahu bercakap langsung, atau merasionalkan kenapa pasukan mereka kalah.

Oleh sebab itu, bagi memeriahkan lagi Piala Dunia dan statistiknya, dibentangkan di bawah ini statistik ringkas tentang pemenang Piala Dunia kerana yang penting pada akhirnya adalah siapa yang menjulang piala tersebut!

PASUKAN PALING BANYAK MENANG: Brazil (5x)

SEKALI MENANG : England & Perancis – kedua-dua di tempat sendiri

TUAN RUMAH MENANG : Uruguay (1930), England (1966), Jerman (1974), Argentina (1978), Perancis (1998).

JUARA YANG TIDAK PERNAH MENANG DI TEMPAT SENDIRI – Brazil (pernah anjur pada 1950 tetapi kalah pada Uruguay) – 2014 mungkin berubah... mungkin????

MENANG MELALUI PENALTI: Brazil (1994), Itali (2006)

MENANG SEBELUM NEGARA BERGABUNG TETAPI TIDAK PERNAH MENANG SELPAS ITU: Jerman (Barat)

BENUA YANG PERNAH MENANG PIALA DUNIA : 2 – Amerika Selatan & Eropah

MENANG HANYA DI TEMPAT DIANJURKAN DI BENUA SENDIRI : Eropah (Semua juara Eropah menang di Eropah)

BUKAN EROPAH MENANG DI EROPAH: 1 (Brazil – di Sweden 1958)

BUKAN AMERIKA SELATAN MENANG DI AMERIKA SELATAN: Tiada

MENANG KEJOHANAN DI BENUA BUKAN EROPAH/AMERIKA SELATAN: Brazil (2x) – 1974, (Mexico) 2002 (Korea/Jepun). Argentina – 1986 (Mexico)

Nota: Fakta di atas benar sehingga Piala Dunia 2006. Maka, mampukah fakta tersebut berubah pada 2010? Nantikannya......

 

No comments: