Wednesday, November 30, 2011

Sembah kubur Tok Pulau Manis.

 

Pemujaan merupakan satu amalan karut-marut yang masih lagi diamalkan oleh segelintir daripada umat Islam di Malaysia ini. Masih ada dikalangan manusia yang hadir ke kubur-kubur lama, menurun dan 'menaik' agar mendapatkan ilham nombor yang akan naik semasa cabutan permainan nombor ekor bagi memperoleh keuntungan dengan mudah. Malangnya, nombor ramalan atau ekor itu sendiri dikira sebagai berjudi dan sudah semestinya juga hasil daripadanya juga merupakan hasil yang haram.

Namun yang menganehkan ialah betapa kelakuan tersebut dibuat oleh golongan yang mempergunakan imej keagamaan untuk mengaburi amalan yang khurafat (merujuk tajuk 'Esakan di makam keramat,' Harian Metro, 29/11/11, 4). Mereka beserban dan berjubah untuk menyelindung diri yang sedang mengamalkan perkara yang ditegah oleh agama dan kemungkaran yang membawa kepada kesyirikan! Begitu mudah sekali dan betapa beraninya mereka ini menggunakan imej Islamik untuk melakukan sesuatu yang haram di sisi Islam. Berani sungguh mereka ini!

Pemujaan nombor ekor nampaknya masih lagi menjadi amalan sesetengah di kalangan orang Melayu yang tampaknya tidak insaf dengan kelakuan syirik tersebut. Membesarkan makam-makam para ulama (dalam maksud mengagungkan) dengan menjadikannya sebagai tempat memuja masig diamalkan sehingga kini walaupun capaian maklumat dan aspek rasional dikatakan semakin berkembang pada generasi kini. Sedangkan sistem pendidikan kita sudah pun memasukkan unsur-unsur akidah bagi menerapkan nilai-nilai tauhid di dalam jiwa sanubari pelajar ketika mempelajarinya, justeru membawa kepada persoalan, sejauh manakah sistem pendidikan keagamaan kita berkesan dan cekap untuk melahirkan insan yang tidak melakukan perkara-perkara yang syirik?

Kita boleh dengan mudahnya salahkan sistem, kita salahkan yang pendidikan sekarang kononnya masih tidak cukup Islam. Atau ada yang lebih keras lagi dengan melabelkan sistem pendidikan sekarang ini sekular. Namun, sejauh manakah pula mereka yang dikatakan sebagai alim, berilmu pengetahuan yang luas dalam bidang agama membanteras gejala-gejala seperti ini? Adakah golongan ustaz-ustaz di Malaysia ini hanya pandai berceramah pom-pang, pom-pang hentam sini sana tetapi dakwahnya sekadar di masjid? Bukankah mereka sepatutnya turut serta bekerja turun padang membanteras kelakuan jijik sedemikian dengan gerak usaha penyertaan dalam masyarakat bagi menggerakkan dakwah bil hal?

Kejadian pemujaan di makam orang saleh dan kelakuan khurafat bukanlah hanya unik di Malaysia. Serata dunia Islam pun menghadapi perkara yang sama. Semasa musim haji misalnya, dikhabarkan bahawa ada jemaah tertentu yang cenderung untuk menggunting kelambu Kaabah untuk dijadikan azimat. Kubur dan makam ulama tertentu di Mesir sangat digemari oleh golongan tertentu untuk dipuja. Wujud golongan yang terlalu mendewakan syeikh polan bin polan kerana kekeramatannya dan seterusnya selalu beribadah dan mengagungkan makam syeikh tersebut, Perkara sebegini bukanlah sesuatu yang unik di Malaysia sahaja.

Justeru membawa persoalan, sama ada adakah pendekatan Islam pada hari ini membolehkan pemujaan tersebut berlaku? Kita sering mendengar usaha ulama-ulama yang dikatakan sebagai Salafi daripada Ibn Taimiyah dan Muhammad Ibn Wahhab mempunyai cita-cita untuk menghapuskan sama sekali perlakuan 'bidaah' seperti pemujaan makam dan sebagainya, malangnya usaha mereka digenangi pula oleh isu-isu seperti Wahabi, takfir dan hal-hal pertikaian furu seperti bidaah itu sendiri. Akhirnya, idealisme ulama sebegini tenggelam dek pertikaian antara golongan yang menyokong mereka dan yang menentang mereka dalam hal-hal berkaitan ibadah!

Jangan silap faham. Penulis bukanlah hendak membela penyokong tegar Taimiyah, Wahabi atau Salafi. Pada hemat penulis, isu menyembah kubur ini jauh lebih besar daripada kita dok bertelagah tentang Nabi zikir dan doa secara jam'ie ataupun tidak. Isu berkaitan orang Islam menurun ekor di makam wali-wali ini jauh lebih dahsyat ertinya berbanding pertikaian tentang sembahyang tarawih berapa rakaat. Malangnya, perkara akidah sebegini yang jarang sekali diperbincangkan sesama cendikiawan Islam sendiri sebaliknya yang lebih diraikan ialah berkenaan siapa undi siapa masuk syurga, yang tak undi sekian-sekian itu faham-faham aje lah!

Kini, maruah dan martabat umat Islam sering diperendahkan dengan pelbagai cara hanya kerana ungkapan 'your taboo is not my taboo.' Sebabnya, umat Islam mudah sekali berpecah -belah hanya disebabkan ideologi politik dan tidak mahu mendahulukan akidah dan penyatuan umat terlebih dahulu. Akhirnya, kita akan dapati kaum yang memusuhi Islam akan semakin berani mencabar umat Islam, menuntut agar keIslaman umat Islam dikurangkan kononnya bagi membolehkan proses demokrasi berjalan lancar. Undang-undang di negara-negara Barat tertentu jelas menunjukkan penindasan terhadap muslim dan siapa yang hendak bangkit mempertikaikan yang tindakan sebegini menyalahi hak kebebasan beragama?

Kesemuanya hanya disebabkan umat Islam tidak mahu bersatu bagi memelihara akidahnya. Oleh yang demikian, tidak hairanlah akan wujud lagi mereka yang pergi ke kubur lama menyembah minta ilham nombor ekor sedangkan tok guru masih dok bertelagah undi siapa masuk syurga, undi siapa pergi neraka!

Dan mereka yang bukan Islam pun bolehlah terhibur dengan gelagat sedemikian.

Tuesday, November 29, 2011

Pengekalan BN

 

Ramai pemerhati politik dan ahli politik sendiri yang berpendapat bahawa Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung pada minggu ini ialah perhimpunan/persidangan yang terakhir sebelum PRU 13. Malah, 'tekad' tiga pemimpin sayap UMNO yang tampak mengakui bahawa PRU semakin hampir dan kini, Ketua Pemuda UMNO pun menyeru betapa transformasi merupakan 'mantera' penting untuk memancing undi rakyat. Malangnya, mantera sahaja bukanlah penentu kepada kejayaan sesebuah parti.

PM Najib kini bagaikan sedang menunjukkan peri pentingnya untuk mengekalkan BN sebagai pemerintah, seolah-olah dalam nada tersirat risaukan atau mempertikaikan, bolehkah BN kekal? Luahan Tun Dr. Mahathir melalui akhbar Mingguan Malaysia tempoh hari menunjukkan beliau nampaknya masih mempunyai nada kecewa terhadap UMNO seolah-olah usaha yang sedang dilakukan oleh parti tersebut masih tidak mencukupi. Padahal kita boleh lihat betapa sibuk dan bersengkang matanya PM Najib dalam melaksanakan usaha dan gerak kerja bagi menambat hati rakyat dan masyarakat antarabangsa; lepas ke sini, ke situ pula. Baru balik luar negara, sudah melawat kawasan, hadir perhimpunan ini dan itu. Mungkinkah tidak cukup?

Mungkinkah segala usaha yang diperah oleh PM Najib ini sebenarnya masih tidak mencukupi? Barangkali perlu diingat, PRU akan datang bukannya medan untuk memilih PM. PM di Malaysia ialah lantikan bukan secara langsung melalui PRU. Sebaliknya yang menjawat PM di Malaysia secara tradisi ialah ketua eksekutif sesebuah parti politik yang mempunyai majoriti tertinggi di dalam PRU. Dalam konteks BN, komponen UMNOlah yang mempunyai kerusi terbanyak, memberikan jawatan tersebut dipegang oleh presiden parti. Jadi, PRU hanya menentukan siapa PM selepas segala-galanya selesai dan bukannya kemenangan PM Najib di kerusinya di Pekan yang menjadikan beliau PM.

Oleh yang demikian, sepatutnya pemimpin dan calon parti turut serta dalam menjayakan persepsi rakyat terhadap parti tersebut. PM Najib mungkin telah melakukan segala-galanya atas kapasiti PM, begitu juga tangan kanannya TPM Tan Sri Muhyiddin. Namun bagaimanakah mereka yang di peringkat akar umbi? Di peringkat cawangan (ranting) dan bahagian (cabang)? Kita bukan bercerita rakyat di kawasan Kulaijaya misalnya hendak memangkah PM Najib ataupun Khalifah Agung Lim Guan Eng? (mungkin sepatutnya Anugerah Tuhan Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kita bercerita tentang wakil parti DAP melawan wakil parti MCA di sana. Sebab itulah PRU sebegini lebih banyak faktor yang perlu diambil kira daripada partinya, parti naungannya, peribadi calonnya, prestasi calonnya dan lain-lain. Berbeza keadaan kalau hendak dibandingkan dengan pemilihan Presiden di US mahupun Indonesia. Yang dipilih ialah presiden; ketua kepada kerajaan. Presiden memilih kabinet atas budi bicaranya. Orang yang menganggotai kabinet meskipun mempunyai pengaruh daripada parti, tetapi bukannya daripada wakil rakyat. Maka yang dipilih oleh rakyat ialah regu presiden dan naib presiden.

Justeru, BN kalau hendak kekal, bukan kerja PM Najib sahaja; kesemuanya perlu bekerja. Usah hendak harapkan aura sokongan Najib kalau di kawasan sendiri tidak ada aura pemimpin seumpama itu. Berpijaklah di bumi yang nyata, bukan semua ceruk bandar dan kampung yang mampu menerima tempias kedatangan Najib atau Pak Din. Di situlah keperluan MB, ahli parlimen, ADUN, ketua bahagian dan ketua cawangan untuk menyinar dengan menunjukkan kematangan dan kebolehan mereka membantu rakyat yang memerlukan. Namun, adakah situasi sebegitu berlaku?

BN memerlukan lebih daripada magis Najib untuk terus berkekal releven kerana sogokan dan janji manis pembangkang kadang-kala lebih mengiurkan daripada usaha kerajaan yang telah dan akan dilaksanakan. Siapa tak mahu perkara yang serba murah dan mementingkan rakyat? Tetapi, tahap pencapaian daripada pihak sana nampaknya tidaklah berapa cemerlang sebagaimana yang diharapkan. Politik persepsi yang dimainkan oleh kedua-dua pihak tampak semakin menjadi-jadi sedangkan kedua-dua pihak pun sangat kurang bercakap mengenai rakyat yang sedang dalam keperluan.

Untuk BN kekal di puncak pemerintahan, pemimpin pertengahan mereka yang betul-betuk dahulukan rakyat, bukannya dahulukan kerabat!

Monday, November 28, 2011

NATO yang kotor

 

Laporan AFP yang dipetik oleh Harian Metro (28/11/11) jelas menceritakan segala-galanya. NATO umpama sebuah organisasi ketenteraan yang dahagakan darah sehingga yang berpihak kepada mereka pun (secara teknikal) menerima tempias serangannya. Itu belum kita masukkan 'kesilapan' serangan sebelum ini termasuklah di Libya. Apa yang jelas ialah pakatan 'Atlantik Utara' ini sebenarnya tidak pernah menghiraukan keselamatan dan sebarang kemungkinan kepada sekutu mereka asalkan 'serangan' mereka berjaya.

Keadaan sebegini berlaku di setiap peperangan menentang 'paksi kejahatan' yang dipimpin oleh US dan negara-negara Eropah. Peristiwa pasukan tentera luar mengebom rakyat tempatan yang memihak kepada mereka merupakan sesuatu keadaan yang biasa, sedangkan pasukan tentera seperti NATO ini dikatakan memiliki senjata yang canggih, mampu melancarkan serangan ke atas koordinat yang tepat dan telah terlebih dahulu mendapat sumber-sumber yang 99.9 peratus sahih sebelum melancarkan sebarang serangan. Namun, kekerapan penyimpangan yang amat ketara menyebabkan kita boleh mempersoalkan layakkah sebuah badan ketenteraan Barat yang begitu berkuasa diberikan autonomi untuk membuat sesuka hati mereka untuk memuaskan kempen 'perang terhadap keganasan?'

Kejadian di Pakistan yang mengorbankan 26 nyawa tentera tempatan bukanlah kali pertama dan mungkin bukan yang terakhir yang dikatakan sebagai 'salah bom/bedil.' Dalam peperangan zaman moden ini, bom dan peluru tidak kenal kasihan dan tidak mengenal orang. Jadi, untuk mengatakan bahawa NATO 'tersilap' pecaturan merupakan satu kenyataan yang bersifat apologikal tanpa menjurus kepada sebab mereka begitu yakin bahawa kawasan serangan benar-benar merupakan kawasan Al-Qaeda.

Sebagaimana tentera Amerika menyerang rumah, masjid dan hospital di Iraq dan Israel menyerang kawasan penempatan awam yang 'mempunyai penentang mereka/Hamas' kita amat yakin Barat satu hari nanti akan melakukan perkara yang sama bagi merasionalkan serangan terhadap Iran. Apa yang tetap menjadi persoalan ialah mengapakah Barat yang berpaksikan 'demokrasi' tidak mahu terlebih dahulu menyerang Korea Utara yang terang-terangan mengisytiharkan mereka telah membangunkan senjata nuklear sedangkan terlalu sibuk menentang kumpulan atau negara-negara yang 'kedengaran arab' atau 'militia Islam.' 'Harapan baru' yang dikemukakan oleh Obama ternyata palsu kerana di tangan beliau sahaja, begitu ramai orang bukan-US yang mati dibedil oleh tentera US sama ada atas nama negara Uncle Sam itu ataupun pakatan yang disertai US. Malah, beliau lebih licik lagi dengan menggunakan NATO sebagai alat untuk menyerang negara lain bagi menyembunyikan graviti sebenar peperangan supaya kelihatan seperti 'Dunia menetang keganasan' dan bukannua 'US menentang keganasan.'

Oleh yang demikian, kelicikan US lebih tertonjol dengan membabitkan orang lain untuk menjalankan kempen ketenteraan menentang demokrasi. NATO dipergunakan dengan sepenuhnya bagi memperjuangkan idea Barat dan menentang sesiapa sahaja yang menghalang demokrasi ala-Barat. Setelah terlibat dengan pelbagai peperangan, mereka mempunyai peluang yang luas untuk memperdagangkan senjata dan selepas perang tamat, mereka juga berpeluang untuk terlibat dalam pembangunan negara yang menjadi sasaran ketenteraan itu. Buktinya, US tiba-tiba menjadi salah sebuah negara pengeluar minyaK bersandarkan 'sumber' mereka di Iraq.

US nampaknya begitu dahagakan sumber asli seperti petroleum dan penguasaan ekonomi dunia sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi mencapainya. Alasan seperti mengembalikan demokrasi dan menentang paksi kejahatan merupakan sebab yang begitu mujarab bagi menghalalkan kegiatan ekonomi bebas yang ditunjangi oleh mereka untuk terus bermandiri.

Hal ini akan menyebabkan mereka dapat mengekalkan kepercayaan dunia bahawa merekalah kuasa ekonomi dunia dan yang paling 'tahu mengenai kebebasan.' US seterusnya memberikan momokan berkenaan keganasan semata-mata bagi mengalihkan tumpuan terhadap kenazakan ekonomi mereka sendiri yang dikelilingi oleh hutang dan pengangguran. Dan dengan mempergunakan pakatan seperti NATO, US akan cuba menyelindung daripada belakang segala tindakan negara tersebut melancarkan perang terhadap negara-negara yang tidak tunduk kepada desakan mereka. Selepas negara yang diserang menjadi lunyai, merekalah yang akan 'membangunkan' semula negara tersebut bagi membuktikan 'kebertanggungjawaban' mereka. Namun, kita pun mengetahui hasrat sebenar US dok sibuk-sibuk menyerang negara orang kononnya bagi mempertahankan demokrasi negara lain.

Justeru, tidak hairanlah kekotoran yang dipalitkan oleh US terhadap badan seperti NATO; kesemuanya bagi membuktikan kuasanya sebagai polis dunia. Disebalik sindiran No Action Talk Only yang selalu digambarkan terhadap organisasi ketenteraan tersebut, apa yang jelas ialah tindakan sebenarnya hanya akan dilakukan apabila melibatkan kepentingan US sahaja!

Nampaknya nama timangan baru yang wajar diberikan ialah 'No stake for American? Talk only laaa... '

Sunday, November 27, 2011

Hijrah: Yang diutamakan ialah ummah

 

Sekali lagi kita bertemu dengan tahun baru Hijrah dan diberikan sambutan peringkat negara. Perhimpunan dibuat, ceramah diberi dan anugerah dikurniakan. Beginilah sambutan Maal Hijrah saban tahun dan saban masa di Malaysia. Sama ada berkesan atau tidak sambutan sebegini, tidaklah dapat diketahui. Akan tetapi, sambutan Hijrah ini bolehlah dikatakan sebagai satu cara bagi mengenang kembali peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah Al-Munawwarah bersama-sama sahabat baginda, Sayidina Abu Bakar As-Sidiq.

Satu-satunya lagu yang begitu diraikan dalam acara Hijrah ialah 'Maal Hijrah' yang antara kalimahnya:

Hijrah itu pengorbanan,

hijrah itu perjuangan,

hijrah itu persaudaraan,

hijrah membentuk perpaduan.

Malang sekali, kendatipun ungkapan pada lagu ini selalu diulang-ulang saban tahun baru Hijriyah, amalan berkenaannya sangat kurang sekali di peringkat pimpinan politik negara sama ada dalam mahupun luar negeri. Pemimpin sesama Islam berpecah kerana ideologi politik yang berbeza dan tidak sanggup untuk bekorban, berjuang, bersaudara mahupun berpadu tenaga untuk membentuk ukwah Islami yang begitu dituntut dalam agama itu sendiri. Kesemuanya kerana merasakan diri sendiri lebih benar berbanding yang lain. Mereka bertakbir membesarkan Allah bagi menunjukkan betapa pejuang mereka ke jalan Allah. Namun, yang ditentang itu ialah umat Islam sendiri! Yang diseru untuk diperangi ialah muslim yang sama bersyahadah Tiada Tuhan melainkan Allah!

Tampak bahawa sambutan Maal Hijrah yang saban hari dan saban tahun dirai kurang memberikan impak secara keseluruhan kepada kesatuan umat Islam itu sendiri. Tatkala tema kesatuan ummah menjadi salah satu daripada pendekatan mengenang peristiwa hijrah Nabi, jarang apa yang diperkatakan itu dizahirkan secara kesanggupan politik (political will). Krisis kepimpinan, pertembungan pendapat dan ketaksuban sokongan menyebabkan seperti tidak akan ada titik pertemuan antara satu pihak dengan pihak yang lain. Rakyat juga menjadi semakin resah kerana kekeliruan hala tuju sedangkan kedua-dua pihak pun kononnya berjuang untuk rakyat. Ada dikalangan mereka yang disogok dengan ideologi menentang sehinggakan apa sahaja yang dilakukan bagi meredakan keadaan dikatakan sebagai bertentangan dengan demokrasi.

Sedangkan umat Islam acap kali sambutan Maal Hijrah, diperingatkan dengan kisah pengorbanan yang dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabat, diulangkan nuansa keberanian sahabat Nabi r.a bekorban diri semata-mata atas nama perjuangan ke jalan Allah, dikisahkan semula persaudaraan Muhajirin dan Ansar, suku Aus dan Khazraj. Adakah kisah-kisah ini hanya sekadar di bibir-bibir penceramah, pemimpin politik dan sekadar cerita atuk budak kepada budak sahaja? Apabila dibawa usul penyatuan antara ummah, macam-macam alasan pula yang dikemukakan yang rata-ratanya hanya bersifat polemik dan politik sahaja. Sedangkan kesatuan ummah itu lebih utama berbanding saling bermusuhan sesama umat Islam yang mengucap kesaksian yang sama.

Justeru, kejayaan umat Islam pada masa ini bergantung banyak kepada bagaimana mereka mengamalkan kesatuan ummah, satu tema yang saban hari diulang-ulangkan; namun resapannya ke dalam jiwa nurani pimpinan kita seperti tidak kelihatan. Dari itu, bedoalah sebanyak-banyaknya agar hati-hati umat Islam terutamanya daripada peringkat kepimpinannya disatukan kerana kita sangat menagih kesatuan umat Islam yang murni dan mahabbah. Sudah-sudahlah kita bertelagah sesama kita sedangkan yang memperoleh kelebihan tersebut ialah musuh-musuh yang sentiasa menanti pepecahan di antara umat Islam!

Artikel berkaitan

Hijrah: Signifikasi kesatuan ummah

Saturday, November 26, 2011

Wasatiyah: Ganti Islam Hadhari?

