Saturday, April 13, 2013

Dua puluh minit selepas Jumaat

 

‘Abang, tengok ni, ini boleh turunkan harga petrol, hapuskan tol, subsidi rakyat meningkat apa bagai. Bagus ni! Ini semua dah umumkan tentera, polis bersedia untuk peralihan kuasa ni,’ penulis menegur seorang kenalan sambil menunjukkannya kepada akhbar Wadah Selangor Kini (bukan karangan dan tiada kena-mengena dengan penulis) yang diedarkan selepas Jumaat di masjid berdekatan.

‘Hah, betullah tu!’ jawabnya sambil menunjuk-nunjuk kepada gambar Anwar Ibrahim bersama orang-orang kuatnya termasuk salah seorang bekas Panglima Tentera Darat di muka depan akhbar itu. ‘Dia orang ini,’ sambungnya lagi, ‘semua dah tahu rahsia dia ni,’ sambil menunjukkan pula gambar PM Najib yang kebetulan berada nun di penjuru muka depan akhbar tersebut.

‘Hui, rahsia apa tu?’ tanya penulis kehairanan.

‘Rahsia besar la. Dia ni (Najib) pembunuh. Dia terlibat dalam kes Altantuya tu. Memang bunuh orang, kaitan dengan kapal selam. Dia makan duit rakyat. Tengok apa benda dia buat membazir aja, kroni dia balun habis. Kerajaan dia korup,’ terangnya dengan bersungguh-sungguh.

‘Eh, ada buktinya tu bang.’

‘Mestilah ada. Memang semua bukti ada kat dia orang ni. Dia ni,’ sambil menunjukkan jari telunjuknya ke arah muka Najib, ‘memang takut dengan dia orang ni,’ sambil merujuk kepada gambar besar di muka pertama akhbar tersebut dengan tumpuannya kepada muka Anwar Ibrahim. Sambungnya lagi, ‘Semua rahsia dia orang ni pegang.’

‘Tapi, dia ni pun ada kes jugak kan...,’ tanya penulis merujuk kepada kes liwat Anwar sebelum ini.

‘Eh, mana ada bukti tu? Tengok, kan dia terlepas!’ tegas kenalan penulis. Kemudian dia terus menerangkan betapa bersihnya orang bernama Anwar Ibrahim. Lihatlah, tiada siapa pun berani dakwa beliau di mahkamah. Kalau ada pun, mahkamah lepaskan kerana ‘tiada bukti.’ Hal sebegitulah menurut kenalan penulis sebagai bukti Anwar Ibrahim sebagai seorang yang cukup bersih tanpa sebarang salah dan silap.

‘Dia ni memang bijak orangnya (merujuk kepada Anwar). Idea-idea dia memang bernas bukannya macam dia ni (Najib). Orang semua hormat dan takut kepada dia. Otak dia memang hebat. Ucapan dia memang bernas. Mana orang lain macam dia ni!’ begitulah hebatnya Anwar di mata kenalan penulis itu. Kemudian kenalan penulis menjelaskan pula tentang betapa Anwar ialah satu-satunya pemimpin di Malaysia yang dijemput menjadi pensyarah di Amerika Syarikat.

‘Mana ada lagi orang yang macam itu? Itu menunjukkan dia begitu dihormati di mata dunia!’ kenalan penulis berucap kekaguman. Sambungnya lagi, ‘lagi pun, dia dah saman Mahathir dah RM 100 juta. Banyak tu duit dia,’ kenalan penulis meneruskan hujahnya. Sambil itu kenalan penulis menguatkan lagi hujahnya bahawa Anwar tak pernah makan duit rakyat. Semua duitnya adalah hasil daripada ‘simpanannya sendiri’ ketika beliau ‘bekerja.’ Separuh disimpan untuk kegunaan rakyat. Begitu mulianya hati insan bernama Anwar Ibrahim (dan mungkin bersama rakan-rakannya) sampaikan duit simpanannya pun dibahagi dua demi kepentingan rakyat. Itulah yang akan dilakukan oleh regim Pakatan kelak; mengutamakan rakyat. Pimpinan Pakatan tak pernah merasa berjoli sakan dengan duit mereka kerana mereka ingat kepada rakyat. Sebaliknya, UMNO terus menerus menzalimi rakyat dengan memakan duit rakyat. Begitulah hujah kenalan penulis; seorang yang tegar menyokong Pakatan Rakyat.

‘Macam itu boleh menanglah nanti?’ tanya penulis untuk mengorek pendapatnya tentang PRU ke 13.

‘Boleh, memang dia boleh menang nanti. Alah, bertanding itu, menang kalah adat pertandingan. Dia boleh menang punya...’ katanya dengan nada diplomatik pula. Lalu kenalan penulis menerangkan seandainya Pakatan kalah pun tidak membawa apa-apa makna. Mereka telah mencuba. Semua itu merupakan ujian daripada Allah Taala untuk mereka; sama ada mereka sanggup bersabar atau tidak untuk merampas Putrajaya. Kalau menang pun ujian juga katanya. Namun kalau kalah, mereka perlu bersabar sebab Allah sedang menguji mereka.

Tapi, kalau Najib yang kalah, bala akan menimpa Najib. Kesemua bukti telah ada di tangan Pakatan Rakyat. Polis (sambil merujuk bekas orang kuat polis yang kini menjadi penyokong PKR) akan menyumbatkan Najib ke dalam penjara dek kerana pembunuhan, makan duit rakyat, korupsi dan pelbagai dosa lagi.

‘Itu yang Najib takut tu!’

‘Lagilah sekarang ini bergabung dengan PAS,’ penulis cuba memancing.

‘PAS itu memperjuangkan Islam. Parti Allah. Kita kena percaya dengan perjuangan dia orang sebab kesemuanya ibadah belaka,’ kini kenalan penulis menerangkan kelebihan PAS pula.

‘Habis tu, Nik Aziz kata orang UMNO sembahyang tak dapat pahala tu macam mana pula? Mana dia tahu ?’ penulis bertanya lagi dek kerana isu semasa yang sedang berlegar di dada akhbar.

‘Macam mana nak diterima Allah, nak dapat pahala? Dia sembahyang,’ beliau menjawab dengan nada persis ustaz pula, ‘bayangkan orang sembahyang,’ sambil menunjukkan isyarat mengangkat takbir dan meneruskan penerangannya, ‘niat sembahyang, baca Fatihah apa semua, rukuk, sujud menghadap Allah. Lepas itu kutuk Islam!’ katanya dengan bersemangat. Ada point tertentu yang dia cuba sampaikan.

‘Eh, apa benda yang dia (UMNO) kutuk Islam pun? Saya dok baca paper hari-hari, tak ada pun dia kutuk Islam,’ penulis berhujah kehairanan.

‘Ialah, lepas dia sembahyang dia hina Nabi (SAW) pula,’ tegas kenalan penulis, membuatkan penulis semakin hairan. Apakebenda yang dia cakap ni?

‘Lepas sembahyang, boleh ke dia kata Nabi ni hah,’ sambil menunjukkan janggutnya nan sejemput itu. Dia meneruskan hujahnya, ‘Dia cakap yang Nabi (SAW) tak potong janggut sebab dulu tak ada pencukur!’

Penulis melopong. Adakah disebabkan isu itu maka seluruh ahli UMNO tak dapat pahala? Tambahan pula isu itu merupakan isu yang agak lama dan mungkin tidak ada kaitan dengan UMNO masa kini. Tapi, macam biasalah, seorang mulut punya pasal satu UMNO kena terima akibatnya agaknya. Mahathir kena jawab.

‘Oh, sebab tu...’ penulis bersuara sambil terus bertanya bertanya, ‘Eh, habis tu kenapa si ustaz pondok yang bangunan dia kena sita tu nak menentang Nik Aziz pula, siap nak berdebat apa bagai?’ merujuk kepada cabaran tok guru Minda Pondok tempoh hari.

Kenalan penulis merenung tajam kepada penulis lalu menjawab, ‘Alah, itu dia cakap aja nak debat. Kalau betul dia nak debat,’ tegas kenalan penulis dengan nada yang sinis memperkecilkan sama sekali apa yang dikatakan oleh penulis, ‘dia mestilah dah tetapkan tarikh dia, tempat dia apa semua. Ini tidak. Tengok, mana ada dia tetapkan itu semua!’

Sambil menggeleng-gelengkan kepalanya beliau meneruskan hujahnya, ‘Lagi pun tok pondok tu tak berani. Siapa dia nak banding dengan Nik Aziz. Nik Aziz ni, dia baca kitab hari-hari tau. Memang masa dia penuh menalaah kitab. Mana guru pondok tu boleh nak kalah kan dia,’ kempennya dengan nada yang cukup yakin, kini meletakkan Pok Nik setaraf ulama besar. Begitu hebat Pok Nik di mata kenalan penulis.

‘Nik Aziz ni,’ sambung kenalan penulis, ‘orangnya hebat. Islam terpelihara sebab dia ni. Doanya mustajab. Bayangkanlah ceramah dia, orang tak payah seru dia orang datang.’ Kemudian kenalan penulis menerangkan betapa hebatnya Pok Nik sehingga ceramahnya dimulakan dengan sembahyang hajat. Orang ramai hadir mengaminkan doanya. Tak ada siapa yang paksa orang datang ke majlisnya. Majlisnya sentiasa dipenuhi orang ramai menyambutnya.

‘Itu semua berkat Nik Aziz. Siapa yang panggil orang semua datang? Sebenarnya, malaikat yang panggil!’ begitulah dahsyatnya Pok Nik di sisi kenalan penulis. Majlisnya, malaikat yang menyeru orang ramai untuk hadir bersama-sama berdoa bersamanya!

Masya Allah!

‘Eh, habis kalau dah macam tu kenapa ustaz pondok itu nak berdebat dengan Nik Aziz juga? Dia ustaz, Nik Aziz pun ustaz. Dia (ustaz pondok) itu pun buka kitab juga mengaji juga. Kalau dia benar menyokong perjuangan Islam mestilah dia sokong Nik Aziz, bukannya nak menentang dia’ tanya penulis sambil berkerut dahi memancing apa pula jawapan kenalan penulis yang pro-Nik Aziz.

Nampaknya kenalan penulis seperti nak tak nak menjawab soalan tersebut. Terdiam sejenak, tapi tetap menjawab juga, ‘Alah, sebabnya ini...’ katanya sambil menunjukkan isyarat ibu jarinya bergesel dengan jari telunjuk dan jari hantu.

‘Apa ke bendanya tu?’ tanya penulis buat-buat tak tahu.

‘Semuanya pasal duitlah!’ terangnya dengan perlahan tetapi jelas.

Lah, ustaz pondok itu pun kena beli dengan UMNO jugak!

No comments: