Tuesday, April 9, 2013

Di sana menanti, di sini menunggu

 

'Kita mesti berpijak di bumi yang nyata,' sapa kenalan penulis yang menjadi pembekal di kedai penulis.

'Eh, apa benda yang nak dipijak tu?' tanya penulis kehairanan.

'Ini hah, manifesto BN. BR1M (disebut 'brim’) sampai RM1200 macam mana nak bagi?! Ini semua nak beli undi,' jelas pembekal tersebut. Sambungnya lagi dengan nada yang sangat sinis, 'yang satu lagi ni hah, sediakan perumahan untuk orang muda mencari kerja. Kalau kerja pun belum dapat lagi, macam mana dia nak bayar rumah tu?'

'Itu tak taulah macam mana dia orang nak buat. Biasalah manifesto, mestilah dengar yang sedap-sedap sahaja,' jawab penulis dengan selamba. Tak mahulah penulis hendak mengulas perkara itu lagi.

Setelah Pakatan Rakyat (PR) melancarkan manifesto mereka, Barisan Nasional (BN) turut melakukan perkara yang sama pada Sabtu (7/4/13) yang lepas. Pelbagai reaksi awal sama ada menyokong mahupun mengkritik manifesto kedua-dua belah pihak.

Penulis perlu jujur dengan apa yang disediakan kedua-dua belah pihak. Manifesto PR lebih lazat didengar, sedap dibaca dan lebih 'cantik, tertarik dan menarik.' Ialah, siapa yang tak mahu segala serba-serbi yang lebih murah, PTPTN tak payah bayar, masuk universiti percuma, minyak petrol dan kereta yang lebih murah...

Sebaliknya manifesto BN lebih kepada kesinambungan program-program Najib Razak sebelum ini. Janji yang ditaburkan tidaklah bersifat bombastik dan apa yang dituturkan oleh PM Najib pada hari Sabtu yang lalu tidak banyak yang benar-benar baru. Banyak konsep dan perkara yang disebut olehnya pernah disebutnya sebelum ini dalam majlis-majlis melibatkan beliau.

Akan tetapi, kalau manifestolah satu-satunya faktor kepada pemilihan parti pemerintah oleh rakyat Malaysia, tentulah sudah lama Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Justeru apakah yang mendorong rakyat Malaysia memilih?

Apa yang boleh penulis sarankan ialah politik Malaysia, sebagaimana negara lain mempunyai kompleksiti dan keunikan yang tersendiri. Orang Australia pun belum tentu faham politik Malaysia! Oleh hal yang demikian, usahlah terlalu taksub dengan pandangan zahir sahaja dengan tidak mengambil kira konteks sebenar sesebuah negara, mahupun dalam cakupan yang lebih mikro lagi, sesebuah negeri di Malaysia.

Misalnya, penulis mula belajar tentang politik tanah air sekitar tingkatan dua (zaman reformasi '99). Pada ketika itu salah seorang rakan penulis yang tinggal di asrama; sering pulang ke kampungnya di Rengit. Apabila ditanya tentang 'zahir' politik di kampungnya, beliau menjawab dengan nada dan raut wajah yang yakin bahawa kawasannya akan menjadi milik PAS. Daripada segi ceramahnya, benderanya, jumpa pengundinya... Semua PAS yang mendahuluinya.

Akan tetapi, apabila keputusan diumumkan, BN tetap menyapu bersih kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebagaimana pilihan raya umum (PRU) sebelumnya (1995).

Dari hal itu, ramalan pemerhati tidak boleh dijadikan sebagai sesuatu yang pasti; apatah lagi apa sahaja boleh berlaku pada saat akhir. Banyak faktor yang mempengaruhi pengundi, dicampur lagi sabotaj-sabotaj parti yang berlaku baik di pihak BN mahupun PR. Sebab itu, selagi boleh kempen, berkempen sahajalah sampai masa mengundi....

p/s: Ops Harimau Belang???

No comments: