Satu ketika masa dulu, Sohibul Al-Samahah Tuan Guru Al-Allamah Dato' Nik Aziz Nik Mat merupakan ulama yang cukup disegani. Tutur katanya sangat dipatuhi lantara dirinya diangkat tinggi sebagai Mursyidul Am PAS. Menurut kepercayaan pihak tertentu di dalam masyarakat secara amnya dan penyokong parti secara khususnya, kedudukan Mursyidul Am lebih tinggi daripada presiden parti. Sebab itulah walaupun beliau lebih banyak berkampung di Kelantan (memang patut pun kerana beliau ialah MB Kelantan) pengaruh beliau tetap terpancar ke seluruh negara.
Di samping pengaruh positifnya dalam politik tanah air seperti 'kezuhudannya,' 'kewarakannya,' 'keilmuannnya' dan 'ketawadukannya,' beliau turut terkenal dek ucapan-ucapannya yang kontroversi. Sebagai contoh, kerjasama dengan syaitan pun boleh untuk menjatuhkan UMNO, Tuhan pun mencarut juga, undi PAS memberi pahala dan boleh masuk syurga, undi UMNO 'paham-paham saje la,' kalimah Allah boleh digunakan untuk mana-mana agama, 'UMNO tolak Islam' dan 'Nabi Muhammad SAW asalnya serupo denge mamat-mamat lain, dalam kampung ni ada mamat, kampung tu ada mamat,' hanya kerana tidak bersetuju menyambut Maulidul Rasul.
Pada hemat penulis, kalau pun tak berkenan nak menyambut Maulid Nabi, tak perlulah (tak patutlah) letakkan Nabi SAW, nabi terakhir, penghulu segala Anbia', Ulul-Azmi terulung, insan istimewa yang syariat yang dibawanya syumul, dan pemberi syafaat di akhirat kelak sebagai 'sama dengan mamat-mamat lain.'
Bagaimanapun, hal-hal yang demikian sama sekali menidakkan penyokong dan pengikutnya begitu taksub dan akur kepadanya. Hujah mereka yang paling mudah dan popular ialah, 'siapa kamu nak dibanding dengan Tok Guru Nik Aziz' dan 'mu dah tolak Isle, tak layak nak royat pase Isle.' Malah, Pok Nik pernah meluahkan rasa hairannya apabila ada pemimpin UMNO/BN membicarakan dosa-pahala kerana 'mereka dah lama tinggalkan Islam!'
Soal sama ada memang hok yang lawan PAS menolak Islam, biarkan mereka yang betul-betul mahir dalam agama sahaja yang menjawabnya. Tambahan pula, skop 'tolak Islam' versi Tok Guru Pok Nik cukup sempit kerana lebih tertumpu kepada 'kerajaan BN tak laksana hudud,' sedangkan pihak PAS sendiri yang mampu melaksanakannya di Kelantan; tidak melaksanakannya dengan seribu satu alasan dunia! Patut Pok Nik tanya dengan Presiden PAS Tuan Guru Sohibul Al-Fadhilah Dato' Seri Hadi Awang yang turut memperkecilkan hudud kerana mendakwa hudud sebagai 0.0001 peratus daripada Islam (mafhumnya, hanya satu juzuk yang seni dalam Islam).
Presiden PAS sendiri memproklamasikan tiada istilah negara Islam dalam Al-Quran; yang ada cuma negara berkebajikan.
Tak apalah; mungkin agaknya segala kekhilafan tersebut kesemuanya kecil sahaja di sisi Pok Nik. Ibarat kata, 'Allah dah ampunkan dah segala dosa yang dilakukan...' Apatah lagi, sebagaimana yang dipercayai oleh pengikut-pengikutnya, bahawa doa Tuan Guru Pok Nik yang paling makbul! Agaknya, beliau ini bertaraf wali qutb!
Kini, kesihatan beliau digambarkan sebagai semakin kurang. Beliau semakin uzur. Beliau sering keluar-masuk hospital kerana mengalami gangguan kesihatan. Terbaru, Pok Nik terpaksa didukung dalam satu acara kerana hampir pitam dan/atau pengsan. Betuah betul orang yang mendukung beliau kerana kalaulah mengundi PAS, akan membawa ke syurga, mendukung Tuan Guru; mau dikurniakan syurga taraf Anbia' agaknya!
Pok Nik akan sentiasa bertanding dalam pilihan raya hingga hujung nyawa. Walaupun satu ketika dahulu beliau pernah menyatakan bahawa beliau hanya akan pencen apabila Dr Mahathir pencen, nampaknya keadaan tidak lagi begitu. Sudah sedekad Mahathir pencen namun Pok Nik tetap bertanding lagi. Beliau hanya akan berhenti sekiranya parti tidak mahu khidmatnya lagi; dan nampaknya parti tidak akan putus untuk menginginkan khidmatnya.
Maklumlah, siapa yang tidak mahukan pemimpin yang kata-katanya umpama fatwa! Semoga Pok Nik dipanjangkan umur, dan dipanjangkan lagi umurnya untuk terus berkhidmat; dan moga-moga dapatlah beliau melihat susur-galur politik negara!
No comments:
Post a Comment