Wednesday, April 10, 2013

Jaring gol sendiri

 

Pada ketika bola sepak negara terus menerus merosot dalam senarai FIFA dunia, badan pentadbir bola sepak negara sibuk mengenakan tindakan hukuman kepada sesiapa sahaja ahlinya yang mengkritik hala tuju bola sepak negara. Sindrom FAM tidak mampu memberikan jawapan kepada persoalan kelemahan pasukan kebangsaan kembali melanda dan kita mungkin terpaksa menunggu kesekian tahun untuk melihat pasukan negara kembali menjadi 'kuasa' bola sepak Asia Tenggara.

Sebenarnya, hakikat itu bukanlah tidak boleh dijangka. Penulis pernah membeberkan betapa mengapakah juara Asia Tenggara 2010 tidak mampu untuk layak ke 'kelayakkan Piala Dunia' sedangkan pasukan negara lain yang mempunyai kekuatan setara dapat berbuat demikian. Kini, kesemuanya menjadi lipatan sejarah dan kita bolehlah nasihatkan kepada stesen televisyen untuk mengeluarkan montaj kemenangan Piala AFF Suzuki kerana kita hanya bekas juara.

Sekarang, dengan keadaan pasukan kebangsaan yang kurang sengat, peminat dihidangkan pula dengan gelagat FAM yang begitu beria-ia benar mengeksesais 'Artikel 88' daripada statutnya untuk menghukum orang yang telah berjasa mengangkat pasukan liga tempatan ke tahap yang jauh lebih baik. Pendek katanya, FAM lebih besar daripada segala-galanya. Undang-undang FAM tak boleh dilanggar sama sekali. Tidak boleh sentuh walau sekelumit pun kesilapan dalam tutur kata. Telajak perahu boleh undur, namun kalau telajak kata; kena gantung sekian bulan, denda sekian ribu ringgit!

Arena bola sepak kita terlalu kecil untuk mereka bercakaran dek kerana ada orang dalam FAM yang kata 'prestasi pasukan kebangsaan tidak meningkat.' Mutu itu terserlah dengan kejatuhan demi kejatuhan kedudukan pasukan kebangsaan di dalam senarai FIFA. Sekiranya hal yang itu pun mereka masih tidak mahu ambil tahu secara serius berbanding komen-komen ahli mereka sendiri, maka eloklah tukar sahaja FAM kepada badan kehakiman, badan pendakwaan, badan penjurian sendiri dan menghukum sesama sendiri.

Sebab daripada semasa ke semasa, kita akan dapat melihat betapa statut mereka sedang 'memakan' diri mereka sendiri. Akhir nanti, tinggal siapa sahaja lagi....?

No comments: