Saturday, April 27, 2013

Hudud: Antara politik dan polemik

 

Isu hudud bukanlah satu perkara yang baharu dalam arena politik negara. Malah, boleh dikatakan Malaysia ialah antara satu dua (atau satu-satunya) negara yang menjadikan hudud sebagai isu politik. Hal ini dikatakan demikian lantaran sebuah parti politik bernamakan Islam yang menjadikannya modal politik untuk memikat undi rakyat tempatan. 'Ulama' mereka begitu lantang bersuara menuduh parti pemerintah sebagai 'menolak Islam' kerana tidak melaksanakan hukuman hudud.[1] Manakala pengikut-pengikut bawahannya berterusan menyokong kata-kata ulama jenis ini dan akan berhujah putar alam macam mana pun bagi tuntutan perlaksanaan hudud di Malaysia dan 'mengkafirkan' parti pemerintah kerana tidak melaksanakan hudud.

Hakikatnya, apakah hudud[2] itu?

Kalau ditanya kepada mereka yang terlibat, atau kepada orang ramai, mampukah mereka menjawab adakah jenayah membunuh orang dikategorikan sebagai hudud[3]? Atau ditanya bagaimanakah pengedar dadah dihukum dalam konteks 'hukuman Allah?' Juga lebih kontroversi lagi, benarkah seseorang yang dituduh berlaku zina boleh dilepaskan begitu sahaja daripada tuduhan tersebut hanya kerana tidak ada 'empat orang saksi?'

Ialah, untuk persoalan terakhir pun, Tuan Guru Sohibul Al-Fadhilah Al-Ustaz Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengeluarkan kenyataan isu berkait 'video zina' merupakan isu yang kecil dan hudud ialah 0.0001 peratus daripada Islam; maka bagaimanakah kita hendak meletakkan tanggung jawab menegakkan hudud di tangan mereka?

Begitu juga kenyataan Tuan Guru Sohibul Al-Samahah Al-Allamah Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mengatakan bahawa 'hudud untuk Islam sahaja dan ia (hudud) akan diluluskan oleh badan kehakiman, bukannya orang politik' sekali gus akan mencetuskan persoalan, mengapakah parti politik (baca: PAS) yang memperjuangkan isu ini? Bukankah sepatutnya badan kehakiman yang didesak untuk melaksanakannya, dan bukannya bertindak untuk menuduh parti politik lawannya yang 'menolak hudud' maka 'menolak Isle?'

Kenyataan sedemikian seolah-olah menunjukkan ketidakfahaman Pok Nik dalam sistem pentadbiran tanah air yang terbahagi kepada eksekutif, kehakiman dan perundangan. Sementelah yang dinamakan bahagian perundangan itulah yang merangka undang-undang negara ini sama ada Islamik atau pun tidak. Mereka yang terlibat itulah yang dikatakan Wakil Rakyat majoritinya dipilih melalui 'pilihan raya'; dan dalam erti kata lain, AHLI POLITIK!

Satu lagi perkara yang mengelirukan ialah betapa 'hudud untuk orang Islam sahaja' yang memberikan konotasi double standard kerana kalau ada dua orang yang sabit secara hudud hukum mencuri, seorang muslim dan seorang bukan muslim; cuma yang muslim sahaja yang akan dipotong tangannya?[4] Kita nak tanya juga apakah nas daripada Al-Quran, Hadis atau kata-kata ulama berkenaan syarat sah hudud ialah ‘orang Islam’ sebagaimana isu macam sembahyang, puasa dan haji. Adakah sistem undang-undang zaman Rasulullah di Madinah yang sudah semestinya mengetegahkan isu hudud; dibuat dengan mengatakan orang Islam, kena segini, orang bukan Islam, segini pula?

Persoalan sebegini bukannya untuk mempermainkan hudud, sebaliknya ulama yang berteriak tentang hudud yang perlu menjawabnya kerana isu ini serius. Kita hendak mengetengahkan undang-undang terbaik di dunia ini di sisi Allah Taala, tapi kita hanya laksanakan kepada umat Islam sahaja. Sedangkan setiap perlaksanaan cara Islam merupakan satu langkah menunjukkan hikmah kepada umat bukan Islam lain untuk menerima Islam; maka ke mana hikmahnya?

Kalaulah kita bertanya orang ramai tentang hudud, sudah semestinya mereka mengatakan itu ialah 'hukum Allah,' tapi kalau kita tanya apakah yang disabitkan di bawah hudud, mungkin kita akan mendengar jawapan seperti mencuri, berzina, tuduh zina sahaja; barangkali yang dipopularkan oleh sebab kepentingan politik. Namun mungkin ada dikalangan peneriak hudud yang tidak tahu bahawa membuat kekacauan, mengganggu ketenteraman awam seperti berdemonstrasi juga boleh termasuk di bawah kesalahan hudud![5]

Jadi, kepada ahli politik yang suka sangat membangkitkan isu hudud, tanyalah diri anda sendiri sudahkah diterangkan sepenuh-penuhnya kepada orang ramai tentang hudud? Sudahkah rakyat diberikan maklumat yang betul dan benar berlandaskan Al-Quran, Sunnah dan atsar sahabat berkenaan perlaksanaan hudud secara jelas dan tuntas? Fahamkah mereka hudud itu tertakluk untuk siapa? Jangan berteriak ‘nak hudud, nak hudud,’ bila tanya prosedur perlaksanaan, 'itu kerja hakimlah,' 'undang-undang ni mahkamah syariah yang buatlah..' atau 'tak buat tolak Isle' la...

'Eh, syarat laksana hudud bukannya rakyat kena faham dulu! Kalau itu syaratnya, Nabi SAW tentu tak laksana hudud masa tu. Tapi Nabi SAW laksanakan jugak!' mungkin ada yang berhujah sedemikian.

Nabi SAW laksanakan juga kerana baginda diberi petunjuk Allah untuk melaksanakannya. Apa yang dilaksanakan oleh Nabi SAW dalam hal hudud ini sentiasa betul. Sahabat ada petunjuk dalam melaksanakannya dan boleh bertanya terus kepada Nabi SAW seandainya ada sebarang persoalan. Tambahan pula, sebaik sahaja Nabi SAW diangkat menjadi Nabi, bukannya Nabi SAW terus mengeksesais ‘hudud, hudud’ kepada para sahabat dan musyrikin Makkah.

Kita, generasi seribu tahun selepas zaman Nabi, sudah tentu ada banyak syubhat[6] itu dan ini. Sedangkan tafsiran Al-Quran dan Hadis pun pelbagai ragamnya. Sudah tentu kita perlu kepada nas-nas yang kuat dan yang paling hampir kepada apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan para sahabat r.ahum.

Tambahan pula, kalau diambil daripada aspek berzina, dicatatkan bahawa tiada satu pun perlaksanaan sabitan hukum tersebut semasa zaman Nabi SAW yang membabitkan empat saksi melainkan hanya melalui pengakuan sahaja, dan Sayidina Umar r.a pernah menolak perlaksanaan hudud ke atas seorang pencuri yang kemiskinan dan kelaparan[7]. Hal ini membuktikan suasana masyarakat pada zaman Madinah berasaskan keimanan yang tinggi untuk mengakui kesalahan dan menerima hukuman dan apabila datangnya syubhat, perlaksanaan hudud terus ditangguhkan. Isu-isu sebegini perlu ditakrif dan diselesaikan terlebih dahulu untuk perlaksanaan yang benar-benar mengikut sunnah.[8]

Khabarnya, kesemua usaha ke arah perlaksanaan kanun jenayah Islam sedang cuba dilaksanakan oleh pihak kerajaan sendiri dan sudah tentu usaha sebegini sedikit sebanyak memakan masa. Beberapa tindakan sedang dijalankan untuk meningkatkan taraf jabatan kehakiman syariah dan undang-undang Islam dalam usaha mengadaptasi undang-undang Islam. Segala usaha sebegini secara tidak langsung akan mengubah sama sekali sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia, melibatkan perubahan kuasa kerajaan negeri, dan mungkin pindaan Perlembagaan Persekutuan. Usaha sebegini memerlukan masa yang bertahap dan bukannya sebelum ayam berkokok esok hudud akan tertegak!

Ingat, perlaksanaan hudud ialah hak Allah, sudah tentu mereka yang berkepentingan memerlukan ilmu agar perlaksanaannya benar-benar menurut apa yang Allah firmankan melalui contoh yang dibawakan oleh Rasulullah SAW. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila kita melaksanakan hudud, kita sedang mengeksesaiskan diri kita benar-benar sebagai wakil kepada Allah (khalifah Allah) memberi hukuman kepada insan lain atas nama-Nya. Sudah tentu pelaksana mestilah benar-benar cukup cermat meneliti segala nas yang ada untuk melaksanakan hukuman.

Kesimpulannya, hudud ialah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah melalui dalil Al-Quran dan Hadis dengan tujuan menghapuskan maksiat dan menjaga hak-hak-Nya. Perlaksanaannya ialah sebaik-baik perlaksanaan dalam hukum jenayah Islam dan hikmahnya antara lain untuk menjaga maqasid syar'iyyah daripada agama, akal, tubuh badan, harta dan keturunan. Bagaimana pun, seperti kesemua syariat yang dibawa oleh Nabi SAW, terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu untuk menutup segala syubhat yang mungkin timbul. Kajian perlu dibuat untuk perlaksanaannya bagi menyelesaikan segala masalah berbangkit daripada syubhat-syubhat yang mungkin timbul. Kerja untuk mengkanunkan hudud bukannya satu kerja yang mudah, macam kata-kata ulama politik, 'sebelum ayam berkokok esok pagi, hudud akan ditegakkan.' Justeru, ahli politik daripada ulama-ulama yang dihormati oleh pengikut-pengikutnya dan masyarkat hendaklah berhemah dalam membahaskan hudud kerana isu hudud bukannya isu murahan.

Janganlah dengan menggunakan isu hudud, mereka mengapi-apikan masyarakat sehingga ada dikalangan pengikut yang mengkafirkan orang lain kononnya tak terima hudud. Kemudian, mereka sendiri mempekecilkan hudud (ingat, 0.0001 peratus) apabila tidak mampu melaksanakannya ketika mereka berkuasa di satu-satu negeri yang berjaya ditawan dalam pilihan raya; 1001 alasan diberikan pula. Usaha penyatuan umat Islam tak nak dibuat, sebaliknya asyik menghukum sembahyang polan tak dapat pahala, ibadat polan tak diterima, masjid polan dibina tak ikhlas, undi polan balasannya neraka atau orang Islam lain tak Islam sebab menggunakan perlembagaan kafir.

Kalau dengan fiil macam itu, nak laksana hudud macam mana???[9]

Nota hujung


[1] Anehnya, apabila sebuah parti politik yang bersekutu dengan mereka (baca: DAP) sentiasa mempunyai pandangan yang konsisten iaitu menolak sama sekali perlaksanaan hudud dan tidak langsung mempertimbangkan perlaksanaannya seandainya pakatan mereka memenangi pilihan raya. Parti itu juga secara konsisten menolak Malaysia sebagai negara Islam dan tidak ada langsung tanda-tanda bahawa mereka akan menerima dasar negara Islam yang dibawa oleh parti Islam tadi. Sebaliknya, parti Islam pula (baca: PAS) menganggap parti sekutunya itu sebagai ‘semakin memahami dan menerima Islam dan hudud,’ walaupun kerap kali ditempelak oleh Pengerusi parti sekutu mereka; sehingga pengerusi tersebut dikatakan ‘tidak faham mengapa presiden parti Islam itu tak faham-faham perjuangan pakatan yang mereka sertai.’

[2] Secara harfiyah berasal daripada perkataan had iaitu pembatas atau pemisah. Secara istilahnya, hudud ialah hukuman yang telah ditetapkan kadarnya oleh syarak dan tidak boleh ditambah atau dikurangkan atas nama hudud demi menjaga hak Allah.

[3] Jenayah membunuh termasuk dalam satu lagi kategori hukum jenayah Islam yang dipanggil qisas i.e. hukuman dengan berbalas hukum seperti bunuh dibalas bunuh dan tangan dibalas tangan. Dan sebarang jenayah yang tidak boleh disabitkan dalam kedua-dua kategori iaitu hudud dan qisas sama ada disebabkan ketiadaan nas yang nyata dalam Al-Quran dan Sunnah tentang hukumannya (misalnya rasuah) atau pun jenayah yang tidak cukup syarat untuk sabitan hudud dan qisas (misalnya rogol tiada empat orang saksi, tetapi ada pembuktian lain yang boleh menguatkan dakwaan) akan tergolong dalam kategori takzir atas ijtihad pemerintah. Oleh hal yang demikian, secara teknikalnya, hukuman kaedah ‘takzir’ sudah pun dilaksanakan di Malaysia (Kanun Keseksaan/Penal Code); cuma untuk pengukuhan ‘Kanun Jenayah Islam’ memang tidak boleh tidak, perlu diterangkumkan dengan perkara hudud dan qisas bersama-sama.

[4] Ungkapan di akaun twitter Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin dibalas oleh Ustazah Abby Abadi yang menunjukkan ketidakfahaman ustazah tersebut dalam konteks/graviti soalan yang diutarakan. Ustazah Abby sepertinya ulama PAS mengiakan bahawa hanya umat Islam sahaja yang dikenakan hukuman hudud sedangkan terdapat hadis sahih yang mensabitkan hukuman hudud terhadap bukan Islam, contohnya konteks zina. Sila rujuk dengan perbahasan-perbahasan tertentu daripada ulama Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah jid 5 terj. Nor Hasanuddin & Aishah Saipuddin (Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication, 2009), 85-90. Selain itu, dalam rujukan yang sama, penulis kitab menghuraikan pada klausa ‘sifat-sifat yang mesti ada pada pencuri’ dengan kenyataan, ‘Agama Islam TIDAK menjadi syarat bagi seorang pencuri untuk dikenakan hukuman hudud.’ Lihad Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah jld. 5, 208. Pada hemat penulis, persoalan sebegini sudah tentu perlu dibincang dan diselesaikan terlebih dahulu dan hal ini menunjukkan hudud tidak boleh dijadikan retorika pilihan raya semata-mata.

[5] Perkara ini juga menjadi satu perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang istilahnya dan yang lebih kompleks lagi, berkaitan syarat-syaratnya. Sayyid Sabiq meletakkan tajuknya sebagai ‘Hirabah’ sementara ada kitab fiqah lain yang mempunyai tajuk Al-Bugha yang mempunyai ciri-ciri yang sama dengan pemberontakan.

[6] Untuk perbincangan tentang perkara-perkara bersangkut-paut tentang perkara ini boleh rujuk Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah, jid 5, 7-13

[7] Perbincangan untuk konteks ini boleh dilihat dalam Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah, jid 5, 212.

[8] Juga persoalan-persoalan lain seperti sama ada orang bukan Islam yang meminum arak sama ada dikenakan hudud atau pun tidak. Nyata di sini mengkanunkan hudud, melaksanakannya dan interpretasi kepada kes-kesnya kelak perlu mengalami proses yang panjang. Dalam penulisan makalah ini juga, penulis bergantung kepada satu sahaja sumber fiqh yang mampu penulis sebagai orang awam capai. Sudah semestinya perlaksanaan hudud tidak boleh bergantung kepada satu kitab fiqh sahaja dan memerlukan penglibatan ulama fiqh, ulama tafsir, ulama tafsir, pakar perundangan, hakim, penguatkuasa, pandangan akademik dan ramai lagi orang-orang yang bertanggung jawab dan berkepentingan.

[9] Penulisan makalah ini ialah sebagai respon kepada tindakan parti politik tertentu yang kerap memainkan isu hudud saban hari dan saban kali pilihan raya. Anehnya, parti tersebut satu ketika dahulu memperjuangkan penubuhan negara Islam kerana mengatakan Malaysia bukan negara Islam tulen dengan pelbagai perbahasannya yang sering diceramahkan kepada para pengikutnya. Tiba-tiba, dalam satu muktamar tahunan, Presidennya pula mengatakan tiada istilah Negara Islam dalam Al-Quran melainkan negara berkebajikan! Presiden yang sama dikatakan pernah menandatangani perjanjian untuk tidak membangkitkan lagi hudud dalam pakatan partinya dengan parti-parti sekular yang lain dan setidak-tidaknya memang telah menandatangani Buku Jingga (buku asas manifesto pakatan parti-parti tersebut) yang tidak langsung mengungkapkan isu perlaksanaan hudud. Soalnya, sekiranya beliau dan partinya ikhlas untuk memperjuangkan hudud, mengapakah mereka tidak memperjuangkan isu tersebut dalam Buku Jingga terlebih dahulu?

No comments: