Thursday, June 3, 2010

Keangkuhan Zionis dan kecaman dunia Islam

Dunia diperlihatkan bukan kali pertama Israel menggunakan kuasa ketenteraan terhadap bantuan kemanusiaan. Setelah peristiwa penelanjangan betapa Israel sanggup berbuat apa sahaja sehingga menggunakan "alatan" rakan sekutunya (baca: pasport dan visa) untuk membunuh antara kepala penentang mereka, kini mereka dengan angkuhnya menawan kapal bantuan kemanusiaan kepada umat Islam di daerah bergolak sekelilingnya. Konvoi bantuan itu antara lain melibatkan wartawan dan ahli NGO dari Malaysia.

Malang sekali, dalam isu sebegini jelas dan nyata pun, masih ada cakap-cakap melalui penulisan alternatif (baca: blogger) yang masih hendak mengaitkan parti itu dan ini sebagai dalang peristiwa berkenaan (atau secara tidak langsung mengatakan bahawa sekian-sekian adalah penyokong Israel). Begitulah mentaliti pempolitik di negara ini sehinggakan sudah terang lagi bersuluh isu sebenarnya adalah kekejaman Zionis, kebiadaban mereka terhadap penduduk Gaza dan umat Islam di Palastine, ada sahaja point-point politik kepartian yang hendak dikaitkan. Sudahnya, pihak Zionis begitu mudah sahaja menginjak-injak undang-undang antarabangsa sementara umat Islam sedunia ini sibuk menyalahkan satu sama lain tentang siapa sekutu Israel sebenar.

Dunia sebenarnya adalah boneka kepada segala tindak-tanduk Israel dan tidak lebih dari itu. Tiada siapa pun di dalam dunia ini yang sanggup membuat apa-apa sekatan tentang tindakan Zionis. Negara kuasa-kuasa besar lebih-lebih US pun membisu sahaja atau setidak-tidaknya menyokong segala perbuatan terkutuk Zionis. Sementara itu, negara Islam pula tidak lebih dari mengutuk Israel, terlalu bersemangat mencari siapakah sekutu sebenar Israel di dalam dunia Islam sedangkan isu yang lebih awlawiyyat dalam hal ini adalah kemandirian umat Islam di Israel, Palastine dan semenanjung Gaza itu sendiri!

Seharusnya, usaha membawa bantuan sebagaimana konvoi itu diperbanyakkan. Selain itu, penglibatan negara-negara bukan Islam juga perlu dijana untuk sekurang-kurangnya, mengumpul semangat dan ahli yang turut serta menyokong keamanan dan kesejahteraan dunia daripada terus ditimpa peperangan yang tidak berkesudahan. Bukan semua orang bukan Islam menyokong tindakan Yahudi Zionis itu, namun alangkah malangnya seandainya orang Islam sediri saling menyalahkan antara satu sama lain sedangkan pencetus semangat untuk membantu umat Islam di kawasan bergolak seharusnya datang daripada mereka.

Lancarkanlah perang saraf bagi membolehkan segala usaha berjaya mencapai matlamatnya. Pemboikotan jenama buatan sekutu Israel Zionis sebenarnya tidak memberi kesan optimum seandainya jenama alternatif Islam/anti-Israel tidak diketengahkan dan disokong oleh ahlinya. Contohnya, apakah kalau kita boikot pengeluar cip terbesar dunia, kita akan dapat menggunakan komputer? Maka menjadi tanggungjawab yang berbentuk kifayah untuk umat Islam menghasilkan cipnya sendiri! Sokongan kepada perbankan Islam misalnya bukan hanya semata-mata namanya "Islam" namun kaedah dan strukturnya juga menghalang penindasan sewenang-wenangnya.

Akhirnya, apakah kita hendakkan Pope itu dan ini, atau Mother itu dan ini hadir dahulu memberikan bantuan kepada umat Islam di tempat yang diperlukan sedangkan kita masih lagi dalam lingkungan politik sempit kita? Sedar-sedarlah wahai umat Islam di dunia!

No comments: