Satu ketika dahulu semasa era pemerintahan Tun Dr. Mahathir, dikatakan seorang budak kecil daripada Britain telah menulis surat kepadanya menyatakan bantahan terhadap penerokaan hutan di Malaysia yang menyebabkan banyak haiwan dan tumbuhan liar di negara ini dimusnahkan. Budak kecil itu membantah kerana apabila dia besar, dia hendak mengkaji haiwan dan tumbuhan liar yang ada di muka bumi ini. Dr Mahathir membalas surat tersebut dengan menyuruh budak tersebut memberitahu ibu bapanya (atau kerajaannya) agar membayar dengan harga yang lebih mahal untuk perabot, getah, timah yang dibeli kerana wang itulah yang digunakan sebagai sumber ekonomi Malaysia dan untuk membayar pekerja-pekerja di Malaysia.
Kini, apabila bercakap tentang ekonomi, jarang dikalangan 'ahli ekonomi' kita turut menjelaskan tentang ekologi lantaran kedua-dua bidang itu dipisahkan. Kebanyakkan akan menceritakan pertumbuhan negara, GDP, kuasa beli, pendapatan perkapita, turun naik saham, pelaburan terus asing mahu pun pelaburan terus domestik. Ada yang pakar dalam bidang makronya dan ada yang pakar dalam bidang mikronya.
Dan dalam arena politik negara pun, perkara yang dibincangkan lebih menjurus kepada bagaimana membantu rakyat dengan subsidinya, pengagihan kekayaan, cukai itu dan ini, mansukhkan tol dan kesan pembinaan itu dan ini. Sekali-sekala sahaja terselitlah juga isu alam sekitar seperti Lynasnya pencemaran tempatan dan penerokaan hutan untuk hasil balak. Kesemuanya dieksploitasi untuk dijadikan sebagai mileage politik yang mampu menarik undi pada hari pilihan raya.
Ada yang sanggup berbuat demonstrasi kerana hendak menunjukkan betapa mereka mengambil berat terhadap alam sekitar. Tanpa mereka sedari, mereka sendiri telah menambahkan pembebasan karbon monoksida dan karbon dioksida pada hari tersebut kerana penggunaan pengangkutan untuk ke tempat demo dan kesesakan lalu lintas disebabkan oleh demonstrasi hijau yang mereka sendiri lakukan.
Apabila ahli politik bercakap pasal sumber dan produk pembuatan, masing-masing hendak menurunkan harga dan menghapuskan harga. Harga petrol biar murah, harga kereta pun hendak dimurahkan. Campur kedua-duanya? Peningkatan karbon monoksidalah jawabnya. Jalan raya di kota raya tidak pernah reda daripada kesesakan trafik tatkala waktu puncak. Besar mana dan canggih mana pun jalan raya itu dibina, kesudahannya tetap sama iaitu kesesakan trafik. Adakah ahli politikal-ekonomi memikirkan hal tu?
Kita membayar dengan harga yang murah untuk perkara yang tidak sepatutnya murah. Bahan terproses sehingga tahap berubah warna dan rasa semula jadinya dijual lebih murah daripada bahan yang tidak terproses. Misalnya gula pasir dan tepung gandum. Kedua-duanya mengalami proses yang lebih banyak berbanding gula tebu mentah dan gandum yang berserat (wholemeal). Kesemuanya kerana subsidi kerajaan supaya rakyat boleh membelinya. Tetapi pada masa yang sama, lebih banyak kos dan pencemaran yang diperlukan untuk hasil akhir sebegitu. Memang adatlah, lebih ramai yang akan menggunakan barang yang lebih sedap tetapi lebih murah. Akhirnya, penyakit bertambah dan pencemaran pun tidak terbayar. Apabila kerajaan atau pihak swasta membina infrastruktur, pernahkah mereka mengambil kira kos alam sekitar?[1] Pernahkah mereka membayar bumi dengan harga yang sepatutnya kerana pemusnahan ekologi? Malangnya ahli parlimen kita baik BN mahu pun Pakatan jarang sangat berdebat tentangnya. Mereka jarang berdebat tentang cukai karbon yang boleh dikenakan bagi meningkatkan kecekapan kitaran karbon agar pembuangan lebihan karbon dapat diminimumkan.[2]
Isu alam sekitar hanya wujud apabila keadaan memberikan kesan kepada karier politik mereka. Kalau hal kilang nadir bumi, beria-ia benar pihak Pakatan membawa isu ini sampai buat demonstrasi apa bagai’ berkali-kali. Tetapi, apabila kawasan hutan di kawasan negeri pemerintahan Pakatan digondolkan, tiada siapa pula di kalangan mereka yang membuat demonstrasi. Bukankah mereka menjadi juara alam sekitar? Kenapa tidak menjuarai isu sama di negeri mereka sendiri?
Pendek kata, hal ekologi dan alam sekitar merupakan topik yang malar segar dan harus diutamakan dalam sebarang perangkaan dasar oleh kerajaan. Setelah terlalu banyak sangat perkara yang dipolitikkan oleh kebanyakkan pihak, eloklah alam sekitar menjadi satu titik pertemuan untuk mereka bersatu untuk menyelesaikan masalah alam sekitar bersama-sama kerana bencana alam tak kenal siapa-siapa.
Nota kaki
[1] Sebagaimana yang telah dibangkitkan oleh Graeme Maxton yang mempertikaikan betapa murahnya harga minyak fosil sedangkan sumber itu tidak boleh diperbaharui dan akan habis jua pada suatu hari nanti. Begitu juga dengan pemusnahan hutan untuk perladangan dan perikanan tanpa had. Bacaan lajut lihat G. Maxton, The End of Progess (Singapore: John Wiley & Sons (Asia), 2011), 19-20 dan 133-149.
[2] Satu pendekatan yang dikemukakan Tim Harford ialah dengan memberi contoh di US iaitu perlaksanaan 'lelongan permit quota pelepasan' untuk pengilang. Sesiapa yang ingin pelepasan yang banyak, maka dia perlu membida untuk permit tersebut daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA). Sebaliknya, pengilang tidak perlu permit itu sekiranya mereka boleh meminimumkan kadar pelepasan. Bacaan lanjut lihat T. Harford, The Undercover Economist (London: Abacus, 2007), 98-101.
No comments:
Post a Comment