Monday, April 8, 2013

Masanya sudah tiba

Dalam masa 60 hari selepas pembubaran Parlimen Malaysia, rakyat Malaysia akan kembali membuat pilihan untuk wakil rakyat yang mereka inginkan. Pertarungan kali ini ialah antara pihak BN dan pihak PR; sebagaimana PRU-PRU yang lepas dijangka sengit dan memberi impak yang berpanjangan. Mungkin impaknya sampai ke PRU ke-14.

Sejak Mac 2008, Negara ini tidak pernah menghadapi putaran 'politik' sehebat jangka masa lima (5) tahun. Daripada pilihan raya kecil, penggulingan kuasa di Perak dan pilihan raya Sarawak. Cuma, dek kerana 'kelajuan' isu-isu yang dikemukakan secara politikal, maka amat sukar agaknya untuk penulis sendiri mengulasnya. Begitulah hebatnya politik di Malaysia.

Politik Malaysia bukan sahaja dirasai oleh orang Malaysia, Pak Arab pun turut serta melihat gelagat peserta BERSIH yang membuat demonstrasi di negara tersebut. Tak cukup dengan itu, Australia juga turut diheret agar menjadi 'penentu' democracy-meter untuk memastikan pihak Pakatan menang; sekali gus membuktikan politik di Malaysia 'bersih.' Kita kena ingat, selagi Pakatan Rakyat tidak menang, maka pilihan raya Malaysia tidak akan bersih. Pakatan tidak pernah mempertikaikan kemenangan mereka di mana-mana sahaja, namun yang dipertikaikan ialah 'kekotoran' BN dalam memancing undi.

Sebagai penduduk selatan Tanah air, rencah politik juga nampaknya tidak kurang hebatnya. Dengan veteran DAP Lim Kit Siang dijangka bertanding di Gelang Patah, sementara MB Johor (Ghani Othman) juga dikatakan calon untuk mengekalkan kerusi BN di sana. Sudah semestinya hal ini akan menjadi satu ultimatum hidup-mati kerjaya politik masing-masing. Sekiranya cakap-cakap ini benar, maka Johor sudah semestinya akan mempunyai Menteri Besar baru selepas PRU-13. Tidak kurang hebatnya ialah kerusi di parlimen yang menjadi tempat kediaman penulis iaitu Pulai. Khabar angin yang sangat kencang ialah betapa  orang kuat PAS, Salahudin Ayub telah ditendang keluar daripada Kelantan untuk kembali ke negeri kelahirannya; maka beliau mencubalah nasib di Pulai. Memang galaklah gamaknya beliau ke sini! Lawannya ialah orang kuat 'Plaza Angsana,' Nur Jazlan, anak kepada Allahyarham Tok Mat.

Apapun yang berlaku, pastinya tempoh sebulan dua ini menjadi sangat kritikal untuk bukan sahaja calon-calon bertanding, malah pemerhati politik, orang berkentingan dan rakyat secara amnya. Apa yang penting ialah kesemua yang boleh mengundi untuk menunaikan tanggung jawab mereka.

Salam pilihan raya!

No comments: