Monday, April 22, 2013

Pembebasan calon

 

Fakta berita pada hari Ahad yang lepas melaporkan betapa ramainya calon Bebas di dalam PRU ke-13 ini. Mereka ialah calon-calon yang menyertai calon tetapi tidak mengaitkan diri dengan sebarang parti politik. Mudah katanya, mereka tidak menggunakan sebarang lambang parti yang bertanding atau tidak mempunyai sebarang watikah/pengesahan yang mereka mewakili sebarang parti yang berdaftar; meskipun mereka merupakan ahli kepada parti berdaftar.

Ada juga keadaan yang sebaliknya yang berlaku, mereka ‘tidak’ berdaftar sebagai ahli yang sah dalam mana-mana parti politik, namun mendapat kepercayaan parti politik tertentu untuk bertanding atas tiket parti tersebut. Mudah kata, mereka mengaku yang mereka ialah calon Bebas, tapi dalam pilihan raya mereka menggunakan lambang sesebuah parti dan mendapat pengesahan/watikah bahawa mereka bertanding mewakili parti itu.

Kedua-dua jenis calon ini ialah calon yang bebas, akan tetapi apa yang akan membezakan golongan pertama dan golongan kedua ialah lambang yang akn digunakan pada kertas undi nanti. Calon Bebas jenis pertama akan menggunakan lambang-lambang yang disediakan oleh SPR seperti kunci (diisytiharkan sebagai lambang paling popular), buku, pensel bas, cermin mana dan sebagainya. Calon bebas jenis kedua pula dibenarkan untuk menggunakan lambang parti politik yang sah dan berdaftar seperti dacing, bulan, roket dan sebagainya.

Contoh calon Bebas pertama memang ramai; pendek kata hampir kesemua calon Bebas yang bertanding PRU 13 ialah jenis yang pertama ini. Mereka ialah dikalangan orang yang berdikari dalam pilihan raya dan jentera politik pun tidaklah terlalu formal. Ada dikalangan mereka yang popular dalam sesebuah masyarakat tetapi enggan memilih atau tidak dipilih menjadi ahli sebarang parti politik. Misalnya Tok Mun yang sememangnya bebas daripada sebarang kaitan politik sama ada BN mahu pun Pakatan.

Pada masa yang sama, ada dikalangan golongan pertama ini ialah mereka yang merasakan parti yang mereka sertai tidak menghargai diri mereka atau telah mengkhianati mereka dengan meletakkan calon lain dan bukannya diri mereka di tempat yang hendak ditandingi. Mereka inilah yang dikatakan sebagai 'merajuk' atau tak puas hati kepada parti, atau telah dipecat daripada parti sebelum PRU atau pun merasakan dirinya cukup popular untuk menang walaupun tidak menggunakan lambang parti yang disertainya. Calon Bebas sebegini memang biasa wujud dalam pilihan raya. Malah disebabkan tindakan partilah sebenarnya yang menyebabkan mereka tergamak untuk menjadi calon Bebas. Natijah biasa tapi tak semestinya, ahli parti yang menjadi calon Bebas akan dipecat daripada parti. Contoh popular dan berprofil tinggi pada PRU kali ini ialah Kamilia Ibrahim iaitu (bekas) Naib Ketua Wanita UMNO.

Selain daripada itu, kita akan dapati kewujudan golongan calon Bebas yang kedua iaitu calon 'bebas' tetapi menggunakan tiket parti lain untuk bertanding. Orang yang paling popular untuk mengeksesaiskan cara ini ialah Ibrahim Ali. Misalnya pada 2008, beliau bertanding sebagai calon Bebas, namun mendapat lampu hijau daripada PAS untuk menggunakan logo PAS. Sungguh pun beliau menang, selepas berlaku kejadian-kejadian tertentu dalam politik tanah air, beliau menubuhkan sebuah NGO yang bernama PERKASA dan kini bertindak 'menyerang' kembali PAS atas sebab-sebab tertentu.

Untuk PRU 13 ini, beliau berharap sangat agar BN memberikannya tiket untuk bertanding mempertahankan kerusinya, namun hasrat tersebut tidak tercapai apabila BN turut menamakan protegenya, Che Johan sebagai calon BN di Pasir Mas. Bermulalah drama baru pada Hari Penamaan Calon apabila Che Johan tidak menyerahkan borang pencalonan mengakibatkan pertandingan satu lawan satu antara Ibrahim Ali dan anak Tuan Guru Sohibul Al-Samahah Dato' Al-Allamah Nik Aziz Nik Mat iaitu Nik Abduh.

Satu lagi contoh calon bebas kategori dua ini ialah Zulkifli Nordin yang kini dikatakan 'mesra BN.' Beliau akan menentang penyandang kerusi di Shah Alam iaitu Khalid Samad. Umum dapat melihat perubahan mula berlaku setelah Zulkifli dipecat daripada PKR dan mula menghalakan kritikannya kepada Pakatan setelah sekian lama lantang menghentam BN. Apabila beliau dijemput menyertai PERKASA, beliau mengisytiharkan dirinya menyokong BN malah menyeru berhabis-habisan untuk 'menghancurkan' Pakatan dalam PRU 13. Sedar tak sedar, dah jadi calon 'mesra BN' di Shah Alam.

Apa yang cuba penulis gambarkan di sini ialah betapa calon Bebas sebenarnya bukanlah 'bebas' dalam erti kata pendirian politik mereka dan arah aliran politik mereka. Mereka yang benar-benar bebas tidak ramai; hendak cari mereka yang tidak ada kena-mengena langsung dengan sebarang parti politik, mempunyai idealisme perjuangan sendiri tanpa sebarang saduran parti dan popular di kawasan tempatan tanpa sebarang 'endorsment' terdahulu daripada sebarang parti politik sangatlah nadir. Malah ada sahaja dikalangan calon Bebas yang tersangkut kaitan politik, setidak-tidaknya pernah menjadi AJK Cawangan. Jadi, golongan sebeginilah sebenarnya yang mencorak kumpulan calon Bebas dalam PRU kali ini.

Ramai yang bertanding Bebas kerana mereka tidak dijadikan calon oleh parti dalam PRU kali ini. Juga, ada yang bertindak menjadi Bebas hanya kerana tidak mendapat kerusi yang diinginkan sedangkan parti setidak-tidaknya telah memperuntukkan kerusi kepadanya (Baca: Kamilia). Oleh hal yang demikian, nampaklah motif sebenar mereka bertanding Bebas adalah kerana personal vendetta terhadap parti yang mereka sertai. Lebih pelik dan aneh lagi, mentang-mentang seseorang itu boleh bertanding satu kerusi parlimen dan satu kerusi DUN, ada juga orang yang bertindak mencalonkan diri sebagai ahli parti di satu kerusi dan sebagai calon Bebas di kerusi yang lagi satu. Perkara inilah yang menjadikan PRU kali ini ada sedikit humor kerana sehingga sebegitu sekali parti tersebut diperbodohkan!

Pencalonan ahli parti sebagai wakil Bebas turut memberikan tamparan yang hebat untuk sesebuah parti. Misalnya Harian Metro hari ini melaporkan seramai 27 orang ahli (61 orang kalau menurut warta berita utama malam) BN yang bertindak untuk menjadi calon Bebas pada PRU ke-13 ini dengan majoritinya ialah daripada komponen UMNO. Hal ini menunjukkan bahawa 'kesetiaan ahli' terhadap parti yang dicanang selama ini oleh BN/UMNO tidaklah sehebat mana. Mereka boleh mendakwa bahawa perkara itu banyak berlaku dalam Pakatan, tetapi ada ahli UMNO/BN sendiri ada yang sanggup belot dan tidak akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti. Sama ada hala tuju si Bebas itu nanti menghala ke BN mahu pun Pakatan; sudah cerita lain. Apa yang penting, andai mereka menang, maka mereka berjaya membuktikan bahawa sungguh pun BN mengisytiharkan bahawa calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan ialah ‘calon boleh menang,’ ternyata yang diketengahkan tak boleh menang!

Sudah tentulah calon-calon Bebas sebegini mampu mengganggu-gugat kelancaran parti untuk meraih undi semasa kempen; malah mungkin mempunyai usaha untuk mensabotaj parti yang bertanding. Tambah parah (untuk parti) seandainya calon Bebas ini ialah orang yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat tempatan, tahu selok-belok masalah rakyat dan popular! Mereka mampu mengganggu gugat sebarang usaha parti yang bertanding untuk memenangi kerusi tersebut. Ingat, kes kemenangan calon Bebas pernah berlaku di Sarawak walaupun satu tempat itu ditandingi oleh pihak BN dan Pakatan. Atau setidak-tidaknya, calon desperado sebegini akan dapat memecahkan undi parti yang bertanding di kawasan itu.

Oleh sebab itulah kita jangan sama sekali memperkecilkan calon Bebas kerana sejarah membuktikan mereka memang mampu menang dalam sebarang pertandingan. Lebih-lebih lagi seandainya calon Bebas terbabit memang mempunyai kekuatan tersendiri dan popular di mata masyarakat ditambah dengan jentera parti politik yang pincang. Memang ada betulnya kata PM Najib sebelum ini iaitu 'calon boleh menang' kerana kadang-kala, kriteria yang digunakan oleh pengundi memanglah calon yang mampu menyuarakan masalah mereka ke pihak yang berkuasa dan mampu menyelesaikan masalah mereka. Nampaknya, PM Najib kini sudah mengubah nadanya dengan menyerlahkan 'yang penting parti yang mesti menang,' sebagai seolah-olah akur, ada juga calon yang dilantik daripada 'saringan yang sangat ketat' itu mungkin tak boleh menang.

Hal inilah yang menjadi bukti bahawa terdapat banyak perkara yang diambil kira semasa pemilih memangkah undi. Dan sebab-sebab tersebut tiada siapa pun yang mampu memberikan teori yang tepat melainkan yang Maha Mengetahui hanyalah Tuhan yang Maha Esa.

 

Pasca penulisan: Dikhabarkan akan ada calon Bebas mahu pun ahli parti politik yang bertindak untuk menarik diri pada PRU ke-13 kali ini sama ada untuk menghormati pendirian parti dan/atau pakatan yang dibina atas nama penyatuan dalam pilihan raya. Justeru, kita mungkin masih boleh melihat kejutan sepanjang tempoh kempen PRU ini. Walau bagaimanapun, calon yang menarik diri tetap tidak akan dibatalkan penyertaannya secara rasmi dalam PRU kali ini dan nama mereka tetap tertera pada kertas pengundian kelak. Hal ini dikatakan demikian kerana perubahan yang telah dibuat terhadap peraturan-peraturan pilihan raya oleh SPR.

Kita mesti ingat, perubahan peraturan seperti tiadanya tempoh bantahan dan tiada tempoh penarikan diri (tiga hari sebelum ini) merupakan tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh pihak tertentu kononnya untuk memastikan pilihan raya lebih adil, saksama dan tanpa sebarang peras ugut kepada calon yang bertanding. Justeru, permintaan tersebut dikabulkan dan mana tempat yang dikatakan berpenjuru-berpenjuru akan tetap kekal dengan penjuru masing-masing walaupun calon dikatakan menarik diri. Hak pengundi untuk memangkah calon yang menarik diri tetap ‘terpelihara.’ Bagaimana penarikan diri itu membawa kesan kepada ragam pemilihan pengundi di satu-satu kawasan hanya akan dapat dipastikan selepas PRU nanti.

No comments: