Akhirnya, SPR pada Rabu lepas (10/4/13) mengeluarkan tarikh-tarikh penting sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) nanti. Melihat kepada tarikh-tarikh yang diberikan, penulis merasakan 'alangkah lamanya lagi PRU ini, sampai ke bulan depan baru boleh settle'. Masakan tidak, akhbar menggembar-gemburkan bahawa tempoh berkempen untuk PRU 13 merupakan yang keempat paling lama; dan kita masih belum lagi berada di dalam tempoh tersebut!
Sebetulnya, melihat kepada keadaan politik negara, bolehlah dikatakan hari-hari orang berkempen. Bermula 9 Mac 2008 hinggalah ke sekarang ini, parti politik telah mula berkempen untuk PRU akan datang. Mereka mengadakan majlis besar-besaran, karnival, rapat umum, demonstrasi jalanan, memanipulasikan pentas ceramah, menggunakan medium internet dan pelbagai cara lagi untuk berkempen. Kempen politik berjalan saban hari dan saban waktu tanpa ada sebarang 'sekatan' oleh SPR.
Misalnya, surau berhampiran kediaman penulis, beria-ialah penceramah fiqah mingguan itu berkata, 'Saya bagi contoh kat tuan-tuan, macam kes Anwar tu. Kalau tak ada bukti jangan kata dia buat benda tu. Jangan cakap apa-apa pasal kes tu kalau tak tau. Nanti boleh dikenakan hukuman Allah, qazaf. Qazaf ni tuduh orang berlaku zina tanpa bukti, 80 sebatan!' Penulis pun hairan juga macam manalah dalam topik 'sunat abaad' dan 'sunat haiat' yang sedang dibincangkan, boleh terkeluar isu kes panas macam tu. Kemudian, beliau cuba menjelaskan kata-katanya dengan, 'Tuan-tuan, saya bukan cakap pasal politik. Saya bukan nak hentam kerajaan. Saya bukannya sokong parti pembangkang. Tapi, soal hukum Allah, maka saya bertanggung pjawab untuk terangkan.' Begitulah jawapan beliau!
Punyalah banyak kes lain yang beliau boleh reka, atau sirah Nabi dan para sahabat yang boleh dijadikan teladan, kes Anwar jugalah yang disebutnya. Lepas tu cakap pasal 'hukum Allah.' Jelaslah, walaupun beliau tidaklah berkempen secara langsung bagi menegakkan pemikiran Islamik PKR/PAS, tetapi beliau sadurkan isu tersebut dalam perbahasan fiqah sembahyang. Begitulah adanya!
Selain itu, rakyat Malaysia menjadi saksi betapa ramai wakil rakyat yang meninggal dunia semasa tempoh lima tahun penggal ke-12 yang lalu. Hal ini menunjukkan betapa tekanan yang begitu hebat dirasai oleh parti politik; sudah tentulah ajal maut di tangan Yang Maha Kuasa.
Atas keberadaan kita di dalam situasi sebegitu, bolehlah dikatakan 'tempoh berkempen' yang ditetapkan oleh SPR adalah sekadar memenuhi syarat berbanding memang perlu diadakan. Realitinya, parti politik diberi tempoh masa bertahun-tahun untuk berkempen memancing undi dan hal yang demikian tidak boleh dinafikan sama sekali. Sama ada dalam blog atau pojok akhbar mahupun di pentas ceramah dan kuliah agama, hatta ustaz-ustaz popular pun berkempen untuk parti-parti mereka. Kita selalu mendengar betapa ramai artis yang kini menjadi pendakwah politik, dan kini terpilih sebagai calon pula.
Maka, bukankah itu sudah membuktikan bahawa kempen politik tak kira daripada pihak Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) bukanlah hanya tertumpu kepada 'tempoh berkempen' SPR. Malah, sepanjang masa pun mereka berkempen! Jadi kenapa masih tak cukup masa berkempen?
Akhirnya, orang yang mengundi yang menentukan sama ada mereka hendak memangkah yang mana. Ada yang memang sedari dulu lagi memang tetap dengan pendirian untuk memilih yang mana, dan ada juga yang bagai lalang ditiup angin. Jadi, kempen yang dilancarkan pastinya untuk memujuk lalang untuk condong ke arah mereka.
Soalnya kini, mampukah hembusan bayu mempengaruhi arah lentokan lalang?
No comments:
Post a Comment