Saturday, April 27, 2013

Mufti-mufti berkempen

 

Beberapa minggu sebelum pembubaran parlimen, terdengar cakap-cakap yang cukup kencang bahawa dua orang mufti, seorang bekas dan seorang lagi sedang menjawat, akan bertanding pada PRU ke-13 sebagai calon Pakatan. Kedua-dua mereka dikhabarkan akan bertanding di utara tanah air; kerana kedua-duanya pun menjadi/pernah menjadi mufti negeri Perlis. Bagaimana pun, bekas mufti sempat menyatakan keengganannya bertanding kerana 'lebih selesa untuk tidak terikat dengan sebarang parti.' Sementara yang seorang lagi, yang masih menjawat tidak tercalon semasa hari pencalonan. Sementelah kedua-dua orang memang dicanang habis untuk menjadi calon Pakatan pada pilihan raya kali ini, tidak kesampaian jualah untuk kita melihat kelibat mereka.

Kini, kedua-duanya berada di pentas yang berbeza dan memberikan kenyataan yang agak kontra dengan 'pendirian politik' pada pra-PRU kali ini. Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menyatakan dengan jelas betapa beliau memilih BN dalam PRU kerana BN memperjuangkan Islam (malah menyifatkan namanya ‘dipergunakan oleh PKR’ tanpa izinnya). Sementara bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin pula menafikan sama sekali seandainya Pakatan muncul pemenang dalam PRU ini, PAS mampu melaksanakan hukuman hudud di Malaysia kerana secara angkanya, mereka tidak mungkin!

Kenyataan-kenyataan sebegini memperlihatkan betapa kontranya pendirian mereka berbanding parti Islam dalam Pakatan. Justeru, adakah benar bahawa kedua-dua orang ini memang dicanangkan oleh pihak Pakatan sendiri untuk dicalonkan? Dan andainya benar, adakah ketidakcalonan mereka berdua menyebabkan mereka berpaling tadah mengeluarkan kenyataan yang berlawanan?

Mereka berdua ialah ulama yang dihormati lantaran keilmuan mereka dalam bidang agama dan penjawatan mereka yang amat berprofil tinggi. Seorang mufti bukanlah calang-calang orang. Walaupun pengeluaran fatwa sebenarnya bukanlah membabitkan peranan mufti seorang diri, tetapi atas nama beliaulah sesebuah fatwa itu dikeluarkan. Oleh sebab itu, pastilah kata-kata mereka dihormati dan mereka tidak akan berucap melainkan memahami kesan ucapan yang mereka tuturkan.

Adapun, hujah Dr Asri yang lebih kepada 'politik angka' berasaskan kerusi yang ditandingi oleh pihak PAS di dalam PRU kali ini yang lebih kecil berbanding rakan pakatan mereka daripada PKR. Kita mesti ingat, bukan semua orang di dalam PKR itu Islam dan menerima hudud (walaupun dirinya Islam). Hal ini membawa persoalan kepada sejauh mana PAS mampu untuk memperjuangkan hudud sungguh pun mereka menang dalam PRU nanti?

Sudahlah DAP memang tidak menerima hudud, dan kini bukan semua ahli PKR yang menerimanya, bagaimanakah PAS hendak melaksanakan hudud itu? Oleh hal yang demikian, bolehlah dikatakan bahawa impian hudud mereka dalam apa yang mereka sendiri katakan sebagai 'sistem demokrasi' di Malaysia tidak mungkin akan dapat dilaksanalan. Jelas sekali hudud dalam konteks PAS cuma sekadar satu slogan retorika yang mereka sendiri tak mampu laksanakan 'sebelum ayam berkokok esok pagi.'

Kedua-dua orang mufti tadi mungkin telah mengetahuinya. Malah, mereka mungkin telah faham apakah sebenarnya perjuangan Pakatan di Malaysia dalam usaha mewujudkan persaingan kepada BN. Apa yang pasti ialah untuk PRU kali ini, mereka tidak memilih/tidak terpilih untuk bertanding atas tiket Pakatan dan bukan mustahil kedua-duanya akan dijadikan sebagai calon mana-mana parti pada masa akan datang.

Bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia untuk bekas mufti diangkat sebagai calon parti politik. Misalnya di Johor, Allahyarham Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Mufti Negeri pada 1941-1947 menjadi MB Johor pada tahun 1959-1967. Hal ini menunjukkan golongan ulama sebagai ketua eksekutif sesebuah negeri bukanlah perkara yang baru. Oleh sebab itu, kehadiran golongan ulama sangatlah dinantikan dalam politik kerana mereka mampu memberikan pengaruh Islami dalam hala tuju pemerintahan negara.

Cuma, janganlah hendaknya ulama itu dikaitkan daripada PAS sahaja kerana mereka berhak memilih pentas mana yang hendak mereka sertai....

No comments: