Tuesday, June 1, 2010

TPM II, III, IV dan V

TPM II, III, IV dan V

Minggu lepas, kedengaran lagi sekali cadangan oleh putera peneraju ke arah Malaysia yang baru dan lebih adil lagi saksama, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeksesaiskan klausa keadilan dalam ungkapannya bagi menunjukkan betapa adil dan saksamanya beliau terhadap semua kaum – jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua untuk orang Cina sebagai tanda betapa saksamanya beliau tatkala menjadi Perdana Menteri pada PRU-13 (atau sebarang rancangan penggulingan kuasa seperti 16 September). Dan parti yang dikaitkan dengan jawatan tersebut pastilah DAP.

Seronok sebenarnya mendengar cadangan daripada beliau kerana konotasinya memberikan seribu makna. DAP yang merupakan parti yang diterajui majoriti 90 peratus bukan Melayu dan mempunyai keahlian yang sangat besar bagi kaum Cina, sudah pastilah jawatan tersebut akan diberikan kepada salah seorang pemimpin kaum Cina. Oleh sebab itu, mungkin Karpal Singh dan Gobind Singh Deo melepas jawatan TPM II. Tetapi, menjadi persoalan juga seandainya TPM II diberikan kepada DAP, maka siapakah pula yang menjadi TPM I? Tidak pula dimuktamadkan bahawa TPM I itu merupakan seorang dari PKR atau PAS.

Sebenarnya bukan baru cadangan beliau. Penulis pernah mengulas canangan-canangan beliau sebelum ini pun (setelah isu itu diwar-warkan oleh beliau lama sebelum ini...) bahawa beliau inginkan TPM dari kaum Cina, tidak kurang wakil TPM dari Sabah dan Sarawak. Hal ini bermaksud, sudah pastilah salah satu parti di dalam PR tidak dapat hendak merasa kerusi TPM sebab kalau TPM cuma dua, maka salah satu milik DAP dan satu lagi pastilah dari PKR di Sarawak. Atau mungkin boleh mengharapkan PAS menang kerusi di Sabah atau Sarawak? Mana tahu?

Terdapat kemungkinan juga beliau sebenarnya hendak membuatkan jawatan TPM itu lebih dari dua?! Mungkin setiap satu parti ada wakil menjadi TPM? Maka, kita akan dapat gabungan satu Malaysia (atau satu pakatan) yang begitu asli lagi mengujakan! Jadilah sebagai TPM I (PAS), TPM II (DAP) dan TPM III (Sabah/Sarawak). Mungkin undi orang asli kurang signifikan dalam pilihan raya, jika tidak pastilah ada TPM 4 (orang asli). Atau sebenarnya kita kena juga ambil kira pengundi kaum India yang menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara dan kewujudan negara bangsa maka bolehlah juga wujud TPM V (India).

Pun begitu, kalau berbalik kepada persoalan asal iaitu TPM II itu diberikan kepada orang Cina, apakah PKR sendiri tiada penyokong Cina? Ada faktor-faktor tertentu yang agak berbeza yang menyebabkan ada orang Cina yang menjadi ahli PKR dan ada yang menjadi ahli DAP. Apakah pemimpin Cina yang menjadi penyokong PKR tidak dapat berpeluang merasai kerusi TPM II itu? Baik dia keluar parti PKR, masuk DAP maka peluangnya cerah!

Begitulah cakap-cakap politik. Sebagai seorang ahli politik yang tulen, Anwar sememangnya seorang yang cukup populis. Beliau menggunakan kesempatan sebaik-baiknya menyinarkan dirinya bagi menunjukkan kepada orang ramai/rakyat jelata bahawa beliaulah yang terbaik. Beliau telah fikir akan kesemuanya. Bagi mencapai keadilan, kesaksamaan dan keharnonian kesemuanya, adalah lebih baik untuk wujudkan TPM yang lebih – kalau tanpa portfolio pun tidak mengapa!

Oleh sebab itu, tindakan beliau inilah mencatat sejarah baru untuk Malaysia (sebagaimana yang beliau canang). Kita mempunyai beberapa orang TPM! Diharapkan dengan TPM yang ramai ini (atau sekurang-kurangnya 2) maka kita akan menjadi lebih efektif, efisyen dan lebih mantap serba-serbi. Kita hendak beri peluang sama rata kepada semua orang. Maka semua orang ada peluang untuk menjadi TPM!

Sejarah dunia juga bakal tercatat apabila Malaysia merupakan satu-satunya negara di dalam dunia yang mempunyai ramai TPM. Segah-gah USA pun tiada Naib Presiden kedua atau ketiga. Begitu juga di England. Negara jiran kita, Indonesia pun tiada Naib Presiden II. Singapura, walaupun begitu taksub dan begitu menghormati pemimpin lama mereka (sampaikan ada sahaja jawatan baru dicipta untuk dimenterikan bekas PM mereka), pun tiada TPM II. Mungkin model Singapura boleh Anwar adaptasi. Ada Timbalan Perdana Menteri Kanan. Kemudian TPM, kemudian Menteri Kanan Kanan, kemudian Menteri Kanan, kemudian Menteri Muda Kanan, dan kemudian Menteri Muda. Kemudian, selepas Anwar bersara dari arena politik dan diganti kroni terdekat beliau, mungkin beliau menjadi Menteri Penasihat. Atau ada lagi Menteri Penasihat Kanan atau Penasihat PM Kanan. Semua ini dan banyak lagi, Anwar mampu melakukannya!!!!

Kesemua ini (TPM II dan sebagainya) adalah atas dasar beliau adalah PM. Kita pun tidak tahu apa yang berlaku kepada PR dan BN selepas PRU -13. Anggapan ini hanya sah seandainya Anwar PM. Dan Anwar begitu yakin sekali bahawa beliau akan menjadi PM kalau PR menang.

Cuba renungkan kebarangkalian ini pula. PR menang. Namun kerusi terbanyak bagi parti di dalam PR bagi parlimen adalah DAP atau PAS. Maka adakah ketika itu Anwar yakin bahawa beliau masih menjadi PM? Apakah DAP tidak mahu pemimpinnya menjadi PM? Atau PAS tidak mahukah Sohibus-Samahah wal Fadhilah Tuan Guru Al-Ustaz Al-A'lamah Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai PM? Katakan perkara tersebut berlaku, adakah Anwar akan kekal menjadi PM?

Kebenarannya, PR kini saling menggunakan antara satu sama lain. Sedangkan mereka sendiri mempunyai agenda masing-masing kerana kepercayaan mutlak sebenarnya masih belum wujud. DAP misalnya walaupun tegar memperjuangkan hak sama-rata (berat kepada bukan bumiputera, baca: Cina), mereka juga inginkan orang Melayu menyokong mereka agar boleh maju ke depan sebagai PM, atau MB atas sebab-sebab perlembagaan. Realiti politik masa sekarang masih bersifat rasis (tidak kira BN mahupun PR). Kalau tidak, beranikah DAP meletakkan calon Melayu di kawasan yang ramai pengundi Cina dan mengharapkan sokongan pengundi Cina berasaskan kepada dasar mereka adalah PR?

Sehingga perkara tersebut masih belum dibuktikan lagi, angan-angan Anwar dan PR masih lagi penuh dengan nistaan rasis yang bertopengkan "kesegatan, kesamarataan, keadilan" dengan jenama Malaysia Baru di mata dunia. Kebenarannya, masih tidak banyak yang berbeza antara PR berbanding BN. Kini, yang hanya kita boleh tunggu adalah kebenaran dalam "tarian" politik masing-masing tentang siapa sebenarnya yang menggunakan siapa?

No comments: