Monday, April 15, 2013

Bercakap tentang perkara ghaib

 

Kadang-kala keceluparan manusia memberikan kesan kepada dirinya sendiri. Maklumlah, ada manusia yang egonya tahap tinggi sampai sanggup berkata yang mengasosiasikan dirinya dengan sifat Tuhan yang Maha Mengetahui. Akhirnya, boleh jadi terkena batang hidung atau pihaknya sendiri.

Begitulah halnya dengan sebuah parti politik bernamakan Islam; ada dikalangan ahlinya yang sanggup mengeluarkan kenyataan kalaulah Nabi SAW hidup lagi, video seksnya akan ditayangkan oleh UMNO. Atau seandainnya Nabi SAW hidup lagi, bagindak akan menentang UMNO atau UMNO akan menentang baginda!

Masya Allah! Sampai begitu sekali hebatnya mereka-mereka ini mengetahui apa yang akan berlaku seandainya sekian-sekian.

Mana dapat tahu perkara itu akan berlaku? Main pakai mantik kepala hotak je ke?

Sefaham pengajian penulis, antara manusia yang dikurniakan Allah mengetahui perkara ghaib ialah Nabi. Malah, ada dikalangan persoalan ghaib yang Nabi SAW sendiri tidak mengetahuinya seperti bilakah berlakunya kiamat. Perkara-perkara sam'iyat ini memang wajib diimani, tetapi seseorang itu tidak boleh membuat tafsiran melulu kepada hadis yang telah disepakati maksudnya. Nanti ada pula yang berhujah Islam berpecah kepada tujuh puluh kumpulan itu; salah satu kumpulan itu ialah parti sekian, kemudian satu yang masuk syurga ialah parti sekian pula!

Label-melabel antara umat Islam juga merupakan satu penyakit yang dihadapi oleh mereka. Kafir-mengkafir bukanlah sesuatu yang asing, malah di dalam politik tanah air sendiri. Selain perbuatan mengkafirkan orang secara jelas, ada juga yang melakukannya dengan cara kinayah seperti ungkapan 'menolak Islam,' 'menolak hukum Allah,' 'mengundi sekian dapat dosa,' 'sembahyang orang tu tak dapat pahala,' 'amalan dia tak diterima' atau menggunakan gelaran seperti 'mahafiraun,' 'iblis' ataupun 'syaitan.'

Dengan kelakuan demikian, pihak yang melabel itu seolah-olah telah meletakkan diri mereka lebih mulia daripada yang dilabel. Sepertinya, orang yang melabel sudah tahu kesudahan takdir untung-nasib bagi yang kena label. Hinggakan ada yang sampai tahap syurga-neraka; maka sudah tentu yang menggungkap itu seperti telah mengetahui perkara sam'iyat persis Nabi.

Sedangkan Nabi yang telah mengetahui senarai sahabat yang dijanjikan syurga pun diberitahu melalui wahyu Allah Taala; jadi mereka yang hidup berkurun-kurun tahun selepas Nabi, zaman sekarang ini, bagaimana pula? Mungkinkah mereka mendapat 'wahyu' juga? Atau meletakkan diri setaraf dengan yang Maha Mengetahui? Ada juga yang tahu siap-siap amalan siapa yang dapat pahala, amalan siapa yang dibuat itu tidak ikhlas, menunjuk-nunjuk; seolah-olah ada 'ikhlas-o-meter' agaknya untuk mengesan perkara-perkara ghaib sebegitu?

Tujuan hidup manusia di dunia ini ialah untuk beribadah kepada Allah Taala, bukannya menentukan orang mendapat pahala-dosa, orang sekian boleh masuk syurga-neraka atau menghukum orang tertentu yang amalan diterima atau pun tidak. Hitunglah amalan sendiri terlebih dahulu sebelum kita menghitung orang lain. Ikhlas itu atribut yang hanya hamba-Nya dengan Tuhannya sahaja yang tahu. Tidak ada imanometer yang mampu mengukur secara diskret keikhlasan seseorang. Tambahan pula, seseorang itu dimasukkan ke syurga bukan semata-mata kerana amalannya; sebaliknya kerana rahmat-Nya.

Berhati-hatilah ketika berbicara tentang perkara ghaib, kerana yang Maha Mengetahui tentangnya ialah Allah Taala!

No comments: