Sunday, April 21, 2013

Polan melawan polan (Bahagian 3)

(Sambungan Polan melawan polan (Bahagian 2))

Satu pertandingan lain yang menarik minat penulis ialah di Parlimen Shah Alam apabila penyandang Khalid Samad daripada PAS bertembung dengan bekas ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang juga bekas sekutunya, Zulkifli Nordin. Pertembungan ini boleh diibaratkan sebagai antara Islam yang agak liberal dengan Islam yang agak konservatif; dan yang liberal itu sebenarnya datang daripada PAS!

Khalid Samad dalam beberapa kenyataannya tentang isu-isu tertentu memperlihatkan sisi liberal dirinya berbanding kebanyakkan ahli partinya sendiri. Isu melaksanakan hudud jarang-jarang diperkatakan oleh Khalid Samad sebaliknya beliau menuntut untuk partinya berubah bagi menjadi lebih rencam dalam pakatan antara PAS-DAP dan PKR. Bagi pihak lawan, Khalid Samad ialah golongan yang dikatakan sebagai ‘Anwarinas’ yang cenderung menyokong apa sahaja tindakan atau pernyataan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim. Daripada segi sejarah politik, sehingga kini, tahun 2008 merupakan tahun yang cukup manis untuk Khalid Samad kerana memenangi kerusi Shah Alam setelah beliau puas mencuba dan mencuba di beberapa tempat (Shah Alam dua kali) untuk menjadi YB, tapi tak sangkut-sangkut.

Zulkifli Nordin pula bolehlah dikatakan seorang yang unik dalam perjalanan politiknya. Beliau menjadi ahli PAS tapi dipecat sebagai ahli PKR! Menjadi salah seorang daripada barisan peguam Anwar pada Liwat 1.0 (Era reformasi), kemenangan beliau di Parlimen Kulim-Bandar Baharu melonjakkan namanya sebagai ahli politik bersuara lantang, sedangkan beliau sendiri mengaku bahawa beliau ialah calon bidan terjun PKR. Bagaimanapun, isu berkaitan Islam menyebabkan beliau dipecat daripada parti kerana kelantangannya mempersoalkan pendirian Pakatan terhadap isu kalimah Allah. Selepas beberapa ketika beliau dipecat, beliau mengisytiharkan dirinya untuk menentang Pakatan kerana tidak serius menegakkan agama Islam dan turut mengambil tempat di ceramah-ceramah PERKASA dan UMNO. Akhirnya pada penamaan calon yang lepas, beliau ‘berjaya’ meyakinkan BN untuk mencalonkan dirinya bertanding di Parlimen Shah Alam sebagai ‘calon Bebas mesra BN.’

Apa yang menarik perhatian penulis ialah betapa graviti Shah Alam pada PRU ke-12 yang dikatakan sebagai antara tempat yang paling lantang menerima ‘undi protes’ BN oleh ahli BN sendiri kerana pemilihan calon bukan ‘orang tempatan.’ Isu orang tempatan telah menjadi bualan setidak-tidaknya pada 2008 apabila UMNO Bahagian beria-ia sangat hendakkan pucuk pimpinan memilih orang tempatan mewakili Shah Alam. Rasionalnya agak mudah, Shah Alam bolehlah dikategorikan sebagai kawasan yang dihuni oleh golongan profesional/elit terutamanya di bandar rayanya, jadi takkanlah tiada seorang pun dikalangan penduduk yang boleh dikemukakan menjadi wakil rakyat. Sedangkan untuk beberapa penggal, Shah Alam diwakili oleh Abdul Aziz Shamsudin; walhal beliau sendiri merupakan ahli UMNO di kawasan negeri Perak. Oleh hal yang demikian, 2008 menjadi titik noktah beliau sebagai ahli parlimen dan juga menteri dan pengundi memberikan kemenangan monumental kepada Khalid Samad (yang juga secara teknikalnya, orang luar juga!)

Kini, BN tampil dengan formula baru dengan meletakkan Zulkifli Nordin; justeru adakah isu ‘orang tempatan’ itu sudah diselesaikan? Lebih janggal lagi, calon yang dipilih bukan ahli UMNO/BN pun! Adakah pemilih (terutamanya orang UMNO) di Shah Alam akan mengetepikan sentimen ‘orang tempatan’ dan akan membuat perhitungan ‘orang luar’ mana yang lebih baik untuk mewakili mereka di Shah Alam? Hal ini hanya boleh dijawab pada 5 Mei nanti apabila mereka memilih kerana berdasarkan kepada pemahaman penulis, kegiatan undi protes memang berlaku di Shah Alam (malah dikatakan banyak berlaku di Selangor) pada 2008 dan PRU ke-13 akan mampu memberikan gambaran kasar sama ada teori undi protes itu boleh dipakai atau pun tidak.