 

Semasa pemerintahan Pak Lah, beliau memperkenalkan sebuah konsep yang begitu gah yang dinamai Islam Hadhari. Pelbagai acara dilaksanakan bagi meraikan konseptual Islam Hadhari ini seperti terbitan buku-buku dan makalah, anugerah dan tidak ketinggalan sebuah institut yang didedikasikan dengan nama tersebut. Perbincangan dan kritikan juga dilemparkan kepada konsep tersebut daripada namanya sehinggalah ke unsur-unsur yang dikatakan sebagai menunjangi gagasan tersebut. Di pihak pembangkang juga berlegar berkenaan nama konsep tersebut dan gambaran yang begitu menakjubkan iaitu Islam Hadhari sebagai sebuah ‘mazhab baharu yang diwujudkan oleh Pak Lah!’ Konsep Islam Hadhari begitu dicanang ke peringkat antarabangsa sehingga menyebabkan kononnya negara-negara Islam begitu menerima falsafah yang dikemukakan oleh Pak Lah ini dan dijadikan sebagai subjek bandingan apabila membincangkan berkaitan pemerintahan Islam dan agama.

Itu semuanya cerita dahulu. Zaman Pak Lah sudah beredar. Setelah Pak Lah tidak lagi berkuasa, lompong yang ditinggalkan beliau terhadap Islam Hadhari begitu mendalam. Seolah-olah kesinambungan konsep dan gagasan Islam Hadhari ini terhenti begitu sahaja. Jadilah usaha tersebut bersifat politikal sahaja apabila kita sudah tidak kedengaran lagi ulasan dan cemuhan sama ada menyokong atau membantah konsep tersebut. Seolah-olah berlakulah noktah terhadap perbincangan mengenainya. Malah, pihak Pak Menteri (dalam Kabinet Najib) yang bertanggung jawab mengenai hal ehwal Islam pun tampak tidak membuat sesuatu yang menggambarkan usaha ke arah memperkukuhkan konsep tersebut; malah beliau menjanjikan Islam Hadhari akan dikaji! Semarak berkenaan Islam Hadhari seperti tiba-tiba menemui jalan buntu dan tidak boleh mara ke hadapan lagi. Dan dalam keadaan diam inilah, muncul sebuah konsep Islam yang baharu yang dicanang oleh PM Najib. Konsep itu bernama wasatiyah.

Jarang yang mengetahui atau mengingati bahawa penglibatan PM Najib dengan 'ajaran' wasatiyah ini sebenarnya sudah muncul ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan lagi. Penulis masih mengingati ketika Tingkatan 1, pelajar didedahkan dengan beberapa topik baru yang masih belum dimasukkan ke dalam silibus buku teks pada ketika itu dan antaranya ialah konsep wasatiyah ini. Ketika itu, Najib menyandang jawatan Menteri Pendidikan di bawah regim Tun Dr Mahathir. Ustazah yang mengajar kami ketika itu pun mengakui bahawa topik wasatiyah ialah antara topik yang baru diperkenalkan dan 'nota hanya boleh diperoleh melalui papan hitam' (masa itu, guru di sekolah penulis pakai kapur lagi).

Nyata di sini konsep wasatiyah yang diperkenalkan oleh PM Najib bukanlah satu konsep yang baharu[1] kerana semasa beliau mengepalai Kementerian Pendidikan (sekarang Kementerian Pelajaran), subjek berkenaannya telah pun diperkenalkan. Perkara ini berlaku hampir 15 tahun yang lepas. Oleh yang demikian, beliau sekadar menghidupkan kembali satu konsep yang satu ketika dahulu diperkenalkan olehnya sendiri. Konsep ini berlandaskan tuntutan untuk menjadi umat pertengahan dan melalui sebuah riwayat yang membawa maksud besederhana dalam melakukan sesuatu perkara.[2]

Secara asasnya, wasatiyah mengambil konsep umat pertengahan yang telah disebut di dalam Al-Quran.[3] Menurut pendapat Ibn Kathir semasa mentafsirkan ayat ini, wasat yang menjadi akar kepada perkataan wasata dalam bermaksud yang terbaik dan yang terpuji.[4] Seterusnya, beliau memetik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Abu Said yang antara inti sarinya bermaksud, 'wasat itu bermaksud adil. Kamu semua akan diminta untuk menyaksikan bahawa Nuh a.s telah menyampaikan (risalahnya) dan kemudian aku (Nabi Muhammad SAW) akan mepersaksikan kesaksianmu.'[5]

Sementara Hamka dalam mentafsirkan ayat sama mengenai umat pertengahan ini membawa perspektif berkenaan kaum Yahudi yang terlalu cenderung kepada keduniaan sehingga sanggup mengeksploitasi sistem ekonomi dan politik untuk kepentingan mereka. Manakala kaum Nasrani terlalu berat kepada akhirat sehingga mengamalkan kebiaraan dan meninggalkan sama sekali hal-hal keduniaan. Namun Islam dilihat sebagai umat pertengahan kerana memilih pertengahan melalui ibadah diri sendiri (melalui sembahyang) dan kepada orang lain (melalui zakat). Mana mungkin boleh membayar zakat kalau tidak mencari harta di dunia ini?[6] Idea wasatiyah daripada perspektif ini ialah besederhana dalam melakukan tuntutan duniawi dan ukhrawi. Dan Tafsir Mubin memberikan penjelasan pertengahan sebagai besederhana dalam segala pembawaannya dan tidak melampau-lampau atau keterlaluan dalam menganut kepercayaan dan besederhana dalam akhlak dan amalannya.[7]

Dan kini, menjelang Perhimpunan Agung UMNO, kefahaman mengenai wasatiyah menjadi salah satu agenda yang jadualkan untuk diperkenal dan diperbahaskan. Seminar mengenainya telah diadakan dan tidaklah menghairankan seandainya akan wujud seminar atau simposium susulan berkenaannya. Terbitan berkenaannya akan diwujudkan bagi mengembangkan gagasan wasatiyah yang dipelopori oleh Malaysia ke mata dunia; sebagaimana dahulu yang cuba dilakukan oleh Pak Lah terhadap Islam Hadhari. Malah, warga dunia lebih dahulu diperkenalkan dengan konsep wasatiyah-Najib ini lantaran pelancaran Gerakan Kesederhanaan Global yang dicanang oleh PM Najib ini sebelum konsep tersebut diperbahaskan dalam ‘Seminar Wasatiyah’ Pra-Perhimpunan Agung UMNO. Jelas sekali di sini bahawa paksi pendekatan Islami kini telah berubah daripada pemikiran ‘Hadhari’ kepada ‘Wasatiyah.’

Apa yang pasti ialah hanya menjelang masa sahaja perbahasan mengenai wasatiyah ini digemburkan sama ada daripada perspektif keilmuan, ekonomi, politik, sosial dan pendidikan. Tidak mengejutkan seandainya selepas ini konsep wasatiyah ini popular, akan ada buku dan makalah yang menyokongnya, dan tidak kurang juga ada daripada pihak tertentu yang akan menonjolkan konsep mereka pula berkenaan wasatiyah yang lebih betul dan lebih Islamik. Dana wasatiyah, anugerah wasatiyah dan institut wasatiyah mungkin akan diwujudkan bagi mendukung perihal yang berkaitan dengannya sekali gus menjadikan perbincangan wasatiyah ditonjolkan sebagai satu perbincangan yang penting dan bermanfaat untuk pihak awam. Bagaimanapun, berbeza pula dengan Islam Hadhari yang tidak diketahui nasibnya dan pengakhirnya. Adakah berkubur Islam Hadhari tanpa sebarang nisan? Atau segala yang berkait rapat dengannya hanya akan menjadi ‘perkara atau pendekatan yang pernah wujud’ sebelum ini? Dan Institut Islam Hadhari dan segala program berkaitan Islam Hadhari akan secara tiba-tiba terputus daripada pandangan dan penglibatan orang ramai?

Sama ada berkesan atau tidak, hanya masa dan Tuhan sahaja yang menentukannya. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah sebenarnya penyatuan umat Islam sedunia dalam satu manhaj yang sama dan bertoleransi dalam menerima pendapat yang bertentangan dengan prinsip kita. Sesungguhnya, mencapai satu modus vivendi lebih penting berbanding pertelingkahan untuk menegakkan idea bahawa pandangannya lebih betul daripada yang lain. Apa yang lebih mengejutkan ialah umat Islam yang sering berteriak betapa mereka ialah penganut yang besejahtera, bertoleransi, berlapang dada, berpandangan terbuka dan mungkin kini ‘berwasatiyah,’ namun begitu banyak gejala keretakan dan pertelingkahan sesama sendiri yang berlaku di negara-negara yang didominasi oleh umat Islam itu sendiri. Cukuplah umat Islam bersifat apologikal dan lebih mempraktikkan dasar Islam yang menuntut kesejahteraan itu sendiri.

Sebab akhirnya, jatuh bangun sesebuah tamadun bangsa bukan lantaran citra pemikirannya, bukan kerana gagasan konseptualnya dan bukan kerana kewujudan ulama besarnya, sebaliknya bergantung kepada penghargaan, pengiktirafan dan penghayatan gagasan itu tadi melalui amal yang dilaksanakan. Kerana pendapat ulama mengenai amalan niat ialah ‘separuh atau sepertiga’ daripada Islam[8], namun sekadar menjalankan niat semata-mata, tak sah juga amalannya!

Nota hujung


[1] Dalam konteks penghebahan luas ke media massa; penulis bukan bermaksud PM Najiblah orang pertama yang mencipta istilah ataupun konsep wasatiyah.

[2] Status ungkapan ‘sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan’ diragui sama ada sebuah hadis mahupun bukan kerana tidak kurang tiga pendapat tentang kata-kata tersebut iaitu sebagai sebuah Hadis Nabi SAW riwayat Ahmad, kata-kata Umar Al-Khattab ataupun kata-kata hukama. Bagaimanapun, sememangnya wujud beberapa hadis yang secara tidak langsung menuntut kesederhanaan dalam melakukan ibadah misalnya Imam Nawawi yang didedikasikan sebuah babdaripada Riyadh Salihin. Lihat contohnya Muhyiddin Yahya Syaraf An-Nawawi, Ringkasan Riyadh Salihin susunan Syaikh Yusuf Al-Nabhani terj.Abu Khodijah Abdulrrohim (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2010), 245-261.

[3] Surah Al-Baqarah: 2, ayat 143.

[4] Rujukan penulis ialah Imam Ibn Kathir, Tafsir Ibn Kathir Edisi Inggeris, dimuat turun daripada http://www.quran4u.com/Tafsir%20Ibn%20Kathir/Index.htm., 419.

[5] Ibid., 421.

[6] Hamka, Tafsir Al-Azhar, cet. ke-5, jil.1(Singapura: Pustaka Nasional, 2003), 332.

[7] Salahuddin Abdullah dan Omar Khalid, Tafsir Mubin (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009), 108.

[8] Pendapat sebegini dikemukan dalam mensyarahkan hadis Nabi SAW berkaitan, ‘Setiap amalan itu adalah dengan niat.’ Seandainya idea atau citra itu dibandingkan dengan niat, maka masih tidak sempuran lagi sesebuah idea itu kerana baru sahaja memenuhi sebahagian daripada keperluannya sebaliknya amalan terhadap idea itu juga penting sebagaimana idea itu sendiri. Amalam masih tidak lengkap kalau setakat berniat sahaja (walaupun diberi pahala) begitu juga idea masih tidak lengkap kalau pelaksanaannya tiada!

Thursday, November 24, 2011

Syiah: Satu tinjauan awal

 

Soal penularan kegiatan syiah di dalam masyarakat Islam Malaysia telah bertambah dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini, sudah kedengaran yang kumpulan cenderung Syiah telah membuat permohonan di mahkamah bagi mencabar keabsahan serbuan jabatan agama ke markaz kegiatan mereka[1].

Oleh yang demikian, sudah semestinya hal yang demikian mengundang persoalan tentang semenjak bilakah wujudnya kemasukan aliran akidah tersebut sedangkan umat Islam di Malaysia secara struktur dan amalannya adalah berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie[2].

Kehadiran aliran Syiah di Malaysia tidak boleh sama sekali disamakan dengan kewujudan mazhab akidah tersebut yang mendominasi Iran dan Iraq, dan menjadi mazhab akidah yang minoriti namun bererti di Lubnan dan negara-negara Asia Tengah.

Secara ‘konvensyennya’ aliran pemikiran akidah yang datang ke Tanah Melayu ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah[3].

Pengiktirafan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi boleh dilihat dengan kesemua negeri di Malaysia meletakkan sama ada mazhab Syafie atau Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi bagi umat Islam di peringkat negeri[4].

Oleh sebab itu, bagaimanakah unsur Syiah itu boleh menyelinap masul ke dalam pemikiran sesetengah umat Islam dan kini menjadi satu ancaman untuk mengekalkan kelangsungan dominasi pemikiran sunni?

Untuk tujuan pemahaman konsep Syiah itu sendiri, adalah wajar untuk kita meneliti sejarah awal kewujudan perpecahan pandangan yang menyebabkan wujudnya mazhab-mazhab aliran akidah.

Pertembungan-pertembungan pendapat atau idealisme di kalangan umat Islam pada zaman Nabi SAW tidak dikira sebagai satu pertembungan yang serius kerana ketika itu, perselisihan tersebut lantas diselesaikan terus dengan merujuk Nabi SAW. Misalnya perselisihan sahabat-sahabat berkenaan sembahyang Asar di perkampungan Bani Quraizah yang dirujuk kepada Nabi SAW, dan ditaqrirkan oleh Nabi SAW sama ada puak yang melakukan sembahyang Asar semasa perjalanan tersebut dan puak yang mentak’hirkan sembahyang Asar hingga tiba ke perkampungan tersebut.

Sebarang perselisihan ketika itu dengan mudah diselesaikan kerana umat Islam ketika itu masih mampu ketemu Nabi SAW untuk bertanyakan soal-soal hukum-hakam dan pendapat.

Bagaimanapun, kontra dengan pemikiran bahawa pepecahan itu sudah mula berlaku sewaktu zaman Uthman ra atau setelah kematian Ali kwj, pepecahan dikalangan umat Islam yang sebenarnya telah muncul seawal kewafatan Nabi SAW lagi apabila ada dikalangan para sahabat yang tidak boleh menerima bahawa Nabi SAW sudah tiada di sisi mereka.

Sedangkan Umar Al-Khattab r.a, sahabat akrab Nabi SAW yang terkenal dengan ketegasan, keilmuan dan dikategorikan sebagai ‘yang dijamin syurga;’ pada awalnya tidak dapat menerima sama sekali kewafatan Nabi, sehingga mengancam untuk memenggal kepada sesiapa sahaja yang berkata Nabi SAW telah wafat!

Mujur dengan rahmat Allah melalui kebijaksanaan Abu Bakar As-Siddiq r.a yang dapat mententeramkan keadaan pada ketika itu dengan hikmah membacakan ayat-ayat Al-Quran yang antara lain mempunyai inti pati pertanyaan kepada umat Islam, seandainya Nabi SAW wafat atau terbunuh, maka mereka akan murtad kembali kepada agama lain/asal[5]?

Kemudian, timbul pula perselisihan berkenaan pemakaman Rasulullah SAW, warisan (harta) Nabi dan kemuncak kepada perselisihan tersebut ialah berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu selepas kewafatan Nabi SAW[6].

Isu berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu berlegar antara tuntutan kaum Muhajirin dan Ansar bagi jawatan pemimpin dan perselisihan inilah menjadi bibit-bibit sejarah kewujudan kaum Syiah di dunia ini.

Walaupun terdapat riwayat yang mengatakan bahawa perselisihan di Balai Bani Sa‘idah tersebut sekadar antara kaum Muhajirin dan Ansar sahaja, ada pendapat juga yang menyebut Ali sendiri yang inginkan agar beliau dilantik sebagai khalifah[7].

Ditambah pula dengan keengganan Ali kwj membai‘ah Abu Bakar r.a pada awalnya sehinggalah selepas enam bulan iaitu setelah kematian isterinya iaitu anak Rasulullah SAW Fatimah Az-Zahra[8].

Nuansa ini sudah cukup untuk merasionalkan mengapakah gerakan pembelaan Ali kwj itu wujud; kerana pada pendapat mereka, Sayidina Alilah yang sepatutnya dilantik sebagai khalifah, dan bukannya Abu Bakar.

Ditambah pula dengan hujah puak penyokong Ali kwj yang mendakwa Nabi SAW telah telah berwasiat agar pimpinan patut diturunkan kepada Ali kwj (disebut juga sebagai Hadis Ghadir Khum) sempena tempat yang didakwa Nabi menyampaikan wasiat/hadis tersebut) dan hadis-hadis lain yang menunjukkan kelebihan Ali disisi Rasulullah SAW[9].

Akan tetapi, letusan cetusan ketakakuran puak penyokong Ali kepada kekhalifahan Abu Bakar dan Umar dikatakan hanya berlaku setelah kedua-duanya meninggal dunia setelah pada ketika itu, Sayidina Uthman mati terbunuh dan Muawiyah bin Abu Sufyan berkehendakkan jawatan khalifah.

Maka, puak-puak ini membela terus menerus Sayidina Ali kwj dan Ali diangkat menjadi khalifah dalam suasana ketaktentuan pada ketika itu yang membawa kepada peperangan Siffin, majlis Tahkim dan akhirnya pembunuhan Khalifah Ali Abi Thalib.

Namun, pada peringkat awal, pembelaan terhadap Sayidina Ali kwj hanya bersifat politikal dan bukannya membabitkan aspek kepercayaan dan ibadah[10].

Kewujudah pembela Ali ini adalah sebagai respon kepada puak Khawarij yang satu ketika menyokong dan mengikuti Khalifah Ali namun bertindak sebaliknya apabila Khalifah Ali bersetuju untuk berunding dengan Muawiyah[11].

Kehuru-haraan politik pada ketika itu menunjukkan betapa umat Islam pada ketika itu menghadapi pertembungan ideologi yang membawa kepada pembunuhan demi pembunuhan sahabat r.hum.

Kesemua puak yang terbabit mengaku bahawa merekalah yang sebenar-benarnya paling benar dan hal yang demikian mengundang kepada pepecahan, peperangan, tikam-menikam daripada belakang.

Setelah dinasti Umaiyah diwujudkan, terdapat beberapa pemimpin mereka yang terlalu melampau dalam menghina dan mencaci Ali kwj untuk menaikkan imej Muawiyah dan Uthman Affan r.a yang lantas menyebabkan ketidakpuasan penyokong-penyokong Ali kwj[12].

Perubahan kepimpinan, pengaruh, pepecahan dan tokok tambah dalam kepercayaan bagi mengagungkan Sayidina Ali menyebabkan puak Syiah itu sendiri terbahagi kepada beberapa kumpulan seperti Imamiyah, Zaidiyah, Ismailiyah dan Sabaiyah[13].

Bagaimanapun, kumpulan Imamiyah merupakan kumpulan yang paling dominan dan sehingga kini mendominasi mazhab Syiah itu sendiri. Kumpulan ini mempercayai imam yang dua belas termasuklah Imam Mahdi yang didakwa akan muncul semula bagi menegakkan keadilan Islam.[14]

Jadi, kelangsungan pemikiran Syiah bolehlah dikatakan begitu kuat berbanding mazhab-mazhab akidah yang lain kerana kewujudannya sehingga kini yang menjadi perbezaan yang jelas antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Hal yang demikian boleh dilihat apabila mazhab akidah yang lain yang wujud ketika zaman sahabat dan dinasti Umaiyah, Abbasiyah seperti Muktazilah dan Khawarij sudah lenyap walaupun intisari dan kecenderungan yang menghala ke unsur-unsur kedua-duanya masih wujud.

Misalnya puak-puak yang mudah mengkafirkan orang lain dilihat sebagai cenderung mempunyai pemikiran Khawarij dan mereka yang gemar menggunakan pandangan akal atau logik akal dikatakan sebagai Muktazilah.

Sebaliknya, Syiah kekal membentuk satu kumpulan atau mazhab berbeza dan dominan daripada segi akidah di negara-negara tertentu seperti di Iran atau berjaya menembusi pemikiran dominan Sunni seperti di Malaysia. Wujud cakap-cakap tertentu juga bahawa terdapat pemimpin parti politik Islam di sini yang cenderung kepada aliran Syiah[15].

Pada masa yang sama, pengaruh Syiah tidak boleh dipandang sepi oleh Jabatan-jabatan Agama Islam andai mereka mahu mengekalkan status quo bahawa akidah dan sumber hukum yang dipegang di Malaysia ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie.

Hal ini demikian kerana cabaran Syiah membuka lembaran baru usaha mempertahankan status quo tersebut apabila selama ini, perkelahian yang tampak antara umat Islam sesama umat Islam masih dilingkungi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (seperti Syafie – Wahabi; Syafie – Salafi; Syafie – Hambali; UMNO – PAS daripada segi politik).

Justeru, sudah semestinya dakyah atau gerakan Syiah ini berasal daripada pemikiran Islam seawal zaman kehadiran Islam di Nusantara/Kepulauan Melayu/Tanah Melayu kerana sudah tentulah blueprintnya wujud pada masa tersebut.

Gerakan Syiah bukanlah sesuatu yang baharu dan asing daripada segi kewujudannya; oleh sebab itu, adalah wajar untuk diteliti sama ada pengaruh aliran tersebut hadir seawal kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi bagi memahami kewujudannya dan pengaruhnya dalam pemikiran akidah di Malaysia.

Hal ini sekali gus akan dapat memberikan kepada kita gambaran sebenar sejarah amalan dan ibadah yang telah sebati dengan masyarakat Islam di sini dan memberikan peluang untuk kita memahami perkembangan amalan-amalan tersebut sehingga menyebabkan umat Islam di Malaysia telah menerimanya sebagai amalan harian.

 

Nota hujung


[1] Laporan Bernama 31/10/11 yang antara lain menyebut salah seorang pengikut Syiah memfailkan saman terhadap JAIS dan Utusan berkenaan serbuan yang membawa kepada penangkapannya Disember tahun lepas. Hakim bagaimanapun telah membenarkan pembatalan saman oleh JAIS dan Ketua Pengarahnya pada ketika itu, Dato’ Khusrin Munawi.

[2] Di peringkat Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal ehwal Ugama Islam (dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsan) pada 1996 misalnya telah memutuskan tujuh ketetapan berkaitan Syiah yang antara lain memansukhkan penerimaan amalan Syiah Zaidiyah dan Imamiyah di Malaysia dan menetapkan bahawa agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri perlulah ditetapkan sebagai berasaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah daripada segi Akidah, Syariah dan Akhlak. Contoh lain ialah Keputusan Fatwa bagi Jawatan kuasa Perundingan Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor misalnya mendapati ajaran Syiah bersalahan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sambil menyatakan tiga cara penyebaran Syiah di Malaysia iaitu melalui 1. Lawatan pembesar daripada Iran, 2. Pelajar yang ditawarkan belajar di Iran dan 3. Hadiah buku kepada perpustakaan, umum dan kedai buku terkenal. Untuk rujukan lanjut teks sila lihat http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/syiah-di-malaysia dan http://www.e-fatwa.gov.my/tagging-kod-isu/1996khas.

[3] Sebenarnya, perkara inilah yang menjadi titik persoalan berkenaan kedatangan Islam di Kepulauan Melayu yang kini dibayangi oleh dogma yang mengatakan Islam hadir melalui ajaran Sufi dan bermazhab Syafie. Pun begitu, andai dirujuk kepada sumber primer seperti Sulalatus-Salatin sekalipun, tidak ada tanda-tanda pengarang menyatakan secara terus apakah mazhab yang dibawa oleh pendakwah Islam pada ketika itu semasa penyebaran agama Islam di kepulauan ini. Sama ada pertikaian mazhab akidah pada ketika itu dikira penting atau tidak untuk pengarang-pengarang ‘hikayat’ tersebut belumlah dapat dipastikan. Bagaimanapun, kajian-kaiian terkini sebenarnya membuktikan bahawa aliran kesufian yang mula-mula tiba di Kepulauan Melayu sebenarnya cenderung kepada pemikiran Syiah.

[4] Misalnya Fasal 54 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor yang menetapkan agar qaul yang muktamad hendaklah daripada Mazhab Syafie, namun andai kesukaran atau berlawanan dengan kepentingan awam maka subfasa (2) menetapkan Jawatan kuasa fatwa boleh mengikut qaul daripada Hanafi, Maliki atau Hanbali. Ayat-ayat yang hampir sama juga ditemui di dalam Seksyen 39, Akta 505 Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan dan Seksyen 54 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor. Bagaimanapun, di Perlis Seksyen 7(4) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Ugama Islam menetapkan bahawa Jawatan kuasa Syariah perlulah menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah dalam mengeluarkan fatwa.

[5] Surah Ali-Imran: 3 ayat 144. Bacaan ayat ini seterusnya disambung pula dengan kata-kata Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, ‘Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Dan barang siapa yang menyembah Allah (sebahagian versi disebut ‘Tuhan Muhammad,’ membawa konotasi yang sama juga iaitu Allah), maka sesungguhnya Dia Maha Hidup, tidak sama sekali akan mati.

[6] Lihat Ahmad Muhd Abd. Ghaffar, Serpihan Ummah Jilid (Kuala Lumpur: Darul Nu’man 1999), 2-7.

[7] Lihat Ahmad Shalaby, Sejarah dan Kebudayaan Islam Jilid 1, Cetakan ke-8, (Singapura: Pustaka Nasional, 2000) 258-259. Sungguhpun wujud golongan yang menyokong Ali pada waktu perselisihan perlantikan kepimpinan selepas kewafatan Nabi, golongan ini tetap menerima perlantikan Abu Bakar As-Siddiq dan bekerjasama dengan beliau. Lihat Mahayudin Yahya, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam (KL: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009) 202.

[8] Pendidikan Sirah Darjah Enam, Edisi Jabatan Agama Johor, (Kajang: Synergymate Sdn Bhd, 1998), 45.

[9] Misalnya ‘Aku (Nabi SAW) adalah kota ilmu sedangkan Ali adalah pintunya.’ Hadis ini dan hadis Ghadir Khum merupakan hadis-hadis yang dianggap lemah atau palsu oleh ulama hadis Ahlus Sunnah. Lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 13-14 dan Abdul Razak Muthalib, 40 Hadis Palsu Popular (Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd., 2011) 66-70 .

[10] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 15 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 202. Akan tetapi, S. H. Nasr menyatakan sungguhpun pendapat tersebut benar (i.e. dikatakan sebagai pandangan orientalis), beliau tetap menegaskan bahawa wujud perbezaan keagamaan dan teologi berkenaan jawatan khalifah/imam . Menurut pandangan Sunni, khalifah ialah pemimpin di peringkat syariah bagi sesebuah komuniti sementara Syiah pula cenderung meletakkan khalifah/imam sebagai pewaris fungsi spiritual yang mewarisi ajaran Nabi. Lihat S. H. Nasr, Ideals and Realities of Islam (London: Allen & Unwin, 1966), 148.

[11] Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 198 dan 201.

[12] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 16

[13] Untuk doktrin golongan Syiah yang lebih panjang, boleh lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, dan Ab. Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin, Kemunculan Aliran Akidah dlm. Perbahasan Akidah Islam (KL: Pustaka Salam, 2007), 139-159 dan Nasr, Ideals and Realities of Islam, 147-176. Tulisan S. H. Nasr mempunyai banyak kecenderungan menyertakan pandangan Syiah apabila kebanyakan tulisannya mengenai aspek teologi/akidah cenderung untuk menonjolkan sudut perspektif ‘Mazhab Imam yang 12’ dan Ismailiyah; walaupun tidak dinafikan sama sekali beliau turut mengulas bersama-samanya sisi pandangan Sunni. Justeru, adalah selamat untuk mengatakan beliau cenderung kepada fahaman Syiah meskipun sering ditonjolkan sebagai mengikuti ‘mazhab Sufi.’

[14] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 17 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 204.

[15] Disebabkan cakap-cakap ini bersifat spekulaitif, tiadalah penulis mahu memperincikan siapa yang dimaksudkan kerana bukti yang nyata masih belum dikemukakan atau ‘kesyiahannya’ masih belum ditonjolkan sendiri oleh pemimpin tersebut.

Beg plastik: Keuntungan peruncit atau pemeliharaan alam sekitar?

 

Masih segar dalam ingatan pada ketika itu, tatkala menapak di Tesco Kajang, penulis terlihat iklan yang berlatar hijau dengan lambang kerajaan Selangor tertera bersama-samanya yang membawa maksud Hari Sabtu ialah hari tanpa beg plastik. Iklan dan pengumuman yang sama dapat dilihat di hampir kesemua pusat membeli-belah di 'Negeri Selangor.' Kesemua itu mula berlaku sekitar 2009 yang menunjukkan begitu mendalam perhatian yang dimainkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor untuk memelihara alam sekitar.

Kini, langkah yang sama juga dimainkan oleh kesemua pusat membeli-belah di seluruh negara. Malah, kerajaan pusat (BN) sendiri mengiktiraf usaha pertama Kerajaan Selangor dengan tidak segan silu melaksanakan idea untuk memelihara alam sekitar itu. Begitu besarnya pengaruh langkah daripada Kerajaan Selangor ini sehinggakan kerajaan pusat pun mengikut langkah yang sama. Barangkali perlu diberikan kredit kepada mereka kerana usaha sebegini tidak pernah dilaksanakan sehinggalah PR berjaya memerintah Selangor.

Namun, usaha sebegini jugalah yang mendatangkan pertikaian oleh pengguna kerana bukanlah sepenuhnya 'hari tanpa beg plastik,' melainkan kalau mahukan juga beg plastik, maka pengguna bolehlah membayar dengan harga 10-20 sen sehelai. Kalau seseorang itu membeli-belah dengan banyak, yang memerlukan berbeg-beg plastik, maka perlulah dia membayar sekali beg-beg plastik tersebut sekali. Maknanya, kalau sepuluh helai beg plastik, sudah tentu sekitar dua ringgit! Usaha sebegini dilihat sebagai 'mencabar hak pengguna' kerana pengguna telah dicaj dengan harga yang tidak dibayar selama ini. Sudah tentulah perkara sebegini akan membebankan pengguna dan menyebabkan pengguna membayar lebih.

Hal yang demikian telah dibawa kepada Pak Menteri bertanggung jawab dan sekali lagi, ditegaskan kepada peniaga supaya 'tidak mengambil peluang untuk mengaut keuntungan berganda.' Seolah-olah usaha 'memelihara alam sekitar' ini sebenarnya berbaur 'mengaut keuntungan atas angin' lantaran pengguna perlu membayar lebih hanya untuk mendapatkan beg plastik. Tidak adil kepada pengguna kerana selama ini mereka tidak membayar beg plastik tersebut dalam urusan perbelanjaan harian mereka. Namun, kini mereka dipaksa pula untuk membeli beg plastik yang selama ini diberikan kepada mereka secara percuma.

Benarkah begitu?

Sekali pandang dan dengar, macam betul yang peniaga sebenarnya 'mengeksploitasi dasar pemeliharaan alam sekitar' dengan mengecaj pengguna untuk beg plastik, tetapi adakah dengan usaha sebegini semata-mata maka peniaga boleh menjadi kaya-raya? Penulis secara peribadi sendiri mengamalkan, kalau sudah tiada beg plastik hari Sabtu atau tak mahu membayarnya, tak payah datang membeli-belah pada hari Sabtu! Datanglah pada hari lain kalau nak sangat beg plastik tersebut! Barangkali sebenarnya pengguna tidak didedahkan dengan kos-kos alam sekitar yang perlu ditanggung oleh bumi ini sedangkan bumi ini tidak dibayar walau sesen pun.

Beg plastik ialah produk yang tidak boleh terbiodegradasi; dalam bahasa mudahnya tidak boleh direputkan secara semula jadi. Pertambahan penggunaannya hanya akan menambahkan lambakan beg plastik yang sudah terbuang dan tidak digunakan. Semakin banyak beg plastik, semakin banyak juga tempat yang perlu disediakan untuk 'melupuskannya.' Namun, plastik sebenarnya tidak boleh 'dilupuskan' kerana tidak reput. Oleh sebab itu, beg ini akan mendatangkan masalah pencemaran alam sekitar. Masalah seperti, beg hanyut dalam sumber air, menyebabkan pencemaran air dan kematian organisma air yang menyangkanya sebagai obor-obor (seperti penyu yang dikatakan selalu tersilap makan beg plastik).

Lebih daripada itu, beg plastik sebenarnya berasal daripada petroleum yang sudah tentulah menggunakan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Kita pun telah diajar sedari sekolah rendah berkenaan bahan api fosil yang memerlukan masa jutaan tahun untuk dibentuk dan beg plastik pula merupakan sebahagian daripada hasil produk tersebut. Kalaulah sumber bahan api fosil ini habis (dan dikatakan sudah semestinya akan habis), bagaimanakah kita hendak menghasilkan beg plastik lagi? Sehinggalah saintis boleh menghasilkan kaedah untuk mengitar semula beg plastik kepada sumber bahan api, kita bukan sahaja menghadapi lambakan beg plastik, malah kekurangan sumber untuk membuat beg plastik. Tambahan pula kualiti beg plastik percuma yang kini bertambah teruk kerana tidak mampu tahan lama, beg plastik semakin dibuat dan semakin menambahkan lagi lambakan bahan yang takterderadasi!

Pengguna di Malaysia seolah-olah telah menerima satu statua quo bahawa plastik ialah barang yang percuma dan merupakan 'hak' mereka. Ada orang yang membeli minyak sepeket pun hendakkan plastik. Atau yang beli roti sebuku pun nak plastik. Nasib baiklah secara biasanya, rokok dan kad caj prabayar (top-up) tidak perlukan plastik; kalau tidak, nescaya pengguna hendakkan plastik juga untuk benda-benda sebegitu. Sedangkan beg plastik ialah kos yang perlu ditanggung oleh penjual untuk 'budi baik' (courtesy) kepada pembeli. Terlalu jarang pembeli yang membeli barang dengan membawa semula beg plastik. Oleh sebab itu, sudah menjadi semacam satu corak pemikiran bahawa penjualah yang sepatutnya menyediakan beg plastik dan terpaksa menanggung kos beg plastik. Sebungkus beg plastik saiz sederhana yang bercuping (tempat pegang) mempunyai kira-kira 50 helai dengan kos sekitar RM 2.00. Selama ini, peniagalah yang menanggung harga tersebut.

Sedangkan kos sebeginilah sebenarnya kos tersembunyi yang perlu diserap oleh peniaga. Ratusan atau ribuan ringgit perlu dibayar setiap minggu hanya untuk membeli beg plastik. Berasaskan kepada tahap perbelanjaan dan penggunaan yang semakin tinggi, beg plastik terpaksa disediakan dan dibeli oleh peniaga untuk memenuhi ‘budi baik’ tersebut. Malangnya, keadaan sebegini bukan sahaja akan meningkatkan kos berat sebelah kepada peniaga, malah mengancam alam sekitar dengan penggunaan beg plastik yang tidak berhemah.

Oleh yang demikian, kesatuan pengguna seharusnya mewar-warkan perspektif yang betul tentang beg plastik yang sebenarnya bukanlah semata-mata menambahkan kos harga barang, malah sebenarnya menambahkan pencemaran alam sekitar. Kos yang ditanggung sekarang ialah untuk menjamin generasi akan datang agar dapat hidup dengan lebih sempurna dan tidak menanggung bebanan kecelakaan, kesusahan dan kecemaran yang dilakukan oleh generasi kini. Daripada perspektif nilai keagamaan pula, apa yang kita lakukan pada hari ini ialah cerminan untuk apa yang akan kita peroleh di sana, jadi, usaha sedemikian sebenarnya sedikit sebanyak membantu amalan kita ke arah itu. Janganlah difikirkan sangat tentang duit kalau kita mampu berjimat dalam menggunakan beg plastik dan janganlah berkira sangat dengan duit kalau memang kita perlu menggunakannya.

Kalau tidak mahu membayar seringgit dua, sediakanlah beg serba guna bagi benar-benar menghayati usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Kalau semua pun tak sanggup, janganlah sibuk-sibuk hendak bercinta, berkahwin dan beranak-pinak kerana tidak mahu mengorbankan yang sedikit untuk generasi yang akan datang. Dan kekikiran kita hanya menyebabkan anak cucu kita menderita disebabkan tangan-tangan kita.

Kalau tak nak bayar barang seringgit dua, bawalah raga sendiri!

Tuesday, November 22, 2011

Lemas dalam praemas (pra-emas)


Sekadar bersembang-sembang tentang bola sepak, maklumlah Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam Sukan SEA, yang diibaratkan sebagai 'ibu segala pingat emas.' Sindiran boleh dibuat oleh petugas media dan penyokong Malaysia di Jakarta/Palembang apabila Indonesia gagal memenangi pingat tersebut sedangkan selama ini, media dan rakyat republik itu jugalah yang dok mencanang habis untuk memalukan Malaysia di keramat Gelora Bung Karno. Rakyat di sana seolah-olah  telah merasakan aura pingat tersebut berada di tangan mereka selepas berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir. Segunung harapan diletakkan kepada pemain-pemain mereka yang kelihatan begitu yakin mengharungi kesemua perlawanan sebelum peringkat akhir; kecuali ketika tewas 0-1 di peringkat kumpulan kepada lawan yang sama mengecewakan mereka pada penentuan puncak (kerana ketika itu mereka tidak menurunkan skuad terbaik). Namun, penentuan penalti jelas sekali tidak memihak kepada Indonesia apabila sepakan terakhir kapten pasukan Malaysia bergolek masuk ke dalam gol meskipun telah berjaya ditampan terlebih dahulu oleh penjaga gol mereka.
Penyokong fanatik Indonesia terlalu menyayangi skuad mereka sehinggakan sesiapa sahaja bertemu Malaysia, rela disokong lawan pasukan itu semata-mata asalkan janganlah Malaysia yang memenanginya. Seolah-olah, kalau bukan Indonesialah yang berada di perlawanan akhir tempoh hari tetapi Malaysia layak, akan penuhlah stadium tersebut dengan sorakan untuk menyokong bukan-Malaysia. Begitulah adanya gelagat keramat stadium itu!

Akan tetapi, dengan tewasnya Indonesia semalam, adakah keramat Gelora Bung Karno telah hilang keramatnya?

Sebaliknya, sejarah dan statistik telah membuktikan sebaliknya apabila mitos keramat itu sendiri merupakan mitos yang palsu. Tiadalah keramatnya gelanggang tersebut melainkan dipenuhi dengan episod duka sahaja kepada bola sepak Indonesia.  Gelanggang yang dianggap begitu berkeramat itu sekadar cerita dongeng sahaja. Bukan semata-mata bersandarkan keputusan tersebut sahaja tetapi sebelum ini pun, Indonesia kecewa di stadium yang sama pada perlawanan akhir untuk temasya yang sama. Sebelum ini pada 32 tahun yang lepas, penyokong mereka didiamkan oleh gol Allahyarham Mokhtar Dahari untuk acara akhir bola sepak Sukan SEA. Ketika Indonesia menganjurkan temasya dwitahunan tersebut pada 1997, skuad mereka berjaya memasuki perlawanan akhir hanya untuk dikecewakan oleh Thailand menerusi sepakan penalti juga.

Oleh sebab itu, istilah keramat yang dikaitkan dengan gelanggang terbabit hanyalah sekadar mitos semata-mata. Tiada yang keramatnya stadium itu; malah penuh dengan titik kecewa. Bukannya pemain Indonesia tidak bagus. Tetapi mungkin kerana mereka begitu dimanjai oleh penyokong-penyokong mereka. Kemungkinan besar mereka sebenarnya terasa segala-galanya menyokong mereka. Mungkin itulah juga yang membawa kepada kekalahan skuad mereka di Piala AFF-Suzuki kerana apabila di Malaysia, mereka dikenakan 3-0 oleh pasukan negara. Nampak sangat yang mental pemain Indonesia begitu dibuai manja dengan sokongan besar rakyat mereka sampaikan kalau bermain di luar negara, mereka gagal menyerlah!

Berbanding Malaysia, kemenangan emas memperkuatkan lagi proklamasi bahawa negara ini merupakan kuasa besar bola sepak rantau Asia Tenggara. Mereka berhak diiktiraf begitu. Malah, sebenarnya bukanlah mengejutkan atau mustahil (seperti suasana yang dimainkan oleh media sukan) untuk Malaysia merangkul pingat emas kerana statistik membuktikan skuad negara berada di ‘top 3’ hampir setiap kali (melainkan di Thailand 2007) untuk Sukan SEA selepas pertandingan dijadikan sebagai pertandingan Bawah 23 (U-23) pada 2001. Tetapi, perjalanan skuad muda ini masih jauh. Malah, kalau skuad utama yang menjadi ukuran, kita masih ketinggalan setingkat daripada Thailand.

Mengapa Thailand?

Mudah sahaja alasannya. Hanya pasukan tersebut yang mampu memberikan saingan bererti dalam kelayakan Piala Dunia 2014. Pasukan Asia Tenggara lain yang layak? Kesemuanya seperti sedang menimba ilmu pengetahuan. Indonesia sebenarnya baru sahaja dimalukan oleh Iran 1-4 di Gelora Bung Karno (sekali lagi menidakkan kekeramatan stadium itu!) Singapura turut mengalami nasib yang serupa, tewas 0-4 di tempat sendiri kepada China sedangkan mereka bermain menentang pasukan yang hanya mempunyai sepuluh orang pemain. (Singapura ketinggalan 2-0 sebelum salah seorang pemain China dibuang padang; tetapi selepas itu China  menyumbat dua biji gol lagi!).

Sebab itulah penulis secara peribadi merasakan Thailandlah yang kini paling perkasa di peringkat Asia Tenggara kerana kejayaan mereka untuk setidak-tidaknya menunjukkan saingan dalam kelayakan Piala Dunia (dapatlah juga empat mata!). Walaupun mereka tersingkir awal dalam Piala AFF tahun lepas, mereka megah untuk bangkit memasuki kumpulan elit yang berjaya setidak-tidaknya berada di pusingan kelayakan piala berprestij dunia.

Perkara inilah yang harus dicemburui oleh pemain dan pengurusan pasukan Malaysia. Tetapi tidak mengapa, mereka boleh mara setapak demi setapak dan mampu melakukannya. Mungkin benar kata Datuk Rajagobal, mulakan dengan Piala Asia. Oleh yang demikian, diharapkan agar skuad negara tidaklah hanya gah sebagai pasukan terkuat serantau sahaja tetapi tidak mampu bersaing ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Dan tugas kejurulatihan kini lebih berat lagi kerana mereka perlu menyesuaikan skuad emas Sukan SEA ini dengan pasukan utama negara dan pada masa yang sama juga, membentuk skuad baru yang mampu mencapai kejayaan hatrik untuk temasya akan datang. Kebijaksanaan mereka ditagih dalam menguruskan hal ini. Walaupun kedengaran terlalu bercita-cita besar (ambitious), sebenarnya mereka mampu melakukannya kerana seandainya Korea dan Jepun yang dahulunya setaraf dengan Malaysia dalam acara bola sepak, tetapi kini menjadi gergasi dunia, mengapa tidak Malaysia?

Tahniah kepada skuad U-23 negara kerana tidak lemas dalam ibu segala emas; sebaliknya mampu mendakapnya. Namun, gembira-gembira juga, tugas yang lebih besar menanti anda bagi membuktikan kejayaan itu bukan semata-mata mitos sahaja. Tugasan kelayakan Olimpik misalnya perlulah dilaksanakan sebaik-baiknya. Jadi buktikanlah kejaguhan anda bukan setakat di Nusantara!

Sepuluh minit bersama jurujual

Terkini

Malaysia berjaya mempertahankan emas Sukan SEA di Jakarta/Palembang daripada Indonesia (1-1 aet, penalti 4-3).  Namun, wujud laporan yang menyebut terdapat kematian tatkala penyokong-penyokong berasak-asak hendak masuk ke dalam stadium keramat Gelora Bung Karno. Pastilah berita ini menyedihkan bukan sahaja bagi dunia sukan, malah daripada konteks kemanusiaan sendiri! 


Terbitan asal
'Tengoklah, apabila sukan telah menjadi maksiat!' kata jurujual tersebut kepada kami berdua. Penulis dan pembantu penulis tercengang, kisah apa pula yang beliau sedang ceritakan. Tentang aurat semasa bersukan ka, tentang sukan-sukan tertentu yang ganas ka atau apanya?

'Sukan apa?'

'Ni ha bola sepak,' kata si jurujual selamba. Mungkin kerana pemain bola sepak tidak memakai seluar ke paras lutut agaknya yang diperkatakan.

'Itulah, kalau abang jadi menteri sukan, boleh abang suruh tetapkan pakai seluar panjang untuk main. Barulah betul,' sakat pembantu penulis.

'Tak ada, itu satu hal. Tapi yang ni ha, bila main bola pun boleh cetuskan pergaduhan. Orang nak masuk stadium pun kena pakai Barracuda, penonton dok gaduh pasal bola. Berhimpit-himpit tak tentu pasal. Tak ke maksiat namanya!' nada beliau kini cukup tegas. Daripada sinar matanya kelihatan gaya seolah-olah begitu marah dengan apa yang sedang berlaku.

Dan kita pun boleh kaitkan apa yang beliau cakapkan itu ialah berkenaan perlawanan Malaysia-Indonesia bagi Sukan SEA 2011. Gelagat penonton di sana dikatakan begitu fanatik sehingga melampaui batas-batas dan norma manusia yang normal.

'Tapi itu mungkin sebab fanatikisme. Orang dah minat sangat dengan bola sepak sampai jadi macam itu,' penulis cuba berhujah. Bukan untuk mempertahankan siapa-siapa tapi cuba untuk menyelami hati rakyat di sana yang mungkin terlalu seronok dengan bola sepak (sana digelar sepak bola).

'Hmm fanatik apanya. Dah sama macam orang Eropah, dah sama macam orang Amerika Selatan, dah macam orang kafir,' aduh, kali ini beliau cuma memasukkan unsur-unsur kafir-muslim pula dalam perbincangan bola sepak.

'Engkau orang tengoklah, perangai orang fanatik di sana (Eropah dan Amerika Selatan), memang macam itu. Begaduh pasal bola, bertumbuk pasal bola. Tapi, bukannya hari-hari bertemu pun macam gitu. Tapi sini, sukan menyatukan rakyat? Mana ada? Pepecahan lagi adalah!' lagak ustaznya kembali kelihatan daripadanya. Lalu beliau menerangkan betapa fanatiknya penyokong bola sepak di Eropah dan Amerika Latin (tak perlulah disebut negara apa... ) sehinggakan di luar stadium bergaduh sesama sendiri, ada yang kena tikam, lagi teruk, sampai stadium runtuh!

'Semua ini menunjukkan yang mereka ini (yang fanatik) macam dah tak ada agama. Tak ada adab. Macam dah tak tau apa-apa lagi mana baik mana buruk,' kini beliau kedengaran seperti ahli falsafah akhlak.

'Kalau yang kat (dekat) sini, selalu lawan bola (sepak) mula pukul berapa? Ada ingat nak Maghrib ke Isyak?' soal beliau lagi yang kini kembali menjadi ahli agama.

'Kita kena ingat, cara begini ialah cara Yahudi nak jauhkan orang Islam daripada agama; sampaikan sesama sendiri pun boleh bergaduh cuma kerana bola (sepak)!' terangnya lagi, sambil menjelaskan berapa banyak tajaan-tajaan berkaitan bola sepak berasal daripada Yahudi dan unsur yang haram seperti arak dan judi. Lalu ditegaskan lagi yang Piala AFF itu dahulunya nama ‘Piala Tiger,’ dipersoal balik kepada kami berdua, ‘Siapa yang taja kalau tak kilang arak?’

Sambungnya pula, 'Jadi, bila (apabila) orang bergaduh pasal bola sepak sahaja, menunjukkan sukan sudah jadi pemecah belah, bukannya penyatu macam yang selalu oorang cakap. Malaysia yang tengok bola tu ramai yang Islam, Indonesia, 95 peratus orang Islam, bayangkanlah dosa dan maksiat yang dia orang sudah buat!' katanya lagi mengakhiri perbualan kami. Sebelum beliau berlalu pergi, sengaja penulis bertanya kepadanya agak-agaknya siapa yang menang emas untuk Sukan SEA kali ini.

'Siapa menang sama saja!'




Sunday, November 20, 2011

Seruan Tahrir bergema lagi?



Kita membincangkan isu antarabangsa sekali lagi yang satu ketika dahulu (dalam tahun ini juga) pernah membabitkan sekali pelajar-pelajar kita di sana. Peristiwa ini dikenali sebagai Revolusi Arab menentang kediktatoran. Setakat ini, Tunisia ialah satu-satunya negara yang berjaya mengadakan pilihan raya umum dalam membentuk sebuah kerajaan baru. Proses tersebut masih berterusan dan diharapkan mereka dapat membentuk sebuah kerajaan demokrasi idaman mereka dalam masa yang terdekat. Tetapi, melihat kepada Mesir, lain pula ceritanya. Pembanjiran rakyat di kawasan yang dikatakan sebagai ‘Dataran Tahrir’ kembali berlaku dan tidak dapat dipastikan sampai bilakah keadaan sebegini berterusan.

Ungkapan ‘meruntuhkan senang, membina semula lain pula ceritanya’ ialah satu ungkapan yang begitu cocok dalam keadaan sebegini. Dalam sebuah negara yang mempunyai bangsa yang sama (Bangsa Arab) tetapi kepelbagaian puak yang berbeza-beza dan mempunyai sedikit sahaja kepelbagaian agama (majoriti besarnya Islam), masih sukar untuk membentuk sebuah kerajaan selepas penggulingan kuasa. Bayangkan pula negara yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia. Data awal Banci 2010 menunjukkan betapa Malaysia mempunyai pecahan Islam-Bukan Islam yang hanya sekitar 60-40 peratus berbanding komposisi di negara-negara Arab. Oleh yang demikian, andai faktor agama semata-mata yang menentukan keamanan, maka pastilah negara kita tidak akan menjadi aman!

Kini, bergantung sepenuhnya kepada rakyat Mesir sendiri untuk menentukan masa depan mereka kerana sehingga Hosni Mubarak terguling sekali pun, rakyat mereka masih menghadapi masalah politik kerana apa yang didakwa mereka sebagai intervensi ketenteraan dalam politik. Hal ini bukanlah asing dalam sesebuah negara kerana pernah dibuktikan daripada beberapa peristiwa yang pernah berlaku misalnya di Thailand, Myanmar (yang sehingga kini pun mempunyai pengaruh Junta) dan Indonesia (era Suharto; bukan secara 'rasmi' tetapi pengaruh tentera tetap jelas dalam pemerintahannya).

Dalam banyak keadaan, pemerintahan pascarevolusi sememangnya tidak stabil. Sejarah telah membuktikannya dengan jelas misalnya Revolusi Perancis apabila wujud 'Era Keganasan' yang berusia setahun namun menelan kematian puluhan ribu rakyat yang menjadi 'musuh revolusi.' Hala tuju kerajaan yang dibentuk oleh perevolusi mestilah jelas dengan pemimpin utama di kalangan perevolusi itu benar-benar mempunyai kalibernya tersendiri. Perkara sebeginilah yang perlu dipertonjolkan oleh perevolusi. Akan tetapi, bukanlah mudah untuk menonjolkan pemimpin tersebut kerana kadang-kala harapkan pagar, pagar makan padi!

Kebangkitan Tahrir menjadi salah satu inspirasi kepada pelbagai gerakan kebangkitan demokrasi rakyat di Malaysia, yang merasakan sistem demokrasi di sini dimanipulasi oleh kerajaan pemerintah. Tetapi, pada masa yang sama juga kebangkitan ini membuktikan bukanlah semudah yang disangka untuk menerbitkan sebuah 'negara baru.' Merujuk kepada kejatuhan Saddam bagi memperkenalkan demokrasi membuktikan bukan mudah untuk melaksanakan 'demokrasi' sebagaimana yang diidamkan. Akan tetapi, terlalu sedikit yang mengambil iktibar melaluinya.

Walaupun berbeza dengan Iraq dan Libya yang mendapat bantuan ketenteraan bagi 'memperkenalkan' demokrasi, sudah ada cakap-cakap yang usaha 'demokrasi' tersebut kesemuanya di dalangi Barat bagi memperkenalkan sistem demokrasi ala anarki bagi memenuhi kepentingan Barat. Sama ada kisah tersebuy betul ataupun tidak masih belum dapat dipastikan. Namun, kita pun tahu dalam setiap revolusi, perevolusi sebenarnya sangat mendambakan sokongan luar bagi mengiktitaf mereka seterusnya menjalinkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan mereka. Oleh sebab itu, boleh sahaja Barat yang tidak berperanan secara ketenteraan di negara-negara tertentu yang mengalami proses rampasan kuasa kekal memainkan peranan semasa dan selepas berlakunya kejatuhan tersebut. Lebih-lebih lagi, seandainya sumber-sumber yang wujud dalam sesebuah negara sangat bergantung kepada pihak luar untuk memproses dan memasarkannya. Dalam banyak keadaan, kerajaan tersebut masih terpaksa bergantung kepada pihak luar lebih-lebih lagi sekiranya ketiadaan teknologi dan kepakaran untuk menguruskannya.

Oleh yang demikian, apa yang lebih penting untuk kita insafi ialah betapa mudahnya untuk meruntuhkan sesebuah negara dengan keras namun memakan masa, tenaga dan barangkali nyawa untuk mendirikan semula sebuah negara yang baru dan merdeka. Tentangan daripada penyokong pimpinan asal tentulah wujud lebih-lebih lagi kejatuhan itu dibuat secara tergesa-gesa dan dibantu oleh orang luar yang berkepentingan. Justeru, tatkala ada dikalangan kita yang cukup teruja mengambil semangat daripada kejatuhan diktator-diktator Arab, seharusnya juga kita menyedari bahawa harga keamanan itu lebih mahal daripada kuasa politik. Melainkan kita bersedia menghadapi ketaktentuan berpanjangan, kerugian jutaan ringgit dan kemungkinan perang saudara, usaha menjatuhkan kerajaan bukanlah semudah dan seseronok yang disangka. Dari hal itu, bersediakah kita melihat keadaan-keadaan sedemikian semata-mata mahu mempertahankan yang kita lebih benar?

Kebenaran tidak sama sekali pernah berat sebelah!

Artikel berkaitan

Saturday, November 19, 2011

Keganasan dan pemikiran ganas


Cerita ini bermula seawal Februari lalu tetapi sudah akhir tahun barulah dibongkarkan dan dijadikan sensitif pula. Akhirnya Jason Neo, salah seorang ahli sayap Pemuda PAP terpaksa meletak jawatan (dalam maksud kata keluar parti) akibat tindakan yang dilakukannya sebelum masuk parti lagi. Beliau menghina agama Islam dengan meletakkan gambar sebuah bas taman asuhan kanak-kanak (Tadika) Islam yang dipenuhi dengan kanak-kanak. Gambar tersebut sahaja tiadalah masalahnya melainkan tulisan di bawah gambar tersebut yang seolah-olah dengan sinis menanyakan 'bas dipenuhi pelatih pengganas muda?' Beliau memuat naik gambar tersebut di dalam Facebooknya.

Penulis pun secara peribadi tidak mempunyai maklumat yang tepat bagaimana cerita pada berbulan-bulan yang lepas sebegini hanya sekarang terbongkar. Mungkin tidak siapa yang terperasan gambar sedemikian tetapi apabila salah seorang daripada sukarelawan yang memihak kepada parti pembangkang di sana mengetahuinya, terus disebarkan kepada orang ramai terutamanya kepada MP Melayu daripada PAP sendiri. Reaksi yang tegang pastilah dapat dirasai apabila kata-kata sinis daripada gambar tersebut jelas sekali meletakkan Islam bersamaan dengan keganasan (terrorism).

 Bukanlah kali pertama pemuka-pemuka PAP di Singapura menzahirkan ucapan yang memperkecil dan menghina orang Melayu Islam di sana. Pengasas Republik tersebut (tarafnya Bapa Kemerdekaan) LKY telah berkali-kali membuat sindiran sinis sehingga terkeluarnya frasa ' yang Islam perlu kurangka keIslaman mereka.' (Tuan Guru Sahibus Samahah Al-'Alamah Datuk Nik Aziz Nik Mat menyokong kata-kata LKY ini!) Hal sebegini menunjukkan betapa pemikiran pimpinan mereka telah terlebih dahulu meletakkan isu berkaitan Islam/Melayu sebagai masalah! Mereka telah cop awal-awal lagi Islam sebagai masalah mereka.

Golongan sebegini telah pun mengamalkan keganasan pemikiran apabila awal-awal lagi sudah melabel apa sahaja yang berkaitan Islam/Melayu ialah keganasan. Kopiah, songkok, tudung, purdah - kesemuanya pakaian yang dikaitkan dengan Islam menyebabkannya dilabel pakaian 'pengganas' atau mengancam demokrasi. Tetapi, mereka sememangnya selektif. Kalau wanita di biara yang menutup kepala, tidak pula dikatakan sebagai mengancam demokrasi.

Dan gambar yang baru dibongkarkan ini merupakan satu manifestasi diri yang sudah tersedia mempunyai pemikiran bahawa Islam ialah keganasan. Sama ada gambar tersebut dimuat naik sebelum jadi ahli parti ataupun tidak (Neo dikatakan menjadi ahli sayap Pemuda PAP pada bulan Jun 2011) bukanlah isu sebab yang jelasnya penyertaannya dalam PAP tidak mengubah pemikiran berkaitan Islam-terroris. Kalaulah benar ada perubahan tersebut, sudah tentu gambar sedemikian akan dipadamkan awal-awal lagi.

Mungkin beliau lupa. Mungkin beliau tak ingat tentang gambar yang dimuat naik itu. Tetapi gravitinya tetap sama. Kalaulah betul beliau tak ingat, maka perkara ini menjadi pengajaran bahawa kita perlulah mengambil sikap tanggung jawab atas apa yang kita luahkan dalam alam siber. Sekarang, internet bukan sahaja sebagai tempat mendapatkan maklumat, malah tempat meluah perasaan, tempat membuat fitnah dan tempat menayang gambar/video!

Untuk berlaku adil, kita tidak boleh menyimpulkan PAP anti-Islam, tetapi ternyata kewujudan pimpinan dikalangan mereka yang cenderung mempunyai pemikiran 'Islam sebagai masalah' perlu diambil perhatian. Episod yang terbaru ini membuktikan dogma keganasan = Islam masih tidak terhakis walau siapa pun pemimpin dunia. Dogma sebegini hadir apabila nama-nama Arab bagi sesuatu pertubuhan/negara sebagai 'paksi kejahatan.' Tatkala berlaku pembunuhan beramai-ramai di Norway (Oslo) tempoh hari, begitu cepat sekali media Barat menuduh pelakunya sebagai orang Islam atau yang 'berkaitan Islam.' Namun, apabila terbukti dengan jelas bahawa pelakunya pelampau Kristian atau lebih tepat anti-Islam, media tidak menggunakan istilah 'pelampau' lagi. Malah disifatkan pula pelaku itu menghadapi masalah mental.

Sudah terang lagi bersuluh, andai seorang penganut Islam melakukan pembunuhan beramai-ramai maka kelakuan itu ialah 'keganasan daripada Islam.' Tetapi kalau yang melakukannya bukan-Islam, atau ekstrimis agama lain - jadilah 'masalah mental sebagai punca sebenar.'

Bagi memenuhi ta'akulan mantik, Jason Neo bolehlah dikatakan mempunyai masalah mental, kerana dengan sewenang-wenangnya meluahkan pemikiran yang ganas dalam Facebook milik beliau. 

Artikel berkaitan

Friday, November 18, 2011

Dadah sebagai musuh no. 1 (Ye ke....?)


Menonton Al-Kuliyyah petang Jumaat pada (18/11/11) seorang penonton bertanya kepada ustazah jemputan mengenai cara-cara untuk mengelakkan gejala penagihan dadah yang sedang menular dalam negara ini. Ustaz pengacara mengulas soalan tersebut dengan mengatakannya lebih kurang dadah ialah musuh pertama negara dengan pusat serentinya, penagih tegarnya dan lain-lain. Jadi, apakah sebenarnya cara untuk menyelesaikan permasalahan sebegini sedangkan pahat perundangan di Malaysia begitu tegas sekali?
Dalam undang-undang negara, seksyen 39(b), Akta Dadah Berbahaya menetapkan hukuman gantung sehingga mati kepada pesalah pengedar dadah pada kadar berat dadah tertentu. Hal ini bermaksud, jenayah dadah merupakan jenayah yang cukup berat di sisi undang-undang negara kita sampaikan boleh membawa kepada hukuman mati. Tetapi, paparan berita menceritakan sebaliknya. Keldai dadah berlumba-lumba untuk masuk ke Malaysia melalui cara bukan calang-calang, naik kapal terbang pula!

Macam-macam cara mereka laksanakan untuk melepasi kawalan kastam negara daripada masuk dalam tempat rahsia dalam beg, simpan dalam alat sulit, sorok dalam tempat-tempat yang boleh disorok dan lain-lain. Kalau di luar negara, ada yang sanggup jadikannya dalam plastik berbutir-butir kemudian ditelan masuk dalam perut. Itu yang berlaku apabila butiran itu pecah dalam perut, si mangsa mati kerana keracunan dadah. Kalau dalam cerita James Bond yang di tayangkan dalam TV2 tempoh hari, heroin 'dicairkan' dalam petrol (cara yang efektif tetapi mahal).

Namun, dengan pelbagai cara jugalah dadah ini diseludup masuk ke dalam negara dan begitu ramai 'keldai' yang sanggup mengambil risiko untuk mengedarnya. Mengapakah keadaan sebegini berlaku? Adakah mereka tidak sayang nyawa? Atau sebenarnya dalam sembilan, hanya seorang yang tertangkap sebab mungkin salah langkah? Sangat menghairankan andai hukuman seserius itu diterjemahkan dengan hampir setiap hari kastam atau polis berjaya menahan suspek pengedar dadah. Adakah semudah itu undang-undang kita diperlekehkan?

Nampaknya, nyawa pun boleh dijadikan galang-ganti kerana hendakkan wang. Jualan dadah yang sangat-sangat lumayan menjadikannya satu komoditi dagangan di pasaran gelap. Sindiket pengedaran bergerak dengan begitu cekap menyebabkan usaha membanterasnya sering menemui jalan buntu. Bukan senang hendak tangkap seorang pengedar dadah dan selepas ditangkap, bukan semudah yang disangka juga untuk menyabitkannya dengan kesalahan 'mengedar dadah.' Tak kena gaya, pertuduhan boleh direndahkan gravitinya kepada 'menjual dadah' atau 'memiliki dadah' atau lebih rendah lagi 'menagih dadah.' Yang ketagih ini, bagi sesetengah pihak tiadalah dinamakan 'jenayah' melainkan 'penyakit.' Ambiguiti sebeginilah yang menyebabkan seolah-olah usaha membanteras jenayah dadah lebih sukar daripada mencari pembunuh upahan kerana sudah kena tahan dengan dadah pun, masih belum boleh dikatakan sebagai pengedar dadah!

Kita tinggalkan perkara-perkara teknikal dalam bidang perundangan ini diselesaikan dan dijawab oleh yang pakar.

Tetapi, bukanlah perlu kepada pakar untuk menerangkan situasi ancaman dadah di negara kita. Hari-hari pun kita membaca mengenai pesalah ditangkap dengan dadah seolah-olah perkara sedemikian telah menjadi biasa. Artis bergelumang dengan dadah pun bukanlah sesuatu yang baru; akan terkeluarlah jawapan, kami pun manusia biasa juga, selalu melakukan kesilapan. Memang benar, bagi yang tak menghisap dadah sukar hendak memahami 'apa masalahnya sampai kena hisap dadah?' Tetapi bagi yang mengedar dadah, orang biasa pun boleh faham kenapa nak edar dadah. Semuanya kerana fulus, wang ringgit, nukud. Money isn't everything but everything need money - ungkapan yang biasa dipersembahkan bagi menunjukkan betapa pentingnya unsur wang.

Apabila wang menjadi subjek yang hendak dijadikan ganti kepada nyawa, sudah semestinya momokan materialisme sudah semakin jelas bagi masyarakat kita dan sanggup melakukan apa sahaja demi wang. Lanjutan kepada materialisme ialah pascamaterialisme, iaitu sanggup melakukan apa sahaja demi kepuasan peribadi. Oleh yang demikian, haruslah mereka yang berkepentingan (stakeholders) duduk berbincang sambil membincangkan hala tuju dalam mencegah pengedaran dadah Hal ini dikatakan demikian kerana berdasarkan keadaan semasa, tiada sebab 'keldai' dadah ini perlu takut dengan momokan 'gantung sampai mati' sebab ternyata, momokan ini seumpama cerita hantu yang kerap dijadikan plot cerita di wayang; sama ada cerita hantu seram atau hantu komedi. Kalau jalan ceritanya macam Jangan Pandang Belakang, nescaya seram sejuk mangsanya tetapi kalau jalan ceritanya macam Jangan Pandang Belakang Congkak, nescaya mangsanya ketawa gembira.

Malang sekali, bukan semua cerita seram itu betul-betul seram!