Pertembungan lain ialah seperti di Pekan yang pada hemat penulis kalaulah pembangkang kalah, mereka harus menyalahkan diri sendiri kerana tidak mahir membahagikan kerusi. Sebagaimana yang penulis jelaskan sebelum ini, PAS begitu popular di Pekan. Mereka telah memalukan Najib pada 1999 dengan mengecilkan majoriti yang dimenangi Najib sekitar 200 undi sahaja. Prestasi yang teruk inilah yang menyebabkan timbul spekulasi sebab mengapa Mahathir tidak boleh terus memilih Najib sebagai TPM; kerana kemungkinan Najib akan dilihat sebagai TPM yang lemah.

Pencapaian PAS itu boleh dikatakan sebagai pencapaian yang agak memberangsangkan dan kalau formulanya cukup, memang Najib boleh tumbang. Malangnya momentum itu tidak dapat diteruskan oleh mereka. Pada 2004 PAS kalah dan selepas itu, PKR mendapat kerusi tersebut hingga kini. Jadi, apa formula PAS pada ’99 yang menyebabkan mereka hampir mengaibkan Najib? Hal itu seharusnya dijawab oleh PAS kerana parti tersebut sangat popular terutamanya di Pekan berbanding PKR. Begitu banyak ‘madrasah PAS’ dan ‘surau PAS’ kalau nak banding ‘madrasah PKR’ atau ‘surau PKR.’ Orang PAS dikatakan sangat digemari oleh masyarakat Cina di sana kerana selalu turun padang bersama-sama dengan rakyat. Mungkin Pakatan boleh mengatakan bahawa zaman telah berlalu dan keadaan sudah berbeza. Tetapi, sudah tentu apa yang berlaku pada ’99 bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan. Dan kekuatan itu sendiri perlu dikaji untuk setidak-tidaknya cuba mengulanginya (dengan menggunakan lambang PKR pula) untuk PRU ini.

Sebagai kesimpulannya, penulis sangat percaya bahawa setiap calon ada peluang untuk menang di kawasan yang ditandinginya seandainya mereka benar-benar menanamkan semangat untuk bertanding dan bukan asyik menyalahkan orang lain sahaja selama-lamanya. Peluang untuk giant killer sentiasa ada kerana kalaulah satu parlimen itu ada 30 000 orang dan parti yang tewas mendapat sekitar 10 000 undi, secara refleksinya, 10 000 orang di kawasan itu sebenarnya tidak suka kepada calon yang menang. Satu stadium boleh kumpul! Politik angka bermain dengan angka dan angka itu boleh naik, boleh turun. Terpulanglah kepada jentera parti dan calon untuk mengeksploitasinya; kalau boleh, cara yang betul dan ikhlas.

Selain itu, PRU ini juga diproklamasikan sebagai ibu segala pilihan raya, justeru mempunyai banyak taruhan yang mampu menarik perhatian bukan sahaja rakyat Malaysia malah negara jiran. Tambahan pula begitu ramai calon Bebas yang turut bertanding menjadikan beberapa pertembungan berpenjuru-berpenjuru; sudah semestinya menambah rumitkan lagi para penganalisis untuk memahami corak pengundian sekiranya ada dikalangan mereka yang menang.

Apa yang turut penting ialah untuk rakyat Malaysia yang bertanggung jawab untuk turun mengundi pilihan mereka. Pihak tertentu juga patut menamatkan tuduhan tidak berasas kepada SPR. Hal ini dikatakan demikian kerana jelas banyak sekali tuduhan mereka lebih memihak kepada pembangkang. Kalaulah SPR tidak bersih, rasanya kesemua kertas pencalonan pihak Pakatan telah ditolak mentah-mentah dan mereka memberikan kemenangan kepada pihak BN. Ketua pusat mengundi ialah manusia yang paling berkuasa dalam menentukan calon layak bertanding atau pun tidak dan mereka tidak berbuat demikian dan membiarkan pertandingan berlaku. PRU ke-13 mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila disertai oleh calon paling ramai dan tiada kemenangan tanpa bertanding.

Justeru, dengarlah kempen mereka ketika berkesempatan dan pilihlah dengan bijak. Undi anda sememangnya menentukan masa hadapan negara!

-TAMAT artikel Polan melawan polan-

No comments